Membina Naratif Baharu Malaysia Setelah 63 Tahun Kemerdekaan

Saban tahun, tanggal 31 Ogos membawa kita untuk kembali mengingatkan detik bersejarah Malaysia mencapai kemerdekaan setelah hampir 426 tahun dijajah oleh kuasa besar Eropah termasuk Jepun. Kini sudah 63 tahun kita sebagai rakyat Malaysia mengecapi nikmat kemerdekaan. Namun persoalan yang seharusnya kita tanya kepada diri kita sebagai warga negara Malaysia, apakah makna dan nilai 63 tahun kemerdekaan ini? Persoalan ini cukup penting agar dengan jawapan yang kita ada, dapat membantu Malaysia membina naratifnya yang baharu, sebuah penceritaan tentang rakyatnya yang benar-benar memahami dan menzahirkan makna dan nilai kemerdekaan dalam usaha membina sebuah kehidupan yang penuh kesejahteraan.

Penyingkap cara kemerdekaan yang dicapai oleh negara kita, dari bangku sekolah kita sering ditonjolkan tentang kehebatan para pemimpin dalam berusaha untuk mendapatkan kemerdekaan, sehinggakan tiada titisan darah tumpah untuk mencapai tujuan tersebut. Kemerdekaan dicapai secara rundingan antara tiga kaum yang diwakili oleh wakil masing-masing iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lok dan Tun Sambanthan. Inilah hasil perjuangan yang dikuatkan lagi dengan sifat toleransi, tolak ansur yang sangat tinggi oleh bangsa Melayu, yang akhirnya membuahkan sebuah pengorbanan yang bukan sedikit, khususnya kepada bangsa Melayu, iaitu sebuah perkongsian. Meskpiun terlepas dari belenggu penjajah, namun Tanah Melayu tetap tidak menjadi milik mutlak bagi orang Melayu, tetapi juga menjadi milik yang sah bagi bangsa Cina dan India, yang asalnya dijemput datang sebagai pekerja untuk sektor perladangan dan perlombongan.

Kehidupan yang pelbagai dari segi cara hidup yang bermula dengan cara berfikir, pastinya merupakan satu cabaran yang besar untuk Malaysia. Usaha memastikan keharmonian dan kesejahteraan dalam kepelbagaian sering menjadi agenda utama kerajaan kerana ternyata ia bukan satu perkara yang mudah dan pastinya tiada negara dalam Malaysia mempunyai sejarah pembentukan negara bangsa seperti ini. Salah satu usaha yang dikira sangat penting untuk rakyat Malaysia pada hari ini ialah dengan kembali menghayati dan menterjemahkan Rukun Negara ke dalam kehidupan seharian, sebagaimana yang telah ditekankan oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ke-2, pada saat beliau mengetuai Majlis Perundingan Nasional (NCC), sebuah badan yang bertanggungjawab menggubal Rukun Negara, menegaskan bahawa rahsia kejayaan Rukun Negara ialah pada keupayaan rakyat Malaysia menterjemahkannya dalam kehidupan seharian dengan penuh jujur dan ikhlas.

Rukun Negara telah diperkenalkan berikutan peristiwa 13 Mei 1969, sebuah titik hitam yang secara tidak langsung merupakan satu manifestasi kerapuhan perpaduan antara kaum di Malaysia. Perpaduan kaum merupakan aset utama negara dan menjadi pra syarat utama kerajaan British untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 1957. Rukun Negara dibentuk dengan tujuan yang sangat harmoni. Prinsip-prinsip yang terkandung dalamnya jelas merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kesejahteraan Malaysia secara keseluruhan.

Walau bagaimanapun hampir 63 tahun kemerdekaan, Rukun Negara masih dilihat gagal untuk menjadi wahana perpaduan membentuk negara bangsa yang penuh dengan nilai kemesraan. Dalam hal ini kita perlu memahamai bahawa keupayaan untuk menterjemahkannya dalam kehidupan setiap warganegara sememangnya perlu datang daripada kemahuan dan komitmen semua individu dari semua kaum. Kefahaman yang jitu dan kesediaan untuk mengamalkan kelima-lima prinsip yang mendasari Rukun Negara adalah perkara asas yang diperlukan demi memastikan prinsip atau rukun tersebut berjaya diterjemahkan dalam kehidupan setiap individu.

Seumpama kaki meja yang tugasnya menampung meja, begitu jugalah Rukun Negara yang berperanan untuk memastikan kehidupan rakyat Malaysia berada dalam keadaan aman dan sejahtera. Andainya mana-mana kaki pada meja tersebut bermasalah, maka keadaan secara keseluruhan juga terancam. Dengan kata mudah, lemah atau kuat, aman atau damai kehidupan dalam aspek perpaduan semunya bergantung kepada keupayaan mengamalkan setiap prinsip yang ada padanya dengan penuh kesungguhan dan kejujuran.

Kegagalan untuk mengamalkannya dalam kehidupan seharian menjadikan Rukun Negara hanya tinggal sekadar dokumen ideologi kebangsaan dan rakyat Malaysia seupama mereka yang kehilangan roh patriotiknya. Rukun Negara bukan sekadar perlu untuk diketahui, tetapi lebih daripada itu, iaitu perlu untuk diperah keluar nilai yang ada di dalamnya dan dicernakan nilai tersebut dalam kehidupan seharian.

Agama melalui prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan telah menjadi asas utama dalam kehidupan rakyat Malaysia. Inilah pasak utama yang seharusnya menjadi teras dalam kehidupan rakyat Malaysia yang hampir kesemuannya memiliki agama. Agama mampu memberi panduan bagaimana untuk menjadi seorang warganegara yang baik. Melalui roh beragama, aspek spiritual seseorang berjaya dihidupkan. Tidak kira apa agama yang dianuti, yang pasti ajaran yang terdapat dalam agama tersebut menjurus kepada melakukan kebaikan dan menjauhi apa jua keburukan.

Dalam prinsip yang kedua iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, dan ketiga, Keluhuran Perlembagaan, kelihatan seolah-olah prinsip ini sering kali dicabar. Sebagai contoh Perkara 153 ialah peruntukan mengenai jaminan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak-anak negeri, iaitu pribumi Sabah dan Sarawak, juga kepentingan sah kaum lain berwarganegara Malaysia telah mula dipersoalkan sehingga membawa kepada peristiwa ratifikasi ICERD. Begitu juga Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan bahasa rasmi yang digunakan dalam urusan kerajaan ialah bahasa Melayu, tidak boleh bahasa selain bahasa Melayu kerana perkara itu jelas termaktub. Namun terdapat golongan yang telah mencabar perkara ini dengan menggunakan bahassa ibunda mereka, sebagai contoh bahasa Mandarin yang merupakan bahasa vernakular untuk kaum Cina sahaja sebenarnya dan tidak boleh digunakan sebagai bahasa dalam urusan rasmi kerajaan.

Kedua-dua prinsip tersebut masih belum berjaya diterjemahkan dengan baiknya. Justeru menjadi harapan yang besar kepada semua kaum, andainya keamanan, kesejahteraan dan kedamaian Malaysia menjadi perkara utama yang diinginkan, maka mereka tiada pilihan, melainkan mengamalkannya dengan penuh kejujuran. Namun andainya kemahuan dan kepentingan sendiri atau golongan tertentu yang menjadi keutamaan, di sinilah punca kepada masalah dalam perpaduan kaum di Malaysia.

Untuk prinsip keempat iaitu Kedaulatan Undang-Undang dan yang kelima, Kesopanan dan Kesusilaan, kedua-dua prinsip ini dilihat masih lagi belum menjadi amalan rakyat Malaysia. Andainya kita masih lagi berdepan dengan kes kemalangan jalan yang tidak pernah berkurangan, hal ini menunjukkan adab rakyat Malaysia sebagai pengguna jalan raya masih lagi perlu diperbaiki. Sesungguhnya kesopanan dan kesusilaan sesuatu bangsa itu perlu dizahirkan dalam seluruh aspek kehidupan sosial mereka andainya kesejahteraan, keamanan dan kedamaian menjadi idaman rakyat Malaysia.

Kelima-lima prinsip dalam Rukun Negara perlu dipastikan berdirinya dengan tegak dan kukuh. Andainya runtuh satu tiang, maka tempanglah keadaan. Sama juga, andainya rukun yang lain berjaya diamalkan, namun ada rukun-rukun yang cuba dicabar, di sinilah bermula konflik yang sebenar.

Justeru, rakyat Malaysia tiada pilihan lain, melainkan perlu menghayati dan menterjemahkannya secara menyeluruh dengan penuh keikhlasan dan hati yang terbuka. Bermula dengan apa yang terkandung dalam ajaran agama yang dipegang hinggalah kepada keindahan atau seni kehidupan melalui kesopanan dan kesusilaan, iaitu melalui akhlak yang dizahirkan, kesemua prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara merupakan acuan untuk mencorakkan kehidupan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum ini dalam keadaan yang penuh kesejahteraan dan keharmonian. Usaha dan kejayaan inilah yang akan mengisi naratif baharu bagi Malaysia setelah menikmati 63 tahun usia kemerdekaan.

Artikel ini adalah tulisan saudari Ratna Rosida Ab Razak dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas.

Komen