Mengeluarkan Sabah Dari Simpanan Tetap Politik Untuk Menjadi Contoh Malaysia Sebenar

Walaupun sudah 57 tahun Persekutuan Malaysia dibentuk, ramai sebenarnya yang masih berfikiran tiga wilayah yang ada, iaitu Malaya, Sabah dan Sarawak; adalah tidak jauh berbeza antara satu sama lain. Ekonomi, pendidikan, demografi dan lebih penting politiknya dilihat sama. Hakikat yang sebenarnya, wujud kelainan di antara ketiga wilayah yang membentuk persekutuan.

Saya pertama kali menjejakkan kaki di Sabah pada tahun 2008, agak lewat jika hendak dibandingkan dengan mereka seusia saya yang lebih awal berpeluang pergi ke Sabah. Tetapi bezanya, saya menjejak kaki ke Sabah pada tahun itu untuk menetap terus selama empat tahun lamanya. Bekerja, bermastautin dan bergaul dengan rakyat Sabah. Bukan sekadar menjadi pelancong untuk beberapa hari lalu tidak merasai realiti sebenar negeri Sabah ini.

Sabah pada tanggapan saya ibarat sebuah negara lain. Ya, ia masih sebuah negeri di dalam Malaysia tetapi suasana yang wujud di sini menjadikan ia jauh berbeza berbanding negeri-negeri lain di Malaya. Sebagai permulaan, ia punya suratkhabar tempatan sendiri. Sabah juga ada pengangkutan awam dalam bentuk bas mini, yang sebenarnya merupakan sebuah van, yang juga tidak wujud di mana-mana negeri lain di Malaya. Memandu di Sabah, Kota Kinabalu khususnya, kita masih tidak dapat lari kesesakan lalu lintas sama seperti di Lembah Klang tetapi satu perbezaan yang anda mungkin lihat di sini ialah tidak ada banyak motorsikal seperti di Malaya. Susulan dari itu, budaya rempit hampir tiada di sini dan isu jenayah seperti ragut bermotorsikal atau lumba haram juga hampir tiada.

Oleh kerana zaman saya bekerja di Sabah adalah lebih 10 tahun lalu, kunjungan saya kali ini, saya dikejutkan pula dengan pemandangan penghantar makanan Foodpanda yang mengayuh basikal untuk menghantar makanan. Santai sahaja kayuhannya, tidak tergesa-gesa sehingga melanggar lampu merah seperti biasa kita lihat di Kuala Lumpur.

Tetapi itu semua hanya kelainan di permukaan. Seperti pilihan nasi lemak di pantai barat Semenanjung dan nasi dagang di pantai timur ketika waktu sarapan.

Di Sabah, kelainan di permukaan tadi pergi lebih jauh ke dalam lagi. Dan ini hanya dapat dilihat jika kita meluangkan masa untuk menyelami masyarakat di sini, bagaimana mereka bergaul antara satu sama lain di sebalik perbezaan

Ya, berulang kali timbul perdebatan di media sosial tentang betapa majmuknya Sabah yang kemudiannya akan dicabar oleh mereka dari Malaya bahawa kemajmukan itu juga ada di seberang laut. Saya tidak menafikan bahawa di Malaya atau Semenanjung juga majmuk, tapi saya tidak rasa kemajmukan itu setanding dengan apa yang ada di Sabah.

Kerana saya tahu, di Malaya atau Semenanjung tidak ada ada gereja yang menyediakan parkir untuk kesenangan pengunjung bazar Ramadan atau mempunyai satu keluarga yang meraikan Tahun Baru Cina, Hari Raya dan Krismas kerana di kalangan mereka berbeza bangsa atau agama. Tetapi di Sabah, ini adalah satu kebiasaan. Dan kebiasaan ini datang dari keterbukaan masyarakat di sini untuk menerima satu sama lain seperti adanya.

Keterbukaan yang datang dari hakikat bahawa mereka hidup bersama di kalangan 42 etnik dan lebih 200 sub etnik. Juga kerencaman agama yang terlindung oleh pendekatan sekular serta pendekatan liberal terhadap bahasa yang digunakan.

Jika Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pernah satu masa dahulu mendakwa dirinya adalah Melayu nombor satu dan Malaysia nombor dua; di Sabah mereka lebih selesa untuk melihat diri sebagai orang Sabah dahulu dan kemudian barulah orang Kadazan, Bajau, Dusun, Cina, Murut, Rungus atau banyak lagi suku kaum lain.

Kelainan di Sabah ini menyedarkan saya bahawa jika ada semangat Malaysia seperti ketika awal pembentukannya pada tahun 1963, maka ianya masih wujud di sini dan ia perlu dipulihara dan dipelihara. Sabah, dan tidak dilupakan Sarawak, masih mempunyai keterbukaan dan kemajmukan yang asalnya mekar ketika tahun-tahun awal Persekutuan Malaysia, sebelum ianya dicantas dengan ideologi konservatif yang hanya mahu menjadikan satu-satu bangsa dan satu-satu agama dominan mengatasi yang lain.

Bukanlah Sabah tidak pernah digugat dengan perkara yang sama. Kemasukan UMNO pada tahun 1990 mengubah senario ini. Politik Sabah dikuasai UMNO untuk 28 tahun lamanya dan sistem penggiliran Ketua Menteri akhirnya berkesudahan dengan dominasi UMNO dan Musa Aman untuk tempoh 15 tahun. Perlahan-lahan ketika itu, Sabah yang dikuasai parti asal Malaya berubah mengikut acuan seberang dan keterbukaan serta kemajmukan dikikis secara halus. Sabah dijadikan simpanan tetap politik Barisan Nasional (BN), cukup sekadar untuk memastikan BN akan menang setiap pilihan raya dengan bekalan kerusi dari Sabah.

Tetapi Pilihan Raya Umum ke-14 membuktikan perubahan boleh berlaku untuk Sabah yang lebih baik. Kebangkitan WARISAN untuk menumbangkan BN di Sabah dan membantu Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan persekutuan adalah bukti bahawa rakyat Sabah mahukan lebih dari sekadar menjadi negeri simpanan tetap politik. Orang Sabah sedar dan tahu, dalam keadaan Malaysia yang semakin digugat oleh sikap perkauman dan konservatisme, mereka boleh menjadi contoh untuk Malaysia yang sebenar.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak akan berlaku jika tidak kerana ‘katak’ yang cuba melompat parti. Ia PRN yang tidak diperlukan saat pandemik ini. Tetapi PRN ini boleh sahaja menjadi satu pengisytiharan bahawa Sabah tidak akan tunduk untuk kembali menjadi simpanan tetap politik pihak tertentu. Sebaliknya, Sabah mahu menjadi sebuah negeri yang berdiri di atas kebebasan autonomi yang ia miliki sama seperti Sarawak, pada masa melindungi keterbukaan da kemajmukan yang boleh menjadi contoh kepada Malaysia yang sebenar.

Bak kata Shafie Apdal, kita di sini untuk membina sebuah negara bukannya untuk bangsa atau agama tertentu.

Oleh itu tanggal 26 September ini, saya berharap besar pengundi Sabah akan membawa keluar Sabah dari kembali ke lohong hitam simpanan tetap politik.

Komen