Ilmuan akan dikecam jika berani melantangi suara
Akan dianggap tawaduk jika muka tunduk sentiasa
Akan dikira berjasa jika selalu berbicara
Tentang pencapaian sekelumit tuannya
Tentang pemikirannya walau sehelai dua
Tentang arkanul Islam di tahap remaja
Tentang kesilapan kekuman rakyat jelata
Tentang kelemahan musuh ketuanya.
Ini adalah satu rangkap daripada puisi Wan Mohd Nor Wan Daud di dalam bukunya Dalam Terang. Dalam banyak-banyak rangkap, rangkap ini yang aku rasa terkesan. Sebab apa? Sebab aku berpandangan, kita tidak lagi memberi hormat kepada individu yang sepatutnya kita beri, sebaliknya kita mengangkat individu yang pemikirannya tidaklah seberapa, tapi disebabkan popularitinya, ‘bising’nya dan lain-lain. Aku kecewa.
Mungkin aku saja yang syok sendiri. Pada kau, ini bukan big deal. Pada aku, ya. Kau bayangkan, apabila dalam dunia akademik, kita mengangkat seorang tokoh ilmuwan yang selalu kena tarik telinga. Tak ada prinsip langsung. Apa yang orang suka, dia akan lakukan. Apa yang orang tidak suka, dia akan jauhkan. Prinsipnya bukan terletak pada ilmu itu sendiri, tapi pada ‘orang’ ataupun pengiktirafan sosial semata-mata.
Kau bayangkan pula kita mengangkat seorang pemimpin yang hatinya bukanlah merakyat sangat, tapi lebih kepada status dan pangkat. Dalam parlimen perangainya tiada beza dengan monyet di dalam Zoo Negara. Kita pula, yang ada kuasa mengundi dengan semangat demokrasi ini pun, kita sanggup mengundi orang ini lagi. Rasuah sana-sini. Kes pengubahan wang haram. Kes semua ini dah lama, tapi adakah hari ini kita bersedia nak menolak orang seperti ini? Dalam PRU pun kita masih lagi menyokong orang ini. Orang yang ada kes rasuah, akhlak tak dijaga, ada kes pengubahan wang haram dan pelbagai lagi. Kita sebenarnya yang lambat dalam memberi reaksi sepatutnya kepada skandal politik. Benar? Sangat lambat. Kita terlalu baik dalam hal-hal menyokong pemimpin kesayangan kita tanpa kita melihat kepada implikasi kepada perbuatan pemimpin itu. Tapi kalau dalam hal lain, bukan main lagi kita melatah, lagi-lagi isu yang dibangkitkan oleh LAWAN kita. Laju saja kita nak protes, diisi dengan cacian dan makian.
Berbalik kepada puisi ini tadi. Orang yang berani menyuarakan idea dan pemikiran, pasti akan disekat-sekat. Sampai satu tahap, aku pun pelik, kita sekat dia, apa yang kita takutkan jikalau kita ada sebab yang kukuh untuk mengatakan dia itu ‘sesat’? Berhadapanlah dengannya. Kita takut apa? Kalau benar dia itu wahabi dan aliran tersebut tidak betul, kenapa kita sekat berbanding dengan berhadapan? Kita kata aliran kita saja yang betul, maka apa yang kita takutkan sangat?
Itu yang aku pelik. Lantangnya mereka menyuarakan pandangan, tidak kiralah hadis atau apa, tapi mereka selalu disekat-sekat. Dibatalkan program kuliahnya di Selangor dan sebagainya. Menarik tauliah mereka mengajar. Bukankah kita yang selalu ajar anak-anak kita untuk bertabayyun terlebih dahulu? Kenapa kita tidak bertabayyun dengan cara berhadapan dan berbahas dengan si wahabi ini? Pelik.
Orang yang selalu mengikut status quo adalah orang yang selalu diangkat-angkat. Nanti-nanti, orang ini yang akan naik jadi ketua. Nanti-nanti juga, orang ini yang naik jadi menteri. Orang yang tak ada prinsip. Selalu kena tarik telinga, semestinya orang atasan bakal mencadangkan namanya untuk menjadi pelapis. Sudah semestinya. Sebab selama ini dia sahaja yang rela ditarik telinga. Kita tidak lagi lihat kepada kualiti, sebaliknya kita lihat kepada siapa yang selalu menjilat kita. Makin kerap dia jilat, makin sukalah kita nak jadikan dia sebagai pelapis kita nanti. Bagaimana kepimpinan kita di Malaysia tidak lingkup kalau budaya macam ini berterusan?
Kita tidak sanggup mengangkat seseorang yang benar-benar berilmu kerana orang yang berilmu ini neutral. Apa yang kita nak ialah mereka yang cenderung kepada kita saja. Kalau ilmuwan itu neutral, takut satu masa nanti dia akan bercanggah dengan kepimpinan kita dan akhirnya kita ditimpa malu. Kita tak mahu begitu, apa yang kita mahu ialah ilmuwan yang sentiasa mengabsahkan apa saja yang kita buat. Itulah ilmuwan yang ideal menurut kita.
Sebab itu, budaya ilmu kita di Malaysia kian tidak berkembang. Ilmuwan yang menjilat saja yang ditawarkan dengan pangkat-pangkat besar dalam kerajaan. Bukan ilmuwan yang melawan penindasan, status quo, kemiskinan dan banyak lagi. Hanya ilmuwan yang sudah selesa dengan keadaan sekarang saja yang memegang jawatan besar. Ilmuwan yang dilabel macam-macam, perlu disekat suaranya, perlu ditarik tauliahnya, perlu didiamkan dengan pelbagai cara lagi.
Sungguh, kita memang PENGECUT untuk berhadapan. Budaya ilmu apakah ini?
Artikel ini adalah tulisan saudara Sadiq Salihoddin dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.