Mengapa Mimpi Nabi Tetapi Tidak Penawar Kemiskinan?

KISAH berjumpa Nabi dalam taman mimpi firdausi sudah lama didendangkan. Sejak dari zaman saya berseluar pendek bersekolah rendah sehingga zaman Iqbal menyanyi sumbang di atas pentas Big Stage, kisah mimpi begini kekal sensasi tak reput dek zaman.

Menariknya, kalau kita memerhati dan menyedari, format kisah “mimpi bertemu Nabi” ini selalunya melalui satu format yang sama; nada suara si tukang cerita wajib bergetar sebak dan tersekat-sekat tatkala menyampaikan pengalaman mimpi terulung. Kadang-kadang tertanya kita sendirian; apakah tidak sah mimpi sebegitu sekiranya suara si tukang cerita rileks dan tersenyum-senyum bahagia?

Cerita mimpikan Nabi berterusan dipertaruhkan. Semacam ada satu keasyikan maha candu bila ia diceritakan di hadapan puluhan umat yang sudah bersedia menakung air mata dan tisu.

Bukan itu saja, tips berupa doa spesifik bertemu nabi pun turut galak diperdagangkan. Ianya tak ubah seperti percubaan bertaruh nasib. Kalau tidak bertemu, doanya sudah pasti mesti diperbanyakkan. Tetapi kalau dimakbulkan, jangan lupa cerita kepada seluruh alam!

Untuk apa, matlamat dan kelebihannya tidaklah saya tahu menahu. Hari ini kita bercerita pengalaman bermimpikan Nabi. Selepas dua jam, keadaan dunia tetap sama. Belum pernah lagi kita berjumpa manusia bermimpikan nabi keluar berjuang separuh mati menyelamatkan dunia yang semakin hari semakin tenat.

Yang kerap kita jumpa, umat-umat yang ternganga luas mendengar kisah mimpi. Mereka cukup terpesona. Siapa tahu, jauh di dalam hati tersimpan sedikit keinginan bertemu Nabi di taman mimpi. Kenapa? Saya tak ada jawapan. Barangkali itulah tandanya tiket ke syurga sudah confirm.

Walaupun saya menganggap bermimpikan Nabi sebuah kisak klasik lucu, tetapi bukan tujuan untuk memperlekehkan. Cuma persoalan saya, mengapa keghairahan bermimpikan Nabi menjadi sebuah citra sakti?

Jika nabi-nabi membawa agenda revolusioner, mengapa yang ditagih ialah mimpi bukan semangatnya?

Di belakang kulit buku tulisan M Subkhan Anshori, ‘Tasawuf Dan Revolusi Sosial’ tercetak satu perenggan yang cukup mengganggu. Ia berbunyi bergini,

“Ajaran Rasullullah SAW yang sangat revolusioner, membenci ketidakadilan dan ketimpangan, sangat memperhatikan perbaikan sosial, akhirnya menjadi pemandulan. Moralitas Islam yang awalnya sangat progresif, ditujukan untuk menyongsong dunia dan menghadapi segala permasalahannya, akhirnya menjadi moralitas dekaden, moralitas budak, melarikan diri dari dunia dan hanya memfokuskan diri pada akhirat. Pemaknaan terhadap moralitas Islam semisal sabar, berserah diri, ridha, tawakal dan sejenisnya tidak lagi disenyawakan dengan perjuangan memerangi ketidakadilan dan keinginan merubah realitas sosial sebagaimana Rasulullah memaknainya.”

Terlalu banyak perkara yang umat mesti siapkan berbanding mengghairahi sesuatu yang tak pasti. Mimpi bertemu Nabi. Sebak sana. Sebak sini. Selepas itu apa?

Saya ulang. Ini bukan sejenis perlekehan. Namun keghairahan bermimpikan Nabi mesti dihentikan. Ianya kosong. Sis-sia. Dan tidak membawa manfaat walau sekecil zarah.

Oxfam pada tahun awal tahun ini melaporkan

“The world’s ten richest men more than doubled their fortunes from $700 billion to $1.5 trillion —at a rate of $15,000 per second or $1.3 billion a day— during the first two years of a pandemic that has seen the incomes of 99 percent of humanity fall and over 160 million more people forced into poverty.”

Kekayaan mereka ini saudara-saudari sepertinya kekal sehingga terjadinya apokalips. Analisis dari Oxfam mengatakan sekiranya harta mereka hilang sebanyak 99.99% pada esok hari sekalipun, mereka tetap terkaya dari jumlah 99% penduduk bumi.

Di Malaysia, senario orang kaya semakin kaya juga tidak kurang luar biasanya. Forbes Asia berkata;

“the cumulative wealth of Malaysia’s top tycoons increased by 14 percent to nearly US$90 billion – a reversal of a downward trend that saw their collective net worth decrease over the previous two years.”

Apakah kekayaan super individu-individu ini menyelesaikan situasi kemiskinan? Apakah Afrika sudah lama meninggalkan kebuluran? Apakah kelas pekerja di seluruh dunia menikmati kehidupan yang lebih adil dan terjamin? Apakah ada lagi anak-anak yang tercicir dari pendidikan? Dan apakah Malaysia kini rahmat bahagia terlepas dari siksa miskin?

Di Malaysia, kadar kemiskinan menaik dari 5.6% pada 2019 kepada 8.4% pada tahun 2020. Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2021 mengatakan antara 21% dari 3,000 responden mereka tidak boleh menyimpan wang pada setiap bulan. Manakala KWSP melaporkan 71% pencarum KWSP cuma mempunyai simpanan kurang RM50,000 (RM208 sebulan) dalam menghadapi hari-hari tua. Unicef pula dalam kajiannya memberitakan lebih 84% perbelanjaan pendidikan anak-anak terpaksa dipotong di kalangan keluarga berstatus B40.

Dapatan-dapatan itu menemukan kita dengan satu konklusi; bahawa kemiskinan adalah kejahatan yang tiada tolok bandingannya. Darinya wujud perhambaan, perompakan, dominasi ekonomi, ketidakadilan sosial serta kemusnahan demokrasi.

Justeru adalah seribu kali lebih baik bermimpikan bertemu penawar kemiskinan. Berdoalah di setiap malam agar diizinkan bertemu ubat kepada penyakit paling celaka, paling syaitan. Setelah merebutnya di alam mimpi, berlarilah pulang ke alam realiti. Buka matamu dan tuanglah penawar di atas tanah. Moga-moga hak si miskin mendapatkan upah gaji berdaulat, impian anak-anak miskin bersekolah, tempat tinggal yang selamat dan hidup yang tidak tercelakakan oleh hutang keliling pinggang menumbuh subur.

Bukankah itu lebih penting, lebih utama, lebih menghampiri agenda revolusioner dari bersuara sebak-sebak tidak ketahuan punca?

Saya tidak bermaksud mahu menunggang Nabi dalam perenggan terakhir ini.

Tetapi biarlah kita semua menyepakati bahawa Nabi tidak menginginkan kita dalam alam mainan tidur pun. Yang mesti dipanjangkan bukan bermimpi. Sebaliknya kesedaran mewujudkan dunia tanpa kelas akibat jahatnya kemiskinan.

Komen