Muhammad Oleh Martin Lings: Sebuah Novel Pujangga

Beberapa waktu dahulu, apabila saya ingin membuka lembaran buku-buku sejarah untuk membaca kisah-kisah nabi (dalam konteks ini Nabi Muhammad), saya ada satu perkara yang tidak berpuas hati dengan bahan bacaan saya. Sebabnya hanya satu, apabila buku sejarah Nabi Muhammad ditulis, ia akan bersumberkan dua sumber utama iaitu al-Quran dan hadis.

Ia bukanlah satu masalah dari kedua-dua sumber tersebut, tetapi sumber tersebut apabila ditulis dengan tulisan dan bahasa Arab dan diterjemahkan, ia sedikit sebanyak mengganggu saya.

Ia membuatkan saya seperti membaca kitab agama dan dipenuhi dalil-dalil al-Quran dan sunah.

Nanti, jangan marah dulu dengan dapatan saya. Apabila saya ingin membaca teks, saya inginkan yang terbaik sekurang-kurangnya untuk diri sendiri. Jika ia buku sejarah, saya tidak perlukan dalil yang dituliskan dalam bahasa Arab kerana ia akan mengganggu pembacaan saya. Sebenarnya anda boleh lihat contoh buku sebegini dalam genre kanak-kanak yang mana penulis tidak menyertakan dalil dalam tulisannya.

Beberapa bulan lepas apabila Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menerbitkan terjemahan Bahasa Melayu buku Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal, saya sebenarnya masih sangsi untuk membacanya. Dan apabila ia diterbitkan, sahabat saya mendapatkan naskhah tersebut lebih awal dan meyakinkan saya bahawa ini adalah buku yang saya cari selama ini – sangat berbeza dengan masalah (bagi saya) yang saya gambarkan di atas tadi.

Sahabat saya berkata, “buku ini sangat baik, serupa kamu membaca sebuah novel.”

Martin Lings

Jika anda tidak pernah mendengar nama ini, kemungkinan anda akan berfikir bahawa beliau bukan penganut agama Islam. Dan ia tidak aneh dalam dunia akademik dan kemungkinan dunia sejarah, kerana kita ada ramai tokoh sejarawan Islam di luar sana yang bukan beragama Islam. Salah seorang darinya ialah Karen Armstrong yang juga menulis buku mengenai nabi Muhammad bertajuk Muhammad: A Prophet of Our Time – telah mendapat perhatian satu dunia dan dimaklumkan juga ada pembacanya memeluk agama Islam disebabkan membaca buku tersebut waima Armstrong bukanlah seorang Muslim.

Berbalik pada Martin Lings (1909-2005), asalnya beliau dibesarkan dalam keluarga Protestan di Lancashire, England, dan pendidikan awalnya dibesarkan dengan pendidikan Protestan di Bristol.

Beliau sebenarnya bukan dari jurusan sejarah ataupun teologi, tetapi ijazah sarjana muda (1932) dan ijazah sarjananya (1937) kedua-duanya dalam bidang Sastera Inggeris dan diperoleh dari Universiti Oxford.

Pada 1938 Lings berangkat ke Switzerland untuk menemui seorang tokoh spiritual yang berasal dari Jerman, Frithjof Schuon. Lewat Schoun-lah Ling mengucap dua kalimah syahadah pada tahun yang sama dan langsung menukarkan namanya kepada Abu Bakar Sirajuddin. Pada 1940, Ling berpindah pula ke Mesir dan mengajar bahasa Inggeris di Universiti Kaherah lebih kurang selama 10 tahun, dan kerana beliau sangat meminati sastera Inggeris, beliau menjadikan Shakespeare sebagai teks paling digemarinya untuk dipentaskan.

Minatnya pada Schuon tidak berbelah bahagi dan apabila Lings kembali ke London, dia melaksanakan doktoratnya di School of Oriental and African Studies (SOAS) berkenaan guru kepada Schuon – Ahmad al-Alawi.

Martin Lings menetas dari latar pendidikan yang hebat dan dari tokoh-tokoh yang tidak dapat dipertikaikan kearifan mereka dalam bidang masing-masing. Dan pewarisan ilmu ini menjadikan Martin Lings penyelia doktorat kepada ahli falsafah yang masih hidup di Malaysia – Syed Muhammad Naquib al-Attas dengan tajuk tesis beliau (al-Attas) The Mysticism of Hamzah Fansuri (1966).

Mengapa saya menulis ini secara panjang lebar menerangkan siapakah penulis buku yang amat baik ini? Kerana bagi saya sendiri, untuk menilai sesebuah buku (sebelum ia dibaca), kita perlulah mengenal siapakah penulis buku tersebut untuk memastikan kethiqahannya (reputasi yang baik dan akhlak yang tinggi).

Jika saya meneruskan biografi Lings, nescaya tidak dapat saya teruskan isi utama yang saya ingin sampaikan dalam tulisan kali ini. Saya akan berhenti sampai di sini sahaja berkenaan ketokohan Lings dan menyambung dengan apa keistimewaan buku karya beliau mengenai nabi Muhammad ini.

Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal

Selepas saya mendapatkan buku ini dan sedang dalam perjalanan pengeposannya, saya memikirkan telahan sahabat saya tadi. Bagaimana sebuah sejarah hidup nabi yang ditulis oleh Lings ini berupa sebuah novel? Bagaimana ia ditulis? Bagaimana sahabat saya cuba meyakinkan saya bahawa ‘tiada dalil’ dalam buku ini? Kerana kita semua maklum tanpa dalil, kisah nabi tidak boleh diada-adakan.

Dan apabila telah sampai bukunya ke tangan saya, saya terus membacanya dengan ghairah sekali. Ternyata tiada sekelumit pun bahasa Arab di dalam buku ini! Buku ini juga sebenarnya sebuah novel. Ya, literally, sebuah novel!

Jadi, sumber dalilnya bagaimana?

Jika saya ingin membuat spekulasi kepada penulis; saya akan beranggapan bahawa Lings menulis buku ini untuk dibaca sebagai karya sastera dan bukan sebagai teks sebagai sumber fakta. Dengan itulah dengan kebijaksanaannya, dia menyenaraikan kesemua dalilnya di awalan buku dan setiap sumber tersebut hanya diletakkan kod pada nota kaki setiap.

Sumber terawal’ seperti tajuk buku ini diambil dari 16 orang tokoh-tokoh sirah dan hadis dari kurun ke-8 hingga ke-11, dan tentu sekali ia akan bersumberkan al-Quran.

Tadi di atas saya beberapa kali menyatakan Lings mengajar sastera Inggeris dan pernah mementaskan Shakespeare, dan dari itulah kehebatan buku ini terserlah. Sebagai seorang pelajar dan pengajar kesusasteraan Inggeris, beliau menggunakan kebolehannya pada tahap yang optimum untuk menulis karya agung ini.

Buku ini ditulis dengan bahasa yang indah. Ditulis dengan cermat mengikut susunan bahasa seperti puisi – tetapi tidak menggunakan jargon. Tetapi maaf, saya tidak sempat menyemak bagaimana bahasa asalnya (Inggeris) ditulis. Untuk terjemahan ini, bahasa terjemahan sangat memukau. Orang yang bertanggungjawab dalam menterjemahkan karya ini ke dalam bahasa Melayu ialah Farhan Affandi dan Al-Mustaqeem M. Radhi yang mana sebelum-sebelum ini pun mereka sudah terkenal dengan hasil penterjemahan yang memuaskan.

Saya pernah tertanya bagaimana buku ini dihasilkan dengan begitu baik sekali. Setelah berbincang dengan sahabat (yang lain), dia membuat satu analogi yang mana Lings menyelerakkan 17 sumber (termasuk al-Quran) tadi di atas meja menyusunnya kembali mengikut babak, tajuk, ataupun peristiwa.

Sering kali apabila kita membaca sirah nabi, ataupun sejarah umat Islam, kita akan ‘dipayahi’ dengan komentar dari penulis. Sebagai contoh yang sering kita jumpa, “kisah ini agak berbeza dengan sumber B. Sumber B menyatakan bla bla bla.” Komentar penulis seperti ini sedikit sebanyak membuatkan pembacaan kita terganggu. Apa yang menarik dalam Muhammad ini ialah Lings setia pada teks yang dihadapinya. Langsung beliau tidak memberi apa-apa komentar mengenai apa-apa peristiwa kecuali dia memetik apa yang ada dalam sumber terawal tersebut. Dengan itu, kita hanya membaca satu versi cerita dengan lancar tanpa tokoh tambah dapatan dan komentar dari penulis sendiri.

Bab di dalam buku ini ditulis secara peristiwa mengikut kronologi, dari awal kelahiran nabi Ismail sehinggalah kewafatan baginda nabi Muhammad SAW. Perkara lain yang saya suka dengan bab-bab di dalam buku ini; walaupun ia terdiri daripada 85 bab dan lebih 500 muka surat, tetapi babnya dipendek-pendekkan mengikut peristiwa dan hanya memakan 4-5 muka surat sahaja bagi setiap bab. Bagusnya, setiap bab boleh dibaca ‘sekali duduk’ tanpa perlu berhenti di pertengahan bab. Sekali lagi, Lings sebagai ‘orang sastera’ mengetahui apa yang terbaik untuk pembacanya.

Setiap bab ditulis dengan teknik yang sangat berkesan. Bahasanya dijaga rapi. Apa yang menarik, hampir setiap bab ditulis dengan thrill dan wujud unsur-unsur saspens. Tambahan lagi pada bab-bab berkisar mengenai peperangan, sememangnya membaca karya ini seperti kita berada di tempat kejadian. Penggunaan ayat dan susunan kata oleh penulis membuatkan pembaca berdebar menunggu apa peristiwa selanjutnya.

Jika kita amati dan selak beberapa buku-buku sejarah nabi yang lain, kita akan dapat membaca mukjizat-mukjizat nabi yang dikurniakan oleh Allah kepada baginda. Tetapi berbeza dalam buku ini, fokus utamanya pada kisah dan peristiwa nabi Muhammad, bukan pada mukjizatnya. Kisah mukjizat baginda hanya ditulis apabila mukjizat tersebut wujud pada peristiwa tersebut. Sekali lagi saya memfitnah Lings – dengan dapatan saya bahawa beliau berusaha untuk menulis nabi Muhammad sebagai seorang yang mempunyai sifat manusia biasa.

Apabila dalil dan sumber ditulis, saya memerhatikan bahawa pembaca secara tidak langsung akan mengetahui asbabun nuzul dan asbabun wurud kerana kisah-kisah ini walaupun ada datangnya dari kitab sejarah, tetapi ia bersumberutamakan al-Quran dan hadis. Dan pada ketika itulah pembaca akan mengetahui kenapa nabi pernah bercakap sekian-sekian dan bilakah ayat al-Quran tertentu diwahyukan.

Saya rasa cukuplah poin saya di atas untuk membuatkan anda di luar sana terangsang untuk mendapatkan karya yang hebat ini. Karya ini telah pun dinobatkan dunia sebagai sirah nabi Muhammad (dalam Bahasa Inggeris) yang terbaik oleh National Seerat Conference di Islamabad yang diadili oleh juri-juri pakar dalam sirah.

Seterusnya, ada beberapa peringatan apabila membaca buku sejarah ini. Walaupun dari mana pun sumber kalian membaca, bacalah dengan kritis dan berhati-hati.

Walaupun buku ini mendapat julukan sebagai buku sejarah Nabi Muhammad yang terbaik pernah dihasilkan dalam bahasa Inggeris, tetapi ramai sarjana di luar sana terutama dari bidang hadis menolak beberapa hadis yang digunakan dalam teks ini sebagai sumber. Ada di kalangan mereka yang menyemak ulang teks ini dan mendapati ada beberapa tempat Martin Lings tidak berhati-hati dalam meletakkan nota kaki sebagai rujukan sumber yang mana sebenarnya tersalah sumbernya. Selain itu, beberapa debat antara sarjana terutamanya dalam bidang hadis berbeza pendapat dalam menilai status hadis yang digunakan oleh Lings.

Perkara ini bagi personal saya, ia bukanlah tidak penting, tetapi ia bukan sampai tahap memudaratkan. Status hadis memang kebiasaannya di mana-mana tempat sekali pun akan didebatkan. Untuk buku ini sebagai bahan bacaan sebagai teks sejarah dan teks naratif, ia sangat memadai. Untuk penyelidik dan penekun sejarah untuk perihal akademik, buku ini tidak sesuai dijadikan dalil yang kuat melainkan pembaca mencari dalilnya dalam kitab hadis sendiri.

Ada beberapa bab yang menggusarkan pemikiran saya. Terutamanya bab nikah kahwin dan bab peperangan. Jika buku ini tidak dibaca dengan berhati-hati, kemungkinan besar ia akan menimbulkan salah faham dan akan digunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Nasihat saya, perkara ini perlu disilang-rujuk dengan dalil yang lain. Inilah salah satu kelemahan apabila penulis sendiri tidak memberi apa-apa komentar terhadap teksnya.

Keseluruhannya, saya amat kagum dengan Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal ini. Semoga kita boleh mengambil pengajaran dalam pembacaan buku yang serba molek ini. Lagi pula, Ramadan bakal menjelang kurang 10 hari lagi, buku ini masih boleh didapati sebelum Ramadan dan dihabiskan pada bulan Ramadan untuk menambah berkat dalam bulan puasa.

Sollu ‘alan nabiy!

(Buku Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal ini boleh dibeli terus dari laman Inisiatif Buku Darul Ehsan berserta pelbagai buku-buku lain terbitan mereka)

Komen