Meninjau Sejarah – Bahagian 2

Sejarah Sosial Di Malaysia

Revisionisme di Malaysia bermula sebaik sahaja negara mencapai kemerdekaan dengan Pada permulaan kajian sejarah secara akademik di Malaysia selepas tahun kemerdekaan pada 1957, ramai sejarawan yang muncul cuba membawa imej sejarah yang lebih tempatan dan keluar dari kepompong Eropah atau lebih tepatnya, British. Usaha awal ini cuba membawa kepada penulisan sejarah bentuk baru yang cuba lari daripada keadaan konvensional dan tipikal. Sejarah baru ini cuba menulis tentang rakyat dan golongan-golongan kecil seperti petani, orang asal dan masyarakat kampung. Namun, usaha itu tidak berkembang secara besar apabila perbincangan sejarah masih lagi dominan dengan tema-tema tipikal seperti pentadbiran British dan sistem politik.

Sejarah konvensional di Malaysia melihatkan bentuk dan tema penulisan yang tidak dinamik, malahan hanya berputar kepada beberapa perkara sahaja seperti sejarah kesultanan, perlakuan penjajah, sistem dan kegiatan ekonomi. Kita hanya menilai sejarah dari golongan yang sama, golongan yang membuat dasar, golongan yang memerintah dan golongan yang memegang kuasa. Sejarah yang ditulis dari atas tetapi dibaca dari bawah, satu aturan yang tidak sekata dan sejarah konvensional dipacu oleh keadaan ini.

Kesedaran revisionisme untuk mengembangkan sejarah dari bawah atau sejarah sosial di Malaysia datang pada 1970an. Penerimaan ini sebenarnya agak lewat daripada kemunculan Sekolah Pemikiran Annales yang diasaskan oleh Marc Bloch dan Lucien Febvre pada 1929 di Universiti Strasbourg di Perancis. Annales dikaitkan sebagai pencetus kebangkitan penulisan sejarah sosial. Beberapa faktor boleh dikaitkan dengan kelewatana ini termasuk faktor penjajahan yang menyebabkan perkembangan penulisan sejarah bentuk baru dan dalam gaya lebih tempatan terbantut. Pada waktu sebelum merdeka juga sejarah kita ialah sebahagian daripada sejarah penjajah dan pemisahan amat sukar untuk dibuat pada ketika itu.

Selain daripada faktor penjajah, faktor kemunculan Jabatan Sejarah di institusi pengajian tinggi yang baru muncul dan pengukuhan sejarah sebagai satu bidang akademik juga masih baru, segar serta dalam proses mencari identitinya yang sendiri. Justeru itu, kita dapat melihat karya-karya sejarah sosial amat terhad pada ketika itu dan salah satu yang boleh dikatakan sebagai yang terawal ialah Peasants and Their Agricultural Economy in Colonial Malaya (1874 – 1941) yang ditulis oleh Lim Teck Ghee pada 1977. Sejarah Sosial di Malaysia makin giat berkembang pada 1980an apabila kita dapat melihat Sejarawan seperti Cheah Boon Keng menulis buku yang memiliki elemen ‘bawah’ yang cukup ketara, The Peasant Robbers of Kedah (1920 – 1929). Buku yang ditulis pada 1988 ini jelas menunjukkan perubahan langsung kepada landskap historiografi Malaysia, apabila mebawa kisah golongan-golongan yang diketepikan di dalam aliran utama dan penulisan ini menunjukkan bagaimana perkembangan kelompok bandit di Kedah berlaku dan membawa kepada masalah jenayah di kawasan luar bandar di negeri berkenaan. Jelas sekali penulisan sebegini amat unik dan cukup didahagakan di dalam perkembangan sejarah Malaysia.

Sebelum Cheah Boon Keng, pada 1984, Shaharuddin Maaruf menghasilkan buku bertajuk Sebelum Cheah Boon Keng, pada 1984, Shaharuddin Maaruf menghasilkan buku bertajuk Concept of Hero in a Malay Society di mana buku ini mengangkat tema bagaimana masyarakat Melayu harus melihat aspek keperwiraan yang wujud di dalamnya. Ini merupakan satu sisi yang juga sebelum ini terpinggir, tetapi mendapat tempat yang sewajarnya melalui perkembangan menarik sejarah sosial di Malaysia. Di dalam mukaddimah bukunya, Shaharudin menyebut bukunya bukan bertujuan untuk menonjolkan elemen keperwiraan secara peribadi merujuk kepada mana-mana tokoh, tetapi beliau berpandangan untuk menonjolkan nilai dan idea di sebalik keperwiraan di dalam budaya Melayu itu sendiri. Beliau menyatakan dengan jelas sekali lagi bahawa beliau tidak berminat untuk mendebatkan soal siapa yang sepatutnya menjadi wira, Hang Tuah atau Hang Jebat, tetapi apa yang menjadi minat dan kecenderungan beliau ialah merungkai identiti budaya Melayu dari sudut keperwiraan.

Satu lagi buku yang menarik perhatian berkenaan perkembangan sejarah sosial di Malaysia pada peringkat awal ialah buku The Underside of Malaysian History; Pullers, Prostitutes, Plantation Workers… yang diterbitkan pada 1990. Buku ini merupakan koleksi artikel yang ditulis oleh beberapa sejarawan terkenal dan diedit oleh Peter J Rimmer dan Lisa M Allen. Bahagian pertama buku ini merupakan tiga esei tulisan Colin Barlow, John Drabble dan Loh Kok Wah yang menyentuh mengenai pengusaha padi dan getah secara kecil-kecilan, pekerja estet getah dan bekas pekerja lombong berbangsa Cina yang menukar kerja kepada petani. Bahagian pertama ini menyentuh kepada golongan yang tinggal di luar bandar. Bahagian kedua buku ini pula menyentuh mengenai kehidupan di bandar dengan fokus kepada pekerja landasan keretapi yang ditulis oleh Amarjit Kaur, kehidupan penarik beca yang menjadi perhatian Peter Rimmer dan esei yang paling mencuri tumpuan ialah tulisan James Warren mengenai kehidupan kelompok pelacur dari Jepun dikenali sebagai Karayuki-San yang dijual dari negara berkenaan ke beberapa negara Asia termasuk Malaysia dan Singapura. Esei Warren ini memberikan perspektif besar dalam bidang gender untuk penulisan sejarah sosial di Malaysia. Bahagian ketiga buku ini pula melihatkan esei-esei tulisan Norman Parmer, Lenore Manderson dan Robert Winzeler masalah kesihatan fizikal dan mental yang dihadapi oleh rakyat semasa era kolonial dan reaksi mereka terhadap dasar-dasar kesihatan penjajah. Semua esei ini ditulis di dalam latar masa kuasa kolonial British berkuasa di Tanah Melayu.

Pada masa kini terdapat beberapa penulis, ahli akademik dan sejarawan yang mengembangkan lagi tema sejarah sosial di Malaysia. Dua nama yang cukup sinonim dengan perkembangan ini ialah Farish Noor dan Eddin Khoo. Kedua-dua mereka pernah menulis satu buku secara bersama, buku berkenaan berjudul Spirit of Wood: The Art of Malay Carving yang diterbitkan pada 2003. Buku ini merungkai sejarah ukiran kayu Melayu dengan melihat susur galur dan jenis-jenis kesenian yang dapat diteliti. Selain itu kaedah lisan turut digunakan di dalam penghasilan buku ini. Karya ini sebenarnya mengangkat tema kesenian dan budaya yang sering menjadi kajian sejarah pinggiran di Malaysia.

Eddin bergiat aktif menulis pelbagai artikel dan menyampaikan syarahan-syarahan terbuka berkaitan kesenian Melayu termasuk persembahan Mak Yong dan Wayang Kulit. Salah satu artikel Eddin berkaitan Wayang Kulit pernah diterbitkan di dalam Jurnal Art Connect pada 2012, artikel berkenaan berjudul, Wayang Kulit: Where Ravana Dances in the Shadow. Artikel ini di samping merungkai mengenai falsafah wayang kulit, turut menyentuh mengenai kemelut pejuang wayang kulit di Malaysia yang berdepan kekangan di persimpangan di antara kebudayaan dan kepercayaan agama. Eddin kini aktif menggiatkan perkembangan seni dan kebudayaan Malaysia melalui badan bukan kerajaan yang diasaskannya, PUSAKA.

Farish Noor pula banyak menghasilkan tulisan berkenaan sejarah sosial dan masyarakat dari bawah. Farish juga banyak terlibat di dalam menghasilkan kajian berkaitan perkembangan Islam khususnya di rantau Asia Tenggara. Di antara buku beliau berkaitan Islam ialah Islam on the Move: The Tablighi Jama’at in Southeast Asia yang diterbitkan pada 2003. Selain itu, Farish juga ada menulis berkenaan tema politik tetapi dalam bentuk baru dan tidak mengikut garis sejarah konvensional ini dapat dilihat di dalam eseinya bertajuk The Role Played by the Religious Schools of Malaysia in the Development of the Pan-Malaysian Islamic Party (PAS). Esei ini diterbitkan pada 2008 di dalam buku The Madrasa in Asia: Political Activism and Transnational Linkages.

Salah satu buku Farish yang menonjolkan elemen revisionisme dan cubaan membawakan sejarah sosial ke pentas utama dapat dilihat di dalam The Other Malaysia: Writings on Malaysia’s Subaltern History yang diterbitkan pada 2002[5]. Buku ini membawa analisis yang konstruktif berkenaan perkara-perkara yang sering dilupakan di dalam sejarah Malaysia termasuk, isu perjuangan golongan kiri di dalam menuntut kemerdekaan. Buku ini sebenarnya menghimpunkan artikel-artikel yang pernah ditulis Farish di Malaysiakini. Apa yang lebih menarik dalam satu artikel bertajuk Malaysia Has Lost a Favourite Son, Farish mengkisahkan tentang hidup pengukir kayu Allahyarham Nik Rashidin Nik Hussein. Jika di dalam sejarah konvensional Nik Rashidin ini mungkin manusia kecil yang tak boleh pun dibandingkan dengan tokoh politik seperti Tun Abdul Razak, namun di dalam sejarah sosial, Nik Rashidin mempunyai tempatnya yang tersendiri. Keunikan ini ditambah dengan gaya penulisan sejarah Farish yang gemar mengangkat perkara-perkara yang sering dilupakan Malaysia.

Selain itu, Farish turut memaparkan elemen revisionisme di dalam karyanya yang berjudul From Inderapura to Darul Makmur: A Deconstructive History of Pahang. Pendekatan dekonstruktif yang digunakan beliau di dalam menulis buku ini memberikan pengertian baru di dalam penulisan sejarah di Malaysia. Farish mengembara ke ruang-ruang yang sebelum ini ditinggalkan kosong atau tidak disentuh oleh sejarawan. Buku ini terbina dengan premis yang kuat apabila Farish menyentuh banyak perkara yang tidak ditonjolkan mengenai sejarah Pahang sebelum ini. Apa yang lebih menarik sumber-sumber yang digunakan Farish di dalam buku ini amat bernilai tinggi. Terbaru Farish muncul dengan bukunya yang berjudul Diaspora: The Story of the South Asian Muslim Diaspora in Southeast Asia Today. Satu lagi bentuk kajian sejarah sosial yang melihat golongan yang sering dilupakan di dalam sejarah Malaysia, golongan dari Asia Selatan (India, Pakistan, Bangladesh).

Melalui beberapa contoh dan penjelasan mengenai perkembangan sejarah sosial di Malaysia kita dapat meneliti bahawa sejarah bentuk ini memaparkan perkembangan yang lebih terbuka dan memberikan pendedahan yang lebih kuat untuk menggambarkan corak tempatan. Namun, pengkajian mengenai secara sosial di Malaysia masih berada di tempat kedua di belakang sejarah konvensional dan masih ramai ahli-ahli sejarah gemar menulis isu-isu aliran utama seperti peperangan, diplomatik dan hal-hal politik dari sudut yang biasa. Untuk itu, Malaysia memerlukan lebih ramai ahli-ahli akademik dalam bidang sejarah untuk meneroka aspek-aspek lain dalam sejarah sosial termasuk soal kesihatan, alam sekitar dan kehidupan masyarakat bawahan. Sebelum ini kita pernah melihat dan membaca penulisan berkaitan pelacuran di Malaysia atau sejarah penarik beca. Pada hari ini topik-topik sejarah berkenaan boleh dikembangkan ke bentuk-bentuk baru seperti penulisan mengenai perkembangan restoran India Muslim, sejarah bas awam di Malaysia atau melihat isu gelandangan dari perspektif sejarah. Ini merupakan sebahagian daripada perkara-perkara yang boleh dibincangkan secara lebih meluas di dalam sejarah sosial.

Merapatkan Sejarah Dengan Masyarakat

Sejarah kita pada hari ini dilihat terlalu serius dan menyebabkan penulisannya hanya terkepung di institusi-institusi pengajian tinggi sahaja. Seperti yang kita lihat sebelum ini, bahan bacaan sejarah kerap ditulis melewati tema-tema yang dilihat oleh sebahagian besar rakyat sebagai membosankan. Apabila berbicara tentang sejarah sahaja, perkara yang dibincangkan mesti politik. Adakah sejarah tidak boleh membincangkan soal lain. Ya! Sejarah boleh membincangkan soal lain dan boleh mengelak daripada menjadi subjek yang bakal mati kebosanan jika kita mencambahkan ruang yang ada khususnya mengukuhkan sejarah sosial melalui usaha menambah topik-topik yang dibincangkan. Isu kebudayaan dan keseniaan merupakan tiga perkara yang selalu terlepas dari suluhan sejarah di peringkat yang formal. Ini merupakan satu cabang utama untuk kita mengelakkan sejarah daripada mati kebosanan.

Banyak perkara boleh kita teroka di dalam penulisan sejarah mengenai kebudayaan dan kesenian. Melalui dua topik ini kita boleh merungkai persoalan politik, persoalan kaum, persoalan perpaduan, persoalan perkembangan manusia dan pelbagai lagi persoalan-persoalan yang lain. Kebudayaan dan keseniaan bukanlah satu-satunya cara melihat sejarah, tetapi kekuatan kedua-dua topik ini ialah keupayaan untuk memberikan pandangan berlainan di dalam kita melihat isu. Misalnya kita mampu melihat tahap pemikiran masyarakat melalui bentuk seni yang wujud pada sesuatu era. Terlepas pandang di dalam aspek seni dan budaya bukanlah satu perkara baru, tetapi kita dapat melihat dengan jelas bagaimana buku-buku teks sejarah di sekolah tidak membincangkan seni dan budaya secara meluas dan terbuka, aspek seni dan budaya hanya dibincangkan secara sepintas lalu sahaja, sedangkan seni dan budaya ialah salah satu tonggak kepada identiti nasional sesebuah negara.

Seni dan budaya ialah satu bidang yang sentiasa menerima perhatian ramai kerana seni dan budaya selain memiliki falsafah dan daya pemikiran, kedua-dua bidang ini juga merupakan medium utama untuk masyarakat berhibur. Untuk itu seni dan budaya telah menjadi bidang yang rapat dengan masyarakat. Jadi logik mudahnya ialah untuk mendekatkan masyarakat dengan sejarah, kita wajar menulis bidang apa yang dekat dengan mereka. Untuk itu, penulisan sejarah berkaitan seni dan budaya perlu dipergiat dan dibanyakkan bagi memastikan hasrat ini dapat dilaksanakan dengan jaya. Penulisan sejarah berkaitan seni dan budaya ini boleh melihat kepada beberapa aspek seperti seni persembahan tempatan yang mencakupi bentuk kesenian seperti wayang kulit dan mak yong. Seterusnya boleh juga dilihat kepada seni visual di Malaysia seperti perkembangan seni lukis, ukiran dan seni bina.

Selain itu, kita juga boleh meneliti perkembangan seni filem dan seni muzik. Dua bentuk seni ini merupakan di antara yang terbesar dan mempunyai khalayak yang utama. Sebelum ini seni muzik dan filem hanya dilihat dalam kerangka bidangnya sahaja, tidak dilihat di dalam kerangka pemikiran dan kaedah sejarah. Maka sudah tiba masa sejarah di Malaysia mula memandang kepada bidang seni dan budaya untuk kita dapat melihat sejarah Malaysia berubah wajah menjadi sejarah yang lebih universal dan mencakupi pelbagai bidang yang diminati masyarakat.

Di sini kita ambil contoh bidang perfileman di Malaysia. Sehingga kini, kajian akademik di dalam bidang sejarah berkaitan filem di Malaysia yang dihasilkan oleh sarjana tempatan dilihat terhad dan di antara buku yang ada hanyalah seperti karya Hatta Azad Khan yang diterbitkan pada 1997 bertajuk The Malay Cinema, buku terbitan 2006, Reclaiming Adat: Contemporary Malaysian Film and Literature oleh Gaik Cheng Koo, 120 Malay Movies oleh Amir Muhammad dan yang terbaru karya Hassan Muthalib, Malaysia Cinema in a Bottle. Selain daripada masalah kekurangan bahan akademik yang diterbitkan untuk bacaan umum, kajian akademik dalam bidang sejarah untuk dunia perfileman di Malaysia juga berdepan kekangan dari segi mendapatkan sumber dan lapangan kajian yang bersesuaian di samping berdepan kekangan gedung penyelidikan yang hampir tidak ada. Kekangan ini dimaksudkan di dalam konteks kajian perfileman. Jika kita mengkaji sejarah konvensional atau kajian sejarah sosial secara sesetengahnya, Arkib Negara boleh menjadi gedung penyelidikan untuk mendapatkan sumber pertama, tetapi keadaan ini agak sukar jika kita mahu membuat penyelidikan sejarah filem di Malaysia.

Malaysia sebenarnya ketinggalan dari sudut ini kerana kita hanya bergantung semata-mata kepada Arkib Negara untuk melambakkan segala sumber sejarah yang ada di sana. Negara-negara seperti Australia memiliki National Film and Sound Archive, Perancis boleh berbangga dengan Cinematheque Francaise, Jerman dengan Deutsches Filmarchiv, Itali pula memiliki muzium perfilemannya sendiri yang dikenali sebagai Museo Nazionale del Cinema dan New Zealand juga memiliki New Zealand Film Archive. Sudah tentu jika kita berbicara tentang filem, Amerika Syarikat wajib untuk tidak dilupakan dan negara Hollywood ini memiliki Academy Film Archive. Contoh-contoh di atas ialah negara-negara maju yang memiliki keupayaan filem yang tinggi. Bagaimana dengan negara-negara Asia dan negara jiran kita? Ya! Mereka juga memiliki arkib perfileman mereka sendiri. Singapura juga menjadi pangkalan kepada Asian Film Archive yang menyimpan lebih 1,500 judul filem-filem dari Asia. Korea Selatan juga memiliki Korean Film Archive dan yang terakhir Thai Film Archive yang menyimpan khazanah filem-filem Thailand.

Ini merupakan contoh bagaimana selain daripada masalah kemahuan dan keperluan terhadap sarjana untuk menjalankan kajian sejarah sosial, masalah pengumpulan bahan juga menyumbang kepada masalah untuk mencambah ruang yang ada pada sejarah sosial. Kita tidak pasti mengapa arkib perfileman tidak pernah wujud di Malaysia. Kita bimbang dengan andaian filem hanya untuk hiburan di Malaysia dan bukan digunakan sebagai bahan akademik atau terlibat di dalam proses pembelajaran.

Filem wajar dilihat melangkaui faktor hiburan kerana filem ialah lambang seni dan budaya dan layak untuk dikaji sebagai satu subjek sejarah. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, filem ialah salah satu dimensi untuk kita melihat dunia dan melihat interaksi masyarakat. Melalui filem kita dapat mengenal pasti keperluan dan kehendak masyarakat pada sesuatu era. Melalui filem kita dapat mencetuskan pelbagai persoalan yang kemudiannya akan membuahkan kajian pemikiran yang bermakna. Misalnya apabila kita menonton filem Musang Berjanggut, mengapa P.Ramlee begitu berani membawa imej Sultan menjadi kuda yang ditunggang oleh seorang perempuan cantik? atau apabila kita menonton filem Mat Raja Kapur arahan Mat Sentol, kita akan terlintas bagaimana berani Mat Sentol memperolok segala macam pingat kurniaan yang wujud di alam realiti dan bagaimana Mat Sentol berani menyindir monarki dengan menonjolkan babak bagaimana seorang lelaki yang memandu kereta sport dibogelkan dan keretanya dirosakkan semata-mata kerana dia memotong tandu yang membawa Sultan?

Ini semua merupakan persoalan di dalam filem yang boleh diteliti dalam aspek sejarah. Kerana kita akan dapat mengetahui niat pembikin dengan mengaitkannya dengan latar masa dan keadaan yang wujud pada ketika itu. Ini merupakan di antara lompong dalam sejarah di Malaysia yang perlu diisi untuk mewujudkan sejarah yang menyeluruh, pelbagai dan mampu menarik minat ramai.

Selain daripada seni dan budaya satu lagi aspek yang sering terlepas dari pandangan sejarah di Malaysia ialah sukan. Kita sendiri tahu, sukan merupakan bidang terpenting yang diminati oleh seluruh rakyat Malaysia. Sukan juga memiliki pelbagai acara yang membuka kepada pelbagai ruang untuk kita melihatnya dari kacamata sejarah. Namun, nampaknya perkara berkenaan tidak terjadi di Malaysia. Kajian akademik di dalam bidang sejarah untuk sukan amat sukar untuk kita dapati. Perkara ini perlu diselesaikan segera bagi memastikan kita dapat mencapai khalayak yang lebih ramai untuk menikmati hasil kajian sejarah.

Kita memiliki beberapa sukan yang mempunyai keistimewaan dan perhatian tinggi seperti badminton, hoki, bolasepak dan olahraga. Kajian terhadap perkara-perkara berkaitan perkembangan sukan-sukan ini di Malaysia di dalam bentuk kajian sejarah amat terhad dan sukar untuk kita jumpai. Di barat terdapat beberapa kajian sejarah berkaitan sukan dan di antaranya seperti The Girl and the Game: A History of Women’s Sport in Canada tulisan Margaret Ann Hall, Sport: A Cultural History tulisan Richard Mandell, A People’s History of Sports in the United States tulisan David Zirin, French Rugby Football: A Cultural History oleh Philip Dine, Football: The First Hundred Years: The Untold Story oleh Andrian Harvey dan A Brief History of Badminton from 1870 to 1949 tulisan Betty Uber.

Menilai kepentingan sukan dari sudut sejarah merupakan satu asas yang perlu dibina di Malaysia. Sukan sering dilihat dari aspek sains semata-mata dan jika ada pun kajian sejarah ia dilakukan dalam keadaan yang tipikal di mana tumpuan hanya diberikan kepada tokoh sesuatu sukan berkenaan. Sejarawan barat pula melihat sukan merentasi pelbagai keadaan. Ada yang mengaitkan sukan dengan falsafah, budaya, isu gender, politik dan pembangunan sosial. Ini yang diperlukan oleh sejarah di Malaysia sesuatu bidang seperti sukan misalnya perlu dilihat bersekali dengan perkara-perkara lain bagi membolehkan bidang itu memiliki nilai sejarahnya yang tersendiri. Ini boleh dilakukan kerana perkembangan sukan di Malaysia sudah lama berlangsung dan pelbagai isu boleh dinilai dengan baik. Di antara isu yang boleh dibincangkan di dalam soal sejarah sukan di Malaysia ialah pengaruh monarki di dalam pembangunan sukan, rasuah bolasepak, badminton di Malaysia dan sebagainya.

Komen