Bagaimana masyarakat menyambut isu-isu viral?
Maksud saya, isu-isu melibatkan selebriti, usahawan media sosial, artis dan politikus?
Riuh. Meriah. Kelam kabut. Panas.
Berhari-hari kita mengulas. Beri pendapat. Keluarkan solusi. Berbincang. Tak cukup di ruangan komen, kita bawa ke meja makan. Sambil kunyah, sambil berdiskusi. Tak habis-habis!
Kalau tak percaya, saksikan sendiri berapa ribu kongsian, likes kisah seorang usahawan berjaya bermulut longkang dihalang live di restoran baru-baru ini.
Selepas tiga hari kejadian, guess what, keadaan belum lagi surut tuan-puan. Kecoh dari Perlis hingga ke Sarawak!
Kisah sarkis ahli politik? Usah ditanya. Beritahu saya, bila masanya sambutan terhadap kesarkisan mereka terpadam?
Setiap hari mereka kelakarkan kita. Setiap hari itu jugalah kita kelakarkan mereka semula. Pantang mengalah. Kita tentera troll siang dan malam. Puas troll, kita gelak berjemaah tanda puas. Esok hari, kita lalui kesusahan yang sama. Itulah wajah demokrasi hari ini.
Dan jangan lupa semak berapa keseluruhan jumlah likes, kongsian dan komen berkenaan perkahwinan Mira Filzah dengan jejaka idamananya awal September lalu?
Menurut satu ciapan di Twitter yang merakam semula kata-kata Mira Filzah kepada suami, “Not all the time I lemah lembut. Not all the time manis. Kalau nampak, please bimbing I” disambut dengan gilang gemilang; 15.5K Retweet, 1,798 Quote Tweets dan sejumlah 27.9K likes. (setakat artikel ini ditulis)
Tujuh hari tujuh malam segala macam doa, restu dan harapan seluruh rakyat jelata terapung di langit memayungi cinta dua insan ini. Oh, tidak ketinggalan keluh kesah ribuan lelaki tandus dipeluk kekecewaan melihat jari Mira disarung cincin turut mengiringi ‘Wedding of The Year’.
Tetapi, adakah kita sedar terdapat satu laporan yang sepatutnya tular tetapi tidak. Entah mengapa terpinggir. Tak terlintas langsung di timeline. Mungkin salah algoritma media sosial.
Laporan tersebut merupakan laporan yang disediakan Unicef pada Ogos lalu bertajuk Families on The Edge kurang mendapat tempat di hati masyarakat.
3 September 2020, Astro Awani memuatnaik video perbincangan mengenai kemiskinan di zaman pandemik yang menyentuh laporan berkenaan. Sehingga ke hari ini video perbincangan ini cuma mendapat sambutan terpaling sendu. 54 Likes, 3 komen dan 38 perkongsian.
Soalan : Mengapa berita mengenai kemiskinan seringkali kalah?
Jawapan : Dari zaman Nabi sehingga zaman Muhyiddin Yassin, kemiskinan tetap kekal sebagai lumrah alam. Normal. Pemandangan yang biashe-biashe. Wujud melata di setiap ceruk bumi. Jadi, mengapa perlu menggelabah?
Saya tahu membandingkan antara Mira Filzah, gadis dambaan kamu dengan berita kemiskinan tidak masuk akal. Nyatanya, itu bukan salah beliau. Saya setuju. Pun, bukan salah usahawan, influencer media sosial, jemaah menteri, Raja dan ahli-ahli politik sarkis (dibaca).
Ia salah pencipta media sosial. Barangkali dokumentari terbaru Netflix – The Media Social Dilemma benar dalam fenomena ini. Terang mereka, algoritma medsos dicipta untuk mengawal otak pengguna. Semacam teori konspirasi, algoritma ini akan menyuap tanpa lelah segala macam benda kesukaan pengguna setiap minit dan jam.
Barangkali, itulah jawapan kepada mengapa kita berahikan sangat Lazada, mengghairahi kisah artis pandai berbisnis kaya juta-juta lalu klimaksnya sempurna lewat menikmati kisah-kisah berupa aurat betis usahawan medsos, semangat kaum, kebangsaan dan agama.
Mana mungkin algoritma ini tergamak membiarkan perut kita senak dengan dapatan dan statistik mengenai impak Covid-19 kepada 500 keluarga sekitar Lembah Klang seperti yang terkandung dalam laporan Unicef?
Percayalah! Mereka tidak akan membiarkan perkara ini berlaku tuan-puan. Mereka mahu menggembirakan hati kita dengan Tiktok atau cerita menteri hisap vape dalam dewan. Mereka tahu keperluan kita tuan-puan. Kita tidak suka cerita sedih-sedih.
Mereka tidak mahu kita semua resah dengan kenyataan bahawasanya kadar pengangguran pada Jun 2020 meningkat sebanyak 4.9% – suatu sejarah terbaru tercipta dalam tempoh 30 tahun. Malah, lebih epik, kadar tersebut jauh lebih tinggi dibandingkan dengan krisis kewangan global pada tahun 1998 (yakni 3.4%).
Ditambah pula, data yang telah terkumpul menunjukkan 2/3 kes kehilangan pekerjaan merupakan kes dari sektor pekerjaan berkemahiran rendah.
Siapa contoh terdekat pekerja berkemahiran rendah ini tuan-puan? Nora Danish dan suaminya anak menteri?
Kertas laporan Families on The Edge menerangkan sebelum krisis pandemik lagi, keluarga-keluarga miskin bandar ini sudah hidup terkapai-kapai.
Seperti yang dilaporkan Khazanah Research Institue (2018), antara tahun 2016-2018, keluarga yang berpendapatan kurang dari RM 5,000 sebulan sudah mula memotong perbelanjaan makanan sihat.
Sedarkah kita, 1 daripada 2 pekerja (responden) tidak mempunyai ’employment based social protection’ ( EPF 2019; DOSM, 2019); 3 daripada 4 pekerja di Malaysia menghadapi kesukaran menyimpan RM1,000 sebagai kegunaan saat emergensi dan 1 daripada 3 pekerja Malaysia cuma mampu bertahan selama seminggu selepas kehilangan pekerjaan?
Sedarkah kita kajian The Centre (2020) menyatakan hampir kesemua responden menderita gejala kegelisahan ekstrem atau depresi (45%) dan tekanan yang teruk (34%)?
Sekarang mari kita tinjau berapa pendapatan kasar keluarga ini. Unicef bersama UNFPA mendapati 500 keluarga (responden) miskin sekitar flat di Lembah Klang mempunyai purata pendapatan isi rumah sebanyak RM1,560 sahaja. Purata setiap keluarga mempunyai lebih kurang lima orang.
Namun, jumlah pendapatan median bulanan pendapatan isi rumah kemudiannya turun 1/3 kepada RM1,000.
Barang mesti diingat, 1 daripada 4 ketua pendapatan isi rumah tidak bekerja semasa PKP yang mana jumlahnya lebih tinggi dari tahun lepas dan tertinggi dalam purata nasional. Manakala lebih dari separuh pendapatan isi rumah tidak mempunyai ‘labour market protection’ terutama sekali dari kalangan wanita.
Dengan kondisi kewangan begitu, apakah keluarga ini mampu membeli makanan sedap seperti anak orang kaya yang menayang makanan PKP mereka di insta story?
Tidak sama sekali tuan-puan.
Keluarga ini tidak memesan steak mewah. Mereka tidak menyulami tekak dengan Starbucks.
Mereka ini, yang berpendapatan bawah RM2,000 membeli lebih banyak telur dan mee segera (40%) dan mengurangkan pengambilan protein dan beras.
Makan pun susah, bagaimana mahu menyimpan duit tabung tuan-puan?
Bukan kerana degil menuruti nasihat usahawan media sosial. Tetapi dalam saat genting begini, dengan gajinya yang berkurang, kerja yang tidak menentu, makanan anak beranak dicatu, kamu fikir bagaimana? Ada di antara mereka terdesak sehingga meminjam wang dari Ahlong bagi membiayai bil hospital untuk si ibu.
Tuan-puan, kemiskinan adalah iblis yang cukul brutal. Ia tidak hanya mengghaibkan nasi, ikan, buah-buahan dari pinggan mangkuk. Malah, ia menjungkirbalikkan kesihatan mental. Berapa ramai ibu-ibu tunggal dari golongan ini menderita depresi yang maha dahsyat? Berapa ramai anak-anak traumatik menyaksikan keganasan domestik berlaku dalam rumah sendiri? Bagaimana mereka menjalani rutin harian? Adakah mereka bahagia seperti kita yang tiap harinya sibuk dengan hal-hal media sosial?
Sesungguhnya, kisah kemiskinan ternyata sendu. Ini realiti tak tersangkal. Bukan salah pandemik kesukaran begini terwujud. Pandemik hanya membuktikan betapa rapuhnya atauran ekonomi-sosial kita.
Cuma, kemiskinan akan segera sensasi apabila ada manusia seperti Ebit Lew datang menyuap nasi ke dalam mulut si miskin. Atau si artis kaya mana entah datang memberi bantuan sambil mempersoal sumbangan artis-artis lain.
Alih-alih gambaran kemiskinan yang sepatutnya dipeduli, dirampas suasana terharu terhadap pengorbanan orang-orang berharta ini. Berjuta pujian dilambungkan. Berjuta doa dikirimkan kepada mereka. Eh? Perlukah di saat ini yang kaya didoakan? Sedangkan yang letih bertarung masih meniti jalan yang pincang?
Masalah kemiskinan tidak semestinya diletakkan ke atas pundak kerajaan. Muhyiddin Yassin, Mahathir, Hadi Awang, Anwar Ibrahim – mereka sibuk dengan parti, pakatan dan langkah politik masing-masing.
Dan benar juga, kita punya banyak NGO yang menguruskan masalah kemiskinan. Tetapi tuan-puan, itu semua tidak memadai. Masalah ini adalah masalah kita semua. Kita semua bertanggungjawab – sebagai individu, sebagai ahli komuniti, sebagai ahli masyarakat.
Sekiranya kita peduli artis kahwin cerai (yang tidak mendatangkan faedah), mengapa tidak peduli dengan masalah asasi kita?
Kepedulian akan membawa kepada bantuan. Selain wang ringgit, masa dan tenaga, saudara-saudara kita perlu dikuasakan. Kemiskinan tidak akan diberesi dengan derma semata. Ia mesti ditenagakan dengan menyediakan peluang serta kesempatan yang adil.
Lebih banyak tenaga kerja dari kalangan masyarakat, lebih banyak bantuan dapat diberi. Lebih banyak dana dijanakan, lebih banyak program empowerment dapat dijalankan. Lebih ramai yang peduli dan peka, lebih kuat suara bergema menekan polisi-polisi lama ditukar polisi-polisi yang lebih sejahtera. Lebih keras kita bersatu, terlebih goyang mereka yang di Parlimen.
Saat itu, percayalah tuan-puan dunia akan lebih bermakna. Doa akan diganti dengan gerak kerja. Sejuta Ebit Lew akan tumbuh melata – meninggalkan kisah-kisah perit jerih usahawan media sosial, influencer produk kosmetik dan jenaka ahli parlimen.
Tetapi itu semua bergantung kepada saya, kamu dan dia. Sama ada kita mulakan sekarang atau setia mengekalkan kedudukan;
Mira Filzah 1; dan Kemiskinan tetap 0.
Seorang slackers duaplohpatjam, penulis 3 buah buku terbitan penerbit ‘kiri borjuis’ Thukul Cetak dan pengendali Tengkorak Hang Podcast. Penggemar semangkuk laksa dan bukan lelaki Melayu bertengkolok kebanggaan semua.