IBU saya pernah mengajarkan kaedah membuat kuih karipap. Dia menyediakan bahan satu-persatu sambil saya mengikutinya. Tidak pula dia mengajar tanpa cukup bahan lalu memaksakan saya untuk memahaminya kerana kata ibu menjadi pendidik harus mengerti keadaan orang yang dididik. Setiap satu bahan diterangkan mengapa dilakukan.
Inti karipap harus dimasak rapi supaya tidak mudah basi, tepung karipap harus sederhana tebal supaya inti tidak terkeluar dan rangup. Juga ibu sempat berseloroh katanya supaya “orang tak ada gigi pun boleh kunyah”. Di bahagian tepi pula harus disisip supaya inti tidak terburai. Dari situ saya belajar menghargai kuih karipap dan saya faham mengapa ia dicipta dengan sedemikian rupa.
Hari ini saya faham, proses pembelajaran atau pendidikan merupakan proses yang panjang hasil refleksi saya mempelajari membuat karipap dari ibu. Di dalam merangka sistem pendidikan ini harus teratur dan berfikir bukan semberono hari ini cakap hari ini buat tanpa menjelaskan dan mengkaji terlebih dahulu. Lihatlah saja pembuatan karipap ia dipelajari turun temurun dengan cara yang sistematik kalau tidak karipap itu tidak akan sebegitu sempurna.
Seperti mana Finland mereka mengambil masa 40 tahun untuk merangka sistem pendidikan yang luar biasa bagus hari ini. Pertukaran kuasa tidak akan menggadai masa depan anak muda mereka. Kerana kuasa boleh dicari tapi kecelikan literasi tidak. Berdasarkan dari artikel terbitan World Economic Forum menjelaskan bahawa kejayaan Finland memperbaiki sekolah mereka pertama sekali adalah dengan menyediakan akses yang sama rata buat semua bermakna mengurangkan jurang antara kaya dan miskin dalam pendidikan. Kedua pelajar disarankan untuk memilih jalan pendidikan mereka sendiri. Ini bermakna suara anak muda didengar sejak mereka di bangku sekolah.
Namun mengenang kembali cerita pendidikan Finland saat ini tidak berfaedah. Sudah tentu banyak negara terhimpit dengan masalah kewangan sehingga memaksa pelbagai jerutan berlaku ekoran dari bencana virus Covid-19 kesan ini juga dirasai dengan sistem pendidikan sehingga mewujudkan fenomena lintang pukang yang tiada kesudahan. Diburukan lagi dengan arahan dari pembuat polisi yang bertukar-tukar seolah-olah tidak ada yang dipelajari sepanjang pandemik berlangsung selama setahun ini.
Laporan yang disiarkan oleh akhbar berita harian pada 23 November menjelaskan;
Merujuk kepada kajian Kementerian Pendidikan (KPM), Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching dalam perbahasan di Dewan Rakyat berkata, 37 peratus pelajar di bawah KPM tidak mempunyai sebarang peranti bagi sesi pembelajaran dalam talian.”
Angka ini bersamaan 1.7 juta pelajar yang tidak mempunyai sama ada telefon pintar, tablet atau komputer iaitu peranti yang menjadi pra-syarat untuk membolehkan mereka belajar dalam talian.
Ini bermakna, jika takrifan di atas diambil kira, 1.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah secara automatik tergolong dalam kelompok ‘miskin digital’ dan ini realiti yang amat menyedihkan!
Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) dalam perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini menegaskan isu capaian internet harus diberikan perhatian, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“(Mereka) tiada akses (internet), tiada komputer. Ramai ibu bapa tiada kemampuan beli komputer,” kata wakil rakyat dari Sarawak itu turut mencadangkan dana khas diperuntukkan bagi mengatasi isu jurang digital.
Dari penyataan akhbar ini membuktikan negara kita benar-benar tidak bersedia menghadapi pembelajaran atas talian kerana ramai pelajar tidak punyai peranti dan yang lebih buruk lagi tiadanya capaian Internet yang stabil. Bukan saja murid tersekat-sekat ketika pembelajaran online, malah guru pun sama. Amat memalukan.
Satu lagi laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 19 Febuari 2021 menjelaskan;
“Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menerima sembilan aduan daripada ibu bapa yang terpaksa meminjam ah long untuk menyediakan peranti elektronik bagi membolehkan anak mereka menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).”
Fenomena ini begitu tragis dan hampir setahun ibu bapa bergelut dengan masalah ini. Maka alternatif baru disarankan untuk dirancang oleh pembuat polisi pendidikan. Baru-baru ini dalam bajet pendidikan sebanyak RM150 juta peruntukan komputer riba telah diumumkan bagi mengatasi pelajar yang tidak punya peranti dalam pendidikan. Kemudian pada 17 Febuari yang lalu, Kementerian Pendidikan telah melancarkan saluran TV pendidikan. Sungguhpun langkah ini agak terlewat dan kandungannya juga tidak begitu memuaskan namun inisiatif ini dilihat seperti ada sinar buat dunia pendidikan kita, seperti ada anjalan baru bahawa pendidikan kita boleh bangun semula.
Namun dalam pengumuman baru dari Menteri Pendidikan menyatakan bahawa sekolah-sekolah akan dibuka semula antara 1 Mac untuk sekolah rendah sehinggalah ke 4 April bagi menengah atas. Keputusan ini telah menimbulkan beberapa persoalan.
Pertama, adakah pembelajaran dalam talian akan diteruskan? Atau telah dimansuhkan sepenuhnya? Atau akan dilakukan secara hibrid dengan pembelajaran bersemuka selepas waktu sekolah ? Sementelah lagi ada ibu bapa yang telah bergolok bergadai demi memastikan anak-anak mereka memiliki peranti dan kemudahan Internet untuk belajar.
Kedua, adakah saluran Didik TV KPM yang baru dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri akan diteruskan? Atau dimansuhkan? Jika saluran ini telah dibelanjakan sejumlah wang, maka bagi saya ia satu kerugian, merugikan lagi ia tidak memberi manfaat jangka panjang pada dunia pendidikan. Bagaimana pula dengan peruntukan komputer riba pada murid-murid? Adakah ia akan tetap diteruskan?
Ketiga, mulai 1 Mac nanti semua pelajar sekolah rendah dari tahun 1 hingga tahun 6 akan kembali ke sekolah. Maksudnya sekolah dalam kapasiti penuh. Bagaimana pihak sekolah akan melakukan SOP penjarakkan fizikal sedangkan bilik darjah tentunya akan penuh dengan pelajar? Umum mengetahui terdapat banyak sekolah di negara ini yang kapasiti pelajarnya lebih dari bilangan 40 murid dalam satu kelas. Bagaimana penjarakkan fizikal mahu dilakukan?
Seperti mempelajari membuat karipap tadi ada perbezaan ketara dengan sistem dan tujuannya. Bezanya membuat karipap tiada campur tangan politik dan kekuasaan untuk meraih undi dan nama penghasilannya untuk keseronokan dan kekenyangan. Tapi sekolah berbeza. Berbeza sekali. Kita semua berharap bahawa sekolah untuk anak-anak ini berjalan dengan baik, tetapi berharap saja tidak cukup tanpa ada perancangan rapi. Perancangan rapi di sini membawa maksud bersungguh-sungguh mencipta solusi, malah tempoh setahun itu begitu lama untuk membuat perancangan. Perancangan tidak rapi itu pula rancangan yang lintang pukang, kelam kabut dan panik sehingga menyusahkan banyak pihak.
Graduan sejarah juga penulis buku Kitab Perdana Menteri. Isu-isu tumpuan meliputi sejarah, pendidikan juga hal-hal pembangunan.