SEKURANG-KURANGNYA terdapat 5 laporan & kajian penting mengenai isu bantut & malnutrisi di kalangan murid sekolah rendah terbit sejak 2 tahun kebelakangan ini.
Pertama dan yang paling awal mendedahkan isu penting ini adalah Laporan Kanak-kanak Pinggiran oleh Unicef & DM Analytics, terbit pada Februari 2018. Kedua, Laporan Memahami Pemakanan Sekolah di Malaysia oleh Khazanah Research Institute (KRI), terbit pada Februari 2020. Ketiga, Laporan Keluarga di Pinggiran Isu 1, Kesan Langsung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Unicef & UNFPA yang terbit pada Ogos 2020. Keempat, Laporan Analisis Situasi Wanita & Kanak-kanak di Malaysia 2020 oleh Unicef yang terbit pada September 2020. Dan yang kelima, Laporan Keluarga di Pinggiran Isu 2, Bagaimana Mereka Selepas PKP oleh Unicef & UNFPA yang terbit pada Oktober 2020.
5 laporan kajian ini hanya sebahagian dari lebih banyak kajian-kajian lain yang tidak disebutkan di sini, namun satu perkara penting yang boleh diperhatikan adalah kesemua laporan ini mendedahkan dapatan yang sama iaitu; wujudnya isu bantut & malnutrisi yang serius di kalangan murid sekolah rendah di negara ini.
Program Sarapan Percuma
Sempena pembentangan belanjawan hari ini, saya ingin menyorot apakah yang berlaku beberapa bulan sebelum pembentangan belanjawan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2019 yang lalu terutamanya mengenai spekulasi Program Sarapan Percuma (PSP) yang sepatutnya mula dilaksanakan di seluruh negara bermula Januari 2020.
Spekulasi ini bermula pada 14 Ogos 2020 apabila akhbar The Star memuatnaik video Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah mengumumkan (PSP) akan mula dilaksanakan bermula Januari 2020. Di dalam rakaman tersebut juga beliau mendedahkan program ini akan dilaksanakan menggunakan wang yang diperolehi daripada cukai gula (soda tax). Harus diingatkan bahawa inilah pengumuman pertama mengenai PSP dilakukan oleh ahli Kabinet.
Saya percaya pengumuman ini dilakukan rentetan mesyuarat yang beliau pengerusikan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) & Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertarikh 25 April 2019. Di dalam mesyuarat tersebut, KPM telah membentangkan kertas cadangan pelaksanaan PSP kepada dua kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM).
Pengumuman kedua yang menguatkan spekulasi PSP ini seterusnya oleh Menteri Pendidikan pada ketika itu, Dr Maszlee Malik seperti yang dilaporkan oleh media pada 25 Ogos 2019. Saya percaya pengumuman ini berkait rapat dengan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) bertarikh 5 Ogos 2019 yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Harus diingatkan bahawa turut serta di dalam mesyuarat tersebut adalah Tan Sri Rafidah Aziz.
970 Juta Untuk 2.7 Juta Murid
Di dalam kertas cadangan, implikasi kewangan untuk PSP ini bernilai sekitar RM 1.67 bilion. Ini mengambil kira harga makanan bernilai RM3 untuk Semenanjung dan RM 3.50 untuk Sabah & Sarawak, untuk lebih dari 2.7 juta murid yang akan melibatkan 7772 sekolah rendah seluruh negara untuk 200 hari persekolahan sepanjang tahun.
Di atas kertas sebenarnya, kos boleh menjadi lebih kecil. Ini adalah kerana sebelum ini Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang menggunakan format yang sama seperti PSP sejak 1979 mempunyai peruntukan sekitar RM 250 juta hingga RM 300 juta untuk 500,000 ke 600,000 murid setahun.
Mengambilkira kemampuan Kerajaan untuk mengutip cukai gula pada kadar 300 juta hingga 400 juta setahun dan setelah ditolak peruntukan RMT, kos akhir yang harus ditanggung oleh Kerajaan untuk merealisasikan PSP untuk semua murid, sepanjang tahun sebenarnya adalah sebanyak RM 970 juta sahaja. Ini bersamaan dengan subsidi berjumlah RM 360 untuk seorang murid setahun atau RM 1.80 sehari.
Apakah pelaburan sebanyak 970 juta ini berbaloi?
Menurut Prof Dr Barjoyai Bardai, ibu bapa di Malaysia jimat RM2.3 bilion dengan Program Sarapan Percuma.
“Kita ambil contoh, ibu bapa membelanjakan RM856 setahun untuk memberi wang saku sebanyak RM4 sehari kepada seorang anak. Cuma ada yang mempersoalkan mengapa anak orang kaya juga dapat makan percuma? Bagi saya yang penting semua murid mendapat keperluan makanan seimbang dan baik supaya dapat beri tumpuan di dalam kelas,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian pada 28 Ogos 2019.
Rantai Ekonomi, Kesetaraan & Nilai
Di dalam kertas cadangan juga, PSP dirangka supaya dapat membantu peniaga lokal di sekitar sekolah dengan binaan rantai ekonomi yang menyokong peniaga kecil dan sederhana. Ini bermakna, tiada satu kontraktor besar yang dapat membolot kontrak PSP sepanjang tahun kerana operator yang menyediakan ekosistem PSP adalah peniaga kantin sekolah itu sendiri.
Prosedur Standard Operasi (SOP) yang dibina juga menggalakkan operator kantin untuk mengambil bahan basah seperti ayam, daging, ikan serta sayur-sayuran dari peniaga kecil di sekitar sekolah untuk menggalakkan rantai ekonomi di sekitar sekolah menjadi lebih rancak sepanjang tahun.
Kertas cadangan PSP juga dalam masa yang sama menerapkan kesetaraan dan nilai untuk murid-murid, terutamanya untuk mendidik anak kecil seawal 5 & 6 tahun. Antara model yang dicadangkan termasuklah guru dan murid makan bersama-sama di dalam kelas. Guru pada masa yang sama berfungsi sebagai fasilitator untuk menerapkan nilai kesetaraan, ketika semua murid makan makanan yang sama tanpa mengira status dan nilai gaji keluarga masing-masing.
Model tersebut juga mencadangkan guru untuk mendidik murid mengemas meja dan pinggan masing-masing setelah selesai makan, persis gaya di Jepun dan penerangan mengenai nutrisi, keperluan & khasiat makanan setiap kali PSP dijalankan.
Namun semua cadangan ini akhirnya tinggal cadangan di atas kertas sahaja, apabila belanjawan 2020 dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada 11 Oktober 2019. Tiada butiran mengenai PSP dibacakan oleh Lim Guan Eng dan Pakatan Harapan akhirnya terlepas satu peluang keemasan untuk meninggalkan legasi terbaik ini kepada rakyat Malaysia.
Pasca Pandemik Covid-19
Fast forward ke hadapan, setahun berlalu dan pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.
Hari ini, lebih dari 2.4 juta rakyat dijangka hilang pekerjaan seperti dilaporkan Malaysian Institute of Economic Research (MIER). Masyarakat berada dalam tekanan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta ketidaktentuan ekonomi. Warga B40, miskin bandar serta mereka yang terkesan dengan PKP kebanyakannya mempunyai masalah kewangan lebih-lebih lagi setelah tamatnya moratorium pinjaman bank pada September yang lalu.
Tidak ada masa lain yang lebih tepat untuk kita melaksanakan semula PSP ini.
Bayangkan daripada 7772 sekolah yang bakal terlibat, berapa banyak vendor ayam, daging & ikan serta barang basah yang lain seperti sayur, roti, beras dan lain-lain bakal mendapat manfaat darinya. Daripada ribuan vendor ini, ratusan ribu pekerja dari pekerja vendor termasuk pekerja kantin akan dapat menstabilkan semula pendapatan keluarga mereka akhirnya. Secara purata terdapat sekitar 100,000 pekerja kantin di seluruh negara. Ini bermakna sekitar 500,000 pekerja yang akan mendapat manfaat secara lansung dari PSP.
Dalam masa yang sama, lebih dari 2.7 juta murid bukan saja akan dapat manfaat bekalan sarapan berkhasiat setiap pagi untuk tempoh 200 hari setahun, bahkan mendapat nilai tambah dari proses didikan kesetaraan dan nilai yang bakal dilaksanakan sepanjang tahun.
Semua ini dapat dilaksanakan hanya dengan peruntukan kecil bernilai RM 970 juta oleh Kerajaan berbanding keseluruhan peruntukan KPM yang bernilai RM 60.2 bilion pada tahun lalu.
Jangan lupa pulangannya bukan hanya kepada pemain industri makanan di sekitar sekolah untuk seluruh negara sahaja; bahkan melibatkan penjimatan RM 2.3 bilion oleh ibu bapa.
Seperti saya nyatakan di atas – tidak ada masa lain yang lebih tepat untuk kita melaksanakan semula PSP ini. Saya berharap pihak Kerajaan di bawah Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin nampak perkara ini. Inilah satu-satunya polisi yang perlu dilakukan untuk melandaikan lengkung bantut & malnutrisi di kalangan murid sekolah rendah di negara ini.
Dan rakyat akan berterima kasih.
Lagi-lagi ketika semua sedang dalam keadaan yang menyesakkan dan begitu susah sekali hari ini.