Tanggal 30 Jun 2024, telah berlangsung Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Dewan Tun Canselor Universiti Multimedia, Cyberjaya, Selangor. Amanat tersebut telah disampaikan oleh Yang Berhomat Tuan Chang Lih Kang selaku Menteri MOSTI yang bertanggungjawab mencorak hala tuju kementerian yang menerajui bidang sains, teknologi dan juga inovasi di Malaysia.
Dalam era di mana sains dan teknologi memainkan peranan yang besar dalam kehidupan dan inovasi yang berterusan sentiasa membawa sesuatu yang baharu, kita telah didedahkan kepada konsep kecerdasan buatan (AI, Artificial Intelligence) dan aplikasinya yang kini semakin meluas.
Di Malaysia, penerimaan terhadap AI setakat ini adalah positif. Bahkan kerajaan sendiri sedar kepentingan AI justeru pelbagai inisiatif telah dilakukan untuk memastikan AI diguna pakai sebaiknya antaranya melalui pelaksanaan AI Untuk Rakyat oleh Kementerian Ekonomi dan juga gesaan Perdana Menteri sendiri untuk rakyat menguasai teknologi AI.
MOSTI sendiri turut tidak ketinggalan dalam mendakap teknologi AI apabila ianya disenaraikan sebagai salah satu dari lima fokus bidang keutamaan kementerian itu di dalam majlis amanat untuk tahun 2024. Bersama dengan teknologi hidrogen, teknologi bio, teknologi angkasa dan ekosistem syarikat pemula, AI mendapat perhatian khusus sebagai salah satu hala tuju MOSTI.
Pembangunan Bakat AI
MOSTI menggariskan dua perkara berkaitan AI yang akan menjadi fokus kementerian dan salah satunya adalah dalam pembangunan bakat AI.
Menyedari bagaimana teknologi AI akan digunakan dengan lebih meluas di dalam pelbagai industri atau sektor pekerjaan, maka adalah penting untuk Malaysia membangunkan bakat AI tempatan dari sekarang. Kepentingan teknologi AI bagi menerokai peluang ekonomi baharu juga memerlukan bakat negara yang mencukupi.
Untuk tujuan tersebut, MOSTI akan bekerjasama dengan agensi dan kementerian yang berkaitan seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Kementerian Sumber Manusia dan pemain-pemain industri dalam penyediaan tenaga kerja tempatan untuk mengadaptasi teknologi AI. Ianya bakal meliputi peningkatan kemahiran atau upskilling, dan latihan kemahiran semula atau reskilling kepada pekerja.
Adalah perlu untuk tenaga kerja tempatan memahirkan diri dalam teknologi AI bagi meningkatkan kecekapan dan daya saing. Mempunyai tenaga kerja dengan kemahiran AI juga akan membantu memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan pelabur luar negara melalui tawaran bakat AI yang mahir dan mencukupi.
Garis Panduan Etika AI
Penggunaan teknologi AI walau bagaimanapun perlu dikawal selia bagi mencegah penyalahgunaan atas maksud tertentu. Bukan sedikit insiden buruk atau jenayah terkait AI yang telah berlaku justeru kerajaan menyedari perlunya kawal selia yang baik terhadap teknologi AI.
MOSTI akan menerajui usaha merangka Garis Panduan Etika AI dengan sasaran pelancaran pada suku pertama tahun 2024. Garis panduan ini akan melengkapi usaha pengukuhan tatakelola, perundangan dan etika untuk mengawal selia AI susulan ancaman yang sedia ada dan bakal timbul kesan dari penggunaannya.
Garis panduan tersebut akan melalui proses penanda aras dengan beberapa buah negara dan rantau yang telah melancarkan kod etika AI seperti United Kingdom (UK), Jepun, Kesatuan Eropah (EU) dan juga ASEAN. Ia juga akan menyokong pelaksanaan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara (2021-2025) dan 7 Prinsip AI yang Bertanggungjawab selain menyediakan garis panduan yang komprehensif dan praktikal bagi negara yang ingin membangunkan, mereka bentuk dan menggunakan teknologi AI.
Penghasilan dokumen garis panduan ini telah melalui beberapa sesi libat urus yang melibatkan wakil-wakil daripada pihak kerajaan, industri, badan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan antarabangsa. Ia akan merangkumi tiga kategori utama iaitu orang awam (end-user), kerajaan dan pembuat polisi, dan pembangun sistem AI.
Kesimpulannya, masa depan teknologi AI di Malaysia adalah cerah dan peranan yang dimainkan oleh MOSTI bakal membantu dalam mewujudkan ekosistem yang sihat, kerjasama strategik serta potensi pelaburan berkaitan AI.
Menyenaraikan teknologi AI sebagai salah satu bidang keutamaan MOSTI adalah langkah yang tepat pada masanya dalam memacu Malaysia menjadi hab serantau untuk pembangunan dan penggunaan AI.
Demokrat sosial. Pengerusi DAP Taman Kemuncak dan Pengerusi Pertubuhan Solidaritas. Sudah berkahwin.