Mengapa Membaca Mao

Kalau orang tanya apa patut dibaca untuk memahami Marxisme, saya selalu jawab supaya mula dengan karangan-karangan Mao Zedong.

“Mao tulis karangan?”

Saya disoal oleh kenalan universiti yang sedang memandu kereta. Matanya terbeliak cuba membayangkan seorang diktator, yang diperkatakan ramai telah membunuh jutaan rakyatnya sendiri, mengepal sebatang pena untuk mencatatkan kata-kata. Barangkali, jumlah di mulut propagandis kini sudah mencecah bilion. Mao yang zalim lagi digeruni, mencipta kultus dengan berhala sebiji mangga ketika Revolusi Kebudayaannya yang terkutuk.

“Orang sekeji-keji Firaun macam ni pun ada masa nak menulis?”

Masih susah percaya walhal angka umbang-ambing dan penyembah mangga tadi tidak pernah pula dia terfikir untuk tabayyun.

Ya, itulah hakikatnya. Seorang pemimpin yang berwibawa harus rajin berdamping dengan ilmu, bukan? Sama ada membaca atau menulis, Mao memang tekun menimba ilmu demi memajukan masyarakat China. Bahkan, Edgar Snow dalam Red Star Over China menceritakan peristiwa Mao menundakan temu bual bersamanya selama tiga atau empat hari kerana baru menerima hadiah berbentuk buku-buku falsafah. Menurut Snow, beliau kelihatan seolah-olah tidak sedar akan keadaan sekelilingnya dalam kekhusyukan menelaah bahan bacaan itu. Antara sumbangan Mao kepada teori adalah esei-eseinya, terutamanya On Practice dan On Contradiction. Bagi saya, kedua-kedua tulisan ini adalah permulaan terbaik bagi memahami rangka kerja yang membimbing para sosialis dalam mendirikan sistem sosialisme dengan berkesan. Lenggok bahasa yang digunakan beliau juga mudah difahami, justeru tidak akan menggugat semangat Si Pejuang baharu yang belum arif untuk mempelajari teori demi menjayakan perjuangannya.

On Practice merupakan usaha Mao melawan sikap dogmatis dalam kalangan ahli partinya. Ia menerangkan hubungan antara teori dan praktis, atau bahasa lebih mudah, ilmu dan perbuatan. Setiap perbuatan kita yang bertujuan untuk memperjuangkan marhaen bukan melulu, tetapi dilakukan berdasarkan ilmu yang membimbing ke arah kejayaan. Pada masa yang sama, ilmu yang ditimba bukanlah titahan muktamad. Mao menekankan bahawa ilmu datang dari pemerhatian dalam perbuatan kita. Sebelum menghasilkan suatu teori, seorang Marxis sewajarnya bermula dengan cubaan mengubah realiti di depan matanya dahulu. Bak kata Mao, “Kalau mahu tahu rasa sebiji pir, kamu perlu mengubah pir tersebut dengan memakannya.”

Mao turut menjelaskan proses penghasilan ilmu dalam fahaman Marxisme. Beliau membahagikannya kepada dua tahap: ilmu persepsi dan ilmu logik. Ilmu persepsi merujuk kepada maklumat yang ditemukan dalam praktis. Kalau ambil contoh pir tadi, maklumat yang kita temukan apabila menggigit bentuk mengghairahkan buah itu adalah rasanya yang manis dan rangup. Inilah fakta yang diketahui melalui pancaindera. Namun, kita baru di tahap pertama. Bergerak ke tahap kedua, ilmu logik merupakan maklumat yang ditemukan setelah ilmu persepsi dianalisis untuk membentuk satu fahaman menyeluruh. Setelah merasa sebiji pir yang manis dan rangup, kita mula menganggap semua buah pir akan berasa sedemikian. Jadi, kita meneruskan kehidupan, memakan pir demi pir yang mengesahkan prinsip kemanisan dan kerangupan buah bujur itu, sehinggalah satu hari, kita termakan sebiji yang kurang enak. Pengalaman baharu ini bercanggah dengan teori yang telah kita tetapkan. Maka, kita perlu mengubah suai kembali teori kita agar dapat menjelaskan kenapa adanya pir yang tidak manis mahupun rangup. Di sini, kita dapat lihat bahawa ilmu sentiasa diperbaiki apabila maklumat baharu ditemukan dalam praktis yang berterusan.

On Contradiction bertujuan melawan dogma yang membelenggu para pemikir. Mao menerangkan bahawa wujudnya dua fahaman mengenai perkembangan dunia dalam aliran sejarah: fahaman metafizikal dan fahaman dialektikal. Fahaman metafizikal ditolak hebat-hebat oleh para Marxis kerana bersifat statik. Ia berpegangan bahawa perubahan tidak berlaku melainkan penambahan, pengurangan, dan pengulangan; setiap apa yang ada di dunia ini tidak berubah dari segi sifat. Hal ini bertentangan dengan fahaman dialektikal yang berpegang pada kebolehubahan segala benda. Seorang Marxis meyakini bahawa keadaan dunia pada setiap fasa sejarah tidak pernah sama, walau terserlah beberapa persamaan. Setiap momen dalam tawarikh ketamadunan manusia adalah unik dan meski ada perkaitan, masih memiliki nuansa tersendiri. Kendatipun penindasan berlaku di bawah kerajaan kapitalis dan juga di bawah kuasa maharaja yang zalim, bentuk kedua-kedua penindasan tersebut tidak sama dan perlu difahami berdasarkan konteks masing-masing.

Fahaman dialektikal terbina pada asas yang penting iaitu kontradiksi. Secara mudah, kontradiksi boleh digambarkan sebagai pertentangan antara dua atau lebih perkara yang mencetuskan perubahan. Misalnya, pertentangan antara kaum pekerja yang mahukan gaji tinggi dan majikan yang ingin menyimpan keuntungan dengan membayar gaji rendah menyebabkan berlakunya konflik. Demi menaikkan gaji, kaum pekerja membentuk kesatuan untuk memberi tekanan kepada pihak majikan, manakala majikan pula berusaha sedaya upaya untuk mengganyang kesatuan itu. Pada akhir konflik, satu pihak akan juara. Sama ada ia kaum pekerja mahupun majikan bergantung kepada yang mana lebih bijak dalam memahami kontradiksi ini untuk menyelesaikannya. Memahami kontradiksi untuk menghasilkan analisis yang bernas pula bukanlah gampang. Mao menyenaraikan lima hukum kontradiksi: kesejagatan, kekhususan, keutamaan, identiti, dan antagonisme. Penghuraian hukum-hukum tersebut memberi fahaman yang lebih lengkap mengenai kontradiksi, memampukan kita untuk menghasilkan analisis kedinamikan dunia yang menyeluruh agar minhaj efektif ke arah sosialisme dapat ditemukan.

Akhir kalam, jika pembaca ingin mendalami ilmu Marxisme, saya amat sarankan tulisan-tulisan Mao. Tulisan pendek saya ini belum memadai untuk mengandungkan kehebatan daya akal beliau. Saya hanya mampu mengongsikannya secara ringkas, dengan harapan, percubaan pembaca selepas ini untuk menghadam bahan ilmiah berkenaan Marxisme dipermudahkan. Memahami metode Marxisme, iaitu materialisme dialektika dan materialisme sejarah, amat penting bagi setiap orang yang mendambakan sosialisme. Tanpa nur ilmu untuk menerangi jalan gelap ke dunia impian, kita akan tersimpang berkali-kali hingga putus asa akibat kegagalan yang tidak dijadikan pedoman. Pada masa yang sama, kerajinan membaca tidak patut menghalang kita daripada cuba mengubah dunia. Kebiasaan seorang Marxis adalah untuk bermula dengan praktis di dunia yang nyata. Maka, sertailah operasi akar umbi supaya mengenali kontradiksi realiti semasa, dan budayakan pembelajaran sepanjang usia agar peluh dan tenaga tidak terbazir pada usaha sia-sia.

Wallahu A’lam.

Komen