Tahun 2020 menyaksikan usia Malaysia mencecah 60 tahun dan dalam tempoh itu kita masih membincangkan persoalan semangat federalisme dalam negara ini. Secara asasnya Malaysia dibentuk berpandukan kepada Perjanjian Malaysia 1963 dan ia menjadi tumpuan penting dalam kita meneliti perkembangan politik, ekonomi dan sosial negara, khasnya di Sabah dan Sarawak.
Perjanjian Malaysia 1963 menjadi dokumen penting untuk kita merujuk kedudukan Sabah dan Sarawak di dalam persekutuan dan perjanjian ini telah mengaturkan hak-hak yang ada buat semua anggota persekutuan termasuk Sabah dan Sarawak.
Perjanjian ini sering dibangkitkan dalam pelbagai keadaan apabila wujud perbincangan mengenai kesenjangan taraf sosioekonomi Sabah dan Sarawak jika dibandingkan dengan Semenanjung.
Rasa tidak puas hati terhadap perjanjian ini akan diungkit kembali dan kerajaan pusat sentiasa menjadi sasaran kritikan apabila pembangunan yang dinikmati Sabah dan Sarawak tidak sehebat apa yang diterima oleh negeri-negeri di Semenanjung.
Buat kumpulan pendesak di Sabah dan Sarawak, semangat perjanjian ini dilihat gagal dihormati secara menyeluruh, lantas mewujudkan ketidakseimbangan dalam manfaat ekonomi dan pembangunan, walaupun Sabah dan Sarawak mempunyai status istimewa di dalam Persekutuan
Pengukuhan pemusatan kuasa oleh kerajaan persekutuan sejak perjanjian ini ditandatangani merupakan antara faktor yang menyebabkan Sabah dan Sarawak terus ketinggalan, khasnya dari aspek ekonomi, walaupun menjadi antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negara.
Berdasarkan kepada State Socioenomic Report 2018, Sarawak menyumbang 9.6 peratus daripada keseluruhan KDNK negara dan Sabah menyumbang 6.2 peratus. Bagi pungutan hasil pula, Sarawak dan Sabah berada di kedudukan pertama dan kedua jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di seluruh negara. Pada tahun 2017, Sarawak mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM6.9 bilion dan Sabah mencatatkan kutipan RM3.9 bilion.
Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada tahun 2008 dilihat sebagai titik perubahan terpenting dalam hubungan Putrajaya dengan Sabah dan Sarawak kerana buat pertama kalinya gabungan pemerintah pada ketika itu, Barisan Nasional (BN) gagal memperoleh kemenangan dua pertiga dan kuasa BN hanya dapat dipertahankan dengan sokongan padu dari Sabah dan Sarawak. Pada waktu itu, BN menang 133 kerusi parlimen dengan 55 daripadanya adalah dari Sabah dan Sarawak. Pembangkang pula mendapat 89 kerusi (James Chin 2014: 180).
Sabah dan Sarawak kini memiliki kapasiti untuk menjadi kingmakers dan menentukan hala tuju politik Malaysia. Keadaan ini dapat dilihat dalam senario terkini pasca PRU Ke-14 di mana Sabah dan Sarawak tidak lagi berada di dalam mana-mana gabungan politik pemerintah secara formal. Di Sarawak, parti-parti utama membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan di Sabah kita melihat Parti Warisan Sabah (WARISAN) bertindak sebagai parti pemerintah di negeri berkenaan.
Walaupun WARISAN pada hari ini dilihat cenderung memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH), namun parti berkenaan tidak menyertai gabungan itu secara formal dan ini penting bagi memastikan WARISAN dapat membuat keputusan secara bebas dan bersendiri demi kepentingan Sabah.
Begitu juga dengan GPS yang kini selesa memberi tumpuan kepada pembangunan Sarawak dan tidak perlu terikat kuat dengan keputusan di peringkat pusat seperti sebelumnya.
Suasana terkini ini, memberikan pengertian besar kepada amalan federalisme di Malaysia dan seterusnya menjadi ujian terpenting dalam melihat bagaimana hubungan pusat-negeri mampu terbina dengan kukuh berasaskan kepada penghormatan terhadap Perjanjian Malaysia 1963.
Pada 5 dan 13 April 2018, ISEAS – Yusof Ishak Institute telah menerbitkan laporan ISEAS Borneo Survey bagi melihat sentimen rakyat Sabah dan Sarawak mengenai isu autonomi, identiti, agama, bahasa dan pendidikan.
Di Sarawak, daripada 803 responden yang ditemui, 76 peratus responden bersetuju negeri mereka diberikan autonomi lebih besar bagi membolehkan mereka menentukan nasib sendiri berbanding memerlukan kebenaran daripada kerajaan. Keadaan di Sabah juga melihatkan sentimen hampir sama apabila 71 peratus daripada 803 responden memberikan pandangan serupa.
Pakatan Harapan (PH) ketika melancarkan manifestonya yang dikenali sebagai Buku Harapan telah meletakkan bab khusus untuk mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi (equal partners).
Sepanjang kempen PRU Ke-14, isu ini telah dijadikan tumpuan utama dan ia jelas meninggalkan kesan dan pengaruh kepada rakyat Sabah dan Sarawak apabila berlaku peralihan undi yang signifikan.
Ini merupakan tanda terpenting bagaimana rakyat Sabah dan Sarawak mahu hal berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 ditangani dengan serius dan semangat asal perjanjian harus membayangkan kedudukan lebih baik buat Sabah dan Sarawak di dalam Malaysia.
Kerajaan PH telah mengambil langkah awal dengan mengemukakan cadangan pindaan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan pada 9 April 2019 di Dewan Rakyat. Walaupun cubaan pindaan ini gagal, kerana tidak mendapat sokongan menyeluruh ahli Dewan Rakyat, namun ia dilihat sebagai langkah pemula yang penting untuk mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak seperti dijanjikan.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa membentangkan cadangan pindaan berkenaan telah menyatakan dengan jelas bahawa:
“Dalam Perjanjian Malaysia 1963, keempat-empat wilayah ini (Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Singapura) bergabung sebagai equal partners ataupun rakan yang seangkatan. ‘Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’. Walau bagaimanapun, Singapura telah keluar Malaysia pada tahun 1965. Tahun-tahun berikutnya telah juga menukar status Sabah dan Sarawak dari rakan sekutu kepada negeri-negeri di dalam Malaysia. Malaysia Baharu dan Kerajaan Pakatan Harapan mengambil maklum mengenai perkara ini dan akan mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak.”
Ungkapan ini melihatkan kepada kita bahawa selama ini Perjanjian Malaysia 1963 tidak dilaksanakan secara menyeluruh dan status asal Sabah dan Sarawak juga telah diabaikan. Terdapat pertentangan pandangan berhubung perkara ini dari sudut kerangka perundangan dan politik, namun tidak dapat dinafikan ia merupakan isu rumit yang memerlukan perhatian holistik dari pelbagai sudut, terutamanya perundangan dan politik.
Federalisme merupakan sistem yang memberi kuasa mencukupi buat kerajaan negeri dan pusat dalam ruang masing-masing. Setiap daripadanya mempunyai fungsi dan peranan sendiri berasaskan kepada perlembagaan Malah dalam sistem ini, bidang kuasa dan hak yang telah ditetapkan, tidak boleh dilanggar sewenang-wenangnya.
Federalisme menjadi pendamai kepada perbezaan yang ada dan ia dianggap sebagai sistem yang meredakan kemungkinan konflik yang muncul. Di samping itu, sistem ini juga memberikan manfaat besar dari sudut ekonomi, berasaskan kepada perkongsian kemakmuran berdasarkan pengagihan adil dan saksama. Ini sejajar seperti apa dinyatakan Andrew Harding dan James Chin mengenai fungsi federalisme untuk mengatasi konflik dan memberi manfaat ekonomi.
Sebuah sistem federalisme yang baik bergerak atas kerangka kekuatan kerajaan pusat yang mampu memahami peranan dalam ruangnya dan tidak mendominasikan keadaan tanpa memberikan peluang kepada bentuk kerajaan yang satu lagi (negeri) untuk memainkan fungsinya tersendiri.
Pemusatan kuasa yang terlalu rigid menyukarkan federalisme untuk diamalkan secara adil dan ini jelas bertentangan dengan apa yang digariskan oleh sarjana seperti Wheare dan Rikel mengenai ruang kuasa tersendiri yang wujud dalam hubungan pusat-negeri.
Hubungan positif di antara kerajaan pusat dan negeri sudah tentu penting dalam sistem federalisme kerana ia mampu memastikan negara bergerak dengan baik dan mengelak sebarang konflik daripada berlaku.
Ketegangan hubungan kerajaan pusat dan negeri adalah tidak sihat untuk perkembangan negara. Dalam konteks Malaysia, dibimbangi jika isu seperti Perjanjian Malaysia 1963 tidak diuruskan dengan baik, kita akan berdepan konflik federalisme yang mengusik hubungan pusat-negeri.
Kekacauan seperti ini akan menganggu keseluruhan sistem pentadbiran dan membuatkan fungsi setiap anggota federalisme terganggu. Tambahan pula dalam keadaan kerajaan negeri kini bukan lagi anggota di dalam gabungan parti pemerintah, sudah tentu ruang rundingan itu akan semakin berliku.
Jika sebelum 2018, sebarang konflik dan pertentangan pandangan dalam kerangka federalisme dapat diselesaikan secara tertutup, namun di masa kini, keadaan itu agak sukar untuk dibentuk dan sudah tentu setiap kerajaan ini mengharapkan suatu titik temu yang mampu memberikan manfaat secara menyeluruh dan bersama.
Sudah tentu jika tuntutan dan hak yang disenaraikan di dalam Perjanjian Malaysia 1963 masih tidak dapat dipenuhi dalam tempoh yang ditetapkan, sudah pasti kemelut hubungan pusat-negeri ini akan menjadi keruh dan seterusnya boleh menjejaskan kestabilan politik Malaysia secara menyeluruh.
Pilihan terbaik untuk memastikan Perjanjian Malaysia 1963 dipatuhi secara menyeluruh ialah dengan melaksanakan penilaian besar-besaran terhadap setiap aspek yang dibangkitkan oleh kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak. Penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 adalah jalan terbaik dalam mencari penyelesaian terhadap perkara ini. Rundingan secara formal dan berpaksikan fakta serta sejarah akan memastikan setiap tuntutan terhadap hak yang berkaitan akan dapat dipenuhi.
Sebuah kerajaan yang cekap ialah sebuah kerajaan yang terhad dan bagi melihat keseimbangan dan kemajuan kepada Sabah dan Sarawak dapat dicapai dengan lebih pantas, maka kerajaan wajar mempertimbangkan desentralisasi kuasa dalam beberapa aspek yang bersesuaian termasuk hal berkaitan kewangan, percukaian dan sumber asli. Desentralisasi kuasa ini mampu memastikan sistem federalisme terlaksana dengan lebih berkualiti melalui hubungan pusat-negeri yang lebih dinamik dan bebas.
Ekonomi dilihat sebagai bidang terpenting yang sentiasa menimbulkan pertikaian berhubung Perjanjian Malaysia 1963. Sehubungan itu, kerajaan perlu bertindak secara lebih adil dan menghormati Perlembagaan dengan memperuntukkan agihan lebih seimbang agar bersesuaian dengan sumbangan hasil negeri-negeri berkenaan. Ini penting kerana agihan yang lebih baik akan memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih meluas serta memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa diutamakan.
Daniyal Kadir adalah seorang penjawat awam yang juga rajin mengulas tentang seni perfileman. Beliau juga merupakan penulis buku Membedah P. Ramlee selain kerap muncul dalam acara bicara perfileman, baik sebagai panelis atau moderator. Di masa lapang, Daniyal juga terlibat dalam pembikinan filem pendek.