Memahami Faktor Nombor Dan Strategi Dalam Politik

Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) rakyat terus disajikan dengan pelbagai kejutan dalam arena politik tanah air. Dalam tempoh lebih kurang 22 bulan tempoh pemerintahan Pakatan Harapan (PH), suhu politik terus mendidih dan mencetuskan ketegangan politik yang membimbangkan. Ternyata sangkaan bahawa PH yang berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN) buat pertama kali dalam sejarah politik negara ini akan memerintah dalam suasana yang stabil dan tenang meleset sama sekali. Bukan saja sebahagian besar janji manifesto tidak sempat ditunaikan, malah kerajaan gabungan yang dibentuk juga sudah hancur dalam sekelip mata.

Namun apa yang lebih menarik perhatian kita dalam drama dan kemelut yang sedang melanda ialah betapa faktor nombor dan strategi yang dicatur menjadi penentu kuasa dalam arena politik. Hanya ahli dan parti politik yang bijak memanipulasi nombor atau jumlah sokongan serta strategi sahaja mampu meneruskan survival politik mereka. Jika gagal, bersedialah untuk berputih mata pada bila-bila masa. Apa yang sedang berlaku sekarang adalah bukti dan manifestasi yang jelas betapa kedua faktor ini memainkan peranan yang mutlak dalam menentukan untung nasib bukan sahaja individu ahli politik tetapi sebuah kerajaan itu sendiri. Tatkala PH dilihat tiada sebarang masalah dari segi bilangan kerusi untuk terus memerintah sekurang-kurangnya sehingga PRU-15, secara tiba-tiba kita dikejutkan dengan tsunami politik yang menghilangkan majoriti tersebut dan langsung membubarkan kerajaan PH secara automatik.

Betul kata pujangga, politik adalah seni serba kemungkinan. Tidak ada yang mustahil dalam dunia politik. Kawan hari ini boleh jadi lawan keesokan hari, begitu juga sebaliknya musuh hari ini boleh menjadi rakan pada esok hari. Tuntasnya tiada teman mahupun musuh sejati dalam dunia politik ini. Secara prinsipnya, yang bijak mendapatkan sokongan dan bilangan kerusi dengan strategi yang hebat secara halus boleh membentuk kerajaan. Namun jika permainan ini gagal maka terpaksalah beri laluan kepada pilihan raya umum yang berikutnya di mana anggaran perbelanjaan yang diperlukan untuk mengadakan pilihan raya umum adalah RM750 juta.

Dalam kedaaan ekonomi yang sangat membimbangkan termasuklah kesan wabak Covid-19, membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya dengan kos yang begitu tinggi sudah semestinya bukanlah suatu pilihan yang wajar dan bijak. Jadi kita berharap kebijaksanaan dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong serta pengalaman Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kedudukan sebagai perdana menteri interim akan membantu meleraikan kekusutan politik ini terutamanya mengelak keperluan untuk mengadakan pilihan raya umum semula.

Apapun, sementara ahli dan parti politik masih sibuk menyusun strategi untuk mendapatkan nombor yang diperlukan, jangan lupa drama dan kemelut politik ini juga menghidangkan peluang dan ruang yang terbaik kepada rakyat untuk meningkatkan tahap literasi mahupun pengetahuan tentang politik. Rakyat mula jelas betapa nombor dan strategi boleh meruntuhkan mahupun membina sebuah kerajaan tanpa perlu melalui proses pilihan raya. Anggota masyarakat juga sudah mula tercari-cari apa maksud perdana menteri interim serta kuasa-kuasa yang diperuntukkan. Ramai juga sudah mula bercakap tentang kelebihan dan kelemahan kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Dr Mahathir sebagai manifestasi hala tuju sistem politik di negara ini. Di samping itu rakyat juga boleh melihat dan menilai sendiri ahli politik mana yang bijak dalam menyusun strategi dan mampu meneruskan survival dan kelangsungan politik mereka dalam gelora yang sedang melanda. Dan paling penting sekali detik bersejarah ini membolehkan rakyat sedar betapa besar dan signifikannya peranan dan fungsi Yang di-Pertuan Agong melalui kuasa yang diperuntukkan kepada baginda dalam sistem demokrasi raja berperlembagaan negara ini.

Turut menarik perhatian kita ialah tatkala kita sedang berhadapan dengan krisis politik dan tidak ada jemaah menteri, sistem pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kerajaan terus berfungsi dengan baik di bawah kawalan Ketua Setiausaha Negara (KSN). Ini membolehkan rakyat rasa selamat, aman dan terus menikmati kehidupan seperti biasa tanpa sebarang masalah dan kerisauan.

Tuntasnya faktor nombor dan strategi sering menjadi kayu ukur penting dalam menilai kehebatan ahli dan parti politik yang menentukan untung nasib masing-masing. Justeru jika tidak bijak dalam soal ini adalah lebih elok menjauhkan diri dari dunia politik kerana kesannya kelak boleh menghancurkan segala-galanya.

Hakikatnya penulis percaya semua yang sedang berlaku ini pasti ada hikmahnya dan menyediakan pengajaran serta iktibar yang besar kepada semua ahli dan parti politik serta seluruh rakyat Malaysia. Ayuh terimalah kenyataan bahawa inilah dunia politik yang sebenar dan suka atau tidak kita perlu hadap dan hidup dengannya.

Tentang Penulis:

Noor Mohamad Shakil Hameed berkelulusan Master Komunikasi Korporat (2010) dan Bacelor Ekonomi (2001) dari UPM. Berjawatan hakiki Pegawai Tadbir dengan gelaran Timbalan Pendaftar di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM. Di samping bertugas sebagai pentadbir di UPM, penulis juga bergiat aktif sebagai penulis artikel, rencana dan puisi. Rencana dan artikel penulis sering mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana negara seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro di samping dalam makalah berkala seperti Dewan Masyarakat.

Komen