Musuh Dalam Selimut, Membedah Barah Fasisme Di Bumi Malaysia

DEKAT setahun sejak berita terpampang pada dada akhbar United Kingdom (UK) tentang pembocoran maklumat rasmi British Army. Cukup terkilan setakat tajuk, walaupun pembacanya penghuni di Asia Tenggara:

Patriotism possible sign of right-wing extremism in the army, document reveals.
(FitzPatrick, 2019)

Patriot itu ekstremis? Cinta akan negara itu ekstremis? Askar yang bermandi lumpur, ditimpa hujan, dijemur panas, yang berkorban darah dan nyawa demi tanah air, ekstremis?

Jalan ceritanya begini: pegawai-pegawai atasan ditugaskan oleh kementerian pertahanan UK untuk mengesan ahli-ahli tentera yang terjerumus ke kancah ekstremisme sayap kanan. Sebagai garis panduan, pihak kementerian membekalkan risalah XRW (extreme right wing) Indicators & Warnings. Sifir XRW telah wujud seawal 2017, susulan empat orang anggota British Army ditahan atas tuduhan terlibat dalam perancangan aksi terorisme (Boyle and Dixon, 2017). Risalah XRW itulah yang bocor.

Jadi golongan macam mana yang layak dicop ekstremis sayap kanan oleh tentera UK? Antaranya, mereka yang (terjemahan penulis): “(1) menggelar diri sebagai patriot, (2) melihat seteru (politik) sebagai ‘pengkhianat,’ (3) merujuk kepada PC (political correctness) sebagai plot sayap kiri/komunis, (4) menggunakan istilah ‘Islamofasisme,’ (5) perasaan marah yang membuak-buak terhadap ketidakadilan/ancaman, kononnya terhadap ‘identiti nasional,’ serta (6) aktif merekrut dan membasuh minda individu yang mudah terpengaruh.”

Enam poin tersebut dibaca bersama 14 poin yang lain merangkumi takrifan XRW dan memandu usaha tentera UK membasmi ekstremis kanan dalam angkatan mereka.

Berbalik ke tanah air, warga Ipoh menunjukkan bahawa ekstremis sayap kanan tidak bertempat di Malaysia apabila mereka berjaya menggagalkan penganjuran sebuah pesta muzik neo-Nazi (Wright, 2019). Ya, wujudnya kumpulan neo-Nazi yang bangga menggelar diri sebagai neo-Nazi dalam tenunan fabrik masyarakat Malaysia. Kewujudan mereka dilaporkan seawal tahun 2013 dalam temu bual antara Vice Magazine dengan Mr. Slay, seorang pemuzik punk neo-Nazi.

Macam mana punk yang terkenal sebagai suara minoriti melawan arus perdana, menentang autoriti ini boleh mendukung kepercayaan kuku besi neo-Nazi? Kalau dibaca kandungan temu bual tersebut, makin celaru dibuatnya.

Yang jelas, mereka fasis.

Apa itu fasis? Sejujurnya, masyarakat Malaysia masih bergelut dengan konsep fasisme. Masyarakat kita tidak memikul dosa silam seberat Auschwitz. Masyarakat kita tidak berupaya mengimbau kembali kepada sejarah pembunuhan beramai-ramai kerana, syukur, tidak ada calar genosid pada raut sejarah Malaysia.

Kesannya, label ‘fasis’ dilempar ringan sehingga hilang maksud yang sebenar.

Malah takrifannya begitu longgar sehingga ada yang berhujah dangkal bahawa tidak ada fasisme di Malaysia selagi Malaysia tidak membina kamar gas. Fasisme yang terikat mati dengan imejan popular Nazi dan Hitler juga menyebabkan setiap tuduhan ‘fasis’ berbunyi hiperbola, berlebih-lebihan, seolah-olah label murahan yang dilempar apabila tidak mampu menyangkal hujah pihak lawan.

“Tak setuju? Engkau fasis!” Hidup menjadi sungguh mudah.

Pada masa yang sama, kita tahu bahawa barah fasisme bukan sahaja belum pupus bersama-sama Hitler pada penghujung Perang Dunia Kedua, malah simptom jangkitannya muncul sejauh Asia Tenggara, mendarat di Malaysia. Masyarakat kita tidak boleh kekal hanyut dalam kecelaruan definisi, sedangkan gerakan fasis semakin hari semakin berani.

Untuk memerangi fasisme, kita perlu memahaminya. Membedah barah fasisme dan melucutkannya daripada bumi Malaysia mewajibkan kita mendalami isi minda si fasis, serta mencari strategi yang berkesan menentangnya.

Jadi apa itu fasisme? Fasisme adalah ideologi yang mengutamakan idea bahawa sesebuah golongan lebih berhak memiliki kuasa berbanding golongan lain, serta menekankan penyusunan masyarakat dalam bentuk hierarki, di mana golongan atasan menguasai golongan bawahan. Sistem hierarki tidak ekslusif kepada fasisme sahaja, malah kebanyakan sistem melibatkan hari ini memperlihatkan hierarki dalam masyarakat. Contohnya, raja dan kerabat diraja berada pada aras tertinggi dalam sistem hierarki feudal, manakala dalam sistem kapitalis pasaran ‘bebas,’ golongan atasan terdiri daripada orang-orang yang ultra-kaya.

Yang membezakan antara hierarki adalah perihal siapa yang dikira layak berada di lapisan kayangan hierarki.

Dalam hierarki fasis pula, mereka yang berhak mendapat kedudukan tertinggi adalah “kita.” Siapakah “kita?” “Kita” adalah Bangsa yang bersatu, bersejarah, bermitos tetapi teraniaya, hilang kemakmuran, dan bakal bangkit semula. Kriteria ini diutarakan oleh Profesor Roger Griffin yang memperkenalkan konsep ‘ultranasionalisme palingenetik’ (Griffin, 2019, ms. 37-62). Menurut beliau, versi nasionalisme yang dianuti fasis disifatkan ultra kerana:

Within the fascist vision of the world, the nation is often reified (turned into a real entity) and personified to the point where it can be ‘sick,’ ‘decadent,’ ‘humiliated’ or ‘desecrated,’ but it can also be ‘healthy,’ ‘strong,’ ‘reborn,’ ‘glorious,’ ‘sacred’.

Di samping itu, fasisme menekankan konsep palingenesis, yakni istilah Yunani yang merujuk kepada ‘kelahiran semula’ sesebuah masyarakat menerusi ‘perjuangan’ untuk menyucikan bangsa.

Tuntasnya, fasis adalah mereka yang (1) percaya bahawa versi ‘identiti nasional’ mereka mengatasi segala identiti yang lain, (2) kekuasaan harus dimiliki oleh “kita,” dan (3) “kita” ditakdirkan untuk berkuasa.

Masalahnya, konsep yang sukar diringkaskan, melibatkan penggunaan jargon, serta kurang sedap mulut dilontar sebagai ejekan terhadap fasis. “Engkau ni fasis!” jauh lebih kick berbanding “Engkau ni ultranasionalis palingenetik!”

Lebih-lebih lagi, masyarakat kita tak biasa bincang topik berat-berat. Yang ada cuma setakat sesi pidato di kedai mamak bersandarkan bacaan pop ilmiah. Kita juga rugi besar kerana kurang terdedah terhadap idea-idea politik secara formal dan terkawal.

Tambahan pula, kebanyakan sumber-sumber sahih terkunci di sebalik paywall (meskipun kos kajian dibiayai dengan wang cukai awam). Mustahil seseorang individu mampu berbelanja berjuta-juta dolar semata-mata untuk mengakses Taylor and Francis atau JSTOR. Andaikan percuma, berapa sangatlah yang ada masa nak baca?

Tapi mengapa harus formal? Kerana pendekatan formal (bukan elitis), yakni pendekatan akademik, mengutamakan sumber rujukan yang sahih bersama quality control yang rapi, iaitu proses semakan rakan sepakaran, bertujuan mengurangkan bias dan prejudis peribadi penulis ke tahap minimum. Mengapa harus terkawal? Kerana tanpa persediaan dan imunisasi mental yang cukup, sesetengah idea politik bukan berfungsi membuka tetapi mengganyang minda audiensnya.

Kalau ada pun individu-individu atau komuniti online yang berkongsi ilmu, perkongsian itu barangkali telah tercemar oleh bias individu/kumpulan. Tidak terkecuali juga penulisan ini. Karangan ini berasaskan andaian bahawa (1) fahaman fasisme benar-benar wujud di Malaysia, dan (2) fahaman tersebut bukan sahaja terhad di ruang minda segelintir individu, malah jauh tertular sehingga membarah pada tahap organisasi, serta (3) persetujuan tersirat bahawa fasisme sememangnya ancaman eksistential kepada orang Malaysia dan masyarakat dunia.

Di benua Eropah dan Amerika, masyarakat di sana sedang menyaksikan kebangkitan fasisme baharu atau neofasisme di ruang awam, di bawah panji-panji pseudo-ilmiah seperti Richard Spencer, PragerU dan Steve Bannon.

Sebagai respons, mereka ditemukan dengan revival gerakan antifasisme. Memandangkan gerakan antifasisme atau singkatannya Antifa kerap kali disalah erti atau sengaja disalahertikan, maka berikut adalah sedikit penjelasan.

Terutamanya, meskipun gerakan antifasis telah wujud seawal 1919, Antifa bukan organisasi. Antifa tidak ada pakaian seragam rasmi untuk ‘ahli’ antifa atau laman web rasmi, atau akaun media sosial yang rasmi. Menurut Professor Mark Bray (terjemahan penulis):

Antifa bukan organisasi yang monolitik, dan (antifa) tidak mempunyai struktur kepimpinan atau hierarki. (Antifa) adalah kumpulan yang berkongsi pelbagai kepentingan, terutamanya penentangan pergerakan nasionalis kulit putih…  tidak ada ibu pejabat untuk kumpulan seperti antifa. Tiada juga lembaga pengarah… (Illing, 2018).

Jadi apa dia Antifa kalau bukan organisasi? Antifa sesuai difahamkan sebagai tindakan yang boleh ambil sekiranya diperlukan, konsisten dengan nama Jerman ‘Antifaschistishe Aktion.’ Dan tindakan tersebut adalah melawan fasisme dengan segala cara jua. Antifa bertindak untuk menafikan audiens di samping melipatgandakan kos sosial bagi golongan yang mempromosikan ideologi fasis. Ke arah itu, mereka menggerakkan taktik-taktik seperti penyahpentasan (deplatforming), pendedahan identiti dan protes jalanan.

Contoh yang paling terkenal adalah kiriman buku lima kepada si fasis, tetapi yang jauh lebih lazim adalah tindakan seperti melaporkan kepada pihak pengurusan hotel atau mana-mana ruang acara agar menghalau acara fasis.

Selain itu, mendedahkan identiti fasis kepada majikan agar mereka dipecat juga terbilang antara tindakan antifasis. Begitu juga dengan tindakan membersihkan grafiti dan poster berbaur fasis dari ruang awam, menggodam dan menurunkan laman web fasis, serta mengajak toko-toko buku agar tidak menjaja karya fasis.

Tindakan menyamar sebagai seorang fasis untuk menyusup masuk dan seterusnya mengintip aktiviti kumpulan fasis turut tidak terkecuali.

Majoriti masyarakat Malaysia (diharapkan) tidak mendukung fasisme, tetapi seseorang itu hanya layak digelar Antifa sekiranya anda mengambil tindakan yang konkrit untuk merencatkan, menyukarkan atau menghentikan aktiviti golongan fasis.

Berbalik ke topik asal, nukilan ini merasakan bahawa istilah ‘neofasisme’ kurang tepat. Kerana hakikatnya, tiada apa yang baharu dengan golongan fasis. Yang baharu hanyalah branding mereka. Kalau dulu Hitler menambahkan ‘Nationalsozialistische’ di hadapan ‘Deutsche Arbeiterpartei’ untuk menunggang populariti sosialis (Childers, 2017, ms. 37), gerakan fasis hari ini rata-rata memakai topeng konservatisme.

Tiada apa yang baharu dengan keinginan mereka untuk menentukan tinggi rendah manusia mengikut piawaian mereka, sebagaimana tiada apa yang baharu dengan tuduhan bahawa gerakan antifasisme hipokrit sebab kononnya tidak toleran terhadap orang yang berbeza pendapat, suatu tuduhan yang terlalu mudah disangkal.

Pendekatan antifasis jauh berbeza daripada fasis: sejauh mana pun perbezaan pendapat, antifasis berkompromi selagi fasis berhenti berkelakuan fasis. Tak wajib pun ‘sokong’ dasar imigrasi yang terbuka, selagi tidak membatu api sentimen anti-imigran.

Manakala bagi fasis, “tiada maaf bagimu” sekiranya anda bukan “kita.” Fasis mendoakan agar mereka yang cara hidupnya tidak selaras dengan ‘identiti nasional’ sebagai anasir yang wajar, malah wajib dihapuskan.

Fasis menginginkan agar kebencian menjadi norma masyarakat, malah kalau boleh kebencian itu dizahirkan dalam bentuk rang undang-undang, agar jentera kerajaan dapat dipersenjatakan untuk tujuan pembersihan ‘identiti nasional.’ Pada masa yang sama, mereka akan memastikan agar perundangan negara tidak sesekali mengancam agenda mereka, kerana bukankah agenda mereka itu agenda ‘identiti nasional?’

Situasi kita sekarang terlalu mudah termakan lagaan si fasis. Lihat sahaja pada isu sekolah vernakular. Ada yang mencadangkan agar sistem pendidikan kebangsaan diperkasakan dan dipertingkatkan kualitinya agar beransur-ansur menjadi pilihan utama masyarakat Malaysia, sebagaimana sekolah-sekolah kebangsaan Singapura, meskipun terlalu mementingkan peperiksaan, berjaya memperoleh prestij sehingga menarik minat ramai ibu bapa Johor.

Manakala ada juga orang yang terus melabel sesiapa sahaja yang tidak pergi ke SK/SMK sebagai ‘pengkhianat,’ sebagai ancaman terhadap ‘identiti nasional.’ Fungsi ‘menyatupadukan’ masyarakat menurut acuan mereka mengatasi segala fungsi pendidikan yang lain (mendidik menjadi manusia, memperoleh ilmu, peluang mobiliti sosial dll.)

Yang pelik, biasanya tohmahan hanya disasarkan terhadap sekolah vernakular Cina. Jarang sekali sekolah-sekolah antarabangsa dipersetankan pada tahap seburuk sekolah UEC – sekolah-sekolah international yang mengajar ‘silibus penjajah,’ menjulang ‘bahasa penjajah,’ yang disesaki anak-anak golongan kaya bangsawan.

Sejarah kebangkitan parti Nazi menguasai Jerman sudah cukup jenuh dibicarakan oleh sarjana mahupun sejarahwan indie. Yang diperlukan sekarang bukan lagi setakat penghafalan, tetapi penghayatan: bahawa pentaksub yang dijangkiti barah fasisme berada dalam keadaan denial, menolak sekeras-kerasnya label fasis yang dikenakan padanya, meskipun segala yang difikir menurut logik fasis, segala yang dilihat melalui kanta fasis, segala yang diucapkan berbunyi fasis.

Bahawa fasis hari ini tidak lagi mengenakan seragam hitam rekaan Hugo Boss, memakai lambang swastika atau menyimpan misai kontot, tetapi segak berbusana suit Barat, pandai mempersenjatakan media sosial, mahir menjejal, meronyok serta memutarbelitkan fakta sejarah sehingga sesuai dengan naratif serong fasisme. Bahawa masyarakat yang mengenali harga sebuah toleransi tidak boleh termakan tipu helah fasis memperkudakan hak kebebasan bersuara, sedangkan fasis, apabila naik berkuasa, tidak pernah teragak-agak untuk menidakkan hak bersuara anda, malah segala hak yang lain juga turut diperkosakan sebagai bonus.

Dalam suasana pandemik global, fasis melihat peluang keemasan pada waktu sentimen perkauman dan anti-imigran begitu mudah dimainkan. Pada saat-saat genting di mana kerjasama tanpa tembok begitu penting, mereka yang menangguk di air keruh, tergamak menghasut agar tembok dibina tinggi lagi, umat manusia dipecahkan lagi.

Maka fasisme yang semakin berkubu di bumi Malaysia harus dilanggar sehebat-hebatnya oleh gerakan antifasisme yang sama lantang di alam maya, sama cergas di alam nyata. Sejarah dunia telah membuktikan, bahawa alternatifnya terlalu pahit untuk diterima. Sebagai penyimpul, berikut adalah petikan hujah Dr. Thomas Childers (2017):

On May 9, 1945, the Third Reich ceased to exist… and the German people began emerging from their hiding places to survey the smoking heaps of rubble that had once been Berlin, Dresden, or Hamburg, there must have been a moment, however fleeting, when the grisly reality of all that had happened fell in upon them and they asked themselves the question, How had it ever come to this? It was a question that must also have come to the ghostlike human shells that had suffered the unspeakable agonies of Auschwitz… standing naked on the cusp of mass graves, or in the gas chambers.

For the Germans that haunting question, if they dared confront it, was accompanied by an enormous burden of guilt, shame, and horror at what was done in the name of the German people. For them, no less than for the victims… there is another legacy, a legacy that must be ours as well. It is a political, but even more a moral imperative: that this must never happen again. Be vigilant about your rights; when the rights of your group, no matter how small or marginal, are threatened, your liberty is put at risk.

Let there never come a time when we must cast about and ask how it ever came to this.

Tentang Penulis

Brandon Quek Boon Lok adalah siswa University of Nottingham Malaysia dalam jurusan International Relations. Beliau adalah penulis yang terpilih dalam Liga Penulisan Artikel Pengajian Tinggi.

Komen