Mengetuk Pintu Hati Diana Danielle

YANG pertama, ini bukan surat cinta untuk Diana Danielle. Jauh sekali.

Tetapi saya nukilkan tulisan ini sebagai titipan semangat buat kita semua yang telah kecewa dan rasa hampir putus asa. Seperti Diana.

Ciapan balas Diana kepada Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang jelas mengatakan dirinya menolak politik hingga berakhir dengan soalan “so what the effing point??!” bukanlah satu isu yang perlu kita kupas mendalam walau dirinya seorang selebriti.

Tetapi dek kerana dirinya selebriti itulah maka ciapan balas Diana di Twitter menjadi perhatian media, lalu dibaca oleh khalayak yang pastilah ada di antaranya akan angguk dan bersetuju dengan Diana.

Kerana perlu kita akui, hari ini bukan sedikit di kalangan kita yang sudah kecewa bahkan mungkin sudah putus asa dengan senario politik negara. Lalu seperti Diana, mereka juga akan mengakui sudah menolak politik dengan soalan “so what the effing point??!”.

Tidak sukar untuk memahami kekecewaan Diana dan mereka yang sependapat dengannya.

Selepas kita berhempas pulas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 hingga berjaya menumbangkan parti yang memerintah sejak Merdeka, episod-episod yang menyusul selepas itu tidak seindah yang diharapkan.

Janji Malaysia Baharu yang dibawa Pakatan Harapan berubah menjadi Malaysia Bercelaru. Rakan sepakatan yang bersama menumbangkan Barisan Nasional kini mula merasa gelisah di tampuk kuasa. Akhirnya pihak yang dikalahkan datang menyapa untuk berkongsi kuasa.

Lalu pakatan yang baru setahun jagung tumbang akibat satu majlis makan malam di hotel mewah. Dengan Langkah Sheraton, demokrasi kita dipijak dan diperlekehkan. Undi yang saudara saudari buat 22 bulan lalu tiada nilai.

Kita semua tahu kini, Langkah Sheraton hanyalah permulaan kepada kecelaruan yang berterusan ke hari ini. Usai Langkah Sheraton, satu demi satu kerajaan negeri tumbang tanpa pilihan raya. Cukup hanya dengan beberapa wakil rakyat melompat ke sana sini, sambil tangan kanan memegang SD (akuan bersumpah) sedang tangan kiri di dalam kocek mungkin menggenggam habuan.

Kerajaan negeri yang tidak tumbang pula, terpaksa mengadakan pilihan raya negeri untuk memilih kerajaan baharu (Sabah). Malahan ada juga kerajaan negeri yang sudah pun tumbang diganti dengan yang baharu (Melaka dan Johor), tetapi kemudian dibubarkan pula hanya kerana percaturan politik.

Tidak cukup dengan kerajaan negeri, pencatur politik ini beralih pula ke peringkat persekutuan. Perdana Menteri ke-8 yang memainkan perana utama ketika Langkah Sheraton, ditumbangkan oleh sekutunya sendiri. Dua kali rakyat melihat pemimpin politik berarak masuk ke istana sambil mengusung SD, hingga agaknya negara kita ini satu-satunya negara di dunia yang kerajaan dan Perdana Menteri ditentukan dengan helaian kertas SD.

Pintu-pintu Yang Meresahkan

Diana menyebut tentang pintu dalam ciapannya. Katanya, apa guna mengundi jika ada sahaja pintu-pintu untuk mereka yang telah ditolak masuk kembali dan merampas kerajaan. Inilah yang telah berlaku sejak bermula Langkah Sheraton, mereka yang ditolak rakyat kembali membentuk kerajaan kerana banyaknya pintu-pintu tersebut.

Hakikatnya, pintu-pintu yang disebut Diana itu sebenarnya adalah lubang-lubang kesan dari kebobrokan sistem politik negara ini.

Benar demokrasi wujud di Malaysia. Benar kita diberikan kuasa memilih siapa yang berhak menjadi kerajaan lima tahun sekali. Tetapi demokrasi yang kita ada hari ini tidaklah sempurna.

Tidak perlu kita lihat jauh hingga ke benua Amerika atau Eropah sana. Sebaliknya cukup dibuat perbandingan dengan jiran-jiran kita di Thailand atau Filipina. Bahkan Indonesia yang dahulu hidup dengan fahaman ‘demokrasi terpimpin’ telah jauh meninggalkan kita dalam mematangkan demokrasi sejak era Reformasi bermula pada tahun 1998.

Reformasi. Itu kata kunci yang perlu dipegang oleh Diana dan mereka yang kecewa serta putus asa.

Mengubah Sistem

Untuk menutup pintu-pintu (atau lubang-lubang kebobrokan sistem politik) kita memerlukan reformasi institusi. Bagaimana kita mengamalkan demokrasi di negara ini perlu diubah jika kita benar-benar mahu ia terus subur, matang dan memberikan manfaat kepada Diana dan semua pengundi.

Kita perlu sedar, sistem politik yang kita miliki sekarang jauh dari sempurna kerana ianya dibentuk melalui satu parti pemerintah yang tidak pernah dikalahkan dalam tempoh lebih 60 tahun, bahkan pula menguasai majoriti dua pertiga dalam sebahagian besar dari sela masa tersebut.

Justeru sistem yang ada kini telah direka sekian lama untuk memberikan kelebihan kepada pemerintah. Dari hal seperti peruntukan kawasan parlimen atau DUN, persempadanan kawasan pilihan raya atau pembahagian jumlah pengundi, had penggal, pilihan raya tempatan, lompat parti, fungsi dan kuasa parlimen atau DUN serta banyak lagi kebobrokan sistem yang sengaja diwujudkan demi menguntungkan pihak tertentu.

Keadaan ini diburukkan pula dengan politik kepartian di negara ini yang mengkehendaki parti-parti politik bergabung dalam satu barisan, pakatan atau perikatan untuk berkuasa. Maka berlakulah banyak tawar menawar dan rundingan belakang tabir yang boleh menggugat mana-mana kerajaan.

Lantaran itu jawapan kepada kebobrokan sistem ini adalah reformas. Untuk Diana, anda dan saya kita perlu mengubah sistem supaya ia lebih memanfaatkan kita sebagai pengundi, bukannya ahli politik yang diundi. Sebagai contoh jika ada wakil rakyat yang lompat parti, maka kita perlukan sistem politik yang membolehkan para pengundi di kawasan wakil rakyat tersebut membuat referendum untuk diadakan recall election bagi memilih wakil rakyat yang baharu.

Diana Dan Yang Lain

Apa yang pasti, Diana tidak seorang apabila menolak politik dek kerana kecewa dan putus asa. Di luar sana, ramai yang sehati sejiwa dengan Diana kerana sudah bosan dengan permainan politikus yang tidak berhenti sejak bermulanya Langkah Sheraton.

Tetapi jika kita memilih untuk putus asa, maka punahlah suara rakyat dan berkuburlah demokrasi.

Sistem politik kita memang penuh kebobrokan. Demokrasi kita masih jauh dari sempurna. Tetapi itu tidak bermakna kita harus mengabaikannya kerana kecewa dan putus asa. Kita perlu terus melawan untuk menang supaya kita dapat melakukan reformasi dan mengubah kepada sistem politik yang lebih baik.

Bak kata pepatah, jangan marahkan nyamuk habis kelambu dibakar. Atau dalam konteks politik negara, jangan kerana marahkan katak politik maka tasik demokrasi yang kita ada mahu dikambus.

Saya harap nukilan ini dapat mengetuk pintu hati Diana Danielle, atau sesiapa sahaja di luar sana yang sehati sejiwa dengan Diana.

Komen