Mengenali Wilayah Persekutuan

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Sejak 1974, 1 Februari setiap tahun telah dikenali sebagai Hari Wilayah bersempena berubahnya status Kuala Lumpur dari sebuah bandar raya di dalam Selangor kepada sebuah Wilayah Persekutuan. Dan sejak dari itu juga, ia menjadi hari cuti umum meraikan status Wilayah Persekutuan untuk tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Malaysia adalah antara beberapa negara di dunia yang mengamalkan konsep ‘persekutuan’ di mana beberapa negeri atau wilayah bergabung membentuk sebuah negara. Konsep negara persekutuan lazimnya mempunyai dua peringkat kerajaan iaitu di peringkat persekutuan (atau nasional atau kebangsaan) dan di peringkat negeri (atau wilayah, provinsi dan sebagainya). Sebuah negara persekutuan adalah imbangan di titik tengah antara negara kesatuan (unitary state) dan negara konfederasi atau gabungan.

Antara negara persekutuan lain seperti Malaysia adalah Amerika Syarikat, Australia, Brazil, Jerman dan India, sekadar memberikan beberapa contoh. Sama seperti di Malaysia, kesemua negara tadi mempunyai dua peringkat kerajaan iaitu persekutuan atau pusat dan juga negeri atau wilayah. Sejauh mana kuasa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri adalah berbeza mengikut negara.

Sebagai contoh, di Malaysia kita mengetahui bahawa hal pendidikan, keselamatan, pertahanan dan sebagainya terletak di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan. Manakala untuk kerajaan negeri, perkara seperti adat resam dan agama, hal tanah dan sumber alam adalah terletak di bawah bidang kuasa mereka. Ia berbeza dengan situasi di Amerika Syarikat yang kuasa kerajaan negerinya adalah lebih besar dan meluas. Sebagai contoh, setiap negeri di Amerika Syarikat mempunyai badan polis kenegerian mereka sendiri, tidak seperti Malaysia.

Ruang kuasa kerajaan negeri juga adalah berbeza antara setiap negeri di Malaysia. Kesemua negeri di Semenanjung, yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya pada 1957 secara asasnya mempunyai ruang kuasa yang sama. Tetapi Sabah dan Sarawak, dua negeri yang menyertai Persekutuan Malaysia kemudiannya mempunya lebih autonomi berbanding negeri-negeri di Semenanjung. Sebagai contoh, bidang kuasa imigresen adalah terletak di bawah kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

Memahami konsep persekutuan ini adalah perlu untuk kita juga memahami kenapa wujudnya tiga Wilayah Persekutuan di Malaysia hari ini. Asas pertama yang perlu kita fahami ialah sebagai sebuah negara persekutuan, kerajaan pusat atau persekutuan tidak mempunyai walau sebidang tanah pun di seluruh negara. Ini kerana kesemua tanah adalah milik kerajaan negeri yang sedia ada, dari Perlis hinggalah ke Sabah. Maka perlu kita sedari bahawa sebelum 1 Februari 1974, kuasa kerajaan persekutuan mungkin terhad di dalam bangunan parlimen atau pejabat-pejabat persekutuan yang ada.

Semua ini berubah apabila Kuala Lumpur dinobatkan sebagai bandar raya pada tahun 1972. Dua tahun kemudian, ia dipindahkan dari menjadi sebahagian daerah atau bandar di dalam Selangor kepada Wilayah Persekutuan, seterusnya diletak di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan. Setelah 17 tahun merdeka akhirnya kerajaan pusat mempunyai tanah atau wilayah mereka sendiri.

Konsep seperti Wilayah Persekutuan ini tidak wujud hanya di Malaysia. Negara persekutuan lain seperti Australia juga mempunyai wilayah persekutuan seperti Northern Territory. Begitu juga dengan India walaupun ia dirujuk sebagai wilayah kesatuan (union territory). Kanada dan Nigeria juga begitu.

Keperluan menjadikan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan bukan sahaja bersifat politik, kerana status Kuala Lumpur sebagai ibu negara. Ia juga bertitik tolak dari keperluan ekonomi dalam usaha kerajaan pusat memastikan pembangunan Kuala Lumpur dapat direncana mengikut acuan kerajaan pusat. Juga untuk memastikan Kuala Lumpur menjadi tarikan kewangan dan pelaburan untuk seluruh Malaysia dan tidak menguntungkan Selangor semata.

Perubahan status ini membawa Kuala Lumpur melalui arus pemodenan yang pesat di bawah kerajaan persekutuan. Maka tidaklah menghairankan apabila kejayaan Kuala Lumpur mencetuskan idea kerajaan persekutuan untuk mewujudkan Wilayah Persekutuan yang kedua. Untuk tujuan itu, pulau Labuan di Sabah menjadi pilihan atas potensi sebagai pusat kewangan luar pesisir.

Labuan dipindahkan dari Sabah untuk menjadi Wilayah Persekutuan pada tahun 1984. Usaha untuk menjadikan ia sebagai hab kewangan baharu Asia Tenggara kurang berjaya, tetapi penemuan minyak dan gas di kawasan perairan Sabah mengubah Labuan menjadi pusat perkkhidmatan industri minyak dan gas. Hari ini sektor kewangan dan inudstri minyak dan gas menjadi penyumbang utama ekonomi Labuan, walaupun Wilayah Persekutuan ini masih jauh untuk benar-benar menjadi Singapura baharu seperti yang pernah dicanangkan.

Tanggal 1 Februari 2001, Malaysia mendapat Wilayah Persekutuan yang ketiga iaitu Putrajaya. Idea mewujudkan Wilayah Persekutuan ketiga dan juga sebagai ibu negara alternatif kepada Kuala Lumpur timbul sejak 1980-an. Pada masa itu, dua kawasan menjadi pilihan utama iaitu Prang Besar di Selangor dan Janda Baik di Pahang. Kerajaan persekutuan akhirnya memilih Prang Besar dan ia dinamakan semula sebagai Putrajaya.

Putrajaya adalah sebuah bandar terancang yang berfungsi sebagai ipusat pentadbiran dan pusat judisiari atau kehakiman, manakala Kuala Lumpur kekal pusat legislatif atau perundangan. Kewujudan Putrajaya memindahkan sebahagian besar pejabat kerajaan pusat ke sana keluar dari Kuala Lumpur yang sesak.

Hari ini, ketiga Wilayah Persekutuan membentuk satu entiti unik dalam negara persekutuan Malaysia. Ketiga wilayah ini berbeza dari segi status berbanding 13 negeri yang lain, tetapi masih memainkan peranan yang besar dalam politik dan ekonomi negara.

Selamat Hari Wilayah!

 

Komen