Pengenalan
Setiap kali menjelang 31 Ogos dan 16 September, seluruh Malaysia akan dilanda ‘demam’ patriotrisme dan secara mengejut ramai yang sebelum ini tidak mengambil tahu tentang sejarah, berubah menjadi pakar sejarah. Bicara dan forum tentang sejarah dianjurkan di mana-mana. Setiap kali 31 Ogos juga, saluran televisyen di Malaysia akan secara berterusan menayangkan filem-filem bersifat kenegaraan. ‘1957: Hati Malaya’ dan ‘Bukit Kepong’ merupakan dua filem yang selalu menjadi mainan siaran stesen-stesen televisyen di Malaysia. Slot ‘Teater Legenda’ di saluran RTM 2 pula akan mengambil peluang menayangkan kembali filem ‘Sarjan Hassan’ lakonan seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.
Pada tarikh yang dianggap keramat ini juga pelbagai polemik sejarah akan tiba-tiba muncul. Di antara polemik-polemik yang menjadi perhatian pada tahun-tahun sebelum ini termasuklah isu kewujudan Hang Tuah, Malaysia dijajah atau hanya dinaungi, Mat Indera itu pengkhianat atau pejuang dan pelbagai lagi isu hangat sementara muncul.
Namun, apa yang lebih ajaib. Selesai sahaja sebulan sambutan bulan kemerdekaan semua isu ini akan lenyap, kesedaran sejarah kebanyakan rakyat Malaysia merosot kembali dan semuanya kembali tenang seperti sediakala. Tinggal sejarah hanya diteliti, dikaji dan dipelajari oleh peminatnya sahaja. Ini merupakan satu gejala yang sewajarnya dijauhi. Sejarah sepatutnya diraikan secara terus-terusan dan bukan bermusim. Sejarah ialah ilmu tentang kita dan tentang bagaimana kita bermula.
Pelbagai persoalan bermain dalam minda pengkaji dan peminat sejarah. Apakah masalah yang sebenarnya berlaku sehingga kita merasakan sesuatu yang ganjil apabila sejarah hanya menjadi bahan bermusim. Adakah kerana pensejarahan kita tidak dapat diterima kebanyakan khalayak? Adakah sejarah kita berat sebelah? Adakah tema sejarah kita hanya mementingkan soal politik dan figura tokoh sahaja dan meminggirkan tema-tema lain? Adakah benar wujud ego dalam kalangan sejarawan yang menganggap sejarah hanya boleh ditulis dan ditangani oleh sejarawan sahaja dan lanjutan daripada itu menyebabkan khalayak rakyat meminggirkan sejarah sebagai bidang untuk didebat, dibincang dan diforumkan sepanjang masa? Atau adakah wujud apa yang dipanggil sebagai sejarah nuetral untuk mengimbangi keadaan dan pergeseran di dalam menentukan kebenaran?
Ini merupakan di antara persoalan-persoalan penting yang akan kita rungkaikan di dalam meneliti secara telus sama ada wujud atau tidak keperluan untuk menulis semula sejarah negara yang kita cinta ini.
Merombak Sejarah: Pengalaman Negara Luar
Gerakan untuk melihat, menulis dan membuat rombakan kepada sejarah dikenali sebagai revisionisme. Gerakan ini bukan hanya berlaku di Malaysia, malah bergerak aktif di seluruh dunia. Negara-negara yang mengalami perubahan struktur politik sering berdepan kemelut sejarahnya yang tersendiri. Namun Malaysia memiliki ciri-ciri unik di dalam sejarahnya yang menyebabkan muncul keperluan untuk menilai dan melihat kembali sejarah dalam kacamata yang baru. Rusia atau dahulunya dikenali sebagai Kesatuan Soviet merupakan di antara negara yang berdepan dengan cabaran gerakan ini yang bermula pada sekitar 1970an. Apa yang berlaku dalam perubahan sejarah Kesatuan Soviet ialah satu usaha mengubah pradigma tema dan model sejarahnya kepada satu bentuk baru.
Menurut Sheila Fitzpatrick di dalam artikelnya bertajuk Revisionism in Soviet History, konsep anjakan paradigma yang diilhamkan oleh Thomas Kuhn pada 1962 jelas terpakai di dalam gerakan pensejarahan yang berlaku di Kesatuan Soviet apabila kaedah dan cara melihat sejarah berubah dengan pantas dalam setiap dekad, daripada model totalitarian kepada model yang lebih terbuka. Pada 1970an sejarah sosial menjadi dominan mengatasi sejarah politik kemudian pada awal 1990an sejarah budaya pula menguasai pentas. Menurut Sheila lagi perubahan pada sejarah Soviet sebenarnya tidaklah disebabkan oleh pertambahan maklumat atau sumber baru semata-mata, namun apa yang lebih signifikan ialah berlaku perubahan generasi dan penglibatan lebih ramai sejarawan muda yang melihat sejarah bukan hanya politik semata-mata tetapi sejarah ialah ilmu yang melibatkan variasi bidang mencakupi isu-isu yang sebelum ini sering ditinggalkan kerana tumpuan yang terlalu tinggi terhadap politik.
Selain daripada apa yang berlaku kepada sejarah Kesatuan Soviet, gerakan revisionisme juga dapat diperhatikan berkembang secara positif di dalam meneliti sejarah Revolusi Mexico. Revolusi ini berlaku pada sekitar tahun 1910 dan berlangsung sekitar satu dekad dan berakhir pada 1920. Kepentingan peristiwa ini kepada Mexico dan negara sekitarnya menjadi daya penarik untuk unsur-unsur kepelbagaian di dalam melihat sejarah itu muncul di dalam mengkaji Revolusi ini. Kajian terhadap peristiwa ini mencapai puncak kematangannya sekitar 1960an apabila banyak perbincangan secara perbandingan (comparative) dan kritikal dibuat. Malah sehingga kini menurut David C. Bailey dalam artikelnya yang bertajuk Revisionism and the Recent Historiography of the Mexican Revolution, kompleksiti terhadap historiografi di dalam melihat revolusi ini adalah lebih tinggi berbanding kompleksiti peristiwa itu sendiri. Menurut Bailey lagi, kemajuan di dalam kaedah (methodology) yang digunakan sejarawan memberikan pandangan baru terhadap revolusi ini. Apa yang lebih penting ialah sejarah sosial dan sejarah ekonomi lebih memainkan peranan dan mengambil teraju utama di dalam menjelaskan Revolusi Mexico pada ketika ini. Ini sebenarnya merupakan satu perubahan ketara daripada sejarah yang melihat peranan tokoh seperti yang dianggap pencetus Revolusi ini seperti Madero, Zapata dan Carranza kepada sejarah yang melihat secara teliti beberapa aspek yang sebelum ini ditinggalkan. Perubahan di dalam pengkajian sejarah Revolusi Mexico ini juga berlaku kerana keterbukaan di dalam akses terhadap sumber pertama melalui pembukaan gedung arkib di Mexico City dikenali sebagai Centro de Estudios de Historia de Mexico pada 1960an. Melalui arkib ini, data yang diterima adalah lebih luas dan sumbernya juga lebih mudah untuk ditentukan keabsahannya. Keadaan ini jelas membantu kepada penulisan sejarah yang lebih baik dan berkesan.
Sejarah Malaysia Berat Sebelah?
Setelah kita mengimbas apa yang berlaku di dunia luar, kita kembali semula ke Malaysia. Dengan situasi yang sebenarnya sama tapi tak serupa, kita juga memerlukan daya baru dalam melihat kembali sejarah. Gerakan revisionisme yang tuntas dan mempunyai objektif jelas begitu diperlukan untuk memastikan penulisan sejarah negara lebih seimbang dan bercambah. Gerakan revisionisme tidak seharusnya diertikan sebagai usaha memberikan kemenangan kepada sesetengah pihak dan menafikan hak sesetengah pihak yang lain, tetapi gerakan ini perlu dibaca dalam kerangka pemahaman sejarah yang lebih berstruktur. George Orwell dalam salah satu karya agungnya, 1984 ada menyebut “He who controls the present, controls the past. He who controls the past, controls the future.”
Ini merupakan satu ungkapan yang menarik dan amat bersekali dengan kenyataan yang sering membuatkan kita berfikir mengenai sejarah berat sebelah atau sejarah milik pihak yang menang. Adakah sejarah di Malaysia milik pihak yang menang? Ini merupakan satu persoalan besar dan sering ditimbulkan secara meluas dewasa ini.
Apabila kita melihat sejarah milik pihak yang menang, kita harus memilih konteks dan tema yang bersesuaian untuk menghuraikannya. Sejarah politik yang menjadi aliran konvensional merupakan pilihan yang paling tepat untuk kita pilih di dalam menggaris dan seterusnya menentukan sama ada sejarah kita yang sedia ada ini adalah berat sebelah dan hanya berpihak kepada golongan yang menang sahaja.
Mengapa apabila mahu melihat keseimbangan sejarah dan menentukan sama ada sejarah itu adil pada semua atau tidak kita perlu melihat kepada sejarah politik?
Ini merupakan satu persoalan penting yang wajib ditimbulkan dan kemudiannya wajib pula dijawab. Walaupun kita menyebut keperluan mengenai revisionisme dan menyemak kembali sejarah, tetapi untuk menentukan keseimbangan dan sama ada sejarah itu memihak atau tidak, secara tanpa sedar sebenarnya kita sudah terjerumus kepada polemik politik. Ini bukan satu andaian kosong tanpa bukti. Situasi yang timbul apabila kita menyebut sejarah yang ada sebagai tidak adil, berat sebelah dan mengangkat golongan pemenang sahaja ialah sebahagian daripada polemik yang ditimbulkan dalam kalangan individu atau organisasi politik. Secara mudahnya begini, apabila parti dari aliran kanan yang memerintah, maka sejarahnya sudah tentu menceritakan perjuangan dan perjalanan golongan kanan, sambil meminggirkan peranan dan keperluan perjuangan aliran kiri.
Situasi ini jelas berlaku di Malaysia pada ketika ini. Apabila kita semak kembali penulisan-penulisan sejarah di dalam buku-buku teks sejarah di peringkat sekolah, kita akan dapat melihat dengan jelas ketidakseimbangan ini. Bagaimana peranan golongan kiri yang tidak sealiran dengan pemerintah tidak diiktiraf di dalam sejarah kita. Keadaan ini sebenarnya memberikan satu lompong kepada bahaya di dalam penafsiran sejarah. Ada satu sikap generalisasi yang mengancam pensejarahan di Malaysia. Salah satu contoh klasik ialah semua golongan pejuang kiri di Malaysia dikaitkan secara langsung dengan perjuangan komunis, sedangkan keadaan sebenar bukanlah semua golongan kiri itu komunis, dan jika ada pun di antara mereka yang terlibat dengan komunis, mereka bukanlah menyertai komunis kerana tertarik dengan ideologi komunis, tetapi atas faktor desakan perjuangan.
Perkara dan fakta ini kita boleh baca dan selongkar di dalam memoir-memoir yang ditulis oleh golongan kiri ini. Kesilapan-kesilapan begini merupakan bahaya penafsiran sejarah yang dimaksudkan. Jadi sejarah yang tidak seimbang bukan hanya membawa kerugian kepada pihak yang kalah, tetapi mampu membawa kesan negatif yang lebih besar di dalam apa yang disebut sebelum ini sebagai salah tafsir sejarah. Kadangkala sejarah di Malaysia sukar untuk memberikan makna sebenar kerana emosi yang wujud dalam jiwa kita semua. Kita kadangkala tidak mahu menerima hakikat fakta, tetapi hanya selesa mendengar perkara yang enak-enak sahaja. Ini merupakan satu masalah yang memerlukan rawatan segera, jika kita mahu sejarah di negara kita benar-benar memiliki sifat yang kukuh sebagai sebuah cabang ilmu.
Perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan sama ada kiri atau pun kanan bukanlah justifikasi untuk kita menentukan mereka ini benar dan mereka yang lain itu salah. Itu hanya ideologi dan aliran pemikiran mereka. Tidak ada kena mengena langsung dengan kebenaran atau kesalahan. Kebenaran dan kesalahan hanya dapat ditentukan oleh fakta yang sejati. Jika Malaysia mahu menjadi sebuah negara yang memiliki nilai sejarah yang tinggi maka signifikan perjuangan setiap tokoh wajar dilihat dari segi isi perjuangan, bukan dari segi permukaan sama ada mereka kiri atau pun kanan. Apa yang jelas aliran pemikiran dan corak perjuangan berbeza, tetapi matlamat mereka sama, untuk membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah.
Jika kita berfikiran objektif dan membebaskan emosi daripada penulisan sejarah, maka kita akan melihat kepelbagaian aliran ideologi politik yang dianuti oleh tokoh kemerdekaan negara adalah cerminan dinamika politik domestik Tanah Melayu pada abad ke 19 dan awal abad ke 20. Malaysia mungkin boleh belajar sesuatu daripada India, sebuah negara yang berdepan dengan bentuk penjajahan yang hampir sama, malah dalam sesetengah keadaan lebih teruk dan terseksa lagi. India merupakan sebuah negara yang meraikan kepelbagaian di dalam sejarahnya. Di negara berkenaan kita dapat melihat bagaimana pejuang beraliran Marxist-Leninist, Bhagat Singh diangkat sebagai di antara tokoh pejuang kemerdekaan di India. Malah ada tugu peringatan dibina di Hussainiwala demi memperingati jasa dan pengorbanan beliau. Sedangkan Bhagat merupakan seorang yang tidak mempercayai agama dan menolak idea serta corak perjuangan Mahatma Ghandi yang disifatkan memberi muka kepada British. Di Malaysia perkara sebegini tidak berlaku dan peluang untuk golongan kiri muncul di dalam perbincangan sejarah menerusi pentas mainstream amat sukar dijumpai.
Perlu diakui bahawa sejarah bukan hak mutlak mana-mana golongan dan sesiapa juga bebas membuat penafsiran dan menerima atau menolak apa-apa hujah asalkan mempunyai fakta dan sumber yang mencukupi. Sejarah juga tidak akan menjadi neutral kerana kita masing-masing memiliki pegangan dan aliran pemikiran yang tersendiri. Namun, kita juga harus sedar dan sentiasa ingat bahawa sejarah harus diterima dalam keadaan terbuka dan perbincangan tentang sejarah harus dikepilkan bersama-sama dengan sikap matang dan perjudis terhadap mana-mana golongan yang akhirnya mampu menghancurkan perkembangan intelektual ilmu sejarah itu sendiri. Sejarawan memiliki peranan yang besar dan sewajarnya tidak turut serta di dalam memihak kepada polemik politikus yang sedang mencari peluang. Sejarawan bebas mengemukakan pandangan dan tidak harus wujud budaya mengawal perkembangan intelektual. Hegemoni keilmuan perlu dikikis. Proses label-melabel dengan nama ideologi pemikiran juga sudah susut nilai, kerana sekarang waktu kita melihat sejarah dalam bentuk yang baru dan memberikannya peluang untuk didebat dan dibincangkan secara terbuka serta kemudiannya ditulis dengan lebih berstruktur demi mencerminkan keadaan sebenar yang berlaku.
Sejarah sangat penting dan disinonimkan dengan pembetukan identiti nasional dan cara kita berfikir pada hari ini, maka sejarah sering dijadikan ‘mangsa’ untuk mempengaruhi rakyat biasa agar mempercayai perjuangan politik sesuatu pihak. Lantaran ‘sifat’ sejarah yang begitu dekat di hati masyarakat menjadikan subjek itu sebagai sasaran utama dalam menjayakan agenda politik peribadi. Pertarungan dalam menentukan naratif sejarah siapa yang tepat adalah pertarungan ideologi politik kepartian antara mereka yang dominan dengan mereka yang kurang signifikan. Adegan cabar mencabar di antara segelintir pemimpin kanan kerajaan dan parti pembangkang sebagaimana yang dilaporkan media arus perdana mengenai ketepatan fakta sejarah negara adalah bukti yang cukup jelas, bahawa pertarungan naratif sejarah ini bukanlah bertujuan untuk menjernihkan kekeliruan umum tentang sejarah tetapi menggunakan sejarah untuk mempengaruhi minda rakyat biasa.
(bersambung)
Daniyal Kadir adalah seorang penjawat awam yang juga rajin mengulas tentang seni perfileman. Beliau juga merupakan penulis buku Membedah P. Ramlee selain kerap muncul dalam acara bicara perfileman, baik sebagai panelis atau moderator. Di masa lapang, Daniyal juga terlibat dalam pembikinan filem pendek.