Menduga PilPres Amerika Syarikat

Pilihan raya Presiden (PilPres) Amerika Syarikat adalah pilihan raya yang diikuti rapat seluruh dunia setiap 4 tahun. Ia jadi tumpuan kerana besarnya status dan peranan Amerika Syarikat di pentas dunia, sebagai sebuah superpower dari segi politik, ekonomi dan ketenteraan. Juga jolokan Amerika Syarikat sendiri sebagai beacon of democracy, yang darinya asal ungkapan government of the people, by the people, for the people” oleh Abraham Lincoln (Presiden AS ke-16).

PilPres kali ini seperti yang sebelumnya bakal menyaksikan pertembungan dua calon dari dua parti utama Amerika Syarikat. Donald Trump dari parti Republikan yang cuba mendapatkan mandat penggal kedua kepresidenan beliau, dan Joe Biden dari parti Demokrat. Pilihan pengundi Amerika Syarikat sebenarnya tidak terhad pada dua calon ini sahaja. Secara keseluruhan ada 11 calon presiden yang bertanding, antaranya Jo Jorgensen dari parti Libertarian dan Howie Hawkins dari parti Green, juga calon individu seperti rapper Kanye West dan pelakon Brock Pierce.

Tetapi oleh kerana politik Amerika Syarikat terbentuk dalam sistem dua parti, maka hanya calon Republikan atau Demokrat sahaja yang dikira berpeluang untuk menang. Inilah yang telah berlaku sejak tahun 1853 apabila jawatan Presiden Amerika Syarikat hanya disandang oleh pemimpin dari kedua parti tersebut.

Jawatan Presiden Amerika Syarikat pernah diisi oleh Republikan sebanyak 19 kali dan oleh Demokrat sebanyak 14 kali (dari jumlah keseluruhan 45 presiden). Antara presiden ternama dari Republikan adalah Abraham Lincoln, Theodore Roosevelt, Dwight D. Eisenhower, Richard Nixon, Ronald Reagan, George W. Bush dan tidak dilupakan, Donald Trump. Dari Demokrat pula, nama-nama seperti Woodrow Wilson, Franklin D. Roosevelt, John F. Kennedy,  Jimmy Carter, Bill Clinton dan Barack Obama antara yang dikenali ramai.

Perbezaan antara Republikan dan Demokrat adalah kanan dan kiri. Republikan condong pada politik sayap kanan dengan mengangkat fahaman konservatisme. Demokrat pula condong ke kiri dengan ideologi liberalisme mereka. Di pihak Republikan juga, ada kelompok yang mendukung fahaman populis sayap kanan manakala segelintir ahli Demokrat cenderung ke arah fahaman progresifisme dan demokrasi sosial.

Maka, tidaklah menghairankan jika sokongan kepada kedua parti besar ini dapat dicorak dari segi demografik dan geografi negara Uncle Sam. Sebagai contoh, Republikan sangat kuat di negeri-negeri dalam wilayah Bible Belt atau Deep South. Pengundi di sini majoritinya adalah masyarakat konservatif dengan pegangan agama Protestan evangelikal yang kuat, luar bandar, terlibat dalam sektor pertanian dan komposisi kaumnya agak homogenus, dihuni kebanyakannya oleh bangsa kulit putih dengan pegangan tradisi dan kebudayaan kulit putih. Negeri-negeri dalam wilayah ini seperti Alabama, Georgia, Louisiana, Kentucky, Mississippi, Oklahoma, South Carolina, Tennessee dan Texas adalah kubu kuat Republikan sejak sekian lama. Republikan juga mempunyai pengaruh besar di negeri-negeri Great Plains seperti Kansas, Missouri, Montana, Nebraska, North Dakota, South Dakota dan Wyoming, yang juga merupakan negeri kulit putih, konservatif dan luar bandar.

Manakala kubu kuat Demokrat pula adalah di negeri-negeri dengan urbanisasi dan kadar perindustrian yang tinggi serta masyarakat majmuk yang lebih liberal dan moden. Negeri-negeri ini kerap digelar sebagai Blue Wall kerana sejak sekian lama menjadi benteng kuat Demokrat. Negeri-negeri Blue Wall ini terdiri dari kesemua tiga negeri di pesisir Lautan Pasifik iaitu California, Oregon dan Washington; dan negeri-negeri di kawasan Great Lakes seperti Illinois, Michigan, Minnesota, New York, Pennsylvania dan Wisconsin. Empat negeri Blue Wall ini juga membawa undi elektoral yang besar seperti California (55), New York (29), Illinois (20) dan Pennsylvania (20).

Oleh itu, secara kasarnya kemenangan Demokrat adalah terjamin jika berjaya menguasai kesemua negeri-negeri Blue Wall yang berjumlah 18 negeri dan satu wilayah District of Columbia, dengan undi elektoral sebanyak 242. Ini sudah cukup hampir dengan angka keramat 270 undi elektoral yang diperlukan untuk majoriti mudah dari sejumlah 538 undi elektoral. Berbeza dengan Republikan pula, satu-satunya negeri kubu kuat Republikan dengan undi elektoral yang besar adalah Texas (38). Majoriti negeri Republikan yang lain hanya mempunyai undi elektoral 10 dan ke bawah.

Tetapi jika ada satu pengajaran yang nyata buat kem Demokrat dan calon presiden mereka Joe Biden, ianya adalah keputusan PilPres 2016 membuktikan bahawa negeri Blue Wall bukan lagi ‘simpanan tetap’ Demokrat.

Apa yang berlaku ketika PilPres 2016 adalah kejatuhan Michigan, Pennsylvania dan Wisconsin ke tangan Republikan, sekaligus memberikan Donald Trump sejumlah 50 undi elektoral, yang membantu kemenangan Trump dengan 304 undi elektoral berbanding 227 yang dimenangi Hillary Clinton dan Demokrat. Keputusan tahun 2016 ini juga merupakan pengesahan kepada apa yang dirujuk oleh penganalisis sebagai ‘demise of the Blue Wall’, dimana Republikan dilihat sudah mula menerobos masuk ke dalam kawasan selamat Demokrat.

Pungutan suara dan analisis awal untuk PilPres 2020 banyak yang dilihat memihak kepada Joe Biden dan Demokrat. Memang kelebihan ada buat Biden, sokongan dilihat lebih banyak tertumpu pada Demokrat selepas segala permasalahan dan huru-hara yang berlaku dalam penggal pertama kepresidenan Trump. Biden juga sebagai bekas Naib Presiden kepada Presiden Barack Obama dilihat sebagai calon dengan pengalaman luas untuk memgembalikan Amerika Syarikat ke landasan sebenar. Dan jika dilihat pada sentimen semasa, tidak mustahil Biden dapat menukar kembali tiga negeri yang ‘merah’ pada 2016 iaitu Michigan, Pennsylvania dan Wisconsin kembali ‘biru’ sekaligus mengembalikan presiden dari Demokrat ke White House.

Namun, jika sejarah boleh mengajar kita ianya adalah hakikat bahawa sejak Bill Clinton pada tahun 1992, kesemua Presiden Amerika Syarikat telah diberikan peluang untuk menjadi presiden buat penggal kedua. Bahkan penggal pertama George W. Bush yang kucar-kacir akibat kegilaan War On Terror beliau, masih membolehkan Bush diundi buat penggal kedua.

Maka sejauh mana kepopularan Biden sekalipun, baik dalam pungutan suara atau di media sosial, kita tidak boleh dengan mudah menafikan peluang Trump kekal sebagai presiden untuk penggal kedua. Dengan sokongan kuat dari negeri-negeri konservatif Bible Belt dan Great Plains, Trump hanya memerlukan beberapa negeri Blue Wall untuk jatuh dan sekali lagi membuat kejutan.

Komen