Setiap kali Monsun Timur Laut (MTL) tiba, rakyat Malaysia—terutamanya di Pantai Timur—sentiasa berdepan detik cemas. Banjir bukan sekadar air naik. Ia adalah soal keselamatan, kelangsungan hidup, dan kebajikan keluarga yang terputus akses kepada makanan serta bantuan asas. Tahun 2025 tidak terkecuali. Namun kali ini, kerajaan Madani melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tampil dengan pendekatan jauh lebih tersusun dan berpaksikan kesiapsiagaan awal.
NADMA mengumumkan penyediaan 60,000 kit makanan dan 110,000 unit makanan retort, satu jumlah yang menunjukkan kerajaan tidak menunggu bencana berlaku untuk bertindak. Sebaliknya, persediaan dibuat lebih awal bagi memastikan bantuan dapat digerakkan serta-merta tanpa perlu menunggu penghantaran baharu daripada pusat agihan.
Lebih penting, daripada jumlah besar itu, 23,600 kit makanan dan 20,570 unit makanan retort telah pun diedarkan lebih awal ke lima negeri utama yang sering terjejas banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.
Kelantan menerima 4,500 kit makanan dan 6,000 makanan retort, jumlah terbesar antara negeri. Ini menggambarkan kefahaman kerajaan terhadap pola risiko banjir yang saban tahun membebankan rakyat negeri tersebut. Terengganu pula menerima 2,500 kit makanan serta 2,500 makanan retort; Pahang 3,000 kit dan 3,000 makanan retort; manakala Sabah dan Sarawak turut diberi perhatian serius—masing-masing menerima 4,000 kit, 3,000 retort dan 5,000 kit, 1,870 retort.
Ini bukan angka kosong. Di sebalik setiap kit makanan ada harapan. Di sebalik setiap pek makanan retort—yang mampu tahan lama dan mudah dipanaskan seperti kari, sup, atau rendang—ada keluarga yang tidak perlu tidur dalam keadaan lapar ketika pusat pemindahan sesak dan bekalan terhad.
Pendekatan pengagihan awal seperti ini selari dengan prinsip kerajaan Madani: meringankan beban rakyat melalui tindakan proaktif, bukan reaktif. Makanan adalah keperluan paling asas. Saat banjir melanda, akses kepada dapur, bekalan elektrik, dan kedai runcit terputus sepenuhnya. Inilah saat yang membezakan antara bantuan yang datang tepat pada masanya atau bantuan yang hanya tinggal sebagai kenyataan media.
Dengan langkah NADMA ini, rantaian logistik menjadi lebih cekap. Setiap negeri sudah memiliki stok di lokasi strategik, memudahkan pihak berkuasa menyalurkan bantuan dalam tempoh satu hingga dua jam selepas banjir dilaporkan. Tidak ada lagi situasi mangsa terpaksa menunggu sehingga 24 atau 48 jam hanya untuk mendapatkan makanan.
Ini juga membuktikan kerajaan Madani bukan hanya menambah peruntukan, tetapi menambah keberkesanan. Ketika kritikan sering dilemparkan kepada kerajaan tentang respons bencana, NADMA memilih untuk memecahkan sindrom “tunggu dan lihat”. Sebaliknya, mereka bergerak lebih awal—menyimpan makanan lebih awal, menggerakkan aset lebih awal, dan merangka koordinasi lebih awal.
Dalam konteks pengurusan bencana moden, “preparedness saves lives”. Dan itulah yang kita lihat hari ini.
Akhirnya, rakyat hanya mahukan satu perkara: keyakinan bahawa negara ini mampu melindungi mereka ketika saat paling sukar. Dengan usaha pengagihan awal 60,000 kit makanan dan 110,000 makanan retort, kerajaan menghantar isyarat jelas bahawa kebajikan rakyat bukan slogan, tetapi keutamaan yang diterjemah dalam bentuk tindakan.
MTL mungkin tetap datang. Namun kali ini, kerajaan juga sudah lebih bersedia.
Demokrat sosial. Pengerusi DAP Taman Kemuncak dan Pengerusi Pertubuhan Solidaritas. Sudah berkahwin.








