Mengapa Penglibatan Belia Sarawak Dalam Politik Masih Rendah?

Apabila bercakap soal politik tempatan di Sarawak, antara perkara yang seringkali dibangkitkan adalah mengapa penglibatan belia masih rendah. Jawapan kepada persoalan berkenaan yang seringkali kedengaran juga berkisar tentang perkara yang sama. Namun, apa yang menghairankan adalah, penyelesaian masih juga belum ditemui.

Bagi pihak saya sendiri, walaupun perkara sebegini seringkali diutarakan bahkan oleh kerajaan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sendiri, saya masih melihat iltizam politik yang rendah bagi mencari jalan penyelesaian. Saya melihat ianya lebih kepada retorik semata-mata tanpa disokong oleh tindakan susulan yang lebih konkrit.

Justeru tidak menghairankan jika orang luar memomok negeri tercinta kita ini sebagai terkebelakang dari segi politik kerana ianya masih dikuasai oleh kuda tua yang telah berdekad lamanya menguasai takhta pemerintahan.

Walaupun ianya menyumbang kepada keberjayaan kita mempertahankan kestabilan dan kehamonian negeri, politik tanpa perubahan, khususnya yang didokong oleh golongan belia, juga menjadikan kita terikat dengan cara dan budaya politik lama. Dalam masa sama ianya juga memberi kesan kepada polisi berkaitan ekonomi dan sosial yang tidak jauh berganjak dari era selepas merdeka.

Justeru, sebelum kita menyalahkan belia tentang penglibatan mereka yang amat rendah dalam arena politik tempatan, adalah penting bagi kita merungkai persoalan sebenar yang menghalang penglibatan mereka agar dapat merancang sebarang pelan tindakan bagi mencari solusi mengatasi perkara sebegini.

Komitmen Keluarga Dan Kewangan

Antara faktor yang paling memberi kesan kepada penglibatan belia Sarawak dalam politik adalah komitmen keluarga dan kewangan. Kebanyakan belia di Sarawak adalah generasi pertama yang memasuki pusat pengajian tinggi dan mendapat pekerjaan kolar putih, suatu keadaan yang meletakkan mereka di posisi yang mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menjaga kebajikan kewangan bukan sahaja diri mereka, bahkan juga ibu bapa dan adik-beradik yang lain.

Selain itu, kadar gaji permulaan bagi graduan serta gaji minimum yang rendah juga menghalang penglibatan aktif mereka dalam politik. Seperti yang dilaporkan dalam Laporan Dwi-Tahunan 2019 – 2020 oleh portal Sarawak Jobs, hanya 10% majikan sudi membayar graduan yang mempunyai Ijazah (Bachelor’s Degree) dengan gaji sebanyak RM2,501 dan ke atas.

Justeru dengan gaji yang sangat rendah, belia tidak mampu untuk melibatkan diri secara aktif kerana dua sebab yang ketara;

Pertama, berbanding mengikuti gerakkerja berpolitik, mereka terpaksa memenuhi masa lapang mereka, khususnya di hujung minggu bagi menjana pendapatan sampingan sama ada dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan, menjadi agen jualan kepada produk-produk tertentu ataupun terlibat dalam ekonomi gig seperti menjadi penghantar makanan Food Panda atau Grab Food.

Kedua, meskipun mereka tidak melakukan pekerjaan yang kedua, mereka cuba untuk mengelakkan diri dari menyertai aktiviti berpolitik bagi mengelakkan diri mereka dari berbelanja. Hal ini kerana penyertaan mereka dalam gerakan berpolitik memerlukan mereka untuk mengeluarkan sedikit perbelanjaan peribadi sama ada bagi kegunaan logistik ataupun sumbangan kepada persatuan – sesuatu yang tidak mampu untuk ditanggung oleh belia yang bergaji rendah.

Kurangnya Pendedahan Dan Kesedaran Politik

Faktor kedua yang menjadi penghalang kepada penyertaan aktif golongan belia Sarawak dalam kegiatan berpolitik adalah kurangnya pendedahan dan kesedaran politik.

Kekurangan pendedahan dan kesedaran ini boleh dilihat menerusi dapatan kajian mengenai Political Participation Through Social Media Among Youth In Sarawak oleh Ahi Sarok dan Azura Shahira Azahar (2017) yang mendapati hanya sekitar 11% yang betul-betul mengetahui bilakah tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan. Sementara itu, sekitar 8% berkata mereka tidak tahu menahu mengenai Pilihan Raya Umum yang bakal diadakan.

Hal ini menjadi simbolik kepada keseluruhan pengetahuan berkaitan hal politik kerana sekiranya perkara penting dan besar sebegitu pun tidak diketahui oleh para belia di negeri ini, tidak mustahil jika mereka memiliki pengetahuan yang jauh lebih rendah dalam hal-hal politik yang lain.

Dalam pada itu, kekurangan pendedahan dan kesedaran ini dapatlah dikaitkan dengan beberapa perkara khususnya kekurangan:

Pertama, kurangnya aktiviti pendidikan politik seperti ceramah, forum dan seminar yang membincangkan mengenai hal ehwal politik kepartian tempatan, sistem pentadbiran kerajaan negeri, polisi kerajaan dan hubungan dengan kerajaan persekutuan, dasar sosio-ekonomi setempat dan sebagainya; dan

Kedua, kurangnya akses kepada sumber pendidikan dan pemahaman politik seperti majalah politik, surat khabar, Internet dan media sosial yang memaparkan penelitian dan analisa mendalam mengenai sesuatu pelan tindakan dan gerakkerja baik oleh pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang.

Akses Kepada Gerakan Politik Tempatan

Faktor ketiga yang menjadi batu penghalang kepada gerakan berpolitik golongan belia di Sarawak adalah kesukaran bagi mendapat akses atau menembusi tembok eksklusiviti politik parti-parti tempatan.

Bagi golongan belia, mereka melihat parti-parti politik di Sarawak ini dikuasai oleh golongan elit dan sebarang peluang bagi mengisi apa-apa tanggungjawab politik hanya dihadkan kepada golongan yang mempunyai kaitan kekeluargaan dan persahabatan sahaja.

Kewujudan dinasti politik dan budaya nepotisme terang-terangan, misalnya pemilihan anak atau isteri bagi menggantikan ayahnya dalam mewakili sesuatu kawasan parlimen dan/atau dewan undangan negeri sudah tentu memberi isyarat kepada golongan belia bahawa mereka tidak akan diterima sekiranya tidak mempunyai pertalian darah dengan mana-mana pemimpin masa kini.

Budaya politik berdasarkan kaitan kekeluargaan ini juga memberi cabaran tertentu kepada belia idealis yang mempunyai idea inovatif mengenai pelbagai perkara. Kegagalan membina pengaruh politik yang kuat dan setanding individu yang mempunyai pertalian keluarga dengan pemimpin masa kini akan menjadikan mereka cenderung untuk mendiamkan diri daripada bersuara atas kerisauan pendapat dan pandangan mereka tidak diterima dan digunapakai oleh pemimpin atasan.

Hal ini bukan sahaja meruntuhkan moral mereka bagi menyertai gerakan berpolitik bahkan juga mematahkan semangat mereka bagi terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam memberi idea, mengutarakan pandangan dan menggerakkan pelan solusi kepada setiap permasalahan yang dihadapi oleh rakyat marhaen.

Kekurangan Pemimpin Belia Berbakat

Berbanding tiga faktor terdahulu yang bersifat struktural, faktor terakhir ini lebih bersifat individualistik. Sama ada penilaian mengenai bakat kepimpinan tersebut dilakukan secara objektif berdasarkan tahap kemampuan sebenar (actual capability) ataupun hanya berdasarkan kepada persepsi yang cenderung dipengaruhi oleh sikap prejudis dan stereotaip (perceived capability), apa yang pasti adalah agak sukar bagi negeri ini mengetengahkan pemimpin muda berbakat.

Pertama, penghijrahan golongan belia berpendidikan, berkarisma dan berbakat ke negeri-negeri khususnya di Semenanjung, biarpun atas alasan sosio-ekonomi sudah tentu menghadkan jumlah dan pilihan bagi bakat kepimpinan yang dapat dicungkil.

Apabila mereka mendapati peluang mereka untuk memberi impak dan mengetuai perubahan adalah kurang, mereka akan bertindak meninggalkan negeri ini demi mencari peluang yang lebih baik di luar. Apa yang menyedihkan adalah, apabila golongan berbakat ini meninggalkan negeri Sarawak, yang tinggal hanyalah golongan belia yang kurang peduli dan cakna akan perihal kenegaraan dan hala tuju negeri sendiri.

Kedua, sikap prejudis dan stereotaip mengenai kemampuan pemimpin belia akan menjadi batu penghalang kepada pembinaan hubungan penuh kepercayaan di antara antara pemimpin belia dan pemimpin masa kini.

Keadaan saling tidak percaya ini kemudiannya memberi kesan kepada tahap penerimaan pemimpin masa kini terhadap golongan belia yang seterusnya akan menentukan kesanggupan bagi mereka memberikan peluang dan bimbingan kepada pemimpin belia untuk menggalas tanggungjawab tertentu. Keadaan ini kemudiannya akan memburukkan lagi proses mencari, menilai dan menggilap bakat pemimpin-pemimpin belia.

Rumusan

Memahami asas kenapa penglibatan belia dalam politik di Sarawak masih rendah adalah tugas wajib sebelum menyalahkan golongan belia mengenai penglibatan mereka sendiri. Bukan itu sahaja, pemahaman yang jelas adalah penting bagi kerajaan untuk mencari jalan bagi mengatasi masalah ketandusan pemimpin belia. Memenuhi keperluan asas khususnya gaji minimum dan mengurangkan kos sara hidup adalah penting agar belia dapat fokus kepada perkara berkaitan kenegaraan yang jauh lebih mustahak.

Hal ini adalah penting kerana pemimpin belia inilah yang akan bertanggungjawab mengetuai kerajaan negeri dalam tempoh 10 ke 20 tahun akan datang. Memberikan peluang dan pendedahan yang sewajarnya kepada pemimpin belia dengan matlamat untuk membantu mereka mencari sebanyak mungkin pengalaman dan pengetahuan tentang seni berpolitik dan pengurusan adalah perkara yang wajib dilakukan.

Komen