Dalam praktik demokrasi yang berlandaskan sistem pengasingan kuasa, bidang kehakiman adalah satu daripada cabang yang amat penting. Biasanya tahap kesuburan amalan demokrasi sesebuah negara dinilai berdasarkan kepada sejauh mana sistem kehakiman di negara tersebut benar-benar bebas daripada cengkaman atau pengaruh penguasa. Dan ketika membincangkan isu ini, aspek yang perlu ditekankan ialah struktur kehakiman itu sendiri.
Pengasingan badan kehakiman daripada dua cabang penting lain demokrasi – iaitu legislatif dan eksekutif, bertujuan untuk mengelakkan sebarang peluang munculnya tohmahan terhadap mahkamah. Langkah itu amat penting kerana mahkamah menjadi tempat rakyat mengadu nasib, selain dianggap lambang yang menentukan tahap kesihatan keadilan negara. Sebarang ruang yang dapat mendedahkan sistem kehakiman kepada tohmahan perlu ditutup. Seperti diungkapkan peribahasa Greek, “Isteri Ceasar mesti mengatasi kecurigaan,” seseorang hakim juga wajib meletakkan dirinya dalam keadaan tidak boleh disyaki atau tertohmah.
Kebebasan institusi ini amat penting, terutama dalam perkara yang melibatkan keputusan kehakiman (judicial decision) dan keputusan administratif (administrative decision). Walaupun begitu, keputusan kehakiman perlu dibezakan dengan keputusan yang dibuat atas kapasiti administratif. Yang pasti, kedua-duanya perlu melepasi ujian kebebasan yang dinilai melalui prinsip natural justice yang menjadi prinsip asas pembentukan mana-mana tribunal keadilan.
Di Malaysia terdapat dua entiti yang mempunyai bidang kuasa melaksanakan keputusan kehakiman, iaitu Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Borneo di satu kumpulan, dan Mahkamah Syariah di sisi yang lain. Isunya ialah Mahkamah Syariah sebagai entiti memiliki bidang kuasa membuat keputusan kehakiman sering diuji dengan hebat di mahkamah sivil. Ini mungkin disebabkan kedudukan mahkamah syariah di bawah Fasal 121A Perlembagaan Persekutuan tidak diungkap sejelas kedudukan Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Borneo.
Kekaburan peruntukan tersebut memberi ruang kepada pelbagai tafsiran yang sedikit sebanyak mengganggu martabat mahkamah syariah yang selama ini berfungsi dengan baik di dalam masyarakat kita. Keunikan pengalaman masyarakat di Malaysia perlu dibezakan daripada pengalaman masyarakat di negara luar, seperti Britain – negara yang pernah menjajah kita. Apa yang penting ialah, sejauh mana institusi tersebut dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Dalam kerangka sistem perundangan Common Law, aspek kebebasan kehakiman diberi keutamaan. Di dalam kes Jeneral Pinochet, House of Lord (mahkamah tertingi di England) untuk pertama kalinya telah mengkaji semula semua penghakiman anggota badan itu dalam perbicaraan berkenaan apabila didapati isteri seorang daripada mereka adalah antara pemegang amanah Amnesty International Trust, iaitu pertubuhan yang turut dinamakan dalam pertikaian berkenaan.
Sebelumnya, semua penghakiman dibuat oleh House of Lord tidak pernah dibuka semula oleh mana-mana badan kehakiman. Namun dalam kes Jeneral Pinochet, keputusannya disemak semula kerana wujud kemungkinan berlaku gangguan keadilan sehingga ia berisiko mencemar kesucian mahkamah. Akhirnya selepas semakan dibuat,
badan itu bersetuju membatalkan keputusan terdahulu.
Apa yang berlaku itu menunjukkan betapa telitinya House of Lord melihat kebarangkalian berlaku ketidakadilan. Undang-undang Common Law bukan hanya menumpukan kepada aspek ketidakadilan yang mesti ditegakkan, malah tidak mengabaikan kemungkinan ketidakadilan berlaku.
Di Malaysia, hal ehwal kebajikan para hakim Mahkamah Tinggi Malaya dan Borneo dikemaskini dengan rapi oleh Perlembagaan Persekutuan. Hal itu dengan jelas diperuntukkan dalam perlembagaan negara. Namun, hakim- hakim mahkamah syariah di Wilayah Persekutuan misalnya, masih terpaksa menumpang di bawah struktur Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia yang ada di Jabatan Perdana Menteri. Sistem kehakiman Islam yang menitikberatkan persoalan keadilan mungkin boleh mengambil iktibar daripada struktur kehakiman Common Law yang juga mempunyai asas cita-cita sama.
Cadangan Ketua Hakim Negara suatu ketika dahulu untuk menyerap hakim mahkamah seksyen dan majistret ke dalam sistem kehakiman merupakan idea sangat baik dan sepatutnya dilaksanakan secepat mungkin. Penyerapan tersebut amat penting bagi memperkasakan aspek ‘kebebasan’ yang menjadi asas utama sesuatu sistem kehakiman. Perkembangan yang sama sepatutnya difikirkan terhadap struktur mahkamah syariah di negara kita.
Meletakkan kedudukan mahkamah syariah secara berasingan boleh memelihara kesucian perundangan berasaskan Islam yang sangat menekankan prinsip keadilan. Mungkin sudah tiba masanya Perlembagaan Persekutuan menyediakan peruntukan khusus mengenai kedudukan hakim mahkamah syariah. Pengasingan daripada cabang eksekutif dirasakan perlu bagi membolehkan kita membezakan keputusan mahkamah syariah daripada keputusan badan perundangan lain seperti Mahkamah Perusahaan dan Tribunal Pengguna.
(Artikel ini adalah petikan dari buku Lelaki Di SeBalik Pulau)

Yusmadi Yusoff adalah seorang peguam, bekas Ahli Parlimen Balik Pulau dari tahun 2008 hingga 2013 dan kini merupakan Senator Dewan Negara. Beliau juga merupakan Profesor Adjung di ISTAC-IIUM dan pernah menulis buku berjudul Lelaki Di SeBalik Pulau yang diterbitkan oleh DuBook Press.