Monopoli Vaksin Dan Masa Depan Yang Suram

Pandemik Covid-19 ternyata bukan sahaja mendedahkan kepincangan sistem kesihatan global tetapi juga kebobrokan sikap negara kaya yang sangat pentingkan diri sendiri. Dalam masa sama, ia juga menunjukkan betapa jurang pengaruh politik dan kuasa ekonomi antara negara memberi kesan terhadap usaha menangani masalah pandemik yang berlarutan sejak hampir duatahun lalu.

Hal ini dapat dilihat dengan jelas dalam misi vaksinasi global apabila negara-negara kaya ini tanpa segan silu menggunakan pengaruh politik dan kuasa ekonomi mereka untuk membolot vaksin yang sepatutnya diagihkan secara adil di seluruh dunia.

Dengan kelebihan ekonomi yang ada, mereka membolot bekalan vaksin melalui kerjasama strategik yang dibangunkan bersama syarikat pembangun dan pengeluar vaksin seperti Pfizer, Moderna, AstraZeneca dan Johnson & Johnson.

Misalnya seawal Mei 2020, negara-negara kaya ini telah menandatangani perjanjian bilateral dengan syarikat pengeluar vaksin berkenaan sebagai tukaran untuk sokongan kewangan yang diberikan bagi tujuan peruntukan kajian, pembangunan, pengilangan dan pengeluaran vaksin di bawah jenama mereka.

Amerika Syarikat telah menandatangani perjanjian bilateral dengan syarikat AstraZeneca pada Mei 2020 yang melibatkan bayaran sejumlah USD1.2 bilion bagi bekalan vaksin sebanyak 300 juta dos, satu langkah yang kemudiannya disusuli oleh negara United Kingdom yang mendapat bekalan vaksin sebanyak 100 juta dos.

Pada Oktober 2020 pula, giliran Kesatuan Eropah untuk memeterai perjanjian dengan syarikat Johnson & Johnson yang menyaksikan syarikat tersebut akan membekalkan kesatuan tersebut sebanyak 400 juta dos vaksin.

Bukan itu sahaja, negara Kanada pada April 2021 misalnya telah menyempurnakan perjanjian dengan syarikat Pfizer di mana syarikat berkenaan akan membekalkan sebanyak 35 juta dos untuk program suntikan tambahan (booster shot) bagi tahun 2023 dan sebanyak 30 juta dos bagi tahun berikutnya.

Cuba bayangkan, di sebalik kesukaran bagi negara miskin dan membangun untuk mendapat bekalan vaksin bagi memenuhi suntikan dos wajib (2 dos pertama), negara-negara kaya telah dengan sewenang-wenangnya dan tanpa belas kasihan membuat tempahan bagi suntikan dos tambahan.

Kekayaan ekonomi dan pendapatan negara yang sangat tinggi telah ternyata memberikan kelebihan kepada mereka berbanding negara miskin dan membangun yang tidak mampu untuk menerima risiko kegagalan sekiranya pelaburan dalam pembangunan vaksin itu tidak membuahkan hasil seperti yang dirancang.

Keadaan ini kemudiannya telah menyebabkan pengagihan vaksin menjadi tidak adil di mana negara kaya berada di garis hadapan sebagai penerima vaksin bersama jumlah dos yang ditentukan oleh mereka sendiri. Keadaan ini sangat berbeza bagi negara miskin dan membangun kerana mereka terpaksa menunggu giliran yang jauh di belakang dan terpaksa melalui proses jual beli yang rumit.

Kesannya setakat akhir Ogos lalu, daripada sejumlah 5 bilion dos vaksin yang telah disuntik, hanya sekitar 15.02 juta disuntik kepada rakyat di negara miskin dan membangun. Selebihnya adalah suntikan yang diberikan kepada rakyat negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Australia, New Zealand dan lain-lain (Our World In Data, 2021).

Untuk konteks, negara maju hanyalah terdiri daripada sejumlah 1.3 bilion penduduk atau hanya 17% daripada jumlah keseluruhan populasi dunia. Jumlah ini ternyata sangat sedikit berbanding negara miskin dan membangun yang berjumlah sekitar 5.6 bilion penduduk atau 80% daripada jumlah keseluruhan populasi dunia.

Dalam kenyataan bersama terbaru dari Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Gabungan Untuk Inovasi Kesediaan Wabak (CEPI) dan Perikatan Vaksin Gavi (GAVI), setakat awal September fasiliti COVAX yang dibangunkan bagi tujuan untuk menjamin pengagihan vaksin yang lebih adil serta proses vaksinasi yang lebih pantas hanya mampu menghantar sejumlah 240 juta dos kepada negara miskin dan membangun.

Ini bermakna, kadar penghantaran vaksin kepada lebih kurang 139 negara anggota COVAX adalah sangat rendah daripada kadar yang disasarkan bagi mencapai sasaran penghantaran sebanyak 2 bilion dos pada penghujung tahun 2021. Hal ini sedikit sebanyak berpunca daripada kurangnya bekalan vaksin yang tersedia yang belum ditempah oleh mana-mana pihak.

Bukan setakat menguasai agihan vaksin, pada awal tahun ini negara kaya juga enggan bekerjasama dengan negara miskin dan membangun apabila mereka membantah cadangan dari negara India dan Afrika Selatan agar Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menangguhkan pelaksanaan Perjanjian Mengenai Aspek Yang Berkaitan Perdagangan Hak Kekayaan Intelektual (TRIPS Agreement).

Tujuan penangguhan tersebut adalah bagi memberi ruang kepada syarikat pengeluar vaksin seperti Pfizer, Moderna, AstraZeneca dan Johnson & Johnson mengabaikan Hak Harta Intelek mereka secara sementara dan membenarkan syarikat tempatan di negara miskin dan membangun menggunakan formula vaksin mereka untuk menghasilkan vaksin bagi kegunaan rakyat di negara sendiri.

Keadaan-keadaan ini sekiranya tidak diselesaikan dengan baik akan menyebabkan kerugian kepada dunia, khususnya negara miskin dan membangun yang terus berdepan dengan masalah jangkitan yang tidak henti-henti. Segala usaha seperti sekatan pergerakan akan terbantut tanpa ada jalan keluar yang lebih terjamin.

Dari sudut kesihatan, negara miskin dan membangun yang secara dasarnya memiliki fasiliti dan infrastruktur kesihatan yang rendah sudah tentu akan terus bergelut untuk merawat kes jangkitan yang tidak henti-henti.

Apatah lagi dengan ancaman daripada beberapa varian Covid-19 yang baharu, besar kemungkinan sektor kesihatan di beberapa negara akan menjadi lumpuh. Tanpa vaksin, negara miskin dan membangun akan terus menyaksikan peningkatan jumlah kes jangkitan dan kematian.

Keadaan ini kemudiannya akan menjejaskan usaha pemulihan ekonomi. Negara miskin dan membangun yang masih bergelumang dengan jumlah kes jangkitan yang tinggi sudah tentu tidak akan dapat membuka sektor ekonomi mereka lebih awal.

Negara yang bergantung kepada sektor pelancongan sebagai sumber utama juga tidak dapat menerima pelancong datang ke dalam negara sekaligus memanjangkan tempoh kesengsaraan bagi pengusaha-pengusaha di sektor pelancongan dan perkhidmatan.

Berdasarkan anggaran Economist Intelligence Unit (EIU) juga, mana-mana negara yang gagal memberikan suntikan vaksin kepada sekurang-kurangnya 60% daripada jumlah populasi negara mereka pada pertengahan tahun 2022 akan mengalami kerugian ekonomi sebanyak USD2.3 trillion di antara tahun 2022 dan tahun 2025.

Selain sektor kesihatan dan ekonomi, laporan sama juga menegaskan bahawa kegagalan pelaksanaan program vaksinasi dalam tempoh masa yang sepatutnya berisiko menyebabkan ketegangan politik dan sosial dalam negara.

Rakyat yang kehilangan pekerjaan, terputus sumber pendapatan dan mengalami masalah kewangan disebabkan pandemik yang berlarutan akan cenderung untuk melakukan sesuatu di luar jangkaan seperti mencuri, meragut dan merompak.

Rakyat yang semakin putus asa dan marah akan kegagalan kerajaan juga berisiko untuk menyalahkan kerajaan di atas permasalahan mereka. Apa yang menjadi kerisauan adalah perasaan sebegini dimanipulasi oleh golongan politikus oportunis untuk menyemarakkan agenda populis mereka yang sekaligus akan membawa kepada masalah ketidakstabilan politik dan sosial.

Justeru itu, dunia seharusnya lebih adil dan saksama dalam mencari penyelesaian kepada masalah vaksinasi ini. Pemimpin di negara maju misalnya harus bersikap empati terhadap keterbatasan kewangan yang dialami oleh negara miskin dan membangun.

Usaha seperti cadangan yang dibawakan oleh negara India dan Afrika Selatan selain polisi harga siling vaksin yang lebih rendah sudah tentu akan memberi manfaat kepada negara yang kurang berkemampuan.

Mereka sepatutnya tidak bersekongkol dengan syarikat farmaseutikal dalam mengambil kesempatan ke atas negara mundur di kala pandemik ini. Sebaliknya pemimpin-pemimpin ini harus memberikan teladan yang baik kepada seluruh dunia dengan mematuhi semangat kerjasama dan setiakawan rentas sempadan yang sering mereka laungkan di persidangan-persidangan penting dunia.

Komen