Mengenang Nasib Murid Yang Belajar Dari Rumah

Pembukaan semula sesi persekolahan buat sementara waktu ini hanya membabitkan kira-kira 500,000 pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020. Dilaporkan sekolah akan dibuka secara berperingkat dan sehingga itu murid lain diminta meneruskan sesi pembelajaran dari rumah. Dalam pada itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) pula mencadangkan pembukaan sekolah rendah di seluruh negara dibuat seawal-awalnya pada hujung September atau Oktober.

Senario ini menggambarkan lebih lama lagi murid lain perlu belajar dari rumah. Ini bermakna, para guru perlu meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian dari rumah sama seperti ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini. Jujurnya kita puji dan menghargai daya kreativiti serta kesungguhan para guru ketika mengajar dalam talian menggunakan pelbagai platform digital, dan kita percaya setelah guru-guru kembali ke sekolah, kaedah pengajaran dan pembelajaran tersebut boleh dipelbagaikan lagi melalui akses kepada kemudahan-kemudahan yang ada di sekolah. Dari pihak guru kita nampak tidak ada banyak masalah untuk meneruskan sesi secara maya ini. Namun persoalan utama di sini ialah apakah semua murid mampu mengikutinya? Ini satu persoalan penting yang perlu dirungkai dengan segera.

Penulis masih ingat satu laporan sebelum ini di mana menurut Pengarah Pendidikan Sabah, sebanyak 52 peratus murid di Sabah terutamanya di luar bandar tidak mempunyai akses internet dan telefon pintar, komputer atau peranti mudah alih lain untuk meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran. Dan kita percaya ini bukan saja berlaku di Sabah tetapi hampir di semua negeri terutamanya di kawasan luar bandar. Malah anak-anak dari kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) bandar juga berhadapan dengan masalah seperti ini apabila terpaksa menggunakan data internet dari telefon pintar ibu bapa yang berhadapan dengan masalah kewangan.

Jujurnya kita tidak dapat membayangkan nasib anak-anak yang keluarganya langsung tidak mampu menyediakan kemudahan internet dan peranti yang diperlukan. Ini realiti yang berlaku dalam masyarakat kita, di mana masih ada sebahagian besar anggota masyarakat kita yang hanya mampu hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Mereka ini hidup serba kekurangan dan langsung tiada ruang untuk memikirkan soal internet mahupun pembelajaran secara maya. Akibatnya pembelajaran anak-anak akan terabai begitu saja.

Jadi memandangkan murid lain akan terus belajar dari rumah lebih lama lagi, kita berharap pihak kerajaan dapat memberi perhatian serius kepada masalah, kekangan dan cabaran yang dihadapi oleh anak-anak yang ada dilemma seperti ini. Hal ini penting kerana jika kita lambat bertindak murid-murid ini akan terus ketinggalan berbanding rakan-rakannya yang lain. Ini turut mencetuskan keresahan dalam kalangan ibu bapa mereka yang bimbang tentang masa depan pendidikan anak mereka.

Antara yang kita harapkan ialah, perlu ada langkah drastik dari pihak kerajaan untuk terus menambahbaik kemudahan dan infrastruktur yang diperlukan terutamanya di kawasaln luar bandar supaya anak-anak ini boleh menikmati akses internet yang sewajarnya untuk belajar dari rumah. Hal ini penting kerana, setelah mengambil kira serangan wabak seperti ini serta kepesatan pembangunan sektor teknologi maklumat dan komunikasi, kita membayangkan selepas ini sesi pembelajaran dalam talian bakal menjadi norma baharu dalam dunia pendidikan . Justeru tidak salah untuk kerajaan menyediakan peruntukan yang mencukupi sebagai pelaburan strategik jangka panjang untuk menyediakan prasaran yang lengkap di seluruh negara supaya anak-anak dapat menikmati akses yang lebih baik. Ini juga pada akhirnya akan merealisasikan hasrat kerajaan untuk mendigitalkan sektor pendidikan negara atau lebih dikenali sebagai e-pendidikan.

Manakala sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, kita mohon kerajaan dapat mempertimbangkan kemungkinan untuk menyediakan kemudahan internet dan peranti yang bersesuaian yang diperlukan secara percuma kepada anak-anak dari kelompok B40. Ini boleh dilakukan melalui kolaborasi strategik dengan syarikat telekomunikasi yang ada. Kerajaan boleh melantik beberapa syarikat dan membayar mereka untuk menyediakan pakej internet dan peranti kepada murid secara percuma. Dengan ini mereka bukan saja dapat mengikuti sesi pembelajaran dalam talian seperti murid lain, malah turut boleh meringankan beban kewangan ibu bapa.

Pendidikan adalah hak semua warganegara dan dalam era serangan wabak ini kerajaan perlu mencari jalan yang sebaik mungkin untuk membantu golongan yang berhadapan dengan pelbagai masalah untuk mengakses sesi pembelajaran dari rumah. Harus di ingat, bilangan murid yang akan meneruskan pembelajaran dari rumah jauh lebih ramai berbanding jumlah murid yang akan kembali ke sekolah mulai 24 Jun ini. Semoga nasib anak-anak yang kurang berkemampuan dan tiada akses internet serta kemudahan lain dapat dibela dengan sewajarnya.

Komen