Melacurkan merupakan kata terbitan yang berasal daripada kata dasar ‘lacur’. Makna lacur menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu ialah tidak jadi, gagal, malang dan sial. Dari sudut kefahaman kolektif masyarakat, ia sering dikaitkan dengan kegiatan yang jalang sama ada melibatkan lelaki atau perempuan. Namun, dalam tulisan ini pemaknaan kata ‘melacurkan’ itu tidak akan merujuk kepada mana-mana jantina. Ia akan ditujukan kepada MENTERI yang secara senyap-senyap melacurkan pendidikan di gedung-gedung sekolah.
Pandemik Korona ini atau pun dikenali dengan nama Covid-19 telah datang menerobos setiap sudut negara ini sejak tahun lalu. Pada Mac 2020, negara ini sudah tertawan oleh virus ini dan kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Semenjak PKP ini diimplementasi, salah satu yang menjadi perdebatan dan perbahasan ialah isu yang berkaitan dengan pengamalan pendidikan di negara ini.
Setelah setahun malapetaka ini menimpa negara, pengamalan pendidikan terutamanya di institusi-institusi pendidikan kebangsaan seperti kehilangan arah. Permasalahan yang cuba dibawa di sini ialah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah atau pun PdPR yang dilihat tidak kompeten dan telah menunjukkan lompong-lompong yang perlu segera dipandang serius.
Mengapa dikatakan tidak kompeten? Pada bulan Januari 2021, laman berita seperti Utusan Borneo ada mengeluarkan laporan bahawa kehadiran pelajar ketika PdPR tidak mencapai 80%. Kemungkinan laporan yang dikeluarkan ini bergantung dengan laporan JPN setiap negeri. Di mana setiap laporan ini bergantung dengan pihak sekolah itu bagaimana pelaporan kehadiran harus diletakkan dalam Google Form tersebut. Kemungkinan lagi, sekiranya pelaporan tersebut dilihat dari kaca mata guru-guru yang mengajar secara langsung, peratus kehadiran pelajar mungkin tidak sama seperti laporan peratus yang dinyatakan.
Kisah PdPR Di Sebuah Sekolah Di Sabah
Untuk melihat secara jelas berkaitan PdPR ini, kita bayangkan kisah ini. Di sebuah sekolah di Sabah, ketika pihak autoriti mengumumkan bahawa PdPR perlu dilaksanakan semula pada bulan April, guru-guru semakin bingung dan keliru. Mengapa bingung dan keliru? Di satu pihak, pelajar SPM terpaksa berhadapan dengan silibus baharu dan cara menjawab kertas yang berbeza berbanding tahun lalu (tahun 2020). Pihak yang lain terpaksa mengeluh kerana tahu bahawa kehadiran pelajar ketika PdPR sangat tidak memberangsangkan. Bayangkan, pelajar dalam sesebuah kelas itu ada 36 orang pelajar. Yang terlibat secara langsung dengan PdPR tidak sampai 15 orang pelajar. Ini antara kisah yang berlaku ketika PdPR.
Ketika ini berlaku, guru-guru hampir tidak diberikan apa-apa bantuan. Kesemuanya perlu dikeluarkan dengan menggunakan duit sendiri. Gajet, data Internet dan Alat Bantuan Mengajar (ABM) ketika PdPR ini langung tidak mahu diambil tahu oleh menteri. Kalau guru memerlukan bantuan Internet, pihak sekolah hanya mampu menyuruh guru tersebut untuk datang dan laksanakan PdPR dari bilik guru. Ironinya, bilik guru tersebut pun tidak kondusif untuk PdPR. Kenapa? Penyaman udara rosak dan capaian Internet yang teruk. Ini cerita benar yang berlaku di sebuah sekolah di dalam Malaysia bukannya di Zimbabwe.
Lain pula di sebuah sekolah di kawasan pedalaman Sabah. Guru-gurunya yang gusar dan bimbang berkaitan keterlibatan muridnya dalam PdPR telah membuatkan mereka mencari jalan lain. Jika ditanya guru-guru tersebut punca kegusaran itu, pasti pak menteri ‘nda menahan’ telinganya mendengar ketapan gigi guru tersebut berleter. Internet, akses gajet, pengangkutan dan lain-lain lagi. Semuanya membawa kepada ketempangan pelajar untuk terlibat secara langsung dalam PdPR.
Dari segi mental, saya sempat bertanya dengan guru-guru yang sebelum ini berpengalaman menjalani PdPR. Guru terpaksa bekerja dua kali ganda berbanding PdP secara bersemuka. Namun, setakat yang saya ketahui, guru-guru ini dengan gagah dan perkasa terus mencabar walaupun tahu kehadiran pelajar tidaklah memihak kepada mereka. Ditambah lagi dengan jadual pembelajaran seperti kelas bersemuka telah menyebabkan guru terikat dengan waktu tersebut. Kelas akan bermula seawal 7.00 pagi dan berakhir pada jam 1.30 petang.
Untuk pelajar, ini sangat memilukan segenap jiwa seketika. Terdapat dalam kalangan mereka yang terpaksa menahan tidur untuk menyiapkan tugasan yang diberikan. Pada awal paginya, pelajar sudah bersiap untuk memulakan PdPR pada hari tersebut. Keadaan ini sudah dirasakan oleh pelajar yang baru sahaja berumur 13 tahun atau Tingkatan 1. Mereka ini baru berjinak-jinak dengan keadaan atau mandala sekolah menengah, namun sudah terpaksa berhadapan dengan keadaan sebegini. Seperti juga jadual guru, mereka perlu bangun awal pagi untuk memenuhi waktu-waktu dalam jadual mereka. Keadaan ini sebenarnya perlu diinsafi terutamanya untuk para menteri yang juga mungkin mempunyai anak berumur sebegini.
Cadangan Picisan Rakyat Kecil
Ini antara cadangan picisan yang mungkin boleh dipersetujui atau tidak dipersetujui.
1) Laporan yang telus berkaitan PdPR
Perkara ini yang paling penting perlu dikeluarkan oleh menteri-menteri dan seangkatannya. Kita sudah hampir setahun mengalami keadaan pendidikan yang seperti ini. Tidak ada satu laporan yang betul-betul dikeluarkan berkaitan PdPR ini. Menteri perlu dengan segera menyediakan laporan keberkesanan PdPR ini. Kita perlu tahu dan rakyat perlu tahu sejauh mana sebenarnya keberkesanan PdPR dalam tempoh ini. Daripada laporan ini, intervensi segera perlulah dilaksanakan. Menteri bukan sekadar perlu tangkas dalam membuat hantaran poster ucapan dan sebagainya. Mereka juga perlu merembeskan peluh-peluh untuk melaksanakan intervensi yang sesuai dengan keadaan ketika ini.
2) Selaraskan prosedur atau apa-apa berkaitan PdPR
Cadangan ini sengaja dikeluarkan (untuk menunjukkan menteri seperti membuat sekolah kehilangan arah ketika PdPR). Untuk makluman, sepanjang PdPR ini prosedur pelaksanaannya seperti tidak selaras untuk setiap negeri. Sebagai contoh, di Sabah, terdapat sekolah-sekolah yang melaksanakan PdPR dengan menggunakan sistem jadual waktu seperti PdP di sekolah. Jadual ini ketat dan langsung tidak anjal. Namun begitu, terdapat beberapa sekolah (setakat yang diketahui) telah mengubah jadual waktu untuk lebih sesuai dengan keadaan PdPR. Ini jelas sudah menunjukkan bahawa KPM tidak ada prosedur yang selaras berkaitan dengan PdPR. Perkara ini penting sebenarnya untuk memastikan guru dan murid terus bersemangat (walaupun lelah) untuk terlibat dalam PdPR.
3) Objektif Pengajaran dan Pembelajaran yang lebih mudah difokuskan
Berdasarkan pengalaman Latihan Mengajar sehingga hari ini, KPM tidak menyediakan satu dokumen yang boleh menjadi rujukan sepanjang PdPR. Guru-guru hanya bergantung dengan DSKP KSSM seperti Pengajaran dan Pembelajaran bersemuka. Dokumen ini pada pandangan penulis tidak sesuai dengan keadaan PdPR. Ia tidak boleh menjadi rujukan untuk mencapai objektif pembelajaran. Hal ini kerana DSKP yang menjadi rujukan ini sangat teknikal dan akan menjadi punca kepayahan guru untuk mencapai objektif PdPR. Ini juga nanti akan membebankan pelajar untuk memastikan objektif tersebut tercapai.
Bagi memastikan guru dan pelajar terus mampu bertahan dalam PdPR, KPM sewajarnya menghasilkan sebuah dokumen mudah dan tidak rigid untuk menjadi rujukan guru. Dokumen ini juga mesti mempunyai objektif yang jelas dan ringkas berkaitan perkara-perkara yang perlu dicapai sepanjang PdPR berdasarkan subjek tertentu. Ini akan memudahkan lagi tugas guru dan juga akan mampu mengurangkan beban pelajar ketika PdPR. Tidak perlu terlalu teknikal serta dipenuhi dengan ayat-ayat yang panjang belaka.
Kesimpulannya, menteri perlu sedar bahawa implementasi PdPR ini masih terlalu banyak lubang-lubang yang perlu ditampal segera. Pak Menteri yang duduk di atas kerusi empuk tidak akan sedar perkara ini. Mereka perlu belajar memasang telinga untuk mendengar penjelasan masalah golongan yang terlibat secara langsung seperti guru dan pelajar. Ketika pandemik sebegini, PdPR tidak seharusnya menjadi ‘kambing hitam’ atau alat ‘escapism’ menteri untuk lari dari masalah yang dihadapi. Ia perlu diimplementasi dalam keadaan yang cermat dan jujur. Mereka tidak boleh korup kalau betul-betul ingin memastikan pelajar terus berminat dengan ilmu. Sekiranya tidak boleh melakukan apa-apa, sebagai seorang anak Melayu jantan, letak jawatan ialah perkara yang paling bermaruah.
Sebelum mengakhiri tulisan ini, sekali lagi, menteri perlu belajar mendengar dari mulut rakyatnya sendiri ketimbang mulut-mulut selingkungannya sahaja.
(Artikel ini adalah tulisan saudara Suardy Bin M.Natsir dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.