Mencari Kunci Jiwa Yang Merdeka

Menjelang Hari Kebangsaan, perbahasan mengenai erti kemerdekaan bukanlah satu yang asing lagi bagi rakyat Malaysia. Ia merupakan satu budaya yang cuba mengingati, menjiwai dan mencari sisi-sisi kejayaan sebuah negara yang sudah merdeka. Maka, segala buku-buku yang menceritakan tentang hal-hal kemerdekaan, tidak kira pejuang kanan atau kiri, akan menjadi rujukan hangat pada bulan ini.

Saya juga tidak ketinggalan daripada membaca sebuah karya seorang penulis Indonesia, Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka), bertajuk ‘Kenangan-Kenanganku di Malaya’. Secara ringkasnya, buku ini seperti luahan kasih sayang Hamka ke atas kemerdekaan Malaya pada tahun 1957, yakni tahun yang sama buku ini diterbitkan. Hubungan Indonesia dan Malaya dianggap Hamka seperti hubungan Kakak dan Adik.

Bagi Hamka, kemerdekaan itu bertunjang kepada budi, jika akhlak rakyat dan pemimpinnya tidak enak, maka ia merupakan satu bibit-bibit kemelesetan nilai kemerdekaan itu sendiri. Namun, ujian yang lebih besar dan boleh membawa kecelakaan, melebihi kejahatan penjajah ialah penjajahan hawa nafsu, penjajahan kemegahan dan harta ke atas sesuatu bangsa itu, sehingga nilai sebenar kemerdekaan itu sudah terlucut satu demi satu.

Selepas mencapai kemerdekaan, Hamka melihat kebobrokan sikap pemimpin negara yang mudah sahaja berubah kepada unsur-unsur dan kelakuan seperti penjajah, sehingga erti asli kemerdekaan hanya dimanipulasikan untuk kesenangan kuasa dan harta. Orang-orang lama pula sibuk menceritakan kegemilangan dahulu kepada generasi hari ini, tetapi apabila ditanya ‘Apa jadi zaman sekarang?’, orang lama ini hanya mengutuk dan mengeluh.

Perkara yang canggung ini menyebabkan nilai kemerdekaan itu merosot dan ia hanya membentuk sebuah masyarakat yang hanya menunding jari kepada kesalahan orang lain, sedangkan hal itu berpunca daripada sikap lemah rakyat atau pemimpin itu sendiri. Keruntuhan budi secara langsung telah meruntuhkan kemerdekaan sesebuah negara.

Kita dapat saksikan bagaimana sisi ‘dua darjat’ yang berlaku di Malaysia. Mereka yang bergelar VVIP seperti kebal daripada undang-undang manakala rakyat ditekan habis-habisan kerana melanggar peraturan. Mereka yang berstatus ‘lain’ bangsa dan agama dipandang dengan penuh kecurigaan, bukan kasih sayang.

Apabila negara mencapai kejayaan, pemimpin lemah budi ini mendabik dada dan tanpa segan-silu memuji pentadbirannya sendiri. Apabila pemerintahan tersungkur dan gagal menyelesaikan kegelisahan rakyat, ekonomi dan rakyat pula dipersalahkan.

Ada pula beberapa ahli parlimen memperlekehkan pemimpin muda yang sedang meningkat dewasa. Apabila ditegur, wakil rakyat berfahaman politik lama ini terus-menerus menyindir, tidak mempedulikan pandangan generasi baharu. Ironinya, pemimpin seperti ini juga yang berdegah-degah ingin memupuk perpaduan bangsa, tetapi semangat ini hanya akan tamat atau expired setelah selesai sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia dan ia akan kembali semula pada pilihan raya.

Itulah realiti yang berlaku sekarang. Rasa ingin menjadi bangsa merdeka ikut angin, ikut telunjuk politik yang akan tamat pada bila-bila masa. Hari ini, bukan sahaja pemimpin negara sukar menemui vaksin atau ubat untuk melawan Covid-19, tetapi mereka juga sukar mencari penawar dalam menyelesaikan isu sentimen kebencian, perkauman dan diskriminasi.

Apa yang dicari ialah jiwa warganegara yang merdeka, tidak mudah dijajah dengan godaan lapuk yang boleh melunturkan nilai kemerdekaan tanah air itu sendiri.

Jiwa rakyat yang merdeka ini terhasil daripada kesedaran untuk memegang nilai budi dalam memahami erti kemerdekaan yang sebenar. Bukan semangat merdeka yang hanya kunjung tiba pada bulan Ogos, tetapi ia satu perjuangan yang sentiasa mengalir sebagai semangat untuk mencapai kecermerlangan politik, ekonomi dan tadbir urus negara. Inilah kunci kepada jiwa rakyat yang merdeka.

Apabila masyarakat itu sendiri berbudi, secara tidak langsung ia akan membentuk satu keperluan kepada pemimpin untuk berjiwa besar dan berbudi, tidak mengkhianati amanah diberikan dan tidak gemar makan rasuah.

Hakikatnya, kegagalan membangkitkan kesedaran masyarakat dan pemimpin yang berbudi selama ini akibat kerjasama longgar dan bersendirian. Gerakan untuk membentuk masyarakat dengan jiwa yang merdeka memerlukan kerjasama erat orang ramai. Janganlah mudah termakan dengan mimpi-mimpi kesenangan selepas merdeka. Usaha membina negara dan rakyat berbudi ini masih belum selesai.

Orang yang sudah merdeka mungkin bebas daripada penjajah dan musuh, tetapi masih terperuk dalam ‘nostalgia’ lama yang membuat dirinya berputus asa untuk masa hadapan. Tetapi, jiwa rakyat yang merdeka ialah masyarakat yang mahu berbudi kepada negara, memikirkan masa hadapan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Artikel ini adalah tulisan saudara Fakhrurrazi Rashid dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas.

Komen