Monarki Baik

 

ANAKKU Husayn yang dikasihi,

Jika kamu satu hari kelak menjadi raja, ada satu pesan yang baba ingin nukilkan di sini. Hendaklah kamu menjadi seorang raja budiman, menampung ihsan dan berakhlak tinggi. Memang jarang sekali terdapat raja yang baik. Jikapun ada, ia hanya terpendam di halaman akhir dongengan; di mana raja-raja itu diperikan memerintah dengan permaisuri hatinya. Serta diganding dan disebut dengan kalimat ‘bahagia’, demikian bermakna kerana baginda itu akan bahagia ‘buat selama-lamanya’. Memang jika kita halusi, raja yang baik itu adalah lipurlara.

Ini kerana selalu kita menemukan raja yang ganas, kejam dan hilang punca. Itu hakikat dalam lembar-halaman sejarah di mana-mana. Seorang pemikir umat yang menjadi rujukan baba selalu, Syed Hussein Alatas, pernah menjejerkan perihal raja yang jahat-bodoh-sombong, di mana almarhum memendekkan semua rangkaian kata itu menjadi jadong. Akan tetapi anakku, jika kamu satu hari kelak menjadi raja, sungguh baba ingin babadkan bahawa terdapat di dalam sejarah beberapa orang raja yang baik.

Syed Hussein Alatas dalam Cita Sempurna Warisan Sejarah (2001) berpendapat tidak selamanya raja jadong ini akan bertakhta dan mewariskan pengaruh kekuasaannya yang penuh bedebah itu secara berterusan.

Anakku Husayn, ambil sahaja misal dalam kalangan raja-raja Bani Umaiyah, dalam jahat angkuh dan kejam mereka itu tiba-tiba terdapat seorang raja yang akan mendukung cita sempurna seperti mana Raja Umar bin Abdul Aziz (717-720 M).

Baginda itu amat dikenal sebagai seorang raja yang menitik-beratkan keadilan dan kesetaraan. Jadilah kamu anakku raja yang seumpama itu. Memang taraf Raja Umar tidak sampai seperti pemerintahannya Saidina Ali, namun jika kita meneliti dengan penuh cermat, baginda tetap cuba berusaha sedaya-upaya mengisi pemerintahannya dengan keadilan.

Tentu, Umar sebagai seorang raja hanya dapat memerintah demikian singkat. Jika kamu anakku berkesempatan menjadi raja seibarat itu, maka kamu jadilah seorang raja yang membahagiakan. Sayang, baginda Raja Umar meninggal dunia di usia muda dan malang sekali pelaksanaan cita sempurna masih belum berupaya mencapai matlamat sepenuhnya. Ini kerana anakku cita bencana nyata jauh lebih besar pengaruhnya dalam sejarah dan ini setulennya merupakan ganjalan dan gendala. Padahal kesedaran tentang cita sempurna itu boleh dicari dan dirujuk pada pemerintahan para nabi dan wali.

Anakku, menjadi seorang raja yang baik itu ialah satu usaha anakku. Ia satu upaya. Ia bukan sesuatu yang dapat diwarisi. Mereka yang menjadi raja jahat – selalu – kerana mereka itu tidak pernah menjadi rakyat. Itu sebabnya kamu, jika menjadi raja, kamu harus menjadi raja yang baik; sepertinya raja yang satu masa lalunya pernah menjadi rakyat. Kata Syed Hussein Alatas, dalam buku monumentalnya itu;

“Turun naiknya cita sempurna atau cita bencana tidak semata-mata bergantung pada keadaan sejarah dan masyarakat dalam masa dan suasana tertentu. Kezaliman dan keganasan tidak didesak oleh keadaan masyarakat dan sejarah. Pada zaman manapun boleh berperang dengan buas dan zalim, ataupun dengan adab dan timbang rasa.”

Anakku yang amat baba kasihi, ketahuilah Syed Hussein Alatas mengkotakletakkan raja kepada kepada empat jenis, iaitu:

I) Raja yang mengutamakan ‘kesejahteraan umat dan menonjolkan kehidupan peribadinya’ sebagai contoh ikutan. Syed Hussein menyebutkan Saidina Ali sebagai pedoman. Namun demikian, Ali bukan seorang raja. Sukar sekali mencari raja sehebat ini melainkan baginda memang ditabalkan Tuhan sendiri. Barangkali yang baba dapat contohkan ialah Raja Sulaiman, dan Raja Daud di mana mereka itu adalah para anbiya’ dan segala tindak-tanduk perilaku harian baginda mendapat bimbingan langit dan para malaikat yang berterbangan menebarkan sayap rahmat.

II) Kamu harus cuba menjadi raja seperti Umar bin Abdul Aziz yang mana menurut Syed Hussein Alatas berjaya ‘mengalihkan arus cita bencana ke arah cita sempurna’.

III) Janganlah sekali-kali anakku kamu menjadi raja munafik dan penuh hipokrasi yang berpura-pura baik tetapi bejat. Syed Hussein menyatakan, raja-raja seperti ini ‘menonjolkan cita sempurna dalam pentadbirannya tetapi dalam tindakan peribadinya terhadap musuh dan luar sahabat adakalanya kejam dan buas’. Demikian Syed Hussein memisalkan Walid bin Abdul Malik. Raja seperti ini terlalu ramai anakku. Tidaklah usah kamu menambah lagi senarai mereka. Kamu hanya akan berdepan cercaan para cacing dan lipan bara di dalam tanah kelak.

IV) Paling menggerunkan anakku ialah raja yang ‘citanya mengandungi unsur sempurna tetapi caranya digerakkan oleh cita bencana’. Hal ini terjadi semata-mata kerana cita bencana sebenarnya telah tumbuh meliar dan tiada lagi dapat dijinakkan dalam dirinya. Kamu carilah anakku misalnya raja Balban dan Muhammad Ibn Tughluk, mereka ini raja dan bangsawan terkutuk.

Cita sempurna itu anakku adalah satu identiti atau nilai sejagat yang ada pada semua kaum dan peradaban. Satu nilai yang akal akan mengatakan ini sesuatu yang sihat dan baik. Ketahuilah, akal yang berselari dengan iman pasti menjernihkan pilihan-pilihan yang ada ketika kamu sebagai raja perlu membuat keputusan.

Macam apakah cita sempurna yang dapat difahami dan dicerna akal itu? Masihkah kamu mengingat satu malam baba pernah meriwayatkan sebabak episod dalam Perang Siffin. Anakku, menurut Syed Hussein Alatas, tindakan Saidina Ali yang membenarkan tentera raja Muawiyah iaitu musuhnya untuk mengambil air di puncak perang meski dihalang oleh pengikutnya sendiri, itu, itu anakku merupakan contoh cita sempurna. Bukanlah sukar untuk akal memahami nilai universal dalam dasar cita sempurna ini.

Malang kebalikan itu datang seperti gamitan iblis, anak Muawiyah – Raja Yazid – memenggal kepala cucunda Nabi iaitu Saidina Husin dan anaknya Ali. Itu dilakukan penuh celaka sambil tentera Yazid menghalang sumber air Furat untuk diminum anak Saidina Ali itu.

Anakku, cita sempurna itu akan seringnya selari dengan tujuan kedatangan Islam, dan sebenarnya merupakan anjuran Nabi Muhammad s.a.w. dalam upaya melaksanakan hidup masyarakat yang benar. Syed Hussein Alatas seterusnya menjelaskan peranan cita sempurna itu adalah untuk ‘memandu perjalanan hidup manusia dan masyarakat, termasuk budayanya, agamanya serta usaha untuk merubah keadaan’.

Maka anakku, oleh kerana dasarnya cita sempurna ialah dasar agama Islam, maka perhatikan bahawa seluruh kemanusiaan kita ini telah dicipta atas dasar ‘fitratallah’. Justeru tidaklah ia mengkhusus terhadap orang Islam sahaja malahan ia turut meliputi ke atas orang bukan Islam. Bahkan menurut baba, ia harus merangkumi tumbuhan; dan mergastua, haiwan melata atau tersembunyi.

Anakku Husayn, jika kita menyebut-nyebut hal sedemikian tentu akan ada yang meragui. Betul anakku, hatta Syed Hussein Alatas mengakui betapa cita sempurna tidak dapat dicapai sepenuhnya. Namun seperti mana Syed Hussein, baba juga yakini dalam zaman dan keadaan tertentu tingkat pencapaian masyarakat sangat dipengaruhi oleh sifat golongan berkuasa. Yakni dalam mana-mana amalan sistem sekalipun.

Dalam tulisan Syed Hussein ada dinyatakan, ‘memang benar cita sempurna tidak dapat dicapai seratus peratus tetapi tingkat pencapaian dalam sesuatu masyarakat dalam zaman dan keadaan tertentu besar sekali dipengaruhi oleh sifat golongan yang berkuasa dalam sistem apapun.’ Kenyataan almarhum ini anakku, adalah satu respon beliau terhadap golongan aliran materialisme dialektik yang lebih mengutamakan pengaruh keadaan sosial dan ekonomi masyarakat.

Bagaimana kamu kelak sebagai raja akan membajai cita sempurna ini?

Syed Hussein Alatas memberikan formulanya. Kata almarhum pengaruh cita sempurna dapat dihidupkan dengan cara membangkitkan kesedaran rakyat tentang tujuan dan peranan mereka secara besar-besaran. Bayangkan kamu sebagai raja memiliki Rakyat yang sedar dan tahu akan tujuan dan peranan mereka. Tentu rakyat begini adalah rakyat impian untuk setiap raja yang baik, kerana rakyat ini akan dapat mempengaruhi tindakan kamu. Rakyat yang baik akan mencegah raja dari melakukan penindasan dan bertindak zalim ke atas mana-mana golongan masyarakat.

Maka anakku, jauhilah menjadi seorang raja yang memiliki cita bencana. Syed Hussein Alatas mendefinisikan cita bencana sebagai ‘semua yang bertentangan daripada cita sempurna.’

Anakku Husayn,

Pernah terjadi dalam satu masa ketika baba masih hidup, seorang raja atau sultan memerintah negeri Perak. Baginda itu bertungkus-lumus memandu segala kekuatan pemerintahannya untuk meraikan cita sempurna dan menghindari cita bencana. Nama baginda adalah Raja, atau Sultan Nazrin. Ingatlah namanya anakku. Ini kerana baginda sangat ingin melaksanakan pemerintahan yang adil dan saksama. Baginda tuanku sangat berhasrat untuk memberikan yang terbaik kepada jelata rakyat dengan sungguh-sungguh. Akan tetapi anakku Husayn, kadangkala dalam sejarah terdapat raja yang baik, tetapi pentadbir yang menjaga ehwal hal rakyat bagi pihak baginda itu terlalu ingin menggagalkan segala cita sempurna, bahkan dengan nifaknya terlalu ingin untuk menjadi mereka yang menyalai cita bencana. Mereka ini adalah kumpulan pentadbir bedebah yang tidak pernah peduli akan nasib rakyat marhaen atau murbawan sedang menderita.

Jika berlaku seperti ini anakku Husayn, kamu sebagai raja harus melakukan satu yang nekad; iaitu mencantas pentadbir yang bodoh ini. Anakku, ini kerana  kamu sebagai raja yang inginkan cita sempurna harus dibantu oleh mereka yang juga ingin mencapai niat serupa. Jika itu berlaku, duhai anakku raja Husayn, berpihaklah kepada rakyat. Jangan kamu sekali-kali berpaling dari rakyat di bawah. Pentadbir lapar laba biarkan terus menganga, jangan sekali-kali diisi tembolok tamak mereka.

Dalam hayat baba, Raja baik bernama Nazrin itu anakku pada 24 Rabiulakhir bersamaan 10 Disember 2020 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar bertitah dengan tegas begini bunyinya:

‘Sifat sebenar insan akan terserlah ketika seseorang itu mendapat jawatan dan kuasa, betapa kata tidak lagi dikota, atau kata akan bertukar nada – berlainan irama, bersedia mengatakan yang hitam itu putih, dan yang putih itu hitam. Watak sebenar insan akan terpamer, apabila seseorang telah memiliki kekayaan dan harta, lalu lenyapnya budaya kesederhanaan dan merendah diri, di sebaliknya menjelma sifat sombong dan gelagat bongkak.’

Anakku Husayn, perhatikan titah ini sungguh kudus. Memang inilah suara dalam nurani atau tekad bersih nubari seorang raja dengan cita sempurna. Seperti inilah anakku jika engkau kelak menjadi raja. Seperti ini. Seperti baginda tuanku Raja Nazrin. Tidak sesulit mana pun menjadi raja dengan cita sempurna anakku. Tidak begitu rumit tentunya.

Kerana itu, jika kamu anakku menilik lanjut titah baginda Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada tahun 2020 itu, kamu anakku akan menemukan keberpihakan kepada rakyat. Itu, berpihak kepada rakyat adalah ciri munasabah seorang raja dengan cita sempurna.

Titah tuanku Raja Nazrin ketika itu amat molek kamu cermati Husayn anakku. Kata baginda begini:

‘Rakyat dalam semua kawasan Dewan Negeri, sama ada diwakili oleh ADUN PERIKATAN NASIONAL atau PAKATAN HARAPAN, sama ada orang Melayu, orang Asli, orang Cina dan orang India, begitu juga penganut Islam, penganut Kristian, penganut Hindu dan pengikut Buddha, serta yang berpegang kepada pelbagai kepercayaan, mempunyai keperluan yang sama, menanggung penderitaan yang sama, memiliki harapan yang sama, menagih perhatian yang sama. Semua rakyat di negeri ini, Melayu, Orang Asli, Cina, India; Islam, Kristian, Hindu dan Buddhist, ialah makhluk ciptaan ILAHI; kesemua mereka rakyat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak; kesemuanya mahukan sebuah negeri yang aman lagi makmur, dengan pemerintahan yang melaksanakan keadilan dan membina kerukunan, agar rakyat hidup dalam semangat saling menghormati penuh harmoni. Rakyat jelata, terutama dalam kalangan berpendapatan rendah dan miskin, rakyat yang semakin ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan akibat pandemik Covid-19, jangan dijadikan kancil yang mati tersepit kerana gajah yang tidak berhenti-henti beradu. Doa rakyat yang merasakan diri mereka teraniaya tidak ada dinding untuk dimakbulkan ILAHI, janganlah rakyat dianiayai kerana dipengaruhi emosi berdendam dan pemikiran politik yang jumud.’

Anakku Husayn, banyak tahun dari sekarang kamu akan mengetahui apa yang terjadi pada tahun 2020 itu. Ia bukan sekadar nasib kita dikurung di dalam rumah kerana wabak penyakit meletus bermula dari China. Ia lebih dari itu. Pada tahun 2020 itu sekumpulan umat Melayu menyamar dan menggunakan label Melayu dan agama Islam kita yang suci lantas menunggangnya sepuas-puas, menghentak-hentak belakang agama dengan anu mereka yang mencanak buas. Belakang agama dihenyak dan dihentak-hentak hingga berbunyi pap pap pap pap sekejinya kerana Melayu khianat itu sangat bercita bencana, dan menyangka semua akan seperti mereka juga.

Nasib murbawan tatkala itu baik sekali kerana mendapat raja dengan cita sempurna. Untuk setiap raja yang baik, baginda memerlukan juga pelunas tugas yang tiada khianat dan setia, barulah rakyat dapat manfaatnya. Malang jika negeri beroleh raja baik bercita sempurna tetapi pentadbir di lapis tengahnya haloba bagaikan babi menyodok ubi. Lebih malang anakku, jika kita beroleh raja baik dengan peribadi bijaksana tetapi rakyatnya pula masih tergila-gilakan berkehendak pemimpin cita bencana. Jika kita beroleh raja bercita sempurna, rakyatnya hendaklah juga bersedia memberikan baginda tuanku pengaruh yang baik itu. Raja yang baik akan menjadi lebih berkesan dengan rakyat yang sedar tujuan dan peranannya. Negeri akan runtuh jika raja pun baik tetapi rakyat masih mabukkan keinginan bandit penyamun dan lanun menjadi penggawa.

Anakku Husayn,

Ketika kamu membaca dan cuba memahami tulisan ini, di banyak tahun nanti, barangkali saja baba sudah tiada. Seperti mana kamu tahu, mustahil sekali kamu akan menjadi raja. Ini kerana baba sendiri bukan seorang raja. Akan tetapi anakku, setiap dari kita tetaplah raja untuk rakyatnya. Kamu juga Husayn bakal berkeluarga dan menjadi pemimpin dalam masyarakat dengan caramu tersendiri. Masa depan kamu tidak dapat baba bayangkan pada hari ini, baba cuba membayangkan di saat baba mencatat dengan pensil dan menumpah kembali di muka komputer untuk dikongsi semua pembaca baba, tetapi baba bukan pencatat buku takdir.

Pun anakku, baba sungguh tahu, jika kamu menjadi raja; paling tidak kamu akan ada warta nasihat baba ini untuk kamu buka dan jadikan panduan.

Moga-moga anakku Husayn, kamu akan menjadi raja yang baik, yang sedemikian gigih sepenuh kudrat menjadi seorang raja bercita sempurna. Tauladan seumpama itu akan ada pada Raja Mahdi di hujung hayat bumi ini. Orang Jawa memanggilnya Ratu Adil, atau Satria Piningit.

Bercita sempurna tidaklah sesusah mana. Kamu pasti dapat melakukannya. Wasiat catatan baba ini akan sentiasa ada untuk dikuliti, dan juga, titah raja pintar untuk disemak kembali; serta segala sejarah masa lalu yang harus kamu telusuri sebagai teladan. Beringatlah cita bencana itu kamu jadikan sempadan, jauh-jauh kamu nyah dan singkirkan. Semoga kamu baik-baik sahaja anakku.

Ikhlas, daripada baba.

Komen