Dalam teori poitik dan prinsip amalan demokrasi kewujudan pembangkang dilihat ideal dan sangat signifikan. Hal ini kerana kehadiran pembangkang seringkali dimomokkan akan memainkan peranan semak dan imbang untuk menegur mahupun memperbetulkan pentadbiran pihak kerajaan yang memerintah. Tetapi secara relatinya adakah ianya benar-bear berlaku? Satu persoalan yang masih terlalu ideal untuk mendapat jawapan yang jelas dan nyata.
Maka timbul persoalan apa akan terjadi jika wujud pemerintahan atau negara tanpa pembangkang? Adakah situasi itu boleh berlaku atau dilakukan? Dan jika berlaku apakah itu tandanya amalan demokrasi sudah terkubur atau tidak dihormati? Betul, mitos mewujudkan negara tanpa pembangkang akan mencetuskan perdebatan yang hangat dan pastinya akan ada hujah-hujah yang menyokong dan membangkang cadangan tersebut. Malah mitos ini kemungkinan besar akan mencetuskan lebih banyak persoalan dari jawapan, tetapi apa yang pasti, naratifnya tetap tidak mustahil untuk dilaksanakan. Tidak ada sebarang ketetapan mahupun peraturan yang menyatakan sesebuah negara itu mesti ada pembangkang!
Ironinya, satu perkara penting yang mungkin kita lupa dan perlu kita sedar ialah, ketika memangkah dan memilih wakil rakyat dalam pilihanraya, kita meletakkan harapan agar individu mahupun partinya itu akan menang dan menjadi kerajaan. Percayalah tidak seorangpun secara logik akal mengundi seorang calon dengan harapan calon itu akan menang dan menjadi pembangkang. Jadi prinsip jelas di sini ialah semua yang menang itu adalah wakil yang dipilih oleh rakyat untuk mewakili kepentingan dan suara mereka sebagai pembuat dasar yang akhirnya akan memberi kebaikan kepada seluruh anggota masyarakat. Dalam konteks ini pengundi tidak peduli wakil mereka itu berada di pihak kerajaan mahupun pembangkang kerana apa yang pengundi tahu ialah nasib dan kepentingan mereka mesti terus dijaga, dipelihara dan diutamakan tanpa berpaksikan ideologi dan fahaman politik seorang wakil rakyat.
Jadi dalam keadaan senario politik negara yang masih terus hangat dan suhunya terus mendidih, malah kelihatan lebih mengancam dari ancaman serangan virus Covid-19, isu politik tidak dapat kita abai mahupun lupakan. Berita pertukaran kerajaan negeri mahupun persekutuan, peralihan sokongan wakli rakyat dari satu parti ke parti lain serta percakaran sesama ahli parti terus mewarnai persekitaran landskap politik negara. Jujurnya sebagai rakyat marhaen, kita tidak dapat fokus sepenuhnya kepada ancaman wabak Covid-19 kerana pemikiran kita terus diganggu dengan virus politik yang kelihatan turut tular dengan begitu cepat dan meluas.
Oleh sebab itulah penulis terbayangkan alangkah indahnya jika kita boleh mewujudkan sebuah negara tanpa pembangkang. Bukan berniat mahu membelakangkan sistem dan amalan demokrasi tetapi semakin letih dan penat memikirkan hala tuju dan masa depan negara yang tidak menentu angkara politikus yang mementingkan diri dan mencetuskan pergolakan.
Sebenarnya tidak mustahil jika rakyat benar-benar diberi kuasa untuk menentukan sama ada kita memerlukan sistem kerajaan-pembangkang atau tidak. Naratifnya mudah iaitu, semua wakil rakyat yang kita pilih perlu meninggalkan baju parti masing-masing di luar Dewan Rakyat. Dalam Dewan Rakyat mereka semua adalah sama iaitu diundi dan dipilih untuk mewakili rakyat di kawasan masing-masing. Bezanya mungkin cuma jumlah undi yang mereka menang sahaja dan ianya tidak ada sebarang impak atau kesan dalam Dewan Rakyat. Maka mitosnya ialah, kita mahu wakil rakyat ini mengundi dan memilih seorang calon yang difikirkan layak dan sesuai serta mendapat sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri. Dan kaedah pemilihan yang sama juga perlu dilaksanakan untuk memilih anggota Kabinet yang difikirkan layak dan sesuai untuk mengetuai sesuatu kementerian. Maka ini sekali gus akan menghapuskan kaedah sekarang iaitu hanya parti yang menang kerusi terbanyak boleh memilih calon Perdana Menteri dan anggota Kabinet yang lain yang menjadi punca wujudkanya sistem kerajaan-pembangkang seperti sekarang.
Jika mitos ini dapat direalisasikan, Kabinet yang terbentuk adalah barisan yang mewakili majoriti wakil rakyat tanpa mengira parti dan ideologi politik sebaliknya mewakili komposisi seluruh rakyat Malaysia. Dalam konteks ini, wakil rakyat yang lain boleh memainkan peranan melakukan kerja-kerja semak dan imbang iaitu jika barisan Kabinet tersebut tidak melaksanakan kerja dengan efisien, kesemua wakil rakyat yang lain berhak menegur dan memperbaiki kelemahan yang ada. Baik Perdana Menteri mahupun Menteri kesemuanya bertanggungjawab kepada seluruh ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Rakyat pada bila-bila masa boleh menggantikan mana-mana pemegang jawatan ini jika difikirkan tidak kompeten atau ada masalah.
Apa yang penting di sini ialah sudah tiba masanya kita membezakan dengan jelas kedudukan parti politik dan kerajaan yang memerintah. Kerajaan mestilah berpaksikan semua ahli masyarakat tanpa mengira ideologi politik, justeru itulah mitos negara tanpa pembangkang wajar diangkat sebagai amalan demokrasi moden di negara kita. Kita boleh menamakan ianya sebagai Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Campuran, Kerajaan Tanpa Parti atau apa saja nama dan gelaran yang sesuai asalkan memenuhi falsafah dan matlamat kerajaan tanpa pembangkang yang bertanggungjawab sepenuhnya kepada seluruh ahli Dewan Rakyat. Melangkah ke hadapan, pengundi perlu lebih berani dan bersedia melakukan perubahan drastik seperti ini demi hala tuju dan masa depan negara tercinta ini. Pengundi perlu diberi kuasa untuk “memaksa” wakil rakyat mereka memilih calon Kabinet yang layak dan bersesuaian di Dewan Rakyat. Mitos ini akan kekal sebagai mitos dan bayangan mimpi semata-mata andai kita terus membiarkan selimut ideologi politik sempit dan rakus melitupi realiti demokrasi yang kita idamkan.
Noor Mohamad Shakil Hameed berkelulusan Master Komunikasi Korporat (2010) dan Bacelor Ekonomi (2001) dari UPM. Berjawatan hakiki Pegawai Tadbir dengan gelaran Timbalan Pendaftar di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM. Di samping bertugas sebagai pentadbir di UPM, penulis juga bergiat aktif sebagai penulis artikel, rencana dan puisi. Rencana dan artikel penulis sering mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana negara seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro di samping dalam makalah berkala seperti Dewan Masyarakat. Beliau juga merupakan ahli pemikir Malaysia Corruption Watch (MCW).