Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), menyatakan penyertaan Bersatu bersama Muafakat Nasional (MN) akan memperkuatkan gagasan ‘Melayu Raya’. Bagi Takiyuddin, Melayu Raya ini dapat menyatukan tiga parti berasaskan Melayu dan Islam, yakni PAS, Bersatu dan Umno untuk membina ‘imaginasi’ kerajaan Melayu.
Konsep Melayu Raya mempunyai hubung kait dengan Indonesia Raya mengaitkan satu masa kegemilangan silam. Tujuannya adalah untuk menyatukan bangsa Melayu di Indonesia dan Tanah Melayu dibawah jajahan penjajah. Ini merupakan komuniti bayangan yang ditimbulkan oleh Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang akhirnya gagal direalisasikan.
Mengapa sentimen perpaduan parti Melayu dibangkitkan buat masa sekarang oleh Takiyuddin dan MN?
Pertama, kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal menyelesaikan isu rakyat dan negara. Kedudukan kerajaan PN yang goyah menyebabkan pelbagai dasar ekonomi dan pembaharuan untuk kebaikan rakyat gagal dilaksanakan. Bagi meneruskan survival politik mereka, isu perkauman telah dimainkan bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada hal sebenar seperti kemerosotan ekonomi dan hilang punca pendapatan.
Kedua, ia menunjukkan parti Melayu tidak pernah jujur dalam membentuk kerajaan bersama. Pas, Umno dan Bersatu masih bergelut untuk mewujudkan perikatan bersama meskipun sudah membentuk kerajaan. Perebutan untuk menjadi ‘abang besar’ antara mereka menggambarkan parti Melayu ini saling gelisah dan tidak percaya antara satu dan yang lain.
Jika benar ketiga-tiga parti ini percaya satu sama lain, maka apakah rasionalnya Takiyuddin perlu mengeluarkan kenyataan parti Melayu perlu bersatu? Takiyuddin juga harus sedar bahawa membangkitkan nostalgia ‘Melayu Raya’ boleh menimbulkan persoalan hubungan antarabangsa Malaysia-Indonesia yang merupakan negara yang sudah pun merdeka.
Jika kita soroti sejarah, pihak nasionalisme Indonesia turut menolak gagasan Melayu Raya kerana ia hanya menterjemahkan semangat perkauman. Semangat kebangsaan Indonesia yang mahu membangkitkan kesedaran kebangsaan bagi menyatukan suku-suku etnik dan kerencaman budaya, bagi mencapai kemerdekaan sebagai sebuah negara berdaulat. Soekarno pula menganggap konsep Melayu Raya akan menjauhkan etnik-etnik berbeza latar belakang dan akan menimbulkan selisih faham di Indonesia.
Kita harus sedar bahawa soal identiti kebangsaan Malaysia tidak seharusnya membicarakn penyatuan komuniti Melayu sahaja. Malaysia dianggarkan mempunyai 80 etnik, 32 etnik di Sabah dan 28 etnik di Sarawak. Maka, apakah rasional penyatuan satu komuniti atau parti politik Melayu boleh menjawab segala persoalan tentang perpaduan rakyat dan identiti bangsa Malaysia?
Ironinya, Bersatu sudah mula membincangkan usaha meraikan kemasukan golongan bukan bumiputera ke dalam parti mereka. Pas juga telah memberi laluan kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) terdiri daripada orang bukan Melayu bertanding dalam PRU14. Umno pula masih memerlukan MCA dan MIC untuk membentuk sebuah kerajaan Barisan Nasional. Jelas menunjukkan Melayu Raya dibawa oleh MN hanya sekadar retorik politik picisan untuk meraih undi simpati orang Melayu.
Apa yang pasti, sejak negara merdeka pada tahun 1957 hingga pembentukan Malaysia pada tahun 1963, istilah kerajaan Melayu tidak pernah digunakan. Kejayaan kerajaan bukan dinilai sejauh mana kerajaan tersebut ‘Melayu’ atau tidak, tetapi ia dinilai berdasarkan integriti, prestasi dan keupayaan pemimpin menyatukan rakyat untuk membina Malaysia lebih maju dalam ekonomi, sosial dan kenegaraan.
Sejauh manakah kerajaan PN dan MN benar-benar jujur dalam menyatupadukan rakyat Malaysia? Adakah dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam era Covid-19 sudah cukup mendewasakan rakyat untuk saling prihatin dengan saudara mereka sendiri?
Begitu menghairankan apabila pemimpin seluruh negara sedang giat membahaskan dasar ekonomi di parlimen dan menyatukan semua rakyat berhadapan Covid-19, kerajaan PN dilihat leka dan mempunyai banyak masa untuk berpolitik. Lebih malang lagi apabila mereka masih bernostalgia menyalahkan kerajaan yang lalu sedangkan mereka sudah duduk di Putrajaya hampir lima bulan.
Isu-isu membangkitkan politik perkauman daripada MN ini amat mengecewakan apabila ia berlaku ketika rakyat berhadapan dengan cabaran ekonomi yang tidak menentu dalam era ‘Kebiasaan Baharu’. Saat ini, rakyat memerlukan kerajaan yang bertanggungjawab dalam mengambil tindakan untuk menyelamatkan periuk nasi rakyat berbanding adegan menteri yang hanya berpaut kepada jawatan dan menonjolkan sikap ‘dua darjat’ dalam pentadbiran negara.
Jika kerajaan PN tidak berdaya dalam membina perpaduan negara, sekurang-kurangnya mereka perlu berusaha memulihkan ekonomi rakyat yang sedang tenat. Jika itu pun tidak mampu dilaksanakan, adalah lebih baik kerajaan PN memulangkangkan mandat semula kepada rakyat bagi menentukan hala tuju Malaysia.
Persoalannya, sejauh manakah Perikatan Nasional atau Muafakat Nasional dapat menjadi kerajaan ‘berintegriti’ dan menyatukan rakyat pelbagai etnik dan budaya dalam keadaan mandat mereka tidak stabil?
Artikel ini adalah tulisan saudara Fakhrurrazi Rashid dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.