Memikir-Ulang Demokrasi

SEMASA Pilihan Raya Negeri baru-baru ini, saya mendapati ramai netizen mengecam calon-calon Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) kerana menjanjikan penyelesaian kepada masalah pungutan sampah di kawasan yang mereka bertanding. Para pendekar papan kekunci menyuarakan di alam maya bahawa itu semua tanggungjawab Ahli Majlis, bukannya Ahli Dewan Undangan Negeri. Biarpun hal itu benar, saya hairan dan terfikir, “Jadi apa solusinya kalau kerja Ahli Majlis tak jalan?” Semua orang sibuk melemparkan hinaan kepada budak-budak hingusan berseragam hitam yang berani menawarkan diri sebagai pilihan rakyat, tanpa sedar bahawa akhirnya, rakyat masih kena menghadap masalah sampah yang mencemari pemandangan. Jika begini sikap politik dalam kalangan pengundi, maka pada saya, demokrasi hanya akan membinasakan kita semua.

Tahun lepas, saya menghadiri sebuah bengkel anjuran National Democratic Institute (NDI). Peserta-pesertanya terdiri daripada wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan pelbagai kerja akar umbi di Semenanjung dan Malaysia Borneo. Antara NGO yang menghantar wakil adalah Borneo Komrad, sebuah kolektif mahasiswa dan anak muda yang mengoperasikan Sekolah Alternatif buat kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di Semporna, Sabah.

Masalah utama yang dititikberatkan para hadirin adalah jurang antara parti politik dan badan akar umbi. Organisasi seperti Borneo Komrad sudah banyak mengambil inisiatif untuk menyelesaikan masalah di tempat masing-masing, tetapi usaha mereka terbatas kerana hanya mampu merawat gejala sementara. Punca masalah yang terletak pada perundangan dan susun tadbir tetap tidak dibereskan. Hanya kerana ketiadaan dokumen, ada budak yang tidak dapat menerima pendidikan sama taraf dengan budak yang berstatus warganegara. Hal ini hanya dapat diselesaikan sepenuhnya melalui penggubalan dasar dan pemindaan undang-undang, yang berada di bawah bidang kuasa wakil rakyat.

Terdapat wakil NGO menyimpan marah yang melimpah persis longkang di Kampung Budiman ketika hujan, sampai beliau lantang melontarkan makian ke arah perwakilan parti-parti politik yang terduduk malu di hadapan.

Ternyatalah, pekerja-pekerja di lapangan sudah penat melakukan usaha sia-sia. Mereka sedar bahawa solusi akhir terletak di tangan wakil rakyat yang dipilih semasa pilihan raya. Namun, wakil rakyat hanya mengecewakan kerana sibuk mengekalkan kuasa sahaja. Jadi, apa guna demokrasi? Apa guna kita keluar mengundi kalau masalah rakyat tidak terlunas? Saya hanya punya satu jawapan: kita perlu memaknai semula demokrasi. Demokrasi bukan bererti hak untuk memilih pemimpin semata, malah meliputi keterlibatan seluruh rakyat dalam usaha mentadbir negara. Dari rukun tetangga hingga kabinet negara, setiap orang memainkan peranan dalam pentadbiran. Maka, setiap orang harus melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan, tidak kira kedudukannya. Bak kata Vladimir Lenin, “Setiap pembantu dapur harus belajar mentadbir negara.”

Di Kesatuan Soviet, para pemimpin mengamalkan prinsip pemusatan demokratis (democratic centralism). Istilah ini bermakna bahawa wujudnya satu kerajaan pusat yang menentukan hala tuju seluruh negara bagi memastikan kesatuan dalam tindakan (unity of action), atau mungkin lebih dikenali oleh penyokong tegar Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebagai wahdatul amal. Penentuan ini dilakukan berdasarkan nasihat-nasihat rakyat di lapangan. Hal ini demikian kerana rakyatlah yang akan melaksanakan rancangan tersebut. Merekalah yang akan menafsirkan kehendak kerajaan, lantas menyesuaikannya mengikut konteks masing-masing sama ada di kilang mahupun di sawah, kerana merekalah yang paling mengenali keadaan di tempat sendiri. Tetapi, kita tidak perlu pergi jauh pun untuk mencari contoh pemusatan demokratis yang berjaya.

Di tanah air kita, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menubuhkan Malaysian AIDS Council (MAC) dengan tujuan mengekang penyebaran virus kurang imun manusia (HIV) dalam kalangan rakyat. Menurut laporan MAC pada tahun 2021, kes jangkitan HIV telah turun sebanyak 50% dari 2002 hingga 2020. Kejayaan ini bukanlah hasil kerja tunggal MAC, tetapi merupakan kerjasama antara pelbagai NGO di akar umbi seperti PT Foundation, SEED Foundation, Jejaka Health, KLASS, dan banyak lagi. Badan-badan inilah yang menjalankan ujian saringan HIV serta menjadi pembekal kondom dan kontrasepsi untuk komuniti masing-masing. Disebabkan setiap NGO menangani demografik tertentu, mereka mengambil pendekatan yang berbeza. Contohnya, pekerja Jejaka Health yang memberi fokus kepada golongan lelaki yang bersetubuhan dengan lelaki (MSM), mempromosikan perkhidmatan mereka melalui Grindr, sebuah aplikasi pacaran yang digunakan oleh komuniti MSM.

Strategi yang kreatif lagi inovatif ini bukanlah arahan daripada MAC. Mereka bukannya pondan. Mereka tidak tahu bagaimana untuk mencapaikan usaha kepada golongan-golongan marginal, jadi mereka perlu mengharapkan ahli komuniti, seperti pekerja outreach Jejaka Health yang memang terdiri daripada lelaki gay dan pondan, untuk membuahkan idea bagi menjayakan matlamat mereka. Maka, pekerja outreach tersebut pun telah menafsirkan hala tuju kuasa pusat MAC dan menyesuakainnya mengikut konteks komuniti MSM. Inilah visi sosialisme, di mana daya kreativiti dan inovasi rakyat menyelesaikan masalah negara, bukan sahaja pemimpin yang bersidang di parlimen.

Wakil rakyat hanya menerima maklumat daripada pekerja-pekerja di akar umbi untuk merangka satu rancangan menyeluruh bagi memajukan negara demi kepentingan semua. Jelaslah, visi pemusatan demokratis yang didukung oleh para sosialis dapat menyelesaikan masalah pentadbiran di negara kita, dengan menyambungkan usaha-usaha akar umbi dan usaha-usaha ahli politik supaya segala masalah, sebesar alam mahupun sekecil zarah, diambil kira.

Akhir kata, pentadbiran di negara kita terancam selagi rakyat tidak meluaskan fahamannya tentang demokrasi. Demokrasi tidak patut dihadkan kepada perbuatan melawat peti undi setiap lima tahun sahaja. Ia merupakan usaha yang melibatkan seluruh warganegara. Rakyat biasa mempunyai kuasa untuk menentukan pentadbiran melalui penglibatan dalam apa jua bentuk susunan. Maka, setiap rakyat perlu merajinkan diri untuk mengambil bahagian supaya mengenali masalah di tempat masing-masing agar dapat diselesaikan. Kita memang tidak boleh mengharapkan orang lain untuk menyelesaikan masalah kita. Pada masa yang sama, kerajaan tidak patut menggoyangkan kaki sahaja. Segala usaha rakyat tidak akan berjaya sepenuhnya jika kerajaan tidak memainkan peranan menggubal dasar dan meminda perundangan yang menjadi punca kepada masalah rakyat. Hanya dengan mengubati punca masalah dapat segala gejala dibasmikan, dan proses ini hanya dapat berlaku jika setiap orang, di dewan mahupun di lapangan, memainkan peranan masing-masing sambil memberi kerjasama.

Wallahu A’lam.

Komen