Membedah Prestasi Buruk Malaysia Dalam Sukan SEA 2023

SUKAN SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja baru sahaja melabuhkan tirai dan seperti kebiasaan, ada banyak cakap-cakap pasca temasya yang timbul.

Fokus utama cakap-cakap kali ini tentu sekali tentang prestasi kontinjen Malaysia yang dikatakan terburuk sepanjang sejarah Sukan SEA termasuk ketika era Sukan SEAP dahulu.

Dari segi kedudukan pingat, Malaysia berada di tangga ke-7 yang merupakan kedudukan paling rendah dalam sejarah penyertaan negara di dalam temasya sukan serantau ini. Kontinjen Malaysia juga gagal mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan, satu angka sasaran yang sebenarnya agak rendah.

Prestasi buruk di Phnom Penh adalah lanjutan dari kemerosotan berterusan di Hanoi tahun lalu, bila Malaysia hanya menang 39 emas dan menduduki kedudukan ke-6 kutipan pingat; dan juga di Manila pada 2019 apabila Malaysia hanya menang 55 pingat emas dan menduduki kedudukan ke-5.

Sukar untuk kita terima bahawa pada tahun 2017 ketika Sukan SEA di Kuala Lumpur, kontinjen negara muncul juara keseluruhan dengan kutipan sejumlah 145 pingat emas.

Tetapi jika anda seorang yang lazim mengikuti perkembangan Sukan SEA, maka tentu anda juga tahu bahawa pendekatan Malaysia dalam Sukan SEA berbeza dengan negara serantau lain, dan juga faktor pemilihan acara sukan banyak memainkan peranan dalam menentukan jumlah kutipan emas negara.

Malaysia Dan Sukan SEA

Seperkara yang perlu kita fahami adalah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejak sekian lama telah mengamalkan pendekatan menjadikan Sukan SEA sebagai pentas beraksi dan menimba pengalaman buat atlet remaja dan pelapis.

Ia berbeza dengan edisi-edisi Sukan SEA abad ke-20 di mana penyertaan Malaysia adalah melibatkan atlet utama atau profesional yang pernah beraksi di Sukan Olimpik, Komanwel atau Asia.

Tetapi selepas Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur, kita lebih cenderung menghantar atlet muda dan pelapis, khususnya dari kalangan atlet Sukma. Atlet-atlet utama dan profesional pula dikhususkan untuk temasya sukan lebih berprestij dan mencabar seperti Sukan Olimpik, Komanwel atau Asia dan kejohanan dunia sukan tersebut.

Tidak ada salahnya pendekatan ini, tetapi ia mengakibatkan kontinjen Malaysia sukar mencapai kutipan pingat emas yang lebih banyak seterusnya meletakkan negara dalam kedudukan yang lebih baik dalam kutipan pingat antara negara peserta.

Ia berbeza dengan negara serantau lain seperti Indonesia, Filipina, Thailand atau Vietnam yang masih mengekalkan pendekatan menghantar atlet utama mereka ke Sukan SEA. Lebih-lebih lagi Vietnam yang dilihat begitu serius menjadikan Sukan SEA sebagai pentas untuk membuktikan negara itu sebagai kuasa sukan serantau.

Ada perbezaan antara Malaysia dan Vietnam yang perlu kita ambil kira. Walaupun kedua negara turut menghantar atlet ke Sukan Olimpik atau Asia, tetapi negara kita mempunyai Sukan Komanwel sebagai temasya sukan tambahan berbanding Vietnam.

Mungkin, pada hemat saya, kelebihan satu temasya sukan antarabangsa ini antara faktor yang membuatkan KBS atau Majlis Sukan Negara (MSN) berpandangan bahawa Malaysia mampu menjadikan Sukan SEA sebagai pentas mengasah kebolehan atlet muda dan pelapis.

Dan faktor ini nampaknya yang membuatkan KBS masih berpegang kepada amalan meneruskan penyertaan atlet muda dan pelapis, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh baru-baru ini. Hannah menegaskan bahawa pencapaian buruk ini menguatkan hujah bahawa Malaysia perlu terus fokus kepada pembangunan atlet muda dan memberikan mereka peluang menguji diri serta menimba pengalaman di pentas antarabangsa, salah satunya Sukan SEA.

Pemilihan Acara Sukan

Selain pendekatan menghantar atlet muda dan pelapis ke Sukan SEA yang menyumbang kepada kesukaran mencapai kutipan pingat emas yang tinggi, faktor pemilihan acara sukan juga banyak menjejaskan peluang kontinjen Malaysia.

Pemilihan acara sukan sebenarnya merupakan penentu sebanyak mana kutipan pingat yang mampu kontinjen negara perolehi. Justeru bukanlah luar biasa apabila sasaran serendah 40 pingat emas ditetapkan oleh KBS dan MSN dalam edisi 2023, kerana acara sukan yang dianjurkan Kemboja banyak tidak memihak kepada Malaysia.

Lihat sahaja edisi 2017 sebagai perbandingan. Di Kuala Lumpur, tiga sukan penyumbang utama pingat emas datang dari sukan berbasikal (13 emas), gimnastik (13) dan terjun (12). Dari 13 pingat emas sukan berbasikal, 10 emas datang dari acara trek. Dalam gimnastik, lapan dari 13 emas datang dari acara berirama. Untuk terjun pula, Sukan SEA 2017 menawarkan 13 pingat emas dalam 13 acara berbeza, dan 12 darinya dimenangi Malaysia.

Tetapi senario yang berbeza berlaku dalam tiga edisi Sukan SEA seterusnya. Sukan SEA 2019, 2021 dan 2023 ada sukan berbasikal tetapi tidak menyenaraikan acara trek kerana tiada kemudahan velodrom di Filipina, Vietnam dan Kemboja. Acara trek berbasikal adalah lubuk emas Malaysia. Tanpa velodrom dan acara trek, kutipan emas berbasikal kita terjejas.

Begitu juga dalam gimnastik, pengurangan acara yang memihak Malaysia merupakan antara faktor menjejaskan jumlah kutipan pingat. Di Kemboja, tiada acara gimnastik berirama yang juga merupakan lubuk emas untuk Malaysia.

Sukan terjun juga sama, hanya empat acara ditawarkan dalam edisi 2023 berbanding 13 dalam edisi 2017. Walaupun Malaysia sapu bersih semua emas sukan terjun di Phnom Penh, namun kutipan empat emas hanya sepertiga dari apa yang pernah dirangkul ketika edisi 2017.

Kita semua pasti sudah arif dengan budaya penganjuran Sukan SEA. Tuan rumah sebolehnya akan mengutamakan sukan yang boleh menghasilkan pingat emas buat mereka. Ia mungkin tiada masalah jika ianya dianjurkan di negara seperti Malaysia, Thailand, Singapura atau Indonesia kerana negara-negara ini selaku tuan rumah lazimnya memberi penekanan terhadap sukan berprestij yang turut dipertanding di Sukan Olimpik atau Asia.

Tetapi apabila Sukan SEA dianjurkan di negara seperti Kemboja, Laos atau Vietnam; kita dapat lihat keutamaan diberikan pada sukan serantau yang bukannya sukan beprestij dan bertaraf antarabangsa.

Di Kemboja baru-baru ini contohnya, tuan rumah mempertandingkan sukan Khun Khmer, sejenis Muay Thai versi Kemboja, dengan 19 pingat emas ditawarkan dan 13 darinya dimenangi Kemboja. Turut diperkenalkan adalah sukan Kun Bokator iaitu seni mempertahankan diri Kemboja.

Filipina juga tidak terkecuali dari amalan mempertandingkan sukan yang memihak kepada mereka, seperti Arnis dan sukan tari. Semuanya dibuat bagi memberi kelebihan kepada tuan rumah dan secara tidak langsung, ia menjejaskan peluang Malaysia sendiri kerana sukan yang dikuasai kita tidak dipertandingkan.

Sebaliknya kontinjen Malaysia lebih cemerlang jika Sukan SEA dianjurkan di Indonesia, Singapura atau Thailand kerana sukan yang dipertandingkan kebanyakannya sukan berprestij dan bertaraf Olimpik atau Asia, yang juga merupakan sukan di mana Malaysia turut berkemahiran. Lihat sahaja Sukan SEA 2015 di Singapura atau 2011 di Palembang/Jakarta apabila Malaysia menduduki tangga ke-4 kutipan pingat, atau jauh lebih hebat 2007 di Nakhon Ratchasima apabila kita muncul naib juara.

Saya menjangkakan dalam Sukan SEA 2025 di Bangkok akan datang, Malaysia bakal menambah kutipan pingat emas yang lebih dan memperbaiki kedudukan dalam kutipan pingat.

Halatuju Seterusnya

Pendekatan menghantar atlet muda dan pelapis adalah wajar diteruskan dan penumpuan terhadap sukan beprestij dan bertaraf Olimpik atau Asia harus menjadi keutamaan negara. Kita tidak boleh melihat Sukan SEA sebagai tahap tertinggi sukan negara tetapi sebaliknya menumpukan pada pencapaian kita di Sukan Asia, Komanwel dan tentu sekali pemburuan emas Olimpik pertama negara.

Namun, kita juga tidak boleh lari dari mengakui Sukan SEA adalah pentas serantau di mana maruah dan martabat negara menjadi taruhan. Malaysia antara negara termaju di rantau Asia Tenggara dan juga merupakan antara kuasa besar ekonomi ASEAN.

Kita juga pastinya tidak mahu status kita sebagai kuasa sukan serantau makin terjejas. Usai Sukan SEA 2023, kedudukan kutipan pingat sepanjang masa Sukan SEA masih memperlihatkan Malaysia di tangga ke-3 di belakang Thailand dan Indonesia. Tetapi tidak jauh dari Malaysia di tangga ke-4 adalah Vietnam yang setiap dua tahun semakin merapatkan jurang.

Jika tiada usaha digembleng untuk memastikan Malaysia kembali menjadi kuasa dalam Sukan SEA, saya khuatiri tidak lama lagi Vietnam akan memintas kita dari segi kutipan pingat sepanjang masa.

Dan ini adalah persoalan maruah dan martabat sukan negara yang agak serius.

Komen