Mereka yang sezaman dengan saya pasti pernah melalui pengalaman menyanyikan lagu Wawasan 2020 di perhimpunan sekolah. Pada waktu itu, jika disuruh melukis apakah gambaran dan bayangan kita mengenai tahun 2020, banyak idea futuristik yang keluar. Saya masih ingat lagi sewaktu matapelajaran Kemahiran Hidup di sekolah rendah, kami dikehendaki membina prototaip monorel pada tahun 2020 mengikut kreativiti kami. Semua pasti tidak sabar dan membayangkan keadaan tahun 2020 mungkin seperti babak-babak di dalam cerita Total Recall.
Namun kita semua bahkan dunia tidak pernah menyangka apa lagi bersedia untuk menerima serangan pandemik COVID-19 yang mula menyerang awalnya di wilayah Wuhan di China pada awal tahun ini. Hampir keseluruhan negara di dalam dunia ini terjejas dengan impak COVID-19 ini. Sempadan negara ditutup, ekonomi mula merundum. Masyarakat dunia mula menerima kesan daripada serangan wabak ini.
Sewaktu krisis ekonomi akhir tahun 90-an, saya pada waktu itu masih di bangku sekolah. Saya tidak merasai impak sebenar kegawatan ekonomi yang berlaku ketika itu. Seingat saya juga kedua ibu bapa saya tidak terkesan sangat dengan krisis tersebut – ayah saya masih mempunyai kerja beliau dan ibu saya juga menjalankan perniagaan beliau seperti biasa. Mungkin saya tidak faham lagi keadaan sebenar yang berlaku pada waktu itu.
Namun kini, pandemik yang menyerang dunia ini sangat memberikan kesan yang mendalam kepada saya. Pada 1 Jun 2020, saya kehilangan sumber pendapatan saya. Pada waktu itu seluruh Malaysia masih lagi dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBP). Dan sejak dari itu saya cuba bangkit demi keluarga saya, kerana saya adalah penyumbang utama kepada ekonomi isi rumah saya. Pelbagai usaha saya cuba lakukan. Tidak lupa juga pertolongan dari kawan-kawan yang sememangnya sangat membantu. Apabila Malaysia mula memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), keadaan mula bertambah baik. Saya tidaklah memiliki jumlah pendapatan seperti sebelum pandemik ini menyerang, namun saya mampu untuk menyara keluarga saya. Kemudian Pilihan Raya Negeri Sabah berlaku dan berlakunya serangan gelombang kedua pandemik COVID-19 di Malaysia. PKPB mula dikenakan di kawasan-kawasan yang mempunyai jumlah kes tertinggi antaranya Kuala Lumpur dan Selangor. Sekali lagi saya kehilangan sumber pendapatan saya.
Saya kemudiannya mula menceburkan diri dalam bidang ekonomi gig sebagai seorang penghantar barang. Untuk mempunyai pendapatan harian bersih sebanyak RM 100, saya perlu bekerja selama 14 jam. Ia bergantung kepada kecekapan memilih perjalanan dan upah. Saya masih baru dan kurang cekap. Namun syukur masih boleh menjana pendapatan.
Sejak berlakunya serangan pandemik ini, bukan saya sahaja yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan. Antara yang paling terjejas ialah mereka di bidang penerbangan, pelancongan dan perhotelan. Baru-baru ini Malindo Air telah melepaskan lebih 2,600 pekerja mereka akibat kesan dari pandemik ini. Sektor perlancongan di negara juga semakin tenat dengan kekurangan pelancong dari luar negara datang untuk melancong ke negara kita. Industri kecil dan sederhana juga turut terkesan kerana ia banyak menjana pendapatan sebelum ini secara tidak langsung dari sektor pelancongan. Hal ini mempengaruhi pendapatan dalam negara kita. Kita sebenarnya bertuah kerana mempunyai negeri-negeri dan tempat-tempat yang menarik untuk rakyat kita pergi melancong dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Namun setelah PKPB dikenakan semula kepada sesetengah negeri, industri pelancongan dan industri kecil dan sederhana kembali merundum dan hampir lumpuh.
Saya mengamati teks Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Malaysia pada 6 November yang lalu. Tiada satu pun inisiatif yang betul-betul menyasarkan kepada sektor pelancongan, industri kecil dan sederhana, sektor ekonomi gig dan beberapa sektor yang boleh menjana pertumbuhan ekonomi dari dalam negara. Jika ada pun, ia hanya dasar dan tidak meliputi keseluruhannya. Sebagai contoh di bawah bahagian Perlindungan Sosial, kerajaan menyediakan 24 juta ringgit bagi caruman penuh di bawah Skim Bencana Pekerjaan PERKESO untuk manfaat 100 ribu pekerja dari kumpulan pekerja seperti anggota sukarelawan tentera, polis, pertahanan awam dan maritim, guru takmir, imam, bilal, siak dan lain-lain, pekerja sektor awam berstatus kontrak dan yang terakhir pekerja ekonomi gig.
Di dalam ucapan yang mempunyai 308 mukasurat (terima kasih Munira, siapa jua anda, yang berkongsi teks tersebut dengan kami!), hanya di bahagian itu sahaja mempunyai perkataan yang berkaitan dengan ekonomi gig.
Sebagai seorang yang kini bekerja sepenuh masa sebagai seorang penghantar barangan, untuk melakukan caruman kepada PERKESO apa lagi KWSP, dengan pendapatan harian adalah sukar. Seharusnya kerajaan mencari dan memberikan peruntukan serta kemudahan yang lebih praktikal dan mesra kepada mereka yang bekerja di sektor ekonomi gig ini. Hal ini juga telah dibangkitkan di dalam sidang parlimen hari ini, 12 November 2020 oleh ahli parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang bertanyakan mengenai usaha kerajaan untuk memperkenalkan sistem sekuriti sosial secara automatik bagi belia berusia 16 tahun ke atas bagi memastikan semua pekerja sektor informal dibela kelak. Kita perlu mengakui sektor ekonomi gig ini banyak diceburi oleh para belia kerana syarat untuk mendapatkan pekerjaannya agak mudah. Kerajaan juga perlu menetapkan beberapa peraturan kepada syarikat antaranya menyediakan sekurang-kurangnya polisi insurans “personal accident” untuk para pekerja yang bekerja di bawah syarikat mereka sebagai penghantar barangan atau makanan.
Selain dari ekonomi gig yang tidak mendapat “habuan” dalam pembentangan Belanjawan 2021, sektor pelancongan juga hampir memiliki nasib yang sama. Sektor pelancongan kini hampir lumpuh kerana tiada pelancong dari luar negara juga dari dalam negara kerana PKPB yang telah dikenakan kepada beberapa negeri yang menghalang dari rakyat merentas daerah. Namun, hanya sektor pelancongan di Sabah dan Sarawak sahaja yang bakal menikmati bayaran-bayaran “one-off” dan beberapa lagi habuan yang lain. Kenapa habuan dan inisiatif tersebut tidak dipanjangkan kepada sektor pelancongan di Semenanjung Malaysia juga? Di Semenanjung juga kita ada yang bekerja sebagai pemandu pelancong dan pengusaha tempat pelancongan yang kini juga sangat terkesan akibat daripada kesan pandemik ini. Adakah pemberian inisiatif tersebut kepada mereka di Sabah sebagai habuan menang pilihan raya negeri baru-baru ini? Inisiatif, subsidi dan apa sahaja bayaran perlu diperluaskan untuk semua yang ada di dalam sesebuah sektor ekonomi. Kerajaan tidak boleh mempunyai sikap “memilih” kerana dalam keadaan sekarang, semua rakyat terkesan.
Kerajaan harus meneliti keperluan dan kepentingan untuk menjana ekonomi pada tahun 2021. Pada saya, Belanjawan 2021 seharusnya perlu lebih menjurus ke arah pemulihan ekonomi dan menjana ekonomi dari dalam negara dahulu. Industri kecil dan sederhana sangat berpotensi untuk memberikan pendapatan kepada ekonomi negara. Kerajaan seharusnya membuat pelaburan dan memperkenalkan pelbagai skim dan inisiatif yang lebih efisyen bagi membantu pengusaha industri kecil dan sederhana ini antaranya yang berkaitan dengan galakan penggunaan teknologi dalam talian bagi tujuan pemasaran dan transaksi tanpa tunai. Industri kecil dan sederhana juga mampu untuk mencipta peluang-peluang pekerjaan. Apa yang kita terlepas pandang ialah hubung kait secara tidak langsung antara industri kecil dengan ekonomi gig. Apa yang perlu bagi kerajaan lakukan ialah mencari ruang dan peluang yang boleh mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan pada masa yang sama menjana pertumbuhan dan pendapatan negara dari dalam. Kita sudah tidak boleh harapkan lagi pelabur dari luar – mungkin tidak dalam masa setahun lebih ini. Jadi kita perlu lebih kreatif dan inovatif dengan menggunakan sumber sedia ada.
Selain itu, sektor pertanian juga berpotensi untuk membantu negara menjana pendapatan dalam negara. Subsidi untuk baja dan anak benih tanaman yang berkualiti boleh diberikan kepada para petani dan hasilnya dapat dipasarkan untuk kegunaan rakyat kita. Malaysia mempunyai tanah-tanah yang subur seperti di Sabah, yang sangat sesuai untuk dibangunkan sebagai sebuah daerah atau negeri pertanian negara.
Untuk mengharungi keadaan ekonomi zaman pasca pandemik COVID-19 ini, kerajaan perlu berfikir di luar kotak. Mungkin keutamaan kita untuk setahun dua ini bukan untuk projek-projek mega atau menarik pelabur-pelabur dari luar negara tetapi membina negara kita sepenuhnya dengan hasil dari dalam negara kita. Rakyat kini semakin hidup dalam kesempitan. Kerajaan perlu mencipta peluang pekerjaan yang relevan dan mempunyai hayat yang panjang bagi kelangsungan kehidupan rakyat. Apabila rakyat mempunyai kerja dan pendapatan, maka mereka mampu untuk berbelanja dan menjana ekonomi negara. Sektor pertanian dan pelancongan boleh dimajukan dan perlu diberikan keutamaan. Begitu juga dengan industri kecil dan sederhana dan ekonomi gig. Ekonomi gig adalah satu evolusi kepada dunia perniagaan masa kini yang sememangnya terbukti telah menjana ribuan peluang pekerjaan bukan sahaja kepada golongan belia. Ekonomi kita perlu mandiri dengan menggunakan sumber dari dalam negara untuk mendapatkan pendapatan. Setidak-tidaknya untuk tempoh dua tahun akan datang. Taraf hidup rakyat harus menjadi agenda utama kerajaan, bukan projek-projek mega yang hanya akan memberikan keuntungan kepada syarikat dan pelabur besar.
Pernah berkhidmat sebagai pegawai khas parlimen dan dasar kini menceburi bidang korporat. Extrovert. Memasak adalah terapi dan masih single.