Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) ketika ini dalam fasa perdebatan selama dua minggu dan menamatkan draf terakhirnya pada 7 Oktober menerusi jawapan daripada “Executive Bench”. Kluster alam sekitar dan perubahan iklim juga dijadikan keutamaan menerusi “Bab 8 & Bab 9” dan menyediakan 62 mukasurat bagi menerangkan lapan misi utama yang harus dicapai pada 2025.
Menarik tentang RMK kali ini, ia bersifat kebersamaan dimana, Malaysia baru sahaja menyerahkan sasaran iklim kita (NDC) kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFCCC). Sasaran ini bersifat 5 tahun dan sasaran kita ialah; 45% pengurangan pelepasan karbon mengikut data pelepasan 2005.
Akhirnya selama ini, apa yang diperjuangkan oleh golongan aktivis alam sekitar, kaum nelayan, pertubuhan sivil, kaum petani termasuk diri saya; tidak disiakan dan diberikan keutamaan. Inisiatif daripada kerajaan dipandang dengan positif, walau bagaimanapun kita masih lagi terkebelakang, bukan negara luar, tetapi dengan masa.
Inisitatif “Sifar Total Karbon” ini hanya mampu terlaksana pada 2050. Namun, mengikut kajian dapatan dianggarkan pada 2030 akan menelan sebahagian dari Semenanjung, maka misi ini, tidak ada tujuan pada penghujung hari. Kita harus segera menggerakkan dasar dan perlaksanaan agar kita dapat mengurangkan risiko rakyat kita menjadi status “pelarian di dalam negara sendiri”.
Apabila perkara ini terjadi, kita akan mengalami masalah sistemik, iaitu pengurangan pekerjaan dan kelembapan ekonomi. Akhirnya tiada gaji, maka kita sudah jatuh tahap miskin, apabila banjir memakan rumah kita secara total, maka kita sudah menjadi pelarian.
Tidak ada apa-apa lagi yang ditinggalkan, maka secara tersendirinya, demokrasi akan mati di sebuah tempat, kerana tiada siapa akan undi ahli politik, sama ada mereka tenggelam di dasar atau berlari ke tempat lain, maka tempat anda menjadi “padang jarak, padang terkukur”.
Bagaimana kita mahu mengelakkan perkara ini berlaku?
- Misi mencapai negara karbon sifar pada 2040
- Pelan Adaptasi Nasional dibentangkan pada tahun hadapan, disertakan dengan Kerangka Risiko Bencana, Kerangka Maklumat Terbuka dan Penstrukturan Perumahan Tempatan
- Mekanisma Kewangan Kelestarian, Perhutanan dan Alam Sekitar Bersepadu
- Penggunaan Mitigasi Berasaskan Teknologi
- Penstrukturan Kajian Tempatan Baharu
Lima jawapan ini akan saya perincikan dalam bahagian seterusnya. Berbalik kepada RMK12, kerajaan telah mensasarkan RM400 bilion, dimana ia dikatakan perbelanjaan yang paling besar sekali, namun jangan kita bangga dengan jumlah tersebut dan mengikut kalkulatif anggaran saya, ia harus meletakkan RM500 bilion bagi lima tahun dan mensasarkan purata sebanyak RM100 bilion setahun dalam belanjawan kerajaan persekutuan.
Kerangka yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan amat baik sekali, tapi janganlah kita bersenang sekarang, takut kita jadi sudah terhantuk baru nak terngadah. Oleh itu saya mengharapkan agar dapat diperluaskan lagi konsep bottom up approach itu dengan adanya “additional follow up engagement” dan bukanlah sekadar melepaskan batuk di tangga.
Awal tahun ini, kita menyaksikan banjir besar di seluruh Malaysia dan diikuti pula dengan kejadian di Yan, Kedah dan banyak lagi. Maka kerajaan ada misi penting kali ini, memastikan tidak ada lagi rakyat yang meninggal dunia akibat krisis iklim.
Tuhan telah amanahkan kita menjaga alam sekitar seperti mana yang dinyatakan berkali-kali di dalam Al-Quran, maka ia menjadi keutamaan kepada kita untuk menjalankan tanggungjawab dengan hati yang besar membuatnya. Janganlah kita menggunakan alasan mahupun berselindung di sebalik “takdir dan balasan Allah SWT”, sedangkan kita satu persatu mengkhianati amanah-Nya dengan sifat keji dan mungkar.

Shaqib Shahril merupakan mantan Global Climate Finance Youth Focal Point untuk United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) dan Pengarah Projek BNYV Parliament Tracker. Ketika ini, fokus beliau adalah di kawasan parlimen Pulai sebagai Community Builder dan menjawat jawatan sebagai Ketua Penerangan dalam Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pulai.