Mengenang Tun Rahah Noah

Di dalam francais media Star Trek, ada satu pepatah lama Vulcan yang menyebut “Only Nixon could go to China”. Saya selalu menggunakan pepatah yang sama tetapi mengubahnya kepada “Only Razak could go to China” sesuai dengan sejarah Malaysia.

Sebetulnya, Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri ke-2 adalah individu yang mengambil satu langkah bersejarah dengan memulakan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China. Sesuatu yang hampir pasti tidak akan berlaku ketika era pentadbiran Tunku Abdul Rahman. Lawatan diplomatik Tun Razak berlaku pada tahun 1974, dua tahun selepas lawatan oleh Richard Nixon, Presiden Amerika Syarikat itu.

Peri pentingnya lawatan diplomatik Tun Razak adalah besar. Malaysia pada ketika itu masih lagi berdepan ancaman dari Parti Komunis Malaya (PKM), yang ketika awal Darurat mendapat sokongan dari China. Kunjungan Tun Razak yang memulakan hubungan diplomatik antara dua negara ini, mengubah sokongan Beijing terhadap KPM. Ia juga bermakna Malaysia mengiktiraf Republik Rakyat China secara rasmi, bukannya Republik China di Taiwan. Dan begitu juga China, yang akhirnya mengakui legitimasi Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dan mula menarik sokongan terhadap gerila komunis di Malaysia.

Dari segi kaitannya dengan sejarah pula, kunjungan Tun Razak menghidupkan kembali hubungan purba antara kerajaan China dan Kesultanan Melayu Melaka yang juga merupakan satu hubungan diplomatik erat pada masa itu.

Maka tidaklah menghairankan juga jika China sendiri sangat-sangat menghargai hubungan diplomatik ini. Dan penghargaan itu sangat jelas terpancar dalam bagaimana kerajaan China menghargai Tun Rahah Noah, isteri kepada Tun Abdul Razak.

Bagaimana pengharagaan China itu?

Sebelum mengulas lanjut, biarlah kita mengenali lebih mendalam tentang Tun Rahah.

Dilahirkan pada 11 Jun 1933 di Muar, Johor; Tun Rahah adalah anak bongsu kepada Mohamed Noah Omar. Mohamed Noah adalah seorang ahli politik dan antara pengasas parti UMNO, serta pernah menjadi ahli parlimen Johor Bahru Timor dan Speaker pertama Dewan Rakyat dari tahun 1959 hingga 1964.

Ketika masih di sekolah menengah,Tun Rahah sudah mula mengenali Tun Razak. Mereka seterusnya mendirikan rumah tangga pada tahun 1952, ketika Tun Rahah berumur 19 tahun. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan lima anak, semuanya lelaki iaitu Mohd Najib, Ahmad Johari, Mohd Nizam, Mohd Nazim dan Mohd Nazir.

Tun Razak menjadi Perdana Menteri ke-2 Malaysia pada tahun 1970. Sebagai isteri kepada Perdana Menteri, Tun Rahah banyak melibatkan diri dalam aktiviti sosial dan kemasyarakatan seperti menjadi penaung Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) dan presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Dalam lawatan diplomatik bersejarah Tun Razak ke China pada tahun 1974, Tun Rahah turut serta mengiringi suaminya ke Beijing.

Pentadbiran Tun Razak bagaimanapun tidak lama. Tun Razak dilaporkan menghidap leukemia sejak tahun 1969, tetapi ianya dirahsiakan dari pengetahuan umum. Pada tahun 1976 ketika mendapatkan rawatan di United Kingdom, Tun Razak telah meninggal dunia ketika masih menjawat jawatan Perdana Menteri. Beliau sehingga kini adalah satu-satunya Perdana Menteri Malaysia yang meninggal ketika masih memegang jawatan.

Pemergian Tun Razak menjadikan Tun Rahah seorang balu pada usia semuda 43 tahun, dengan anak-anak yang masih muda remaja (Najib anak sulung beliau ketika itu berumur 23 tahun). Tun Rahah secara sendirian membesarkan anak-anaknya tanpa kewujudan suami di sisi.

Walaupun Tun Razak sendiri sudah lama tiada, tetapi jasa besar beliau dalam menghidupkan hubungan diplomatik Malaysia dan China tetap dikenang melalui Tun Rahah. Dan kenangan ini diterjemahkan dalam penghargaan oleh kerajaan China kepada Tun Rahah.

Percaya atau tidak, satu amalan tidak rasmi tapi menjadi tradisi untuk setiap duta China ke Malaysia ialah mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Rahah setiap kali mereka dilantik ke jawatan duta. Ia adalah sebagai menghargai dan mengenang usaha besar suami Tun Rahah, Tun Razak dalam menghidupkan hubungan diplomatik terebut.

Dan ketika Najib Razak, anak sulung Tun Rahah dan Perdana Menteri ke-6 Malaysia melakukan lawatan ke China pada tahun 2009, kerajaan China telah menjemput Tun Rahah untuk turut serta.

Begitulah besarnya penghargaan China kepada Tun Rahah.

Tun Rahah menghembuskan nafas terakhir pada 18 Disember 2020, berumur 87 tahun. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat Malaysia, dan mungkin juga buat China yang sangat menghargai dan menghormati allahyarham.

Mungkin pepatah “Only Razak could go to China” boleh diubah kepada “Only Razak could go to China, but then only Rahah could woo China”.

Komen