Memeluk Elit Rakus, Memijak Fakir Miskin

Beberapa orang ada di dalam kegelapan

Sementara yang lainnya di tempat yang terang

Orang tentu melihat mereka yang ada ditempat terang

Sedangkan mereka yang di kegelapan masih tidak terlihat

 (Three Penny Opera-Barthold Brecht)

DALAM akhbar Metro bertarikh 29 September 2020 Timbalan Menteri I Kementerian Pembangunan Luar Bandar membentangkan cadangannya mahu menubuhkan tabika elit.

Menurut beliau; “Tabika elit dicadangkan hanya untuk murid yang ibu bapa mereka mempunyai kemampuan kewangan kerana yurannya lebih tinggi berbanding yuran Tabika Kemas biasa antara RM5 hingga RM25 sebulan.”

Tambahnya lagi; “Kita tidak paksa ibu bapa menghantar anak ke Tabika elit kerana 10,900 Tabika biasa masih beroperasi, tetapi Tabika elit menyediakan kurikulum lebih baik berbanding biasa.”

Ayat yang digunakan ini jika dibacakan kedengarannya lunak. Seperti kelompok miskin tidak perlu lagi bersaing dengan kelompok elit bagi mendaftarkan anak-anak mereka di tabika-tabika yang diuruskan negara. Memandangkan jumlah permohonan semakin hari semakin bertambah.

Namun, jika dibaca dengan teliti, masalah timbul apabila kurikulum pendidikan yang disediakan itu lebih baik dari tabika biasa. Walaupun dwistandard ini cuba diperbetulkan tanggapannya, tetapi secara logiknya ia tetap akan berlaku dan mesti berlaku.

Mana tidaknya ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah elit perlu membayar lebih, maka kemudahan dan hasil yang mereka harapkan juga lebih. Mustahil jika ia berlaku sebaliknya.

Juga adakah ini bermakna bahawa sistem kurikulum pendidikan tabika biasa diakui tidak berkualiti, disebabkan itu timbalan menteri mengatakan perlu mewujudkan kurikulum yang lebih baik?

Selama ini sebenarnya apa tujuan pendidikan untuk anak-anak kelas bawah? Adakah ia tidak serius? Atau disebabkan mereka tidak punyai wang maka sistemnya sekadar ala kadar? Walhal pendidikan berkualiti merupakan tanggungjawab negara yang paling utama.

Idea Neoliberalisme Dan Pemelukan Elit

Jika sekolah di peringkat paling bawah sudah mementingkan anak-anak elit belajar tidak menghairankan saya jika pendidikan tinggi hatta universiti sekalipun ada idea yang sama.

Bahkan tidak memeranjatkan juga satu persatu sektor selepas ini akan diangkat lebih sempurna untuk kelompok elit atau yang berharta seperti kesihatan, pengangkutan, perpustakaan, perkhidmatan kaunseling juga pekerjaan berbanding mereka yang fakir miskin.

Ini kerana idea ekonomi neo-liberalisme atau privatisasi atau swastanisasi telah melakukan perkara ini terlebih dahulu. Bayangkan sekiranya kita mahukan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti harus dirujuk pada hospital swasta. Bayarannya mahal tetapi layanan, ubat-ubatan, kemudahan dan rawatannya berkelas “A”.

Begitu juga dengan perkhidmatan asas seperti pinjaman pendidikan. Bayangkan sekiranya ia diswastakan? Penswastaan akan mengaut keuntungan lebih berbanding menjaga kebajikan pelajar. Faedah yang dikenakan pada peminjam juga tinggi memaksa yang miskin berhutang lebih dan setelah mereka bergraduasi terpaksa memikul bebanan pinjaman juga bayaran gaji rendah.

Kelompok elit tidak merasakan perkara yang sama kerana mereka hanya perlu membayar pada jumlah yang rendah tidak perlu berhutang dan setelah bergraduasi tiada bebanan lebihan yang harus dipikul.

Bayangkan sekiranya institusi awam sekarang ini yang tugasnya melindungi mereka yang memerlukan bertukar fungsinya tak ubah seperti idea neo-liberalisme.

Kesemua ini secara tidak sedar telah menambahkan lagi jurang kelas manusia, yang miskin dan yang kaya lantas ia mengingatkan saya pada kisah berdarah Habil dan Qabil yang dinukilkan oleh Ali Shariati dalam kompilasi buku ucapannya iaitu Paradigma Kaum Tertindas, di mana bila pertembungan kelas berlaku, ketamakan bermula dan adanya kelas yang menindas dan tertindas.

 Wertheim Dan Idea Kesedaran Palsu

Jurang ini sekiranya dibiarkan dan tidak dikritik lalu diperbetulkan nescaya akan berterusan untuk 20, 30 malah 100 tahun akan datang sehingga mewujudkan kitaran kejahatan (evil cycle) yang tidak mungkin akan dipecahkan kerana kesedaran palsu (false consciousness) telah menguasai pemikiran.

Mengapa terjadi kesedaran palsu?

Pertama, kelompok generasi elit muda akan hidup di beberapa dunia yang sepenuhnya terpisah lalu memaksa mereka hanya tahu mengenai sedikit sahaja perkara berkaitan dengan kaum marginal atau tertindas. Ambil saja contoh para pembantu rumah mereka yang tidak dianggap sebagai salah satu kelompok marginal.

Kedua, orang bisa saja beranggapan bahawa mereka yang menduduki posisi-posisi puncak, mendominasi saluran-saluran komunikasi lalu mampu memperoleh pelbagai informasi akan tetapi tidak mengetahui  tentang kecenderungan yang terjadi dan apa lazimnya yang berlaku pada keadaan “lapis bawah” dalam kalangan massa.

Ataupun para elit boleh saja menggunakan kelebihan di atas sehingga mampu memberikan kepentingan keuntungan bagi kelompok mereka sendiri dalam proses mendistribusi maklumat kepada masyarakat mahupun kelompok mereka sendiri. Contohnya mewujudkan stereotaip dan pemikiran naif dimana kemiskinan itu tidak pernah berlaku dan tak usah dibantu kerana mereka malas dan tidak mahu berusaha gigih.

Akhirnya seperti kata Wertheim dalam Elite Vs Massa  “orang memandang kelompok elit sebagai yang terpilih” lalu mengiyakan segala yang baik-baik, yang selesa dan mewah-mewah buat mereka tanpa mempertanyakan mengapa.

Apa Yang Kita Perlukan?

Jika benar-benar serius mahu membangunkan mereka yang melarat bukan dengan mewujudkan semua yang elit-elit kerana apa yang diperlukan itu adalah perubahan. Perubahan untuk memecahkan idea ini yang membelenggu lama. Utama yang diperlukan itu adalah perkongsian. Bermakna jika kurikulum tidak baik maka harus ditambah baik, tugas elit yang celik adalah menyalurkan lebihan sumber mereka itu untuk dikongsi bersama bukannya sumber mereka itu mahu ditambah untuk mereka saja.

Juga masalah kepimpinan harus diperbaiki dengan menekankan pada idea pemihakan, moral dan keadilan dimana membela yang lemah bukanlah sesuatu yang langka bahkan harus dilakukan bersungguh. Cukai-cukai yang dikutip dari massa harus dimanfaatkan sepenuhnya terutama dalam membina perkhidmatan awam seperti pendidikan yang berkualiti.

Saya tidak rasa jika cukai yang dikutip mahupun tinggi tetapi hasilnya berkualiti lalu mengurangkan bebanan mereka yang miskin akan dikeluh dan ditentang, masalah utama bukan kutipan cukai, tetapi dana awam (termasuk cukai) yang diseleweng dan rasuah yang berleluasa dilakukan oleh sebahagian elit pemerintah!

Akhir sekali saya tinggalkan tulisan ini dengan ungkapan Usman Awang dari pidatonya ketika menerima Anugerah Sasterawan Negara:

“Harapan saya kini ialah agar tenaga baru dan suasana baru dalam negeri ini akan ditunjukkan kepada masalah–masalah besar seperti kemiskinan. Sungguh menyedihkan bahawa dalam sebuah negara yang kaya raya  hasil buminya, rakyatnya kaya dengan kemiskinan. Sungguh menyedihkan bahawa kawasan luar bandar masih mundur, sekolah-sekolah serba kekurangan, murid-murid serba ketiadaan dan perubatan serta doktor tidak bercukupan. Sungguh menyedihkan bahawa kanak-kanak miskin masih banyak yang cicir dalam pelajaran.”

Komen