Apabila sesi persekolahan dibuka dan terdapat sesetengah murid-murid yang perlu ke sekolah untuk pembelajaran bersemuka kerana mereka bakal menghadapi peperiksaan awam yang besar. Sesetengah pula hanya perlu belajar dari rumah melalui sesi dalam talian.
Murid-murid yang perlu ke sekolah atau yang berada di rumah, kedua-duanya terpaksa menyesuaikan diri dengan pembelajaran dalam norma yang baharu ini. Penyesuaian ini menjadi bertambah sukar bergantung kepada lokasi sekolah, rumah dan alat bantu belajar.
Malah dengan kekangan sama ada tiada liputan Internet atau liputan yang tidak stabil atau sesetengahnya pula langsung tidak mempunyai peranti, ianya sedikit sebanyak menyumbang kepada kelancaran pembelajaran murid-murid di rumah.
Bukan sahaja murid-murid, ibu-bapa juga juga terpaksa bertungkus-lumus dan kemudian terpaksa belajar bagaimana untuk mengendalikan peranti dan kemudahan Internet untuk memastikan anak-anak mereka tidak terlepas sesi pembelajaran secara dalam talian.
Kesukaran yang dihadapi oleh mereka ini benar-benar menduga kesabaran, menguji displin pengurusan masa dan sumber kewangan kedua-dua pihak – murid dan ibu-bapa. Dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ini, kesemua cabaran ini bukan sahaja menjadikan murid-murid tertekan, malah ibu-bapa turut terkesan.
Namun, semua ini tidak boleh menghalalkan ibu-bapa untuk dengan mudah mengkritik tanpa sebab, mengherdik dan memandang rendah guru-guru. Jika ibu-bapa mahukan anak-anak mereka menjadi manusia yang menghormati guru-guru – mereka yang harus memulakannya dahulu. Ibu-bapa mereka mungkin pemimpin negara dan professor bijak pandai di pusat pengajian tinggi di dunia, namun guru-gurulah yang memperuntukkan masa berjam-jam lamanya dan mendedikasi hidupnya berdepan dengan karenah anak-anak mereka di dalam kelas.
Ibu bapa perlu tahu yang guru-guru juga terpaksa belajar untuk mengajar. Guru-guru ini perlukan masa untuk belajar bagaimana mendapatkan bahan untuk mengajar. Guru-guru harus belajar bagi membolehkan pembelajaran menjadi lebih kreatif seperti kehendak menteri. Malah, ada guru-guru yang baru belajar mengendalikan peranti dan Internet sama seperti murid-murid dan ibu-bapa tadi. Dalam norma baharu ini, semua kita terbeban di kedudukan yang sama.
Walaupun cabaran ini hadir dari pandemik Covid-19 dan juga dari kelemahan pentadbiran menteri kerajaan pintu belakang, namun, janganlah sesekali kita lupa bahawa bukan murid-murid dan ibu-bapa sahaja yang terpaksa bergelut dengan cabaran norma baharu ini. Guru-guru pun tidak terkecuali.
Malah, sepanjang PKP dan semasa berdepan dengan pandemik Covid-19, guru-guru terpaksa bersengkang mata mencari, membaca dan menyelidiki bahan-bahan sehingga terpaksa tidur lewat malam. Guru-guru kemudiannya terpaksa mengeluarkan duit sendiri bagi menyediakan bahan-bahan untuk diberikan kepada murid-murid di dalam kelas bersemuka yang bakal menduduki peperiksaan.
Dalam masa yang sama, guru-guru yang sama perlu menyediakan bahan belajar dan mengajar untuk murid-murid secara dalam talian juga. Semua ini terpaksa dilakukan secara serentak. Buat makluman ibu-bapa, sebelum menyediakan bahan mengajar, guru-guru perlu belajar, cuba memahami dan menguasai perkara yang baru malah kadang-kadang asing buat mereka.
Sebelum tragedi pandemik Covid-19, kita telah sedia maklum yang guru-guru juga melakukan kerja-kerja pengkeranian sekolah. Ibu-bapa perlu tahu yang tugas tersebut tidak pernah terhenti walaupun semasa PKP ini. Jadi, segala persediaan guru-guru ini kadang-kadang dikejar-kejar dengan urusan lain di sekolah seperti mesyuarat demi mesyuarat dan aktiviti sekolah yang lain kerana ianya masih perlu berjalan seperti biasa walaupun tetapi dalam norma baharu.
Ibu-bapa disarankan untuk lebih memahami, simpati dan empati kepada guru-guru yang mendidik anak-anak mereka. Kasihanilah guru-guru yang mendidik anak-anak kalian. Hormatilah mereka dengan perkataan yang baik-baik, yang lunak dan yang rasional sesuai dengan kedudukan kalian sebagai ibu-bapa. Guru-guru juga manusia biasa yang ada keluarga, yang ada pasangan hidup dan anak-anak serta kehidupan untuk dirai dan dinikmati.
Budak kampung dari Kedah yang keluar universiti dalam bidang hartanah tapi terperangkap dalam bidang politik tanpa punya cita-cita yang tinggi. Cukup dapat menyedarkan anak bangsa yang kita ini akan kembali tanah jua, itu sudah memadai. Telah berkahwin dengan anak bangsa Johor dan mencari makan sebagai Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Segambut. Penggemar lagu-lagu keroncong dan petikan tali gambus yang mengasyikkannya.