Tempoh hari, saya telah menulis tentang nasib golongan muda dan wanita dalam PRN Melaka 2021. Kini, dengan PRN Sarawak yang akan berlangsung pada 18 Disember ini, penting untuk kita lihat juga tentang golongan muda dan wanita di sebalik pilihan raya di negeri Bumi Kenyalang itu.
PRN Sarawak pada 18 Disember ini adalah PRN ke-12 negeri itu. Ia sepatutnya diadakan lebih awal iaitu pada Jun 2021 selepas tamat penggal sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tetapi pandemik Covid-19 dan perintah Darurat telah melewatkan PRN ke-12 ini.
Seramai 1,228,858 pengundi akan terlibat dalam PRN Sarawak. Para pengundi akan memilih sejumlah 349 calon yang sah bertanding mewakili 10 parti politik atau secara Bebas bagi mengisi 82 kerusi DUN.
Di atas kertas, blok politik Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka tidak mengalami kesukaran untuk menang hingga mencapai majoriti 2/3. Dua blok politik yang membentuk kerajaan, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menarik diri dari bertanding dalam PRN Sarawak untuk memudahkan sekutu mereka sendiri GPS menang besar.
Justeru, tentangan ke atas GPS hanya boleh diharapkan dari parti-parti pembangkang lain. Namun ketiadaan persefahaman bersama dalam usaha untuk mengalahkan GPS melalui pembahagian kerusi dan kerjasama dalam kempen dilihat bakal menyukarkan cita-cita mereka.
Partisipasi Anak Muda Dalam PRN Sarawak
Jika peluang menundukkan GPS di kubu kuat mereka adalah tipis, maka ada lebih baiknya jika kita melihat PRN Sarawak ini dari sudut sejauh mana ia menggalakkan partisipasi anak muda dan golongan wanita dalam pilihan raya.
Dalam konteks anak muda, kelompok pengundi muda berumur antara 21 hingga 39 tahun membentuk 30.42% dari jumlah keseluruhan pengundi Sarawak. Peratusan ini lebih kecil berbanding Melaka yang mencatatkan 38.37% pengundi dalam kumpulan umur yang sama.
Namun apabila melihat kepada kumpulan umur calon yang bertanding, berlaku ketidak seimbangan ketara apabila sejumlah 304 dari 349 calon atau 87.11% adalah mereka yang berumur 40 tahun dan ke atas. Lebih mengejutkan lagi adalah apabila seramai 141 calon adalah mereka yang berusia lebih dari 60 tahun.
Calon muda, yakni mereka yang berumur antara 21 hingga 39 tahun hanya seramai 45 orang calon atau 12.89%. Walaupun pengundi muda membentuk 30.42% dari jumlah pengundi, namun calon muda hanyalah lebih sedikit dari 1 peratus. Ia adalah peratusan yang jauh lebih teruk dari yang dicatatkan dalam PRN Melaka (38.37% pengundi muda dan 27% calon muda).
Apa yang boleh dirumuskan dalam PRN Sarawak adalah ianya satu pilihan raya yang merupakan mainan politik orang tua, yang sinonim dengan kelompok elit tertentu yang memegang kuasa bertahun lamanya.
Kita sudah boleh merumuskan bahawa PRN Sarawak ini tidak akan memberikan sebarang pembaharuan dalam lanskap politik negeri Bumi Kenyalang sebaliknya akan hanya mengekalkan status quo sedia ada.
Pencalonan Golongan Wanita Dalam PRN Sarawak
Jika representasi golongan anak muda dinafikan dengan sedemikian teruk dalam PRN Sarawak, ia tidak jauh berbeza juga dalam pencalonan golongan wanita.
Sebelum mengulas lanjut, perlu kita sedari bahawa pengundi wanita membentuk majoriti tipis dengan 50.5% dari jumlah keseluruhan 1,252,014 pengundi Sarawak. Dalam satu utopia idealis di mana wanita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan lelaki, maka peratusan pencalonan wanita juga perlulah seimbang dengan lelaki.
Hakikatnya, PRN Sarawak menyaksikan hanya 45 dari 349 calon bertanding adalah wanita atau 12.89%. Bilangan dan peratusan yang sama seperti dalam kes golongan muda tadi.
Angka ini tidak jauh bezanya dengan PRN Melaka yang mencatatkan hanya 14% calon wanita. Seperti di Melaka juga, kita tahu angka dan peratusan ini akan lebih rendah selepas keputusan undian diumumkan kelak apabila ada calon wanita yang tewas di kerusi ditandingi mereka.
Jelas, politik Malaysia masih lagi dikuasai patriarki dan suara wanita masih terbungkam walaupun golongan wanita adalah separuh dari rakyat negara ini dengan kuasa mengundi yang sama.
Kesimpulan
Seperti di Melaka, Sarawak sekali lagi membuktikan banyak usaha yang perlu dibuat bagi memastikan suara anak muda dan golongan wanita dapat diangkat melalui representasi mereka sebagai wakil rakyat dan penggubal dasar. Penglibatan dua kelompok ini dalam politik perlu segera kita suburkan jika tidak mahu negara ini kekal ditentukan hala tujunya oleh orang tua dan kelompok patriarki.
Malaysia berdepan cabaran baharu dalam dunia pasca pandemik yang menuntut keupayaan kita untuk beradaptasi dengan norma baharu. Dalam kita melalui proses untuk kembali pulih, tenaga-tenaga tambahan perlu datang dari anak muda dan golongan wanita bagi membina semula negara selepas huru-hara dilanda musibah.
Namun, penggemblengan tenaga anak muda dan golongan wanita akan hanya berjaya jika kita dapat meletakkan dua kelompok ini sebagai sebahagian dari penggubal dasar. Ini perlu agar dasar yang digubal adalah selari dengan keperluan anak muda dan golongan wanita.
Jika tidak, maka tenaga dan sumbangan anak muda dan golongan wanita akan tersia begitu sahaja apabila ia diurus oleh mereka yang bukan pakar, yakni orang tua dan kelompok patriarki. Mereka tidak faham dan sudahnya berlagak pandai.
PRN Sarawak sama seperti PRN Melaka telah memperlihatkan kegagalan dalam mewujudkan politik seimbang. Ya, baki satu atau dua tahun sahaja lagi yang kita masih ada untuk mengubah ini semua sebelum PRU15 tiba. Demokrasi yang sihat akan wujud hanya melalui politik yang seimbang serta mewakili semua.

Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial serantau. Liberal, demokrat dan sekularis.