Ternyata, dosa besar seorang manusia bernama John Lennon ialah mengimajinasikan negara tanpa agama.
Imagine there’s no countries
It isn’t hard to do
Nothing to kill or die for
And no religion, too
Apa niat sebenar Lennon menulis lirik yang sampai ke hari ini menjadi siulan kegemaran semua? Apakah dia cuma mahu bersenandung? Atau apa benar negara tanpa agama lebih cemerlang?
Bila difikirkan semula, ada juga keterujaan disebalik negara tanpa agama. Gerakan seperti #BMF tentu sekali tidak akan wujud. Tidak ada perhimpunan meloyakan persis Kongres Maruah Melayu yang tidak segan silu menjual maruah Agama. Tidak ada teks khutbah mengampu penguasa diperdengarkan. Tidak ada pentas diisi ahli politik bersumpah atas nama Tuhan memancing undi manusia marhaen di bawah. Tidak ada produk kismis, air minuman disulam bacaan ayat-ayat suci. Tidak ada perang atas nama agama, tidak ada kebencian, tidak ada Zakir Naik. Dan tidak ada janji-janji berupa ganjaran syurga dibisikkan ke telinga si miskin saat kemewahan negara dirompak orang-orang berkuasa.
Negara tanpa agama…
Bukankah hari tetap akan siang? Malam pula pasti berkunjung tiba? Sinar mentari dan rembulan tidak tertunda. Bahkan, barangkali lebih terang mempesona?
Sejatinya agama hadir saat kondisi sosial mengalami penderitaan. Manusia berbondong-bondong memeluk agama ketika keadaan sosial menemukan kekacauan dan aturannya tidak berfungsi. Agama menjadi pegangan bukan kerana konsep ketuhanan semata, tetapi terlebih dari itu sebagai sebuah idea agung memperjuangakan kebenaran dan menumpaskan kebatilan. Di saat itu, agama membuka jalan maha luas kepada umat menuju kemajuan dan keharmonian.
Langsung sekian dari itu, perlahan-lahan agama menjadi sebuah mantra yang tidak terbantahkan. Ia larut dalam kesenangan. Institusinya didirikan. Hukum tercipta dari yang memerintah kepada kaum yang diperintah.Tanpa agama, moral akan runtuh. Tanpa agama, setiap hari adalah rusuhan. Negara akan tewas dihempap dosa-dosa.
Tetapi menurut Geogory Scott Paul, ada kemungkinan negara yang sihat secara sosial menjadi sangat beragama. Tetapi yang lebih pasti menurutnya, negara-negara yang paling sihat juga adalah negara yang paling kurang beragama.
Berangkat dari kenyataan ini, seorang Profesor Sosiologi dan Pembelajaran Sekular bernama Phill Zuckerman pernah menulis sebuah artikel yang menarik untuk dibincangkan.
Artikelnya bertajuk ‘Imagine No Religion: Can a Society Be Successful Without It?’ mendokumentasikan pengalaman hidupnya seperti yang pernah diimajinasikan Lennon.
Phill pernah menetap di bandar kedua terbesar Denmark, iaitu Aarhus. Di negara kurang beragama itulah dia menyaksikan dan mengalami sendiri kehidupan yang penuh berwarna warni ketimbang kehidupan di negara beragama seperti Amerika – tanah tumpah negara asalnya.
Dari hal layanan kesihatan, pendidikan, pengangkutan awam, kebajikan pekerja (yang diberi hak berpersatuan), kadar kes jenayah dan pengangguran yang rendah – Phil menemukan keselamatan dan ketenangan yang indah di bumi skandinavia.
Kata Phil,
“Lintasan basikal di sini, di Scandinavia sekular luas dan selamat. Saya dengan senang hati , ketika menunggang basikal samada ke tempat kerja atau pulang darinys, mengalami keadaan dimana kereta-kereta dengan lumayan memberikan ruang kepada penunggang basikal dan bukannya jari tengah”.
Berbeza dengan negeri klaim ahlus sunnah waljamaah, masyarakatnya lebih meraikan acara bergusti di tepi lebuhraya di hadapan anak-anak kecil yang terpinga-pinga melihat perilaku tidak berguna orang dewasa.
Sungguhpun begitu, Phil tidak menafikan, sebuah negara kurang beragama seperti Denmark sekalipun bebas masalah.
Namun, menurutnya, masalah serta cabaran diatasi dengan kaedah yang lebih demokratik, logik, empati, diskusi, debat dan mempraktis sistem penyelesaian masalah yang lebih rasional – bukan dengan semata mata hukum yang diputuskan lembaga Agama. Atau dengan cara berdoa dan bersembahyang hajat perdana.
Phil meyakini bahawa kepercayaan terhadap agama bukan perkara asasi untuk membangunkan sebuah masyarakat yang berjaya dan berfungsi dengan baik. Negeri yang diurus tadbir dengan baik tidak semestinya diurus dengan kaedah agama. Apatah lagi apabila urusan mentadbir diserahkan kepada kelompok-kelompok atau penganut mazhab-mazhab ‘paling benar’ tetapi paling bebal menyusun dan memberi kesejahteraan dalam pentadbiran.
Masyarakat boleh saja menjadi lebih bermoral, beretika dan bertanggungjawab di luar paradigma agama.
Di negara paling selamat dan bermoral seperti Denmark, Phil menyatakan di dalam artikelnya,
“kanak-kanak, orang tua, anak-anak yatim, yang sakit dan menderita – semuanya dijaga dengan baik. Kesaksamaan, kebebasan, demokrasi – perkara-perkara ini tidak hanya sangat dihargai tetapi berjaya direalisasikan. Dan semuanya wujud kerana kejujuran dan kepedulian. Bukan semata-mata melahapkan kebahagiaan surgawi atau bimbangkan neraka yang menyakitkan.”
Negara tanpa agama tidak bermaksud masyarakatnya mesti menjadi atheist. Ia bukan adengan pemaksaan bahawa setiap jiwa mesti meninggalkan keyakinan beragama.
Sederhananya, ianya merupakan sebuah gagasan yang memartabatkan kesaksamaan dan keadilan buat semua. Ia mengeji privilej, kelebihan serta ketuanan penganut agama tertentu. Malah, secara tidak langsung ia membela maruah agama!
Beragama atau tidak, ianya sudah tentu sebuah keyakinan peribadi – pilihan yang mesti dihormati.
Namun, masakan kita berlaku jujur mengurus tadbir negeri ini dengan idea kesaksamaan buat setiap tubuh tetapi dalam masa yang sama memaksakan hukum agama ke atas semua bahawasanya dasar ini, hukum ini serta kelebihan yang kita gubalkan semuanya adalah kerana alasan perintah Tuhan?
Di bahagian ini, bukanlah kesaksamaan dan keharmonian yang ditemukan melainkan sebuah kewujudan nasrsistik-fasisme agama tercela.
Apa tergamak kah kita membiarkan tanah air ini diberikan kepada golongan fasis Agama?
Apakah kita terlupa pedoman yang pernah dicetak sejarah silam betapa barbariknya lembaga agama apabila diberikan kuasa mutlak mengurus Negara?
Dunia dan seisi alam sedang tenat. Perang atas nama agama masih rancak meletus. Darah masih menitis disebabkan persengketaan antara dua keyajinan yang berbeza. Persengketaan, kebencian, kemelaratan hidup, perpecahan, pencemaran – segalanya tidak pernah padam. Malah lebih berantakan!
Yang manusia perlukan saat ini bukanlah sistem berasaskan khalifah, atau meletakkan barisan jemaah Menteri yang kesemuanya penganut agama dan mazhab yang sama atau menggunakan prosa basi memancing kepercayaan majoriti ‘kembali kepada kitab suci’ melainkan mencari dan mengatur kembali aturan logik, rasional dan relevan bagi membereskan urusan pengagihan ekonomi, sistem upah gaji, peluang pendidikan, layanan kesihatan, keadilan buat yang ditindas agar kemakmuran sosial dipelusuk dunia dapat ditemukan.
Maka uruskanlah sendiri keyakinan peribadimu. Tetapi untuk negeri ini, ayuh kita bangunkan ia atas semangat kemanusiaan dan demokrasi tulen. Bukan paksaan dari Negara dan lembaganya yang setia menunggang agama.
Seorang slackers duaplohpatjam, penulis 3 buah buku terbitan penerbit ‘kiri borjuis’ Thukul Cetak dan pengendali Tengkorak Hang Podcast. Penggemar semangkuk laksa dan bukan lelaki Melayu bertengkolok kebanggaan semua.