Muda Sudah Tua

Jika kita masih ingat, antara berita tergempar berkaitan Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN Melaka) 2021 sebelum hari penamaan calon adalah sidang media oleh parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang mengumumkan akan bertanding pilihan raya buat julung kalinya di Melaka.

Sidang media tersebut di buat di tengah bandar raya Melaka, di hadapan bangunan ikonik Stadthuys yang dibina penjajah Belanda pada tahun 1650. Ia tipikal dengan tatacara MUDA untuk tampak cool atau hip dalam melakukan sesuatu, walaupun sekadar sidang media. Mungkin begitulah caranya orang muda.

Penyertaan MUDA dalam PRN Melaka secara amnya mendapat sambutan baik. Walaupun pendaftaran masih belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) namun masih ada cara lain untuk MUDA meletakkan calon dan bertanding dalam PRN Melaka. Yang terpaling mudah adalah bertanding sebagai calon Bebas. Atau, MUDA boleh sahaja berunding dengan mana-mana parti politik atau gabungan politik untuk bertanding atas tiket mereka dan meminjam logo.

Saya sendiri merasakan bahawa PRN Melaka adalah pentas yang baik untuk MUDA memulakan langkah dalam kancah politik, sebelum tibanya ujian sebenar iaitu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti. MUDA sudah pun terlepas PRN Sabah pada September tahun lalu, dan ia boleh difahami kerana faktor kesuntukan masa. MUDA hanya baru ditubuhkan pada 17 September 2020.

Dalam sidang media serba cool atau hip itu presiden MUDA, Syed Saddiq menegaskan keterlibatan MUDA dalam PRN Melaka akan dilakukan melalui rundingan bersama Pakatan Harapan (PH) melibatkan pembahagian kerusi dan penggunaan logo. Kita tahu jelas bahawa sememangnya PH adalah pilihan MUDA dan pastinya bukan Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN).

Namun semakin menghampiri hari penamaan calon, masih belum jelas bagaimana dan di mana MUDA akan masuk bertanding. Apabila PH mengumumkan pembahagian kerusi untuk PRN Melaka di antara tiga parti komponen pada 29 Oktober, timbul tanda tanya tentang keterlibatan MUDA. Kemudian apabila DAP sebagai salah satu parti komponen PH mengumumkan calon mereka pada 5 November untuk 8 kerusi yang rata-ratanya kerusi bandar merangkap kerusi selamat PH, ianya dibarisi oleh calon-calon dari DAP sendiri. Dan kemuncaknya berlaku apabila dua lagi parti komponen PH, PKR dan AMANAH mengumumkan calon masing-masing sehari kemudian, sudah jelas MUDA langsung tiada dalam perancangan PH.

Serentak pada hari yang sama, Syed Saddiq selaku presiden parti mengumumkan dalam sidang media bahawa MUDA mengambil keputusan ‘berkecuali’ dalam PRN Melaka sambil memberikan alasan tidak bersetuju dengan tindakan PKR dan AMANAH mencalonkan bekas ADUN dari UMNO iaitu Idris Haron dan Nor Azman Hassan. Sidang media kali ini walau bagaimanapun tidak diadakan di hadapan bangunan ikonik Stadthuys seperti yang sebelumnya.

Tindakan MUDA mungkin boleh kita nilai sebagai tindakan berprinsip. Tetapi untuk terus menarik diri setelah sebelum ini dengan penuh cool atau hip mengumumkan mahu bertanding hanya membuatkan MUDA tampak naif. Dan ia lebih buruk bila kenaifan ini dikaitkan dengan sifat muda yang kerap ditonjolkan oleh MUDA selama ini.

Umum akan berkata, inilah buktinya orang muda masih mentah untuk berpolitik. Sayang, bukan ahli MUDA sahaja yang terkena tapi tempiasnya akan turut dirasa oleh anak muda lain yang beraspirasi dalam dunia politik.

Jadi Apa Yang Sebetulnya Patut Dilakukan Oleh MUDA?

Yang sebetulnya selepas dengan gah bersidang media di hadapan bangunan ikonik Stadthuys adalah untuk tidak menarik diri hingga dilihat tewas sebelum berjuang. Apa gunanya bersorak hebat ke medan perang tetapi kemudian berpatah pulang sebelum pertempuran bermula?

Hari penamaan calon pada 8 November mencatatkan seramai 28 calon yang bukan datang dari tiga gabungan politik besar (BN, PH dan PN) yang turut serta bertanding dalam PRN Melaka. Dari senarai 28 calon itu, lima darinya adalah dari Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), seorang dari Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan baki lagi 22 orang adalah calon Bebas.

PUTRA sebagai contoh mengejutkan ramai pihak kerana tampil bertanding dengan lima calon walaupun tidaklah pernah bersidang media di hadapan Stadthuys. Begitu juga dengan IMAN yang membuat penampilan sulung walaupun dengan hanya satu calon.

Jika MUDA memberikan alasan bahawa mereka masih belum diluluskan ROS berbanding PUTRA dan IMAN, maka lihat pula pada 22 orang calon Bebas yang berani tampil untuk menyelit di sebalik pertembungan tiga penjuru melibatkan tiga blok politik utama BN, PH dan PN. Apakah yang menghalang MUDA meletakkan calon mereka atas tiket Bebas jika ada 22 orang yang lain boleh melakukannya?

Alasan ketiadaan dana atau jentera parti tidak boleh diguna pakai walaupun itulah hujah yang dilontarkan oleh segelintir penyokong MUDA di media sosial. Apakah tiada kira-kira atau perancangan dibuat tentang dua perkara ini sebelum bersidang media di hadapan Stadthuys dahulu? Malah, ia mendedahkan pekung MUDA sendiri yang kelihatan seperti mengharapkan dana atau jentera PH untuk mereka bertanding di PRN Melaka jika benar itu kekangannya.

MUDA bukan sebahagian dari PH. Maka apa yang dilakukan PH seperti menerima dua ‘katak politik’ tidak sepatutnya merencatkan niat MUDA untuk bertanding dalam PRN Melaka. Malahan, PRN Melaka ini sepatutnya dijadikan peluang untuk MUDA mempelajari selok-belok pilihan raya, menguji kekuatan dan membuktikan bahawa cakap-cakap mereka selama ini bukan omongan kosong oleh darah muda yang meluap.

Demikianlah apa yang sebetulnya patut dilakukan oleh MUDA.

Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. MUDA menarik diri sebelum mereka bermula. Pancit sebelum perlumbaan dilepaskan.

Rupanya MUDA sudah tua.

Komen