Saya mendapat khabar sedih dari seorang doktor junior yang telah menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai Doktor Perubatan.
Beliau adalah doktor yang telah selesai menjalani latihan houseman dan diserap masuk bekerja sebagai doktor kontrak. Nasib adik saya jauh lebih baik kerana mendapat tawaran menjadi Pegawai Perubatan secara tetap sedangkan mereka hanya berbeza beberapa bulan sahaja.
Gaya percakapannya dengan pesakit adalah lemah-lembut. Dia menunjukkan nilai keIslaman yang baik dalam tugasan seharian dan jauh lebih baik berbanding saya yang jauh tersasar dari landasan yang betul. Setakat yang saya perhatikan sikapnya juga cemerlang.
Tapi seperti mana kata beliau, itulah nasib doktor kontrak. Punya masa depan yang kelam dan sentiasa ditakut-takutkan bahawa kontrak mereka akan ditamatkan. Peluang menyambung kepakaran boleh dikatakan tidak wujud. Bukan sahaja elaun serba-serbi tiada tetapi gaji juga jauh lebih rendah dengan doktor lain kerana gred jawatan masih di UD41 dan tidak naik seperti doktor lain. Sedangkan tugasan yang mereka tanggung adalah sama dengan mereka yang di gred UD44 atau UD48.
Menurut beliau, dari hidup dalam ketakutan dan menjalani seharian yang tidak ada kepastian, lebih baik dia berhenti dan fokus kepada gerak kerja yang boleh membawa impak besar dalam perubatan negara. Dia ingin fokus dalam membangunkan teknologi dalam perubatan. Semestinya saya mendoakan cita-cita ini dan berharap impiannya akan menjadi realiti.
Walaupun tiada rezeki sebagai doktor di hospital kerajaan, barangkali dia dapat membawa revolusi dalam bidang perubatan. Tidak mustahil, menjadi seorang Menteri Kesihatan berwibawa di masa hadapan.
Namun, banyak lagi doktor-doktor kontrak yang dikhabarkan akan ditamatkan kontrak mereka pada bulan Julai nanti. Nasib mereka juga harus dibela.
Bagi kerajaan, doktor mungkin satu liabiliti yang menyusahkan dan membebankan poket. Tidak menghairankan bahawa mereka sanggup membawa cadangan untuk menghapuskan elaun kritikal.
Tapi dunia diuji dengan pandemik COVID-19 yang menyaksikan bahawa liabiliti serba menyusahkan dan membebankan poket kerajaan ini muncul menjadi golongan frontliner dan juga last defence of humanity.
Saban hari, mereka bermandi peluh dan keringat membuat saringan pesakit berisiko mendapat COVID-19 atau merawat mereka-mereka yang telah dijangkiti. Di samping itu, mereka merisikokan nyawa dengan berhadapan penyakit yang sangat mudah berjangkit. Manakan tidak, PPE pun tidak cukup dan ada yang terbeban bekerja melebihi masa yang dijalani buruh kasar. Di saat rakyat stay at home, para doktor berkampung di klinik dan hospital. Jika para doktor kontrak ditamatkan perjanjian mereka, negara akan berdepan pula dengan masalah kekurangan doktor.
Ada doktor pakar yang dijangkiti hingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi dan menerima rawatan intubasi dan ventilator.
Dalam menjalani kehidupan dengan masa depan yang serba tidak pasti ini, tidak ada dendam yang dizahirkan terhadap kerajaan. Tiada yang mogok kerana tidak diberikan elaun COVID-19. Malah tiada yang bermusuhan dengan mereka-mereka yang membuat usul agar elaun kritikal dihapuskan.
Sebaliknya, para doktor fokus bertugas demi untuk mempertahankan nilai nyawa yang sangat berharga. Para doktor ini termasuklah golongan doktor kontrak yang bakal diberhentikan kerja.
Adakah kita sanggup melihat segala ketidakadilan ini berlaku?
Dr Muhamad Na’im Bin Ab Razak atau Dr Jacknaim adalah seorang penulis, penggemar aktiviti lasak, pencinta kopi dan kini bertugas sebagai Emergency Medicine Fellowship Trainee di Hospital Lahad Datu, Sabah.