Monolog Perikatan Nasional Dalam Parlimen Makan Diri

“Sia-sia berhujah dengan kerajaan. Tidak ada dialog. Mereka bercakap dan bercakap. Ia tidak lain hanya satu monolog. Punca penindasan yang akhirnya melahirkan semangat kepuakan ialah kekakuan dasar-dasar kerajaan”    – Gus Dur.

Itu adalah ungkapan mantan Presiden Indonesia, Abdurrahman Wahid atau dikenali sebagai Gus Dur ketika ditemubual wartawan Amerika Syarikat, Adam Schwarz pada tahun 1991. Ungkapan ini adalah gambaran tepat perjalanan sidang khas parlimen yang menyaksikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ‘bermonolog’ di parlimen.

Mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka, monolog boleh ditakrifkan sebagai satu percakapan panjang oleh seorang individu sahaja yang sering mengabaikan ruang kepada orang lain untuk memberikan pendapatnya. Dalam bahasa komunikasi orang muda hari ini, monolog itu adalah ‘Syok Sendiri’.

Monolog kerajaan PN ini telah merencatkan demokrasi berparlimen. Sehinggakan mesyuarat khas kali ini hanya mahu menekankan pujian-pujian terhadap kerajaan Tan Sri Mahiaddin Yasin dan cuba memburukkan lawannya di parlimen.

Tetapi, monolog kerajaan PN yang penuh dengan pujian ‘Syok Sendiri’ telah dipatahkan oleh Yang di-Pertuan Agong yang amat berdukacita dengan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Pada hemat baginda,  Takiyuddin telah mengelirukan parlimen dalam isu pembatalan Ordinan Darurat pada hari pertama sidang khas.

Gagal Sebelum Bersidang

Bayangan awal kegagalan mesyuarat khas parlimen ini sudah kelihatan sebelum ia dilaksanakan. Sesi ‘taklimat’ tanpa perbahasan dan undian untuk segala dasar kerajaan dan Ordinan Darurat telah menunjukkan Tan Sri Mahiaddin Yasin sudah hilang legitimasi dan majoriti.

Sidang khas yang dilakukan pada saat akhir dan terburu-buru bukan untuk menyelesaikan masalah Covid-19, tetapi untuk kerajaan Mahiaddin meredakan tekanan politik yang kian meningkat dalam kalangan rakyat dan Istana Negara.

Malah, sepanjang tiga hari sidang khas berlangsung, kerajaan PN ternyata gagal membentangkan pelan-pelan baru untuk mengekang krisis pandemik dan ekonomi. Segelintir menteri PN pula kelihatan tidak bersedia menjawab pertanyaan yang dibangkitkan ahli parlimen.

Menteri PN langsung tidak berminat mendengar cadangan dan teguran ahli parlimen, seperti sikap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang memilih untuk berkonfrontasi dengan pandangan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, bekas Menteri Kesihatan yang juga ahli parlimen Kuala Selangor mengenai soal data dan perancangan melawan pandemik.

Apa yang lebih mengecewakan apabila segelintir menteri PN yang terus membaca ‘teks’ jawapan disediakan penjawat awam tanpa menjelaskan apakah dasar dan perancangan mereka kepada parlimen. Bukankah ini bukti kerajaan bermonolog dalam parlimen?

Pembodek Kerajaan Dan Speaker Celaru

Ahli parlimen kerajaan seperti Shahidan Kassim (Arau), Ahmad Tarmizi (Sik) dan Nik Muhammad Zawawi (Pasir Puteh) pula  tidak henti-henti menyalahkan Pakatan Harapan dalam isu pandemik dan membangkitkan kenyataan Mahiaddin ada majoriti. Persoalannya, adakah perkara dibangkitkan mereka ini dapat membantu menambah baik dasar kerajaan mengatasi krisis pandemik? Tentunya tidak sama sekali.

Malangnya, kelemahan-kelemahan ini langsung tidak ditegur Speaker Dewan Rakyat. Di sebalik kecuaian menteri menjawab pertanyaan dan membaca teks jawapan yang begitu panjang,

Speaker dilihat bersikap keras dengan ahli parlimen pembangkang yang cuba membawa perbahasan dasar ke dalam parlimen semula. Speaker Dewan Rakyat juga telah meminggirkan persoalan penting yang dibangkitkan wakil rakyat tentang isu proklamasi dan Ordinan Darurat yang cuba dielakkan kerajaan PN.

Sikap pembodek kerajaan dan kecelaruan Speaker ini telah melumpuhkan peranan parlimen untuk memastikan pihak eksekutif bertanggungjawab dalam pentadbiran mereka. Atas sikap jelik ahli parlimen kerajaan dan Speaker yang tidak berani menegur kelemahan kerajaan PN, maka menteri-menteri PN terus bermonolog di parlimen tanpa menghiraukan kesilapan yang mereka lakukan.

Maksudnya, sidang khas ini direncanakan untuk disia-siakan begitu sahaja kerana kerajaan PN tidak terbuka menerima teguran parlimen untuk memperbaiki dasar kerajaan yang sedia ada.

Kesan daripada sikap bodek dan monolog kerajaan PN ini akan menyumbang kepada permasalah yang lebih besar buat negara, iaitu: segala kelemahan dasar kerajaan tidak dapat diatasi dan akhirnya akan memberi kesan buruk dalam tempoh jangka masa panjang kepada rakyat yang sudah sengsara terkurung di rumah akibat ‘lockdown’ dan darurat.

Menjadikan Kerajaan Bertanggungjawab

Permasalahan yang timbul pada hari ini perlu menyedarkan kita bahawa kuasa besar yang diberikan Perdana Menteri dan jemaah menteri masih lagi menjadi satu masalah kepada sistem demokrasi berparlimen negara.

Bayangkan sahaja, Mahiaddin, seorang Perdana Menteri yang mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat, boleh menggunakan kuasa yang ada, termasuklah darurat, untuk terus berkuasa di Putrajaya tanpa peranan parlimen. Kuasa besar Perdana Menteri ini telah mencipta krisis perlembagaan dan meminggirkan urusan rakyat di tengah-tengah krisis pandemik.  Jadi apa yang boleh kita lakukan?

Kuasa besar Perdana Menteri dan kabinetnya ini perlu dirombak dan diberikan kepada institusi parlimen. Peranan parlimen perlu menjadi keutamaan yang sama pentingnya dengan jemaah menteri. Perdana Menteri perlu memandang parlimen sebagai rakan strategik atau pihak dwipartisan dalam proses membuat keputusan dan membuang dominasi jemaah menteri dalam membuat dasar yang kebanyakannya lemah dan gagal mengatasi masalah rakyat.

Pengagihan kuasa yang setimpal kepada parlimen akan mewujudkan sebuah institusi yang berkesan bagi menyemak dan membentuk sebuah kerajaan bertanggungjawab. Malah, pendekatan ini mampu menjadikan parlimen Malaysia sebagai sebuah sistem demokrasi yang benar-benar berfungsi dalam mengubah nasib rakyat melalui keputusan berdasarkan semangat musyawarah bersama pemimpin dipilih rakyat , bukan lagi ditentukan oleh seorang Perdana Menteri dan kabinetnya sahaja.

Komen