Federalisme merupakan konsep terbaik dalam meneliti hubungan pusat-negeri seperti yang berlaku dalam konteks Malaysia.
Jadi apakah federalisme atau persekutuan itu?
Sarjana seperti K.C Wheare menggariskan federalisme sebagai kaedah pembahagian kuasa di antara kerajaan pusat dan negeri dengan kewujudan ruang kuasa tersendiri secara selaras dan bebas.
“The method of dividing powers so that the general and the regional governments are each, within a sphere, co-ordinate and independent.”
Seorang lagi sarjana penting dalam kajian berkaitan federalisme, W. Riker mentakrifkan federalisme sebagai organisasi politik yang melihatkan aktiviti kerajaan terbahagi kepada kerajaan negeri dan pusat dengan cara tertentu setiap kerajaan melaksanakan aktiviti dalam menentukan keputusan akhir.
“Political organization in which the activities of government are divided between regional governments and a central government in such a way that each kind of government has some activities on which it makes final decision.”
Sarjana perundangan tempatan, Abdul Aziz Bari pula melihat federalisme sebagai mengizinkan kesatuan tanpa mengorbankan ciri-ciri individu sesebuah wilayah. Federalisme juga ditafsirkan sebagai sebuah penyusunan yang mengizinkan kewujudan lebih dari satu pihak berkuasa ke atas sesebuah wilayah yang masing-masing mempunyai bidang kuasa dan autonomi tersendiri. Pembahagian kuasa ini kemudian dinyatakan dengan jelas oleh sebuah perlembagaan bertulis.
Andrew Harding dan James Chin dalam satu tulisan bersama menjelaskan federalisme boleh diibaratkan seperti blueprint kepada pembahagian kuasa dan sebagai satu cara menyelesaikan ketegangan etnik dan tempatan serta memaksimumkan faedah ekonomi.
“It has been looked at as a blueprint for decentralisation; as a way of resolving ethnic or central-local tensions; and as a way of maximising economic benefits.”
Sarjana tempatan yang banyak melakukan kajian dan mengemukakan pandangan tentang federalisme, Mohammad Agus Yusoff telah meletakkan empat ciri-ciri asas negara persekutuan seperti berikut:
- Mempunyai dua bentuk kerajaan yang memerintah negara dan rakyat yang sama dan setiap kerajaan pula mempunyai satu daerah di mana mereka mempunyai kuasa dan kekuasaan yang diperolehi itu adalah terjamin;
- Negara federalisme ini lahir atas keinginan negeri-negeri untuk terus bersatu di bawah satu perikatan. Setiap negeri yang bergabung boleh mengekalkan terus identiti kaum dan kewilayahan mereka. Ini secara tidak langsung dapat menyelesaikan konflik kepentingan berlandaskan perkauman dan kedaerahan;
- Negeri-negeri yang membentuk persekutuan ini bersedia untuk mengorbankan kedaulatan mereka. Apabila sahaja persekutuan dibentuk, ia menjadi sebuah negara berdaulat; dan
- Negara federalisme bukan terdiri dengan sendiri, tetapi adalah dibentuk. Disebabkan ia mempunyai dua kerajaan yang mempunyai bidang kuasa masing-masing, maka perlembagaan bertulis merupakan kunci penting dalam menggariskan sempadan kuasa antara kedua-duanya. Ini bertujuan supaya masing-masing kerajaan tidak bertindak memonopoli kuasa atau menindas antara satu sama lain. Sekiranya apa-apa perubahan ke atas perlembagaan hendak dibuat, maka ia mestilah dipinda terlebih dahulu dengan mendapat jumlah sokongan tertentu dari ahli Dewan. Tegasnya, keagungan perlembagaan perlulah dipertahankan jika sistem persekutuan mahu terus dikekalkan.
Menurut Mohammad Agus Yusof, dalam konteks Malaysia hubungan pusat-negeri serta peruntukan kuasa seperti yang dimaktubkan oleh perlembagaan persekutuan adalah berat sebelah ke pusat. Namun, pembahagian kuasa perundangan seperti yang termaktub dalam Jadual Kesembilan menunjukkan tiap-tiap kerajaan negeri adalah bebas mengikut kuasa perundangan dan pemerintahan masing-masing.
Selain itu, federalisme juga dilihat membentuk keadaan tidak simetri di dalam perlembagaan negara dan dalam kes pembentukan Malaysia, Asri Salleh menyatakan bahawa penyertaan Sabah dan Sarawak untuk membentuk Persekutuan Malaysia telah membuka laluan kepada pindaan perlembagaan dan pindaan ini membentuk kerangka negara yang tidak simetri dengan dipengaruhi oleh Perjanjian Malaysia 1963, Memorandum 20 dan Memorandum 18.
“The incorporation of Sabah and Sarawak as sub-national entities into Federation of Malaysia has paved the way for subsequent constitutional amendments. In more ways than one, the amendments indicate notable asymmetries in the set-up of the Federation of Malaysia. The amendments in turn were heavily influenced by three key documents i.e. the 20-points, 18 points and Malaysia Agreement 1963.”
Namun kedudukan tidak simetri ni wajar dilihat dari sudut positif seperti dijelaskan oleh Asri Salleh bahawa bentuk perlembagaan tidak simetri ini merupakan instrumen terbaik kepada Sabah dan Sarawak sebagai sub-national entities ketika penyertaan mereka dalam pembentukan Malaysia.
Antara asas terpenting bentuk tidak simetri perlembagaan Malaysia ini ialah Bahagian IV dan Bahagian V Jadual Kesepuluh yang menjelaskan tentang pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak serta sumber tambahan hasil yang diserahkan kepada Sabah dan Sarawak.
Walaupun melalui kedudukan tidak simetri ini, Sabah dan Sarawak menerima status istimewa, namun sebahagian besar hak-hak kedua-dua negeri ini seperti digariskan dalam Perjanjian Malaysia masih gagal untuk dipenuhi.
Definisi dan ciri-ciri federalisme yang dihujahkan oleh setiap sarjana ini melihatkan bagaimana kedudukan hubungan pusat-negeri itu menjadi tumpuan utama untuk dibincangkan. Dalam konteks Malaysia, federalisme jelas berpaksi kepada Perjanjian Malaysia 1963 dan pematuhan menyeluruh terhadap perjanjian ini memastikan sistem persekutuan dapat berjalan lancar.
Pemusatan kuasa yang terlalu rigid menyukarkan federalisme untuk diamalkan secara adil kerana ia akan melihatkan sebuah kerajaan mendominasi kerajaan yang lain. Keadaan ini jelas bertentangan dengan apa yang digariskan Wheare dan Rikel mengenai ruang kuasa tersendiri yang wujud dalam hubungan pusat-negeri.
Asas federalisme seperti dinyatakan Harding dan Chin adalah untuk mengatasi konflik dan memberi manfaat ekonomi. Dalam hal ini kita melihat wujud kecenderungan konflik dan kesenjangan ekonomi di Malaysia, melalui pengamalan federalisme yang tempang, akibat dominasi pusat yang tinggi.
Walaupun Sabah dan Sarawak menjadi antara penyumbang utama kekayaan negara, namun kedua-dua negeri ini dilihat masih ketinggalan dari sudut pembangunan dan ia menimbulkan sentimen negatif terhadap semangat persekutuan dan mampu menghumban negara ke kancah konflik jika pengurusan federalisme tidak dilaksanakan secara cekap, adil dan menyeluruh.

Daniyal Kadir adalah seorang penjawat awam yang juga rajin mengulas tentang seni perfileman. Beliau juga merupakan penulis buku Membedah P. Ramlee selain kerap muncul dalam acara bicara perfileman, baik sebagai panelis atau moderator. Di masa lapang, Daniyal juga terlibat dalam pembikinan filem pendek.