Media merupakan institusi besar yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sesuatu bangsa dan negara. Oleh itu, mereka yang menguasai media memiliki kuasa begitu besar dan dengan matlamat besar sama ada membangun budaya rakyat ataupun menguasainya.
Pilihan raya yang berlaku misalnya sudah cukup menunjukkan betapa pengaruh media boleh menjadikan penentu kepada golongan atas pagar dan golongan muda untuk membuat keputusan.
Media arus perdana seperti televisyen telah membuat liputan hebat dalam pilihan raya yang diadakan itu seperti pilihan raya lalu.
Dengan kata lain, media merupakan arena penyampaian berita pilihan raya, di mana segala agenda dan rempah ratus beritanya disusun dan diatur oleh kuasa media dan rakyat bertindak sekadar penontonnya sahaja.
Sebenarnya, apa yang dipaparkan media semasa pilihan raya contohnya adalah pencitraan realiti dan hegemoni.Realiti manakah yang nampaknya lebih realistik dan pengaruh mana yang berkuasa dan menguasai di hati rakyat?
Pencitraan realiti dan hegemoni menurut Sang Guru pasca moden, Jean Baudrillard, ahli falsafah dan pasca modernis Perancis, bahawa media merupakan agen simulasi (peniruan) yang mampu menghasilkan kenyataan (realiti) buatan, bahkan tidak memiliki rujukan sama sekali dalam kehidupan kita.
Realiti-realiti yang dicetus, dieksploitasi, dan diselewengkan malah diciptakan semata-mata untuk memenangi pilihan raya awam dan kecil seolah-olah seperti perlawanan bola sepak yang memerlukan kemenangan. Namun, dalam pilihan raya tidak ada mata seri. Kemenangan adalah hak mutlak.
Teori Baudrillard dapat dikatakan masuk akal jika kita menghubungkannya kepada liputan berita dan propaganda di televisyen, radio, dan media cetak yang menampilkan tokoh-tokoh dengan bendera parti politik di belakangnya.
Namun, di sisi lain isu seperti yang dianggap tidak popular seperti komuniti Orang Asal misalnya dalam pilihan raya kecil di Galas, Kelantan dan kepentingannya yang begitu fenomenal sangat tidak didedahkan secara keseluruhannya oleh berbagai media.
Padahal, isu Orang Asal adalah isu yang fenomenal dan merupakan bentuk nyata kesedaran politik rakyat. Isu Orang Asal jarang mendapat tempat di hati media tetapi dalam isu pilihan raya di Galas ia diberikan laporan permaidani merah.
Biasanya dalam pilihan raya kecil, banyak isu tempatan yang tidak diangkat media menjadi isu besar kerana media arus perdana lebih mengetengahkan isu nasional yang dapat menarik rakyat untuk mengundi dengan mengenepi dan mengkesampingkan isu penting tempatan.
Menurut Antonio Gramsci, pakar hegemoni Itali, apa yang berlaku adalah perlakaran pencitraan pandangan oleh rakyat di mata media kerana media memiliki kuasa hegemoni.
“Kuasa media” daripada kelas yang berkuasa itu secara tiba-tiba menonjolkan dengan jutaan keprihatinan dan belas kasihan menangani isu-isu lokal menjadi isu-isu nasional dengan segala bantuan dan taburan janji.
Kader-kader politik membuat kunjungan rumah ke rumah dan mesra rakyat adalah bertujuan meraih undi bagi kemenangan parti.
Seluruh jentera parti turun memberi sokongan. Adakah perkara ini berlaku pada hari-hari biasa misalnya adun atau ahli parlimen turun mendengar rintihan rakyat?
Lebih lanjut Karl Marx dan Federich Engels menyatakan,
“The ideas of the ruling class are in every epoch the ruling ideas, i.e. the class which is the ruling material force of society, is at the same time its ruling intellectual force. The class which has the means of material production at its disposal, has control at the same time over the means of mental production, so that thereby, generally speaking, the ideas who lack the means of mental production are subject of it.” (Marx and Engels, Storey [ed], 1995: 196).
Jika memang demikian, dunia politik hanya menjadi “realiti politik yang sudah dikemas dan disusun rapi (manufactured political realities)”.
Inilah yang dinamakan kekuasaan media (mediacracy) yang mencapai titik puncaknya. Media secara sempurna mampu melakukan rekayasa terhadap realiti politik.
Dengan kata lain, media memainkan peranan besar sebagai mendefinisi realiti politik.
Inilah tanggungjawab besar yang harus dimainkan misalnya akhbar Harakah ataupun akhbar kecil yang lain yang berada di tengah-tengah gelombang media berarus deras. Harakah misalnya harus mentakrifkan realiti politik kebenaran.
Tambahan lagi kepentingan politik dan kewangan inilah yang menjadi landasan pertanyaan kritis tentang “keberimbangan maklumat” terhadap rakyat.
Keberimbangan yang dimaksud membicarakan tentang keadilan peranan media terhadap rakyat yang diiringi dengan kebenaran kandungan maklumat yang berdasar pada kenyataan yang sesungguhnya (realistik), bukan kenyataan buatan dan keberpihakan media kepada rakyat dan tidak kepada yang berkuasa semata-mata.
“Keberimbangan maklumat” tidak dapat wujud ketika kepemilikan media didominasi oleh penguasa (pemodal dan elit politik).
Rakyat di antara media massa dan penguasa hubungan media dengan rakyat dipengaruhi oleh gejolak keadaan sosial yang berkarakter pada kesejahteraan ekonomi dan kekuasaan politik yang berbeza antara kelas sosial yang satu dengan kelas sosial yang lain.
Keadaan ini dapat dilihat dalam hubungan media dengan institusi sosial lain. Pada tingkat tertentu media bersaing dengan kekuasaan dan pengaruh yang dominan ataupun media memperkuat kekuasaan dan pengaruh dominan itu.
Sejalan dengan itu, pendekatan Marxisme melihat media sebagai alat dari kelas dominan, yakni alat dominasi penguasa untuk mempertahankan kekuasaan yang sedang berlangsung (status quo) dan sebagai sarana kelas pemilik modal untuk menggandakan modalnya.
Media dalam konteks itu selalu menyebarkan ideologi dari kelas yang berkuasa kepada rakyat.
Keadaan itu memperlihatkan tekanan kepada kelas yang di bawah iaitu rakyat. Fungsi media menjadi begitu sempit ketika sistem ekonomi-politik media menjadi sebahagian daripada kekuasaan yang ada.
Menurut teori politik ekonomi media, kepemilikan media pada segelintir elit pengusaha dan penguasa telah menyebarkan patologi ataupun penyakit sosial.
Teori ini didasarkan pada satu pengertian ekonomi politik sebagai kajian mengenai hubungan sosial, khususnya menyangkut hubungan kekuasaan, baik dalam produksi, pengedaran dan penggunaan sumber daya (resources) seperti surat khabar, majalah, buku, kaset, filem, Internet dan seumpamanya (baca Vincent Moscow, The Political Economy of Communication, 1998: 25).
Memandangkan kandungan media sekarang menjadi bahan perdagangan atau komoditi yang dijual di pasaran, maklumat yang tersebar dikendalikan oleh apa yang ditentukan pasaran. Berita-berita jenayah dan perlakuan sosial dijadikan bahan komoditi kerana laris dijual di pasaran dan ia akan menaikkan pengedaran sesetengah akhbar tabloid misalnya.
Sistem mekanisme pasaran ini dilihat kejam kerana sesuatu realiti diperbesarkan dan mendominasi wacana awam dan membuatkan perkara lain terpinggir.
Dalam arena politik pula, maklumat menjadi barang dagangan bernilai politik yang terbuka peluang lebar bagi direkayasakan untuk kepentingan politik.
Daripada beberapa perkara ini dapatlah kita memerhatikan bagaimana dinamik hubungan yang terjadi antara media, rakyat, dan politik kerana ia menunjukkan siklus pergumulan kelompok-kelompok dominan atau berkuasa.
Kelompok dominan yang dimaksudkan adalah politik pemegang kekuasaan dan calon pemegang kekuasaan, dan pemilik modal berupa pengusaha, pemilik perusahaan, pelabur,dan berkaitan.
Dalam konteks negara kita, sebahagian besar pemodal adalah proksi kepada parti-parti kerajaan.
Sementara itu, rakyat tertindas seperti pekerja, petani, nelayan, wanita, ibu-ibu, remaja, kelompok minoriti merupakan kelompok yang dikuasai dalam kehidupan sosial.
Media alternatif milik rakyat; media termasuk blog dan online yang dikuasai dan dikendalikan rakyat harus dibangun bagi menentang hegemoni dan dominasi penguasa yang menindas rakyat.
Media ini disebut media rakyat merupakan instrumen ideal yang harus dimiliki oleh kelompok tertindas. Media rakyat dijadikan benteng pertahanan budaya rakyat sekaligus mesin perang melawan penindasan dalam konteks melawan pembodohan melalui media komersil besar saat ini.
Perancangan pandangan baru progresif yang lebih mendidik dan mencerdaskan di media rakyat akan menjadi gagasan yang berlawan terhadap segala bentuk hegemoni dan dominasi.
Setelah itu, media-media rakyat progresif (radio, televisyen, risalah, surat khabar, laman web, blog, buku dan seumpamanya) yang terdapat harus membangun dengan jaringan-jaringan bermakna berisi berbagai muatan untuk melawan media milik pemodal dan penguasa.
Pandangan yang progresif berpihak kepada rakyat harus dibangunkan untuk menyaingi besarnya tiap-tiap wacana dan program yang terlahir daripada media-media komersial ketika ini.
Perjuangan media rakyat harus didasarkan dengan membangun secara kemandirian. Asas kerjanya harus menghilangkan ketergantungan terhadap media besar dan tidak terjebak ke dalam pusaran kapitalisme.
Perkara yang diyakini di dalam media rakyat adalah rakyat berdaulat atas media. Dengan demikian, rakyat berdaulat atas idea-idea, intelektualiti, dan budayanya.
Media rakyat harus keluar dari binari dan konfigurasi media kerajaan dan media pembangkang. Ia harus keluar dari media kepartian dan melebarkan jaringan kepada media ilmu dan memajukan pengetahuan.
Apa yang sedih di negara kita adalah kenkangan dan batasan undang-undang akan membantutkan usaha ini. Tetapi, pengusaha media rakyat harus lebih kreatif dan inovatif dalam membangun minda rakyat bagi memberikan kesedaran dalam penyebaran maklumat dan berita.
(Artikel ini adalah petikan dari buku Media=Setan)
Ismail Hashim adalah mantan Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Selangor (Unisel).Beliau pernah menjadi wartawan di Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan akhbar New Straits Times. Anak kelahiran Pulau Pinang ini telah menulis dua buku iaitu Politik Citra Malaysia: Antara Kebenaran dan Kepalsuan dan Media=Setan.