Negara Berbilang Kaum Dan Agama

Adalah selamat untuk menyatakan bahawa dalam dunia ini tidak ada negara yang penduduknya hanya terdiri daripada satu kaum dan satu agama. Jepun yang dikatakan ketat dalam penerimaan pendatang untuk menjadi warganegara mempunyai minoriti kaum Korea, yang agamanya berbeza daripada Jepun. Iceland yang terpencil itu pun mempunyai pekerja asing dari Poland yang banyak. Kalau mereka lama tinggal di sana, lama kelamaan mereka akan menjadi warga negara pulau ais itu.

Sememangnya semua negara mempunyai latar belakang dan kedudukan unik dalam soal majoriti-minoriti masing-masing. Tetapi dalam sistem demokrasi negara-bangsa masa kini, semua warganegara atau citizen adalah setaraf. Apabila berlaku diskriminasi kaum dan agama, ia bertentangan dengan fahaman demokrasi itu sendiri.

Mengapa soal ini perlu disebut sekarang? Sedangkan ia dirasakan tidak ada isu.

Banyak orang di Malaysia tidak dapat menerima realiti bahawa negara ini adalah berbilang kaum dan agama. Mereka melihat Malaysia sebagai negara Melayu-Islam dengan orang bukan Melayu dan bukan Islam perlu menerima kepimpinan dan kehendak orang Melayu-Islam. Perkara ini menjadi kempen Muafakat Nasional iaitu UMNO dan PAS sejak Pakatan Harapan menjadi kerajaan pada tahun 2018.

Kempen itu amat kuat hinggakan Pakatan Harapan berasa tergugat dan akhirnya kerajaannya tumbang apabila BERSATU dan sebahagian ahli parlimen PKR keluar untuk menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional. Antara alasannya ialah mereka tidak mahu bekerjasama dengan apa yang dianggap parti kaum Cina.

Kini kerajaan Melayu-Islam Perikatan Nasional telah memerintah beberapa bulan. Tidak timbul lagi kempen berasaskan kaum dan agama kerana mereka sudah menjadi kerajaan. Sebab itulah soal negara berbilang kaum dan agama tetap menjadi isu. Walaupun tiada bantahan terbuka, orang bukan Melayu dan bukan Islam tidak dapat menerima keadaan ini. Untuk mengetahui keadaan ini, seseorang perlu baca saja komen-komen netizen dalam media sosial.

Mengapakah penulis ini sebagai orang Melayu mahu menyuarakan sentimen orang bukan Melayu-Islam? Tidakkah lebih mudah bagi orang Melayu yang majoriti menyokong saja kerajaan Melayu-Islam? Kaum minoriti bukan boleh buat apa-apa pun.

Isu di sini ialah fahaman demokrasi itu sendiri. Demokrasi meraikan kebebasan, kepelbagaian, toleransi dan kesaksamaan. Layanan saksama pada minoriti adalah sebahagian daripada kebebasan, kepelbagaian dan toleransi. Bukan itu saja, dalam masyarakat Melayu-Islam, terdapat majoriti-minoriti mereka sendiri. Ini perlu penjelasan yang mendalam.

Orang Melayupun mempunyai banyak suku kaum dan keturunan. Dari Jawa, Bugis, Minang, Aceh, Mandailing, Boyan, Kerinci, Rawa, Banjar hinggalah pada keturunan India dan Arab. Mereka ini adalah minoriti dalam masyarakat Melayu. Dari segi agama,mereka adalah kesemuanya Islam tetap ada juga segelintir orang Melayu yang mempunyai mazhab dan fahaman berbeza. Umpamanya ada yang bermazhabkan Syiah atau mempunyai fahaman sekular, liberal, plural atau mengikut Ahmadiah dan aliran-aliran Sufi. Kesemua mereka adalah golongan minoriti dalam masyarakat Melayu.

Tentunya bagi golongan majoriti, kalau boleh semua orang Melayu hendaklah memegang satu saja fahaman iaitu Sunnah wal Jamaah, Akidah mengikut Imam Ashaari, fekah mengikut imam Syafii dan tasauf mengikut Imam Ghazali.

Tetapi sifat manusia terutama berhubung fahaman dan kepercayaan adalah tidak monolitik. Pasti berlaku kepelbagaian kerana seseorang manusia melalui pengalaman pelbagai, dari segi pendidikan, pemikiran dan pembacaan. Demokrasi meraikan kebebasan kepelbagaian pemikiran. Malaysia adalah negara demokrasi, dan bukannya teokrasi. Negara teokrasi boleh muncul sebagai sistem totalitarian sementara demokrasi membawa kepada masyarakat terbuka.

Maka orang Melayu yang berfahaman lain daripada arus perdana adalah minoriti dalam majoriti. Demokrasi memberi mereka kebebasan, ruang untuk kepelbagaian dan kesaksamaan sebagai warganegara.

Kerajaan Perikatan Nasional juga mempunyai wakil bukan Melayu dan bukan Islam. Dengan kemasukan bekas ahli PKR ke dalam BERSATU tidaklah parti itu sepenuhnya dianggotai oleh Bumiputera. BERSATU dan PAS adalah anggota Perikatan Nasional. Tetapi kerajaan Perikatan Nasional disokong oleh Barisan Nasional dan sekutu-sekutunya dari Sarawak dan Sabah. Dari Barisan Nasional, ada menteri dari MCA dan MIC. Dari Sarawak dan Sabah, ada menteri bukan Islam.

Jadi hendak dikatakan bahawa kerajaan Perikatan Nasional adalah Melayu-Islam mutlak tidak boleh juga. Tetapi kedudukan Melayu dalam kerajaan itu adalah hegemonik dan dominan. Itulah yang dikehendaki oleh Muafakat Nasional ketika berkempen menggunakan isu kaum dan agama untuk menjatuhkan Pakatan Harapann.

Tetapi apa yang jelas kerajaan Perikatan Nasional tidak dapat mewakili kaum Cina dan India. Mereka boleh mewakili orang bukan Islam di Sarawak dan Sabah kerana parti-parti di sana yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional sememang menang atas undi kaum-kaum itu.

Perkara itu tidak berlaku bagi kaum Cina dan India di Semenanjung kerana semasa pilihan raya umum lalu mereka mengundi Pakatan Harapan khususnya calon DAP dan PKR. Mereka memberi sumbangan besar kepada kemenangan Pakatan Harapan di peringkat pusat dan juga negeri, iaitu di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Calon Pakatan Harapan berbangsa Cina dan India yang menang itu kerana mereka dapat mengalahkan calon Cina dan India dari Barisan Nasional yang terdiri dari MCA, MIC, Gerakan dan myPPP. Kekalahan mereka juga adalah kerana undi yang menolak Pakatan Harapan di kalangan orang Melayu berpecah antara Barisan Nasional dan PAS. Suatu kesilapan strategi yang mereka tidak mahu ulangi dalam pilihan raya umum akan datang.

Maka selayaknya wakil Cina dan India dari DAP dan PKR dalam kabinet kerajaan Pakatan Harapan dan juga Exco kerajaan-kerajaan negeri di mana mereka mentadbir. Tetapi setelah berlaku Langkah Sheraton dan kerajaan Perikatan Nasional disebut sebagai kerajaan Melayu-Islam, maka kerajaan-kerajaan negeri juga jatuh pada Perikatan Nasional iaitu Johor, Melaka, Perak dan Kedah. Maka wakil-waki dari parti yang kalah pilihan raya negeri yang lalu dapat menjadi Exco, iaitu dari UMNO dan PAS. Oleh kerana wakil MCA dan MIC gagal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri, maka tiadalah wakil Cina dan India menjadi Exco.

Paling ketara adalah Perak kerana negeri itu mempunyai penduduk Cina yang besar, iaitu kedudukan mereka adalah kedua selepas Pulau Pinang walaupun bukan majoriti. Maka Perikatan Nasonal negeri pimpinan BERSATU menyingkirkan DAP walaupun kemenangan mereka sebagai ADUN adalah atas undi penyokong Pakatan Harapan yang membolehkan penubuhan kerajaan negeri pada tahun 2018. Maka kerajaan negeri Perikatan Nasional yang disertai oleh BERSATU, UMNO dan PAS menjadi kerajaan negeri Melayu-Islam. Kalau dahulu semasa Barisan Nasional di bahawa UMNO ada juga Exco dari kalangan Cina kerana masa itu parti-parti MCA, Gerakan, MIC dan myPPP menjadi anggota gabungan itu. Tetapi selepas 2018, Gerakan dan myPPP keluar Barisan Nasional. Sementara DAP melalui Pakatan Harapan mengalahkan MCA bagi kawasan Barisan Nasional.

Namun baru-baru ini kerajaan negeri Perikatan Nasional tumbang apabila UMNO dengan kerjasama Pakatan Harapan negeri pimpinan DAP mengenakan undi tidak percaya pada Menteri Besar dari BERSATU. Ketika itu ada cakap-cakap penubuhan kerajaan negeri Pakatan Harapan dengan sokongan UMNO yang diketuai oleh Menteri Besar dari DAP. Walaupun ia dianggap parti mewakili Cina tetapi parti Roket itu tetap merupakan parti berbilang kaum dengan calon menteri besarnya adalah Aziz Bari. Namun harapan untuk memulihkan sebuah kerajaan negeri berbilang kaum sekali lagi gagal kerana apabila datang campur tangan dari Perikatan Nasional pusat.

UMNO minta maaf pada BERSATU. Kerajaan negeri Perikatan Nasional dipulihkan dan menteri besar dari UMNO. Objektif UMNO tercapai dan Pakatan Harapan dilihat hanya menjadi alat bagi matlamat UMNO. Kerajaan negeri Perak kembali menjadi kerajaan Melayu-Islam. Tetapi sekurang-kurangnya Pakatan Harapan telah berusaha untuk memulihkan kedudukan kerajaan negeri Perak dalam bentuk berbilang kaum.

Ciri berbilang kaum ini adalah penting bagi negara atau negeri moden. Bukan saja soal perpaduan, keharmonian, muhibah dan identiti kebangsaan tetapi untuk menggembeleng keupayaan, potensi dan kecerdikan semua warganegara tanpa mengira kaum dalam semangat kebersamaan nasional.

Komen