Ketika Wawasan 2020 kali pertama diumumkan oleh Perdana Menteri ke-4, saya berada di Darjah 6. Sebagai seorang anak murid yang akan bergelar pelajar sekolah menengah tahun berikutnya, pelaksanaan Wawasan 2020 boleh dikira sebagai sesuatu yang sangat bermakna buat saya. Pada hemat saya, demi menyahut seruan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020, maka saya yang muda ini perlulah belajar sehabis baik agar bila tiba masanya saya yang akan berumur 41 tahun nanti boleh menjadi antara mereka yang membantu negara mencapai aspirasi Wawasan 2020.
Saya tidak keseorangan dalam optimisme tersebut. Ramai lagi yang seusia dengan saya turut merasa semangat yang sama. Kami yakin dan percaya Wawasan 2020 itu satu sasaran yang boleh dicapai. Apakan tidak, bukti-bukti lain jelas dan nyata. Lihat saja Singapura di seberang tambak untuk contoh paling dekat. Atau Korea Selatan dan paling tidak Taiwan. Negara-negara ini, adalah negara yang berjaya meletakkan diri mereka setaraf negara maju di Eropah atau Amerika, jika tidak Jepun. Korea Selatan sebagai contoh, adalah sebuah negara yang sama mundurnya dengan Malaysia pasca Perang Dunia Ke-2 tetapi pada tahun 1988 sudah berjaya menjadi penganjur Sukan Olimpik dan pada awal 1990-an semakin menonjol di mata dunia.
Oleh itu, aspirasi Wawasan 2020 sebenarnya tidak mustahil untuk Malaysia. Ada hampir 30 tahun untuk kerajaan dan rakyat berganding bahu membina negara demi merealisasikan impian ini. Impian yang bukan terhad kepada kereta terbang bahkan lebih lagi.
Secara kasar, Wawasan 2020 dirangka dengan mengambil kira sembilan matlamat utama dan juga sembilan cabaran yang Malaysia mesti atasi untuk mencapai Wawasan 2020.
Sembilan matlamat utama Wawasan 2020 itu adalah:
- Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.
- Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.
- Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun.
- Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika paling tinggi.
- Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.
- Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan.
- Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh.
- Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi.
- Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.
Dalam usaha mencapai sembilan matlamat utama ini, ada pula sembilan cabaran yang perlu diatasi iaitu:
- Cabaran 1: Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu.
- Cabaran 2: Membina masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan berkeyakinan.
- Cabaran 3: Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang.
- Cabaran 4: Mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika.
- Cabaran 5: Mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan bertoleransi.
- Cabaran 6: Membina masyarakat yang maju dan saintifik.
- Cabaran 7: Mewujudkan masyarakat berbudaya penyayang.
- Cabaran 8: Menjamin masyarakat yang adil dan saksama ekonominya.
- Cabaran 9: Memupuk dan membina masyarakat makmur.
Ya, tidak ada matlamat mewujudkan kereta terbang tersenarai atau cabaran mencipta kereta terbang tersebut tersenarai dalam sembilan matlamat dan cabaran ini. Wawasan 2020, secara asasnya lebih banyak menumpukan pada usaha mencipta satu bangsa Malaysia.
Bangsa yang mengikut acuan Wawasan 2020 adalah “berjiwa bebas, tenteram dan maju” dan “demokratik yang matang”. Mereka ini juga “bermoral dan beretika“, tapi pada masa yang sama “liberal dan bertolak ansur” serta “bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama”.
Bangsa Malaysia pada tahun 2020 juga adalah “masyarakat saintifik dan progresif” tetapi pada masa yang sama “masyarakat penyayang” yang “mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh”.
Manakala dari segi ekonomi pula, bangsa Malaysia ini adalah “masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi” dimana mereka “melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama” dalam satu ekosistem ekonomi yang “bersaing, dinamik, giat dan kental”.
Adakah pada hari ini, 1 Januari 2020 kita semua telah mencapai semua matlamat yang disebutkan di atas?
Jika dilihat secara kasar, apa yang boleh kita simpulkan ialah ianya jauh panggang dari api.
Sebaliknya, masyarakat yang kita ada hari ini adalah masyarakat yang hilang kepercayaan antara satu sama lain kerana perbezaan budaya, kepercayaan dan fahaman politik, melihat korupsi sebagai satu kebiasaan dan keperluan, enggan bertolak ansur atau menghormati perbezaan dan hidup pula dalam jurang ekonomi yang semakin melebar (bukan antara kaum, tetapi antara kelas).
Inilah Malaysia yang kita diami hari ini 30 tahun selepas Wawasan 2020 dicetuskan. Di mana silap kita? Di mana kealpaan kita? Di mana kita berdosa hingga bukan saja nikmat menaiki kereta terbang dinafikan Tuhan, tetapi nikmat hidup dalam masyarakat yang sepatutnya diimpikan juga tidak kesampaian?
Lantaran bagaimana kita mahu mengambil iktibar dari episod kegagalan ini?
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.