Tarikh 3 Disember telah diisytiharkan sebagai Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Antarabangsa yang disambut setiap tahun sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan terhadap kemampuan dan sumbangan golongan OKU. Malah, sambutan seperti ini juga menjadi satu platform untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat tentang kepentingan dan keperluan untuk mengiktiraf, menjaga dan melindugi golongan OKU sebagai tanggungjawab kita bersama.
Di negara kita juga pelbagai sokongan dan kemudahan disediakan kepada golongan istimewa ini dan terus ditambah baik dari semasa ke semasa termasuklah pelbagai inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2021. Semoga apa yang disediakan oleh pihak kerajaan akan memberikan sinar harapan baharu kepada golongan OKU di negara kita.
Dalam konteks ini, pelantikan Senator Ras Adiba Radzi sebagai Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) baru-baru ini sewajarnya membuka lembaran baharu dalam soal kedudukan dan pengiktirafan terhadap golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di negara kita. Untuk rekod, sebelum ini Ras Adiba juga telah dilantik sebagai Senator bagi mewakili golongan OKU di Dewan Negara. Dua pengiktirafan besar seperti ini dilihat bakal membuka sinar baharu kepada golongan OKU di negara kita yang sering dilihat ketinggalan dalam pelbagai aspek.
Ironinya, walaupun pihak kerajaan cuba menyediakan pelbagai inisiatif untuk membantu kelangsungan hidup golongan OKU, namun penulis percaya masih terdapat banyak lagi ruang untuk kita menambahbaik terutamanya dari aspek sokongan, peluang dan kemudahan yang kita sediakan kepada mereka. Tuntasnya, kehadiran mereka dalam masyarakat kita perlu terus diterima dengan seadanya dan diberikan kedudukan serta pengiktiran yang selayaknya. Harus diingat mereka menjadi OKU bukan atas kehendak dan pilihan mereka. Hakikatnya ada yang dilahirkan dengan pelbagai kekurangan iaitu menjadi OKU sejak dilahirkan, dan ada pula yang menjadi OKU selepas sesuatu insiden, kemalangan mahupun penyakit. Ringkasnya, semuanya berlaku di luar kemampuan dan kawalan mereka.
Oleh itu penulis percaya pelantikan Ras Adiba ini boleh membantu memperkukuhkan kedudukan golongan OKU di negara ini terutamanya dari aspek memperoleh hak dan layanan yang lebih setara dan adil. Maka Ras Adiba perlu memikul cabaran sebagai Senator dan juga Pengerusi Bernama dan membuktikan betapa golongan OKU juga mampu melaksanakan tanggungjawab yang besar seperti ini.
Misalnya, sebagai Senator inilah masa terbaik untuk Ras Adiba membawa suara OKU di Dewan Negara. Segala rintihan, aduan dan harapan golongan OKU yang kedengaran selama ini yang mungkin tidak dipedulikan oleh mana-mana pihak sewajarya dilaungkan dengan kuat dan jelas dalam Dewan Negara sekaligus menuntut pihak kerajaan menunaikan permintaan golongan OKU.
Sudah tentu antara isu yang masih terus relevan untuk diperjuangkan ialah, kesukaran golongan OKU memperoleh peluang pekerjaan baik di sektor awam mahupun swasta serta kekurangan pelbagai kemudahan awam untuk mereka menjalani kehidupan dengan lebih selesa. Misalnya, kemudahan awam seperti tandas OKU, ramp dan railing untuk kerusi roda, eskalator dan lif khas yang mesra OKU, tempat parkir kenderaan serta kemudahan pengangkutan awam yang mesra OKU seperti bas dan komuter. Walaupun kemudahan seperti ini sudah sedia ada namun kita percaya ianya boleh ditambahbaik dan terus diperluaskan.
Dalam pada itu, Ras Adiba juga perlu memberi perhatian yang serius dalam soal memperjuangkan keperluan dalam menambahbaik sokongan untuk survival hidup mereka seperti tambahan kemudahan peluang pendidikan dan latihan kemahiran. Kita perlu melatih dan membimbing golongan OKU untuk belajar berdikari agar dapat meneruskan kelangsungan kehidupan tanpa bergantung harap kepada simpati dan ihsan orang lain. Hal ini penting kerana peluang kerja golongan OKU sememangnya sangat terhad, jadi kita perlu membuka laluan untuk mereka meneroka peluang dalam bidang perniagaan atau keusahawanan supaya boleh berdikari. Ringkasnya, adalah lebih baik jika kita mengajar mereka cara untuk memancing atau memberikan joran daripada membekalkan ikan yang tidak akan kekal selamanya.
Pada masa yang sebagai Pengerusi Bernama, Ras Adiba juga bakal berhadapan dengan cabaran yang cukup besar dalam menerajui sebuah agensi berita yang penting. Walaupun Ras Adiba ada pengalaman dalam industri ini namun kedudukan beliau sekarang sebagai OKU pasti akan menarik perhatian ramai yang ingin melihat sejauh mana seorang OKU mampu berkerja dengan efisien. Ingat, kejayaan atau kegagalan Ras Adiba dalam tugasan penting ini bakal memberi kesan besar kepada seluruh warga OKU di negara kita. Hal ini kerana ianya bakal menjadi kayu ukur dan penanda aras terhadap kemampuan seorang OKU dalam memikut tanggungjawab yang besar seperti ini.
Percayalah jika Ras Adiba dapat membuktikan kemampuan di Bernama, kemungkinan besar ianya akan merintis jalan ke arah pembukaan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan OKU di negara kita baik di sektor kerajaan mahupun swasta. Harus diingat ramai juga golongan OKU yang berpendidikan tinggi, cekap dan bijak. Cuma mereka kurang mendapat pendedahan dan peluang untuk membuktikan kemampuan mereka.
Hakikatnya golongan OKU adalah sebahagian daripada anggota masyarakat kita. Mereka juga telah banyak memberikan sumbangan dan membanggakan rakyat serta negara seperti dalam bidang sukan bertaraf dunia yang wajar mendapat pujian dan pengiktirafan. Jadi inisiatif dan usaha untuk terus menambahbaik aspek kebajikan, keselamatan dan kemudahan yang mereka perlukan tidak boleh ada titik noktah. Sebaliknya ianya perlu terus dilipatgandakan sebagai tanggungjawab moral dan sosial kita kepada golongan istimewa ini. Semoga dua pengiktirafan terbesar yang diraih oleh Ras Adiba ini serta pelbagai lagi kejayaan rakan-rakan OKU yang lain dalam pelbagai bidang selama ini akan terus merintis jalan ke arah pemerkasaan kedudukan dan pengiktirafan terhadap golongan OKU di negara ini.
Noor Mohamad Shakil Hameed berkelulusan Master Komunikasi Korporat (2010) dan Bacelor Ekonomi (2001) dari UPM. Berjawatan hakiki Pegawai Tadbir dengan gelaran Timbalan Pendaftar di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM. Di samping bertugas sebagai pentadbir di UPM, penulis juga bergiat aktif sebagai penulis artikel, rencana dan puisi. Rencana dan artikel penulis sering mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana negara seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro di samping dalam makalah berkala seperti Dewan Masyarakat. Beliau juga merupakan ahli pemikir Malaysia Corruption Watch (MCW).