TIVI adalah karangan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad yang mula-mula terbit pada tahun 1995. Ia mengambil latar masa hujung tahun 1980an di mana kegilaan kepada televisyen dan gandingan pita video (VHS) ketika itu mulai berkembang dalam masyarakat. Shahnon mengakui Tivi adalah sebuah novel Islam dan sebagai sebuah karya mithali. Saya pernah mengadaptasi TiVi antara 1-4 Mei 2003 dan projek ini didanai di bawah program Teater Kecil oleh bahagian Sastera Kebangsaan Dewan Bahasa dan Pustaka. Produsernya ketika itu ialah Saudara Abdul Wahab Hamzah (sekarang penjaga DBP Sarawak). Bintang drama pentas TiVi ini adalah Datuk Farid Kamil dan Suriati Abu Bakar AF. Mereka sangat muda ketika itu.
Novelet Tivi mengisahkan kejutan budaya yang dialami oleh sebuah keluarga tani di pedalaman Kedah. Ahli keluarga tersebut terdiri daripada Jeha, Mat Isa, Chah, Hasanah, dan Hassan. Keluarga tersebut digambarkan sebagai sebuah keluarga yang Islami di awal novel. Chah, anak sulung keluarga tersebut, berangkat ke Sungai Petani untuk bekerja di sebuah kilang skru. Ini menyebabkan taraf kehidupan Chah telah meningkat. Perpindahan Chah ke bandar juga menyebabkannya terdedah kepada pelbagai budaya baharu. Salah satu ‘budaya baharu’ tersebut ialah menonton televisyen. Ekoran dari itu, Chah kemudian membeli sebuah televisyen sebagai hadiah kepada keluarganya. Televisyen telah menjadi simbol kebejatan moral dalam karya ini di mana menerusi paparan rancangan yang tidak berakhlak, Mat Isa telah ‘belajar pelbagai aksi seks’. Chah seterusnya membawa pula alat pemain video yang menyebabkan keadaan Mat Isa semakin tidak terkawal. Perkara ini telah mendorong Mat Isa memperkosa anaknya Hasanah dan hampir berzina dengan Chah. Watak Chah juga digambarkan sebagai seorang gadis rosak akhlak.
Oleh sebab Shahnon mendakwa karya Tivi sebagai karya Islam, arwah menangani penulisan novelet ini dengan gagasan Cereka Islam yang beliau sendiri kembangkan. Menurut Shahnon Ahmad terdapat empat cara penyampaian atau teknik penyelesaian bagi cereka Islam iaitu pertama; sifat, aksi atau peristiwa yang baik dan mulia harus didedah dan ditunjukkan; kedua, sifat, aksi atau peristiwa yang buruk, hina dan boleh mendorong pembaca kepada kebatilan hendaklah sekadar diberitahu dan bukannya ditunjukkan dengan jelas serta menyeluruh; ketiga, pihak atau watak yang mendukung kebenaran hendaklah dimenangkan; keempat, pihak atau watak yang mendukung maksiat dan kebatilan hendaklah dikalahkan.
Stail gubahan ini menjadi arus perdana dalam bentuk pencerekaan tanahair. Cereka Islam iaitu cara penyampaian dan teknik penyelesaian ini dikemukakan oleh Shahnon Ahmad kepada Dewan Bahasa dan Pustaka dalam tahun 1984. Kebetulan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sayembara Cereka Bersistemkan Islam. Jawatankuasa tersebut telah bermesyuarat untuk menentukan ciri utama karya sastera Islam. Sehingga kini ciri yang disyorkan ini telah digunapakai oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dalam gagasan Sastera Islamnya Shahnon Ahmad amat menekankan persoalan tauhid sebagai asas karya. Oleh kerana sastera Islam bertunjangkan tauhid, Shahnon berpandangan ia juga harus mengutamakan akhlak.
Oleh sebab itu jugalah novelet ini menjadi kontroversial dalam dunia sastera. Ini kerana teks menunjukkan Tivi masih menonjolkan ‘kebatilan’, di samping memenangkan watak yang mendukung maksiat. Untuk berlaku adil terhadap teks, adalah relevan untuk disebutkan di sini terdapat pandangan membela bahawa novelet Tivi ditulis untuk “berpesan-pesan kepada kebenaran”. Menurut Profesor Sohaimi Abdul Aziz misalnya, Tivi dilahirkan sebagai satu “pesan yang pendidikan agama harus menjadi agenda penting dalam keluarga.” Dr Rahimah Abdul Hamid turut mempertahankan Tivi sebagai karya “personifikasi yang cantik” apabila Shahnon “menggabungkan Tivi dengan Chah dalam satu pasukan yang menjadi ejen kebatilan”.
Dalam novelet Tivi, aksi batil ini menjadi riuh dan dicemuh. Saya kemukakan tiga perenggan misalnya contoh dari teks Tivi yang ‘boleh’ dipermasalahkan:
Memang dulu apabila Chah balik seminggu, gamat juga seluruh kampung. Chah balik dengan memakai seluar ketat berwarna merah berjalur biru. Dan kaki seluar ketat itu cuma sampai di bawah lutut sedikit saja. Maka bogellah betis Chah. Memang nampaklah susuk, lurah dan gelung-gelung di sana sini. Memang nampaklah lurah punggung Chah sebab seluar itu memang ketat sungguh pun. Dan baju Chah pun tak ada lengan. Nampaklah ketiak apabila tangan terangkat. Nampaklah bukit-bukau dan gunung ganang Chah. Memang nampaklah sebab memang bajunya begitu. Apa yang hendak digaduhkan sangat.
(Shahnon Ahmad 1995: 25)
Perenggan di atas menunjukkan pemerian fizikal Chah yang terperinci. Berdasarkan contoh di atas Shahnon ingin menggambarkan kebejatan akhlak Chah yang telah berubah setelah bekerja di pekan, Shahnon telah memperincikan susuk tubuh watak Chah dalam satu pemerian yang agak grafik. Penggunaan ungkapan ‘gelung’, ‘lurah’, ‘susuk’, dan ‘ketiak’ misalnya sangat jelas dan tidak sesuai dengan konsep akhlak. Ini menjadi punca ia disahut dengan riuh memandangkan ia juga tentunya bertentangan dengan kriteria cereka Islam yang digariskan oleh Shahnon sendiri iaitu sifat, aksi atau peristiwa yang buruk, hina dan boleh mendorong pembaca kepada kebatilan hendaklah sekadar diberitahu dan bukannya ditunjukkan dengan jelas serta menyeluruh.
Gambaran lain yang berlebihan dapat dilihat pada adegan Mat Isa mengusung televisyen yang baru tiba dari pekan:
Yang terkejut bukan Mat Isa sebab Mat Isa tak boleh berbuat apa-apa sebab dia memang biasalah dengan gelung baruh yang terpokah luas itu. Yang terkejut bukan Mat Isa sebab Mat Isa tak boleh berbuat apa-apa waktu itu. Kedua-dua belah tangannya mengapuk tv yang kukuh duduk atas pelantar basikal tua. Yang terkejut ialah mak Chah sebab dia yang ternampak kain Mat Isa terlondeh waktu itu. Mungkin gumpalan kain tak berapa kuat. Mungkin juring kain ditindih oleh kaki lain.
Tapi Jeha bertindak pantas waktu itu. Dia sambar kain Mat Isa yang terlondeh itu lalu digumpalnya ke pinggang Mat Isa. Tak cukup dengan gumpalan, mak Chah ambil jerami basah dan ikat ke pinggang Mat Isa. Mat Isa tak terkata apa-apa dan tak boleh buat apa-apa pun. Kalau dia membuat sesuatu atau cuba melepaskan tangannya, tv tentu tergeleceh pula. Mat Isa membiarkan saja mak Chah bergelut dengan kain itu. Mat Isa benar-benar memberi peluang kepada mak Chah bergelut seorang diri sedangkan dia sendiri berdiam saja. Memang biasalah tabiat begitu pun. Mat Isa tak ambil kisah sangat. Cuma Cina itu sajalah terbeliak mata beberapa ketika sampai tak terkata apa-apa apabila melihat apa yang tak patut dilihat itu. Hassan dan Hasanah memang tidak tahu kisah kain terlondeh itu sebab mereka berada di sebelah lain.
Yang nampak cuma Jeha dan Cina sajalah. Jeha tak ambil kisahlah sebab dia selalu sangat nampak benda itu. Dan Mat Isa pun tak terasa apa-apa kalau yang ternampak itu Jeha. Lebih daripada nampak pun Mat Isa tak peduli. Tapi yang naik gelabah ialah Cina itulah. Tapi Mat Isa fikir Cina itu apalah yang dia tahu sangat. Biarlah dia tengok benda itu. Apa salahnya. Cina itu bukan Cina perempuan. Dia Cina jantan. Jantan sama jantan apa salahnya. Bukan ada bezanya kecuali yang satu terpotong dan yang satu lagi terkuluplah. Lainlah kalau yang terlondeh itu kain Jeha, bukan kain Mat Isa. Tapi itu pun Mat Isa tak pedulilah. Mana lebih hendak dijaga. Kain Jeha atau tv?
(Shahnon Ahmad 1995: 56-57)
Petikan seterusnya pula menunjukkan bagaimana Shahnon memperincikan adegan seks video porno yang ditonton oleh keluarga Mat Isa:
Tapi kali ini lain sedikit kisahnya. Pemuda dan pemudi yang tadinya bergelumang dengan hal-hal luaran kini sudah nampak ganas dan garang bagaikan telah membuat persiapan untuk berperang terus, tapi gelanggang perang sewajarnya adalah benar-benar gelanggang perang; bukan di atas bangku-bangku panjang atau di bawah-bawah pokok dalam taman. Mereka tiba-tiba bangun dalam keadaan selamba saja bagaikan tidak ada apa-apa kelihatan tapi sebenarnya nada-nada dan bibit-bibit peperangan itu sudah mulai membara dan mengganas dalam urat saraf masing-masing. Mereka lantas berjalan masuk kereta dan kereta pun berjalanlah menuju ke satu tempat yang belum tahu mana. Tapi mereka singgah di sebuah rumah dan rumah itu pun tidak tahu kepunyaan sesiapa sebab dalam cerita yang seumpama ini, lantas cerita, plot cerita, dan logik tak logiknya tidak penting lagi. Yang penting ialah matlamatnya. Dan matlamatnya itu pun sudah kelihatan sebab peperangan sudah pun berlaku.
Dalam rumah mereka terus masuk ke bilik. Dan dalam bilik ada sebuah ranjang. Mat Isa dan Jeha mulai gelisah sebab kelihatan punggung masing-masing berkisar atas tikar mengkuang tak penat-penat. Hasanah dan Hassan naik cemas dan takut tapi sayang juga untuk meninggalkan tv sebab kak Chah sendiri mengatakan cerita itu seronok dan ganas dan buas pula. Mereka tunggu juga untuk melihat dimanalah letaknya keseronokan, keganasan dan kebuasan itu.
Dan waktu dalam bilik yang hanya ada serba sedikit peralatan itu pemuda lantas membuka seluar dan baju. Dan pemudi itu pun lantas membuka pakaiannya juga. Ayah Chah dan mak Chah yang duduk berdekatan naik takut dan bertambah galak gelisah mereka. Lalu mereka memegang tangan dan entah macam mana pegangan itu tiba-tiba terlanjur kepada ramas yang agak kuat. Tak siapa yang berkata apa-apa.
(Shahnon Ahmad 1995: 88-89)
Pemerian aksi sedemikian dianggap berlebihan dalam dunia sastera. Namun demikian lebih ramai yang melihatnya sebagai kelebihan Shahnon mengkomikkan keadaan di mana ia serasa lucu untuk diperikan, apatah lagi jika dilakonkan. Shahnon bagaimanapun dalam mempertahankan teks Tivi, mewajarkan karya tersebut sebagai naskah mithali kerana adanya adegan azab Allah ke atas pelaku-pelaku maksiat. Menurut pengarang lagi, teknik penyelesaian yang dikemukakan dengan menghukum Mat Isa, Jeha, Hasanah dan Hassan adalah satu bentuk ingatan yang keras untuk pembaca. Pelaku kebatilan dalam novel ini dihapuskan menerusi cara disambar kilat sehingga rumah mereka roboh terbenam ke dalam bumi. Watak Chah dalam Tivi telah “dibiarkan terus hidup” di mana, “Chah dan hantu-hantunya” terus “lincah dan galak berpesta”. Watak Chah yang merupakan pendukung kebatilan dalam karya ini tidak dikalahkan dan dihukum. Shahnon bahkan menerangkan watak Chah tidak dihukum kerana ia adalah perlambangan kepada syaitan dan iblis yang akan hanya dihukum di akhirat kelak.
Saya berpandangan Tivi, dengan kuasa visual yang dilukis-tuliskan oleh Shahnon Ahmad sangat hebat dari segi naratifnya. Perlambangan syaitan yang disediakan oleh pengarang sudah cukup memadai untuk menyediakan pelbagai lapisan teks dan subteks yang diperlukan dalam karya seni.
Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani adalah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Penyelidik Bersekutu di sebuah tim penyelidikan di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Kajian beliau menganjur dari Sastera Bandingan sehingga Hak Asasi Manusia dengan penekanan terhadap kumpulan minoriti agama.