Semenjak sukan Olimpik mula diperkenalkan pada tahun 1896, ia pernah dibatalkan sebanyak tiga kali.
Kali pertama pada tahun 1916 akibat Perang Dunia Pertama. Kali kedua dan ketiga pada tahun 1940 dan 1944 akibat Perang Dunia Kedua. Peperangan, pada skala yang besar mengakibatkan temasya global tidak dapat dianjurkan kerana kebanyakan negara sedang sibuk berperang.
Selepas dari tahun 1944, Olimpik dianjurkan seperti rutinnya empat tahun sekali. Masih ada peperangan di sesetengah bahagian dunia, tetapi tidak pada skala yang besar hingga menjejaskan penyertaan kebanyakan negara. Walaupun Olimpik berdepan beberapa insiden boikot, seperti 1980 di Moscow dan 1984 di Los Angeles akibat Perang Dingin, ia masih tetap dianjurkan.
Tahun 2020, kita sepatutnya meraikan temasya sukan Olimpik di Tokyo. Tetapi Olimpik 2020 ini terpaksa ditangguhkan ke tahun 2021 kerana dunia kini berdepan dengan satu lagi krisis besar berskala global. Bukan dalam bentuk peperangan, tetapi dalam bentuk penularan penyakit bertahap pandemik yang melumpuhkan seluruh dunia.
Majoriti penduduk dunia hari ini tidak merasai kehidupan ketika berlakunya Perang Dunia Kedua, apa lagi Perang Dunia Pertama. Yang kita tahu dari cerita mulut, bacaan sendiri atau tontonan filem dan dokumentari mengenainya adalah keadaan di mana seluruh dunia berdepan api kemusnahan. Jumlah angka korban nyawa akibat Perang Dunia Kedua adalah di antara 70 hingga 85 juta nyawa. Ia jauh mengatasi angka korban Perang Dunia Pertama yang mencatatkan kehilangan 40 juta nyawa. Kedua perang dunia tersebut merencatkan kegiatan sosial, ekonomi, perdagangan, pentadbiran dan sebagainya selain mengakibatkan pembatalan Olimpik.
Kembali pada masa kini, pandemik COVID-19 walaupun bukanlah peperangan tetapi ia masih memberi kesan yang hampir sama. Jumlah angka korban COVID-19 hanya sekitar 1.8 juta nyawa setakat ini, tetapi ia juga telah menjangkiti sekitar 89 juta orang di seluruh dunia, sekaligus memberikan tekanan terhadap perkhidmatan kesihatan seluruh dunia. Pandemik ini telah pun merencatkan kegiatan sosial dan ekonomi dunia. Ia telah mencetuskan kemelesetan ekonomi global yang jauh lebih teruk dari Great Depression tahun 1930. Pandemik ini telah mengubah lanskap ekonomi, budaya, politik, pendidikan, kesihatan dan iklim pada skala global yang tidak pernah disaksikan dalam ketamadunan manusia. Impak ini lebih jelas dirasai kerana dunia pada hari ini lebih ‘kecil’ berbanding ketika era perang dunia dahulu kesan dari perkembangan teknologi pengangkutan, komunikasi dan media.
Menunda Olimpik 2020 ke tahun 2021 adalah perkara kecil berbanding apa yang sedang kita hadapi sekarang. Kita sebenarnya sedang ‘berperang’ melawan musuh yang tidak dapat dilihat, dan ini memaksa kita mengubah segenap aspek kehidupan kita sebagai individu dan masyarakat. Kesannya kepada kita semua tidak jauh berbeza dengan mereka yang melalui perang dunia baik yang pertama atau kedua. Kita turut berdepan kehilangan ahli keluarga, kehilangan pendapatan, kehilangan tempat tinggal dan kehilangan cara hidup normal sama seperti mereka yang dilanda perang dunia.
Berdasarkan kepada realiti yang dihadapi kini, tidaklah keterlaluan jika kita mengandaikan pandemik COVID-19 yang berlaku dalam tahun 2020 ini impaknya menyamai apa yang pernah dirasai generasi terdahulu ketika perang dunia. Ada antara kita yang terkorban, atau kehilangan seseorang yang kita kenali akibat COVID-19. Ada antara kita yang hilang pekerjaan atau perniagaan, sama seperti mereka yang berperang dulu hilang kerja atau bisnes mereka. Ada juga antara kita yang menjadi pelarian pulang ke kampung dari bandar kerana kos hidup, ibarat pelarian perang juga. Ada antara kita yang menahan lapar kerana ketiadaan wang, seperti mereka yang kebulur akibat perang. Bahkan ada antara kita yang masih menuntut ilmu tertunda sekolah atau pengajiannya, sama seperti di zaman perang apabila sekolah dan universiti ditutup.
Kerana itulah, hal-hal seperti agihan bantuan dari pihak pentadbir, moratorium pinjaman dan juga kelonggaran pengeluaran KWSP adalah perlu di saat pandemik ini. Kerana kita sendiri berada dalam peperangan dan keadaan yang sangat mendesak. Bukan kerana kita sekadar suka-suka mahukan wang lebih.
Tahun 2020 ringkasnya adalah tahun perang. Perang melawan musuh yang tidak dapat kita lihat, tapi boleh kita lawan bukan dengan senjata tetapi melalui amalan norma baharu dan penjagaan kebersihan atau kesihatan diri. Kita terpaksa kehilangan setahun hidup kita akibat pandemik ini. Mudahnya, tahun 2020 adalah seperti tidak pernah berlaku. Kita menghabiskan tempoh setahun cuba untuk ikhtiar hidup, inilah takdir kita seperti mana ia pernah menjadi takdir generasi terdahulu yang kehilangan beberapa tahun akibat perang.
Lalu, bagaimana 2021?

Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.