Menuju Negara Dystopia

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Jika mahu menonton filem yang bertemakan dystopia, bagi saya Time to Hunt merupakan salah satu filem yang baik. Diarahkan oleh Yoon Sung-Hyun, siarannya di Netflix. Filem dari produk Korea Selatan ini penuh dengan suspen entah berapa kali saya menutup mata sendiri kerana tak sanggup melihat apa yang akan jadi seterusnya. Namun, yang menjadi daya tarikan filem ini bukanlah elemen suspennya semata, tetapi realiti kehidupan yang mereka alami.

Bayangkan sebuah negara yang sopak, kotor, busuk, rosak dan terabai disebabkan oleh pecah amanah, korupsi dan pelanggaran undang-undang oleh elit penguasa yang paling dipercayai lalu menyebabkan lahirnya masyarakat yang barbarik atau gasar. Kehidupan manusia bukan lagi diatur oleh moral, keadilan mahupun kedaulatan undang-undang melainkan dengan kehendak dan keinginan orang yang lebih berkuasa. Meminjam istilah Pankaj Mishra sebagai social Darwinism dimana peraturan yang terpakai hanya satu:

“Yang kuat akan bertahan dan dilayani.”

Jadi undang-undang dan moral bukanlah perkara yang perlu diyakini, sesiapa yang mencungkil mata orang lain, akan diburu untuk dicungkil semula matanya. Kemiskinan dibiarkan tersebar dan melarat kerana kemiskinan tanda kelemahan individu. Maka masyarakat bertebaran membunuh satu sama lain demi untuk berjuang hidup. Cukup ngeri.

 Definisi Dystopia Dan Ciri-cirinya

Dystopia asalnya perkataan diambil dari kata Yunani menggambarkan satu komuniti atau masyarakat yang tidak dimahukan atau terkesan menakutkan. Istilah dystopia ini merupakan kata lawanan dari utopia seperti yang pernah ditulis oleh Thomas Moore. Jika dystopia menggambarkan masyarakat yang buruk, utopia pula menggambarkan satu masyarakat ideal yang hidup tanpa kejahatan juga kemiskinan.

Dystopia bukanlah satu kekata kepustakaan semata, ia terkandung ciri-ciri. Ciri-ciri yang hadir inilah akan membentuk satu rantaian jahat memberikan dampak kerosakan secara keseluruhan. Sesuatu negara, daerah atau masyarakat yang mulai cenderung menjadi dystopia akan bermula dengan memandang undang-undang, kehakiman sebagai arbitrari lalu memangkas keadilan. Bermakna undang-undang hanya terguna pakai untuk satu kelompok sahaja dan bukan kelompok lainnya. Kebiasaanya ia akan didominasi oleh pihak kuat yang mempunyai sumber banyak.

Ketika jenayah dilakukan oleh yang lemah atau kelompok miskin mereka akan dijatuhkan hukuman berat sudah tentu seperti mana yang ditulis dalam undang-undang lalu memberi pengajaran pada lainnya. Malangnya, jika kelompok elit dan keturunannya yang melakukan jenayah, mereka tidak akan dihukum dengan hal yang sama. Lama kelamaan hal ini akan menimbulkan persepsi dan merobek wajah undang-undang dan kehakiman lantas menyebabkan masyarakat banyak tidak percaya lagi pada sistem itu. Nah bila ini berlaku, sudah tentu dehumanisasi akan mengambil tempat dan semua orang bertindak dengan logik sendiri dalam menyelesaikan masalah terutama berkaitan jenayah. Dari sini dystopia mencapai batennya.

Selepas undang-undang, merelatifkan moral juga menghadirkan ciri dystopia. Moral sepatutnya menjadi satu perkara yang konkrit di mana semua manusia tahu garisan perkara yang baik juga buruk bila dilakukan. Namun ada manusia yang bersangkaan bahawa moral itu relatif. Ada yang percaya jika pembunuhan dilakukan waktu dahulu itu sah, tetapi jika dilakukan kini merupakan jenayah. Walhal dalam nilai moral pembunuhan yang dilakukan dulu dan sekarang tetap jenayah. Begitu juga dengan jenayah lain seperti pecah amanah, korupsi, penyelewengan dana awam, salah tadbir urus negara, hipokrasi dan ketamakan, semua itu tidak relatif.

Walaupun begitu, bersedialah kerana akan ada kelompok yang menindakan dan menghalalkan semua itu atas alasan kerelatifan, bermaksud jika ia dilakukan oleh elit penguasa itu normal, tidak ada yang perlu kita risaukan. Bahkan masih wajar disokong kekuatan mereka jika tidak mahu huru-hara ditimbulkan. Akhirnya masyarakat jadi kacau bilau yang miskin jadi kebuluran akibat jenayah rasuah kelompok elit sehingga memaksa negara menjadi huru-hara dan hilang kestabilan.

Selepas moral relatif, ciri seterusnya dystopia itu bila manusia lambak mengambil tempat. Manusia lambak merupakan manusia yang memaksakan segala nilai yang buruk dan jelek dari selera mereka menjadi selera yang standard dan wajib diikuti oleh semua orang. Kebiasaannya manusia lambak ini terdiri dari kelompok elit yang punyai pelbagai sumber dan rendah selera.

Antara sifat manusia lambak itu dijelmakan dengan sifat hooligan. Bermakna jika berlainan perbedaan tidak diurusi dengan berwacana atau meraikan pendapat, tapi diselesaikan dengan sepakan, pukulan, makian malah tuduh-tuduhan sehingga mewujudkan budaya buli dari kelompok yang dikatakan mewakili rakyatnya juga penyokong mereka. Malah mereka ini jugalah memupuk budaya fanatik pada masyarakat. Akhirnya masyarakat bergaduh bagi mempertahankan kedudukan elit penguasa bukannya untuk meningkatkan taraf hidup mereka sendiri yang sedang ditekan. Ironi sekali, kalau ini bukan huru-hara dystopia tak tahu apa lagi representasinya.

Seterusnya, bagi yang beragama dystopia boleh muncul sekiranya agama digunakan hanya sebagai tunggangan kekuasaan dan bukannya emansipasi masyarakat. Bayangkan setiap dalil digunakan hanyalah untuk mengabsahkan kedudukan dan kekuatan mereka tidak untuk membantu yang lemah. Yang lebih buruk, setiap kejahatan mereka diminta legitimasi atas hukum agama yang mereka tafsir secara semberono. Masalah-masalah lain seperti kemiskinan, patriarki, rasisme, fasisme, konservatisme tidak menjadi titik pukulan agama untuk mecari kedamaian sebaliknya isu ini jugalah yang dicanangkan sebagai tunjang kekuasaan.

Dari sini sudah tentu akan mewujudkan kekeliruan, yang percaya dan termakan kepada dakyah agama yang busuk ini akan mati-matian mempertahankan yang akhirnya mewujudkan sifat keradikalan dan kekerasan. Habis semuanya diselesaikan dengan peperangan yang berkeluarga retak hubungannya, masyarakat pula hilang pedoman.

Akhir sekali cengkaman penolakan pada minda kritis, rasional akal dan emansipasi sekaligus memandang rendah semangat humanisme oleh institusi juga akan menghasilkan komuniti yang barbarik. Semuanya tidak diselesaikan dengan cara budiman, tapi dengan penaklukan dan kekerasan akhirnya akan timbul pemberontakan dan huru hara yang tidak berkesudahan.

Begitulah antara ciri-ciri negara atau masyarakat yang akan menuju dystopia lalu melupakan ambisi utopia. Tahu apa yang paling membimbangkan dari ciri-ciri itu? Sudah tentu sebahagian besarnya sudah terjelma di dalam negara dan masyarakat kita. Adakah ini bermakna kita sudah terlambat? Dan tidak lama lagi negara kita akan mengalami nasib yang sama seperti filem Time to Hunt? Sudah tentulah tidak.

Sekarang kita perlu merebut kembali  segala yang dystopia yang buruk-buruk lalu menukarkannya menjadi suara yang ampuh berani mengatakan yang jahat itu jahat, yang korup itu korup dan yang bangsat itu bangsat. Jangan berselindung lagi disebalik keneutralan kononya menjadi moderasi dan tidak berpihak itu jalan keluar. Kalau itulah yang difikirkan maka negara sedang dipimpin sendiri menuju dystopia.

Komen