Isu pelarian kini menjadi antara isu serius di peringkat global memandangkan jumlah pelarian di seluruh dunia terus melihatkan peningkatan berterusan selama tujuh tahun berturut-turut sejak 2011.
Pada penghujung tahun 2018, jumlah pelarian yang direkodkan oleh United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) telah mencecah 25.9 juta orang dengan separuh daripadanya adalah kanak-kanak dan 1.1 juta merupakan pelarian baharu.
Daripada jumlah ini, 20.4 juta pelarian adalah di bawah mandat UNHCR, manakala baki 5.5 juta adalah pelarian Palestin di bawah mandat United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA). Ini merupakan kali pertama dalam sejarah dunia, jumlah pelarian global melebihi 20 juta orang dan sebagai perbandingan, jumlah pelarian pada tahun 2012 hanya 10.5 juta.
UNHCR melaporkan bahawa lima negara utama yang menjadi negara sumber kepada isu pelarian ini ialah Syria (6.7 juta), Afghanistan (2.7 juta), Sudan Selatan (2.3 juta), Myanmar (1.1 juta) dan Somalia (0.9 juta). Pelarian daripada kelima-lima negara ini mewakili 67 peratus daripada jumlah keseluruhan pelarian di seluruh dunia.
UNHCR turut melaporkan bahawa lima negara utama yang menjadi negara hos kepada pelarian ialah ialah Turki (3.7 juta), Pakistan (1.4 juta), Uganda (1.2 juta), Sudan (1.1 juta) dan Jerman (1.1 juta).
UNHCR merupakan badan antarabangsa utama yang memainkan peranan penting dalam menangani isu pelarian di peringkat global. Badan ini ditubuhkan pada 1950 dan memulakan gerak kerja pada tahun 1951 serentak dengan kewujudan Konvensyen 1951 Mengenai Hak Pelarian.
Pada asasnya UNCHR memainkan peranan dalam menangani kesan krisis kemanusiaan yang muncul selepas tamat Perang Dunia Kedua. Badan ini telah memberi bantuan dari pelbagai sudut termasuk menangani keperluan golongan pelarian yang menjadi mangsa akibat perang yang dahsyat itu.
Ketika hubungan antarabangsa melihatkan dinamiknya, peranan yang dimainkan UNHCR ikut berevolusi dan ini penting demi memastikan kelangsungannya sebagai badan terpenting dalam menangani isu pelarian di peringkat global.
Secara hakikatnya UNHCR bertindak sebagai badan antarabangsa dalam kerangka bukan politik serta memberi tumpuan terhadap peranan kemanusiaan. Ini bagi memastikan UNHCR dapat mengekalkan neutraliti dalam setiap usahanya.
Berdasarkan mandat yang diberikan mengikut statut UNHCR, terdapat dua fokus yang wajar diberikan keutamaan. Pertama ialah memberikan perlindungan kepada golongan pelarian dan keduanya mencari penyelesaian jangka panjang meliputi usaha penghantaran pulang pelarian secara sukarela, integrasi tempatan dan penempatan semula.
Secara asasnya mandat pertama itu dilihat lebih mudah untuk dilaksana kerana ia bersifat bantuan kemanusiaan tradisional dan dirangka melalui program-program bantuan sedia ada UNHCR. Namun mandat kedua merupakan usaha paling kompleks dan memerlukan kerjasama banyak pihak. Ketiga-tiga elemen di dalam mandat kedua ini bukan sahaja memerlukan perancangan rapi, tetapi ia juga melibatkan usaha pemulihan semula pelarian dari sudut psikologi, keyakinan diri, pengetahuan dan kemahiran.
UNHCR juga memainkan peranan untuk melaksanakan segala instrumen antarabangsa yang bersesuaian untuk melindungi golongan pelarian. Ini termasuk dalam kerangka perundangan antarabangsa. Peranan UNHCR yang telah digariskan secara bersama melalui PBB meletakkannya sebagai pemain terpenting dalam mewujudkan suasana dunia lebih baik dengan pengurusan isu pelarian yang lebih terkawal.
Namun begitu, dalam kita merungkai setiap peranan yang dimainkan oleh UNHCR, negara juga mempunyai peranan yang tersendiri dan tidak wajar untuk berlepas diri dan menyerahkan segala-galanya kepada UNHCR. Secara asasnya, negara mempunyai tanggungjawab tersendiri terhadap mana-mana pelarian yang berada di wilayah mereka dan UNHCR hanya bertindak sebagai pembantu kepada negara melalui mandat yang telah dipersetujui di dalam statutnya. UNHCR tidak boleh melangkaui semangat dan kedaulatan sesebuah negara.
Di sini merupakan kunci segala kemelut kerana negara kebiasaannya sering mempertahankan kepentingannya dan tidak mahu sewenang-wenangnya menyerahkan kepentingan dalam apa jua keadaan. Misalnya dalam keadaan untuk menerima kemasukan pelarian dan seterusnya melaksanakan pengurusan pelarian termasuk penempatan dan bantuan lanjut.
Walaupun UNHCR ada menyediakan dana khas buat negara-negara yang menyediakan perlindungan buat pelarian, namun ia dilihat tidak menjadi keutamaan kepada negara, sebaliknya mereka lebih memikirkan kesan langsung daripada penerimaan terhadap golongan pelarian ini.
UNHCR juga berperanan untuk dari masa ke masa mengemaskini definisi pelarian bagi memastikan bantuan dan tindakan sewajarnya dapat diambil. Definisi yang tepat sangat penting bagi memastikan setiap kelompok yang layak ditakrifkan sebagai pelarian dapat dilindungi di bawah Konvensyen 1951 dan Statut UNHCR. Dalam keadaan dunia yang kian kompleks, wujud pelbagai golongan yang kini boleh ditakrifkan sebagai pelarian dan menjadi tugas penting buat UNHCR menetapkan perkara ini.
UNHCR telah memberikan perspektif baharu dalam melihat golongan pelarian. Badan antarabangsa ini mahu memastikan pelarian dilihat dalam makna yang lebih positif dan tidak dikatakan lemah dan bergantung kepada bantuan semata-mata. Justeru UNHCR telah memperkenalkan dasar pengukuhan diri global khusus untuk pembangunan kapasiti golongan pelarian.
UNHCR mahu memastikan pelarian menjadi pelaku yang penting dalam interaksi antarabangsa dan ini termasuk menjadikan mereka sebagai agen kreatif dan agen pembangunan. Dalam keadaan ini, dasar yang digerakkan oleh UNHCR ini dilihat mempunyai asas perubahan yang kukuh dan mampu mengubah pandangan masyarakat dunia terhadap pelarian, daripada sekadar bergantung harap kepada aspek kemanusiaan kepada karakter yang lebih daripada itu.
Namun begitu, usaha dan cita-cita UNHCR ini bukan mudah untuk direalisasikan memandangkan ia memerlukan perubahan mentaliti dalam kalangan negara. Mereka perlu melihat pelarian dalam kerangka lebih positif dan tidak hanya berbentuk pasif seperti sebelumnya.
Ini merupakan antara peranan terpenting yang digerakkan oleh UNHCR memandangkan krisis pelarian kini semakin meruncing. Wujud kesukaran untuk pihak UNHCR menggerakkan usaha untuk penghantaran pulang secara sukarela, kerana krisis di tempat asal pelarian seperti di Syria atau di Myanmar masih belum reda.
Untuk itu, tinggal dua pilihan penting dalam UNHCR melaksanakan mandatnya, integrasi tempatan dan penempatan semula. Kedua-dua proses ini jelas memerlukan kerjasama rapat negara-negara terlibat. Proses integrasi sudah tentu sukar dilaksanakan tanpa sokongan kuat negara melalui kerangka perundangan tempatan yang jelas dan dasar-dasar yang dilihat lebih mesra pelarian. Begitu juga halnya dengan usaha penempatan semula. Negara yang bersedia untuk menerima kehadiran pelarian wajar menerima mereka dengan terbuka tanpa wujud apa-apa halangan diskriminasi dan mereka harus diberikan hak sewajarnya.
Pelarian bukan sahaja menerima bantuan, tetapi sewajarnya dibangunkan menjadi manusia sebenar, mampu berdiri sebagai pelaku politik, mampu merasai nikmat negara berdaulat dan mampu mengubah sejarah.
Dalam konteks negara demokrasi barat memiliki pandangan lebih kritikal terhadap isu pelarian ini. Menurutnya secara tradisional negara-negara demokrasi barat menganggap diri mereka sebagai penyelamat kepada golongan pelarian dan keadaan ini berlaku kerana negara-negara ini tidak dapat menghubungkan diri mereka secara jelas dengan masalah asas. Selain itu, kedudukan kewangan dan pengaruh di medan antarabangsa menjadikan negara-negara ini memposisikan kedudukan mereka sebagai negara yang lebih atas dan untuk itu mereka mempunyai tanggungjawab moral untuk menjadi penyelamat. Sedangkan pelarian memerlukan lebih daripada sekadar usaha menyelamat, mereka memerlukan perhatian dari sudut hak asasi manusia dan pemulihan manusiawi.
Berasaskan kepada realiti semasa, hak asasi manusia itu gagal untuk dinikmati secara penuh oleh golongan pelarian. Mereka kadangkala terpaksa memilih hak mana yang wajar diambil untuk kelangsungan hidup. Misalnya ketika berada di dalam kem pelarian, hak ekonomi dan sosial seperti sudah dijamin, namun mereka tidak memperoleh kebebasan untuk bergerak atau berkerja. Sama juga dengan halnya dengan pelarian yang berada di negara hos mereka sangat bergelut untuk mendapatkan hak ekonomi dan sosial termasuk makanan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.
Ini merupakan cabaran besar yang harus dipikul UNHCR kerana di waktu ini, pelarian bukan sahaja boleh dikendalikan dengan menyuap sekeping roti atau menghulurkan segulung selimut. Peranan UNHCR kini ialah membangunkan kembali pelarian ini agar mereka dapat menjadi manusia yang dapat memainkan peranan tersendiri untuk pembangunan diri dan keluarga.
Daniyal Kadir adalah seorang penjawat awam yang juga rajin mengulas tentang seni perfileman. Beliau juga merupakan penulis buku Membedah P. Ramlee selain kerap muncul dalam acara bicara perfileman, baik sebagai panelis atau moderator. Di masa lapang, Daniyal juga terlibat dalam pembikinan filem pendek.