PERSOALAN tentang penyertaan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam Pakatan Harapan (PH) khabarnya akan diputuskan dalam tempoh terdekat ini. Dengan ura-ura Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan pada bila-bila masa, tentu sekali keputusan segera perlu dicapai.
Persoalan yang bermain di kalangan akar umbi PH, khususnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah sama ada penyertaan MUDA boleh menjadi aset atau sebaliknya liabiliti untuk PH. Episod hitam PRN Johor 2022 masih segar dalam ingatan akar umbi PKR apabila MUDA melanggar kerusi DUN Larkin hingga mencetuskan pertembungan antara kedua parti yang merugikan.
Senario politik semasa yang bercelaru menyukarkan banyak pihak dalam merangka strategi. PRU15 akan menyaksikan pertembungan pelbagai penjuru. Pertembungan pelbagai penjuru ini jika diukur dari tiga siri PRN yang telah berlalu iaitu Sabah, Melaka dan Johor jelas terbukti menguntungkan Barisan Nasional (BN). Dengan munculnya kuasa ketiga iaitu Perikatan Nasional (PN) dan kemungkinan kuasa keempat yakni Gerakan Tanah Air (GTA), ia akan lebih merumitkan percaturan strategi parti terlibat selain mengakibatkan undian terpecah.
Dek kerana senario ini, menerima MUDA di dalam PH tampak seperti satu keputusan yang betul.
Aset Atau Liabiliti?
Tetapi penyertaan MUDA sebagai parti komponen keempat PH membangkitkan persoalan sama ada ianya satu aset atau liabiliti. Di dalam PH kini, kewujudan setiap parti komponen membawa kekuatan tersendiri yang mengukuhkan pakatan politik itu.
PKR membawa ideologi politik pelbagai kaum tetapi dengan naratif Melayu sekaligus menjadikan ia parti yang sesuai untuk bertanding di kerusi majoriti Melayu menentang lawan seperti UMNO atau BERSATU. DAP juga membawa ideologi politik pelbagai kaum yang sama, tetapi dengan naratif bukan Melayu yang memberikan ia kelebihan bersaing di kerusi majoriti bukan Melayu melawan parti seperti MCA atau MIC. AMANAH pula dengan agenda Islam progresif mereka dapat memberikan pilihan alternatif kepada pengundi di kawasan supermajoriti Melayu khususnya di Pantai Timur dan negeri-negeri utara Semenanjung. UPKO sebagai parti komponen keempat dalam PH pula merupakan parti Borneo yang dapat membantu PH menembusi kerusi-kerusi di negeri Sabah.
Justeru, soalan yang sama perlu dilontarkan terhadap MUDA apabila ia memohon untuk menyertai PH. Apakah kekuatan atau kelebihan yang boleh dibawa MUDA sebagai tawaran untuk kelebihan PH secara keseluruhan?
Persoalan ini penting untuk dihuraikan kerana ia akan menentukan sama ada MUDA boleh menjadi aset yang menguntungkan atau liabiliti yang membebankan. Namun jika melihat kepada MUDA pada masa ini, sukar untuk ianya dilabelkan sebagai aset yang boleh menguntungkan PH.
Pertama sekali, MUDA adalah sebuah parti pelbagai kaum yang tidak jauh berbeza dengan PKR atau DAP. Sama ada MUDA membawa naratif Melayu atau pun bukan Melayu, kedua-dua naratif itu sudah pun dipenuhi dalam PH. MUDA juga bukan tawaran Islam progresif seperti yang disediakan oleh AMANAH, dan jauh sekali mempunyai akar umbi kuat di Borneo untuk ia dilihat sebagai pilihan selain UPKO.
Berbanding MUDA, PH sebenarnya lebih memerlukan parti berteraskan Melayu seperti yang ditawarkan BERSATU ketika ia menyertai PH dahulu. Walaupun tidak sehebat UMNO, BERSATU masih berjaya memenangi 13 kerusi parlimen dalam PRU14 sekaligus membantu PH mencapai majoriti mudah tanpa mengambil kira kerusi yang dimenangi WARISAN, sekutu PH ketika itu.
Adakah MUDA mampu menawarkan calon yang boleh bertanding di kerusi majoriti Melayu dan menang sekurang-kurangnya 10 kerusi untuk membantu PH mencapai majoriti dalam PRU15?
Kekuatan MUDA sebenarnya adalah sama seperti yang dimiliki PKR. Kedua-dua parti ini berpeluang cerah untuk menang di kerusi bandar dan pinggir bandar dengan kemajmukan Melayu.
Tetapi persamaan kekuatan ini boleh menimbulkan isu dalam agihan kerusi. MUDA dan PKR berkemungkinan besar akan berdepan tuntutan bertindih yang jika ianya tidak diselesaikan dengan baik, boleh mencetuskan satu lagi episod Larkin dalam PRU15.
MUDA juga tidak cukup jika hadir ke dalam PH dengan tawaran keupayaan menarik pengundi muda, khususnya dari kelompok umur 18 hingga 21 tahun. Ini kerana di kalangan PH sendiri mereka sudah ada sayap pemuda yang rajin menjalankan kerja memenangi hati pengundi muda. Kempen jelajah oleh Angkatan Muda Harapan contohnya sedang giat berlaku dan ia sudah pun mendapat perhatian dari kalangan pengundi muda. Justeru apakah kelainan tawaran yang boleh dibawa MUDA dalam menarik sokongan pengundi muda?
Melihat kepada kekuatan MUDA yang sebenarnya salinan kekuatan sedia ada PH, jelas sekali tidak ada tawaran kelebihan yang boleh diberikan oleh parti itu. Maka jika MUDA bukan aset untuk PH, persoalan sebaliknya adakah ia akan menjadi liabiliti yang membebankan?
Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial serantau. Liberal, demokrat dan sekularis.